Pada masa kini, konsep utama makanan dalam sesebuah pelancongan bukanlah semata-mata untuk memenuhi keperluan fisiologi dan fizikal seseorang. Bagi mereka yang gemar melancong atau bercuti ke destinasi yang baharu, makanan telah menjadi salah satu faktor penggerak kepada pelancongan itu sendiri. Dalam hal ini, ia dikenali sebagai pelancongan gastronomi atau pelancongan makanan.

Konsep pelancongan gastronomi

Sebelum kita melihat kepada konsep pelancongan gastronomi, sebaiknya kita lihat dahulu apa yang dimaksudkan dengan gastronomi itu sendiri. Perkataan gastronomi sebenarnya berasal daripada perkataan Greek, iaitu ‘gastros’ yang bermaksud perut dan ‘nomas’ yang bermaksud undang-undang. Secara keseluruhannya, gastronomi ini didefinisikan sebagai suatu seni dalam makan dan minum melalui pelbagai sumber, dan ia juga mempunyai kaitan dengan cabang-cabang ilmu yang lain seperti sejarah, kesusasteraan, musik, falsafah, psikologi, perubatan dan geologi.

Namun, secara umumnya, gastronomi ini boleh kita takrifkan sebagai suatu konsep yang menghubungkan antara budaya dan makanan. Ia lebih bertumpu kepada kajian komponen budaya tertentu dengan fokus terhadap makanan.

Pelancongan gastronomi atau pelancongan makanan ini boleh didefinisikan sebagai suatu perjalanan pelancongan yang berfokus untuk menjelajah dan menikmati makanan serta minuman khas di sesebuah destinasi bertujuan untuk mengalami sendiri budaya tempatan di tempat itu. Oleh itu, secara keseluruhannya, ia adalah jenis pelancongan yang menghubungkan perjalanan, percutian serta makanan dan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh para pelancong.

Makanan yang terdapat di sesebuah destinasi pelancongan berpotensi besar untuk meningkatkan pengalaman para pengunjung di kawasan berkenaan. Makanan dalam aspek pelancongan ini berfungsi dalam menghubungkan pengunjung dengan budaya dan warisan destinasi berkenaan serta menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan itu sendiri.

Maksudnya di sini, penggunaan makanan tempatan dapat menyumbang kepada promosi jenama destinasi pelancongan kerana makanan ini diakui sebagai sebahagian daripada budaya tempatan yang terdapat dalam destinasi tersebut. Oleh itu, hidangan makanan bukan lagi sekadar salah satu aspek dari pengalaman pelancongan, tetapi berubah menjadi aspek utama.

Dalam definisi yang lain, pelancongan gastronomi membawa konsep yang menggabungkan pelancongan dengan makanan dan menekankan makanan tempatan sebagai salah satu aspek budaya yang paling dihargai oleh masyarakat.

Kesannya, destinasi yang berkenaan mula menyedari bahawa makanan dan masakan tempatan adalah bahagian asas daripada warisan mereka, boleh menunjukkan ciri budaya nasional dan tempatan mereka, dan memungkinkan mereka berkembang sebagai jenama antarabangsa. Secara tidak langsung, makanan telah menjadi suatu artifak budaya yang menjadi penghubung kepada identiti sesuatu destinasi.

Neofilia makanan

Neofilia makanan merupakan suatu keadaan yang bertentangan dengan neofobia makanan, iaitu keadaan seseorang individu yang takut untuk mencuba makanan baharu. Neofilia makanan boleh didefinisikan sebagai suatu sikap yang melibatkan minat terhadap makanan baharu, menunjukkan keseronokan untuk menikmati pelbagai jenis makanan sama ada makanan biasa atau makanan yang tidak dikenali.

Dalam hal ini, neofilia makanan telah diakui sebagai salah satu penggerak atau pencetus yang penting untuk aspek pelancongan gastronomi. Malah, ramai penyelidik gastronomi berpendapat bahawa perkembangan dalam ‘pembangunan masakan baharu’ serta globalisasi masakan nasional di seluruh dunia adalah disebabkan oleh pengaruh kecenderungan neofilia makanan sebagai motivasi dalam sesuatu pelancongan.

Para pelancong yang gemarkan pelancongan makanan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk memiliki neofilia makanan, iaitu kecenderungan untuk mencari dan merasai sesuatu yang baru, serta menikmati jenis makanan tempatan baharu pada destinasi percutian mereka.

Malah, penyelidik psikologi Pliner dan Hobden yang telah membangunkan skala khusus untuk neofobia makanan juga berpendapat bahawa keadaan neofilia makanan ini berkait rapat dengan keinginan mereka terhadap pengalaman makan yang baharu.

Beberapa kajian yang dijalankan terhadap masyarakat di seluruh dunia serta kecenderungan mereka untuk memiliki neofilia makanan telah menunjukkan penemuan yang menarik. Masyarakat negara Sweden contohnya lebih terbuka dan lebih bersedia untuk mencuba makanan baharu, iaitu memiliki neofilia makanan sewaktu melancong jika dibandingkan dengan masyarakat dari Finland.

Manakala, masyarakat Korea pula lebih takut untuk mencuba makanan baharu di negara asing atau destinasi percutian mereka berbanding masyarakat US. Malah, pertumbuhan pesat restoran-restoran etnik di US mempunyai kaitan rapat dengan masyarakatnya yang gemar untuk mencuba sesuatu makanan yang baharu.

Neofilia makanan sebagai penggerak kepada pelancongan gastronomi

Seseorang individu yang memiliki neofilia makanan biasanya begitu adventurous dalam menikmati makanan. Mereka berani dalam mencuba pelbagai jenis makanan etnik atau makanan eksotik yang terdapat dalam mana-mana destinasi yang mereka kunjungi. Dalam situasi ini, sekiranya individu neofilia makanan pergi mengembara atau melancong, fokus dan motif utama mereka adalah untuk merasai pengalaman makan yang baharu di tempat berkenaan.

Keadaan inilah yang menyumbang kepada peningkatan dalam pelancongan makanan yang mana sebahagian besar mereka yang memiliki kecenderungan neofilia makanan ini melancong semata-mata untuk menikmati makanan baharu. Keadaan ini menunjukkan peranan kritikal individu neofilia dalam menjelaskan sikap serta penerimaan pelancong terhadap makanan tempatan dalam destinasi yang dikunjungi.

Konsep neofilia makanan ini telah memberi suatu pemahaman yang penting bagi menerangkan tujuan, serta objektif seseorang itu melancong dan bercuti. Malah, ia turut mempengaruhi keputusan seseorang dalam membuat pilihan terhadap destinasi pelancongan yang ingin mereka lawati.

Dalam satu kajian pelancongan gastronomi, didapati bahawa kebanyakan pengunjung ke negara-negara Afrika merupakan para pengembara yang sukakan cabaran dan berkeinginan tinggi untuk mendekatkan diri dengan budaya serta makanan tempatan. Dapatan kajian ini turut menunjukkan bahawa keinginan sikap neofilia makanan adalah petunjuk kritikal bagi persepsi serta niat para pengunjung ini untuk menikmati hidangan tempatan di negara tersebut.

Menariknya bagi seseorang yang memiliki neofilia makanan ini, mereka lebih mudah untuk menerima makanan baharu tempatan, malah mereka cenderung untuk mempunyai persepsi yang baik, kecenderungan emosi yang positif,  mencubanya lagi pada masa akan datang serta memberi cadangan mengenai hidangan makanan tersebut kepada orang lain.

Persepsi dan pandangan yang baik oleh individu neofilia makanan tentang hidangan yang terdapat di destinasi tersebut kebiasaannya akan dikongsi kepada individu lain bagi menjelaskan mengenai keistimewaan yang dimiliki oleh hidangan berkenaan. Emosi dan respon positif yang diperoleh hasil daripada menikmati hidangan ini boleh memberi suatu publisiti yang positif bagi menaikkan populariti destinasi berkenaan serta sekaligus menaikkan ciri budaya makanan tempatannya.

Dalam hal ini, tanggungjawab yang harus ada bagi sesebuah destinasi pelancongan adalah untuk mengekalkan ciri keaslian budaya melalui penghasilan makanan tempatan dan seterusnya mempromosikannya sebagai salah satu warisan budaya mereka. Fokus utama bagi promosi ini adalah untuk menarik perhatian individu neofilia makanan agar datang berkunjung dan seterusnya mencuba makanan tempatan.

Kesimpulan

Dalam aspek pelancongan, komponen gastronomi atau makanan bukan hanya dianggap sebagai suatu keperluan buat para pengunjung, tetapi telah berubah menjadi asas utama yang akhirnya membentuk konsep pelancongan gastronomi. Makanan menjadi sebahagian daripada ciri budaya yang dipopularkan sebagai warisan yang terdapat dalam sesebuah destinasi pelancongan. Populariti pelancongan gastronomi ini semakin meningkat hasil persepsi individu neofilia makanan yang telah dibuktikan menjadi faktor penting dalam mempengaruhi tahap kepuasan para pengunjung.

RUJUKAN:

Baah, N. G., Bondzi-Simpson, A., & Ayeh, J. K. (2020). How neophilia drives international tourists’ acceptance of local cuisine. Current Issues in Tourism, 23(18), 2302–2318.

Castillo-Canalejo, A. M., Sánchez-Cañizares, S. M., Santos-Roldán, L., & Muñoz-Fernández, G. A. (2020). Food markets: A motivation-based segmentation of tourists. International Journal of Environmental Research and Public Health, 17(7).

Dimitrovski, D., & Crespi-Vallbona, M. (2017). Role of food neophilia in food market tourists’ motivational construct: The case of La Boqueria in Barcelona, Spain. Journal of Travel and Tourism Marketing, 34(4), 475–487.

Latimer, L. A., Pope, L., & Wansink, B. (2015). Food neophiles: Profiling the adventurous eater. Obesity, 23(8), 1577–1581.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.