Neofobia Makanan (Food Neophobia): Kisah Si Pemilih Makanan

137

Pernahkah anda mendengar mengenai neofobia makanan (food neophobia) ini? Istilah ini mungkin kedengaran agak asing dalam kalangan masyarakat kita, namun hakikatnya neofobia makanan ini sebenarnya bukanlah perkara yang asing dalam kehidupan seharian kita. Anda memiliki makanan tertentu yang tidak anda gemari? Atau, anda mempunyai anak-anak atau ahli keluarga yang begitu cerewet dalam memilih makanan? Sebenarnya, sikap dan ketakutan untuk mencuba pelbagai jenis makanan serta cerewet yang keterlaluan inilah yang dinamakan sebagai keadaan neofobia makanan.

Definisi neofobia makanan

Secara asasnya, neofobia makanan ini didefinisikan sebagai suatu keadaan di mana seseorang individu itu enggan untuk mencuba makanan yang baru. Istilah ‘neo’ itu bermaksud baru, manakala ‘fobia’ ialah ketakutan, maka secara dasarnya, ia adalah perasaan takut untuk mencuba makanan baru. Fenomena atau keadaan ini juga dikenali sebagai cerewet keterlaluan atau terlalu memilih makanan.

Apakah punca yang menyebabkan berlakunya neofobia makanan ini? Pakar pemakanan dan psikologi menyifatkan bahawa rasa takut untuk mencuba sesetengah jenis makanan ini berpunca daripada mekanisme yang terbina dalam diri seseorang yang ingin mengelak daripada makanan tersebut mengikut nalurinya, kerana pada anggapannya makanan tersebut adalah beracun atau boleh memudaratkan dirinya. Keadaan kepercayaan terhadap naluri ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang membawa kepada ketakutannya terhadap makanan tersebut seperti pengalaman masa kecil atau peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

Siapa yang cenderung mengalami neofobia makanan?

Dalam banyak kajian yang dijalankan berkaitan dengan neofobia makanan ini, kanak-kanak adalah kumpulan individu yang sering dikaitkan dengan masalah ini. Fenomena neofobia makanan dalam kalangan kanak-kanak ini biasanya berlaku berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berumur dua hingga tujuh tahun, atau adakalanya pada kanak-kanak yang lebih tua namun ia akan berkurangan secara beransur-ansur apabila kanak-kanak itu membesar.

Bagi kanak-kanak, penjelasan bagi neofobia makanan ini boleh dikaitkan dengan peningkatan umur mereka, iaitu pada lazimnya, apabila apabila kanak-kanak ini mencapai umur dua tahun, dia sudah mengenali bagaimanakah sepatutnya rupa dan bau sesuatu makanan. Oleh itu, apabila ibu bapa memperkenalkan makanan baru yang tidak bersesuaian dengan persepsinya, dia akan terus menolaknya.

Walaupun masalah neofobia makanan ini begitu ketara dalam kalangan kanak-kanak, namun masalah ini sebenarnya turut dialami oleh orang dewasa. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2015 dalam kalangan pakar kulinari muda, didapati bahawa terdapat kecenderungan bagi para tukang masak dan pakar kulinari ini untuk turut mengalami masalah neofobia makanan. Meskipun, pada asasnya, seseorang individu yang mempunyai profesion berkaitan dengan bidang masakan ini tidak seharusnya mempunyai sikap yang cerewet atau memilih makanan, namun, ia sebenarnya suatu situasi yang boleh berlaku kepada sesiapa jua.

Bagi masalah neofobia makanan dalam kalangan orang dewasa, antara faktor utama yang mempengaruhi mereka ialah faktor motivasi atau kebiasaan mereka terhadap sesuatu jenis makanan serta kepercayaan sensori mereka terhadap sesuatu jenis makanan. Bagi faktor motivasi ini, kebanyakan individu yang mengalami neofobia makanan lebih mempercayai makanan yang biasa mereka temui dalam hidup mereka, contohnya seperti makanan yang biasa dimasak oleh ibu atau makanan yang biasa dimakan sejak kecil.

Manakala bagi kepercayaan sensori pula, mereka yang mengalami neofobia makanan ini mempunyai persepsi tertentu terhadap warna, bau, rasa serta cara sesuatu makanan itu disediakan sehingga membuatkan mereka enggan untuk memakannya. Selain itu, sejarah kesihatan lampau, seperti alahan yang pernah dialami akibat memakan makanan tertentu juga adalah antara punca yang boleh mengakibatkan berlakunya neofobia makanan.

Kesan neofobia makanan

Kanak-kanak yang mengalami masalah neofobia makanan biasanya kurang mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan berprotein. Keadaan ini juga sebenarnya adalah sama dengan jenis makanan yang dikaitkan dengan neofobia makanan dalam kalangan orang dewasa.

Pada dasarnya, berdasarkan apa yang disarankan oleh Piramid Makanan Malaysia, setiap individu harus mengambil hidangan yang seimbang yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan bagi menjamin kesihatan yang optimum. Namun, bagi golongan yang mengalami neofobia makanan yang teruk, risiko untuk mereka mengalami masalah kekurangan nutrien yang penting adalah sangat tinggi dan ini boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lain.

Kekurangan mikronutrien penting seperti kalsium contohnya, yang mungkin berpunca akibat daripada keengganan dan ketakutan terhadap susu serta produk tenusu yang lain boleh menyebabkan berlakunya masalah gigi serta pertumbuhan tulang yang tidak sempurna. Ketakutan terhadap sayur-sayuran hijau juga boleh menyebabkan berlakunya kekurangan zinc, fiber serta folate yang diperlukan dalam pembentukan sel-sel darah dan seterusnya boleh menyebabkan anemia.

Cara mengatasi neofobia makanan

Bagi kanak-kanak, kaedah yang sering dijalankan bagi membantu ibu bapa mengatasi neofobia makanan ini adalah dengan membantu mempelbagaikan jenis makanan untuk anak-anak mereka. Malah, kaedah penyediaan makanan untuk kanak-kanak juga haruslah lebih kreatif melalui gambaran yang cantik mengenai makanan tersebut iaitu dengan pelbagai warna makanan yang menarik. Contoh yang paling mudah ialah melalui penggunaan sayur-sayuran yang pelbagai seperti tomato ceri, lobak merah, anggur, timun serta telur.

Pendekatan bagi mengatasi neofobia makanan ini adalah lebih mudah untuk diaplikasikan bagi kanak-kanak, namun bagi golongan dewasa, pendekatan yang dijalankan adalah lebih kepada memberi kefahaman bagi mengubah persepsi mereka terhadap sesuatu jenis makanan yang tidak disukai. Pendekatan ini lebih kepada psikologi makanan yang menjurus kepada pengenalpastian jenis makanan yang tidak digemari, sebab kenapa ia tidak digemari dan tahap ketidaksukaan terhadap sesuatu jenis makanan tersebut. Mengubah persepsi serta tanggapan negatif dalam kalangan orang dewasa ini adalah lebih sukar berbanding mempelbagaikan jenis makanan baru kepada kanak-kanak.

Kesimpulan

Neofobia makanan boleh berlaku kepada sesiapa jua, dengan pelbagai tanggapan negatif terhadap sesuatu jenis makanan. Apa yang paling penting adalah bagaimana untuk mengubah tanggapan negatif ini dan menghilangkan rasa takut untuk merasa makanan tersebut.

Rujukan

Alley, T. R., & Potter, K. A. (2015). Food Neophobia and Sensation Seeking. In V. R. et al. Preedy (Ed.), Handbook of Behavior, Food and Nutrition. Clemson, USA: Spinger Science. https://doi.org/10.1007/978-0-387-92271-3

Dovey, T. M., Staples, P. A., Gibson, E. L., & Halford, J. C. G. (2008). Food neophobia and ‘ picky / fussy ’ eating in children : A review. Appetite, 50, 181–193. https://doi.org/10.1016/j.appet.2007.09.009

Rosmaliza, M., Khairunnisa, M. A., Mohd Salehudin, M. Z., & Mohd Shazali, M. S. (2015). Revealing the Scenario of Food Neophobia among Higher Learning Institution Students from Klang Valley , Malaysia. Procedia – Social and Behavioral Sciences, 170(January), 292–299. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2015.01.039

Rosmaliza, M., Mohd Aizuddin, I., Roslina, A., & Firdaus, H. (2016). Psychological Factors on Food Neophobia among the Young Culinarian in Malaysia : Novel food preferences. Procedia – Social and Behavioral Sciences, 222, 358–366. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2016.05.180

Zalilah, M. S., Khor, G. ., Mirnalini, K., & Sarina, S. (2005). Food Neophobia and Nutritional Outcomes in Primary School-Children. J Community Nutrition, 7, 121–129.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.