Nenek Kebayan Dalam Sastera Melayu

0
787
views

Sejarah dan perkembangan watak nenek kebayan di Nusantara bermula daripada budaya dan pemikiran masyarakat Nusantara yang menyifatkan nenek kebayan sebagai nenek tua yang menakutkan. Kewujudan nenek kebayan dikenali sebagai makhluk halus dari alam bunian dan jin yang tinggal di hutan dan gunung. Puncak Gunung Ledang ialah tempat tinggal nenek kebayan bersama orang bunian dan Puteri Gunung Ledang.

Kemunculan nenek kebayan sebagai Dang Raya Rani, iaitu pengetua Puteri Gunung Ledang diceritakan dalam Sejarah Melayu ketika peminangan Puteri Gunung Ledang oleh rombongan Sultan Mahmud Syah yang diwakili oleh Laksamana Sang Setia dan Tun Mamad di Puncak Gunung Ledang. Nenek kebayan yang tinggal di Gunung Ledang, gunung dan hutan dikenali sebagai “Orang Gunung” berdasarkan kajian penulis ketika menemubual bapa saudara penulis, Salleh Jaafar dan isterinya, Jamilah Baba yang terlibat dalam dunia perubatan Melayu tradisional di Bukit Rambai, Melaka.

Fokus kajian dalam artikel ini menonjolkan watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam sastera tradisional dan melihat perwatakan murni nenek kebayan yang berupaya menyucikan pemikiran kanak-kanak yang kerap dimomokkan dengan nilai negatif terhadap nenek kebayan. Oleh itu, perwatakan murni nenek kebayan terhadap kanak-kanak dibincangkan berdasarkan perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera. Perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera menaikkan martabat nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam sastera tradisional.

Pada dasarnya, konsep watak menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sifat seseorang yang zahir dan batin merangkumi budi pekerti dan tabiatnya, tingkah lakunya, jiwanya dan pemikirannya. Selain itu, konsep watak merupakan tokoh dalam karya sastera seperti cerita lipur lara. Ringkasnya, konsep watak menurut Abd. Hadi Hashim (2002: 8) merupakan pelaku atau penggerak utama dalam menghidupkan dan mengembangkan cerita berdasarkan hukum sebab dan akibat.

Konsep perwatakan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah pembentukan watak dan penggambaran melibatkan pemaparan watak dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015: 1804). Seterusnya, konsep perwatakan menurut Abd. Hadi Hashim dalam Kupasan dan Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu KBSM merupakan pelukisan dan gambaran tentang watak dari segi fizikal (luaran), psikologikal (dalaman/ kejiwaan) dan sosiologikal (peranan dalam masyarakatnya). (Abd. Hadi Hashim, 2002: 8) Tegasnya, perwatakan nenek kebayan dalam cerita lipur lara boleh berkomunikasi dengan haiwan atau unsur alam menggunakan kuasa magis dan sihir yang dimiliki oleh nenek kebayan.

Kedudukan watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam cerita lipur lara dilihat berdasarkan carta alir watak dalam karya sastera. Menurut Abd. Hadi Hashim dalam Kupasan dan Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu KBSM, jenis watak dalam karya sastera dimulakan dengan wira watak utama sebagai watak penting yang menggerakkan sesuatu cerita. Kemunculan nenek kebayan sebagai watak pembantu memiliki peranan lebih kecil daripada watak utama.

Peranan watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam cerita lipur lara dikenali sebagai watak kodi, iaitu watak yang konvensional atau watak yang selalu terdapat dalam cerita rakyat. Watak kodi memiliki sifat persendirian yang sedikit tetapi terlalu banyak sifat stereotaip, watak nenek kebayan dalam cerita-cerita rakyat seperti Hikayat Inderaputera merupakan contoh watak kodi. Watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dan watak kodi dalam cerita lipur lara dilihat berdasarkan carta alir watak dalam karya sastera berikut:

Carta Alir Watak dalam Karya Sastera: Watak Nenek Kebayan sebagai Watak

Sumber dan hak cipta: Abd. Hadi Hashim, 2002. Kupasan & Kajian Merit Elektif
Kesusasteraan Melayu KBSM. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

Konsep perwatakan murni dalam karya sastera, khususnya perwatakan murni nenek kebayan dikatakan dapat menyucikan pemikiran kanak-kanak yang dimomokkan dengan nilai negatif terhadap nenek kebayan. Oleh itu, konsep perwatakan murni dalam karya sastera berdasarkan gabungan dua perkataan, iaitu “perwatakan” dan “murni”. Malah, konsep perwatakan menurut Abd. Hadi Hashim dalam Kupasan dan Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu KBSM merupakan pelukisan dan gambaran tentang watak dari segi fizikal, dalaman dan peranan dalam masyarakat. Seterusnya, maksud kata “murni” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah tidak mengandungi unsur-unsur asing biasanya unsur-unsur yang mencemarkan, selain bersifat bersih, benar, suci dan tulen. Selain itu, aspek perwatakan murni dalam karya sastera berdasarkan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh setiap watak dan perwatakan yang mengamalkan nilai hidup murni seiring dengan nilai-nilai positif dan luhur (Abd. Hadi Hashim, 2002: 14). Konsep perwatakan murni memaparkan nilai kasih sayang, pemurah, berbudi bahasa, amalan hormat menghormati, tolong menolong dan pelbagai lagi nilai murni.

Pada dasarnya, terdapat dua watak dalam aspek penceritaan sastera Melayu tradisional, iaitu watak utama dan watak pembantu. Kewujudan dan pelibatan sepenuhnya watak pembantu atau lebih dikenali sebagai watak bukan wira yang begitu dikenali masyarakat Melayu era tradisi lisan ialah nenek kebayan.  Kemunculan nenek kebayan amat ditakuti oleh kanak-kanak berdasarkan pemikiran dalam minda kanak-kanak bahawa nenek kebayan sebagai wanita tua yang menakutkan, rupa parasnya seperti hantu, ratu sihir, wanita kejam, perempuan jahat dan penculik kanak-kanak. Perwatakan nenek kebayan dikenali sebagai “Si Bongkok Tiga” dalam lagu rakyat Melayu yang bertajuk Nenek Si Bongkok Tiga (1959). Lagu rakyat Nenek Si Bongkok Tiga dinyanyikan oleh Rahmah Rahmat dalam filem Musang Berjanggut, arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1959:

Nenek, nenek, Si Bongkok Tiga

Siang mengantuk malam berjaga

Cari cucu di mana ada

Nenekku kahwin dengan nak raja.

(https://m.youtube.com/ watch Nenek Si Bongkok TigaMusang Berjanggut, 1959).

Kemunculan watak nenek kebayan sebagai watak pembantu menurut Rahman Shaari berdasarkan satu istilah dalam konteks perwatakan yang dikenali sebagai “Andalan (Confidant 1)”, iaitu “watak sampingan dalam sesebuah karya sebagai harapan dan kepercayaan protagonis” (Rahman Shaari, 2002: 7). Buktinya, watak nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera sebagai watak sampingan yang menjadi harapan dan kepercayaan Putera Inderaputera (Syahidatul Munirah Badrul Munir, 2015: 5). Watak nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera berjaya menyelesaikan konflik yang dialami oleh Putera Inderaputera seperti yang dijelaskan oleh Siti Hawa Salleh (1992: 67) dalam petikan yang berikut:

Di samping menggunakan unsur-unsur magis, wira-wira ini mendapat pula bantuan daripada watak nenek kebayan yang setia dan rapat dengan watak-watak itu dan terus menjelma dalam cerita dari semasa ke semasa, terutama untuk membantu wira-wira ketika masa yang runcing.

Menurut Siti Hawa Salleh (1992: 67), kemunculan watak-watak pembantu dikatakan “menjelma dari semasa ke semasa” jelas difahami berdasarkan kehadiran watak-watak pembantu apabila watak wira memerlukan watak-watak pembantu ketika watak wira menempuhi kesukaran. Maka, peranan watak pembantu seperti nenek kebayan amat diperlukan oleh watak wira. Peranan nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera membantu Putera Inderaputera daripada pengenalan cerita Hikayat Inderaputera hingga ke peleraian cerita Hikayat Inderaputera.

Penonjolan nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam cerita lipur lara sering berdamping dengan watak utama. Hal ini demikian kerana perwatakan nenek kebayan dalam cerita lipur lara, lazimnya digambarkan secara negatif hingga menimbulkan stigma negatif terhadap pemikiran kanak-kanak. Namun begitu, perwatakan murni yang dimiliki oleh watak nenek kebayan dapat menyucikan pemikiran kanak-kanak yang selalu dimomokkan dengan pemikiran dan nilai negatif terhadap nenek kebayan sebagai orang tua yang menakutkan, perempuan tua kejam terhadap kanak-kanak, penculik kanak-kanak, ratu sihir, hantu dengan paras rupa menakutkan dan wanita tua bertubuh kerepot dan bongkok. Nenek kebayan dianggap berbahaya buat kanak-kanak melalui kuasa magis seperti yang diceritakan melalui kisah “Peminangan Puteri Gunung Ledang” dalam Sejarah Melayu menceritakan nenek kebayan menjelma sebagai Dang Raya Rani, iaitu pengetua Puteri Gunung Ledang di Puncak Gunung Ledang bertemu dengan Tun Mamad Gunung Ledang. Penjelmaan watak nenek kebayan tersebut ialah Puteri Gunung Ledang yang menyamar sebagai nenek kebayan menggunakan kuasa magis (Azlina Asaari dan Jamaluddin Aziz, 2013: 119).

Perwatakan nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam Hikayat Inderaputera berfungsi dalam pergerakan plot atau “turning point” dalam perubahan cerita daripada saat genting kepada situasi yang lebih tenang. Seterusnya, perwatakan nenek kebayan sebagai watak kodi dalam Hikayat Inderaputera merupakan watak penyelamat Putera Inderaputera daripada pengenalan cerita hingga ke peringkat peleraian cerita Hikayat Inderaputera. Kemunculan nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam Hikayat Inderaputera memaparkan perwatakan murni nenek kebayan menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh Putera Inderaputera (Syahidatul Munirah Badrul Munir, 2015: 6).

Hikayat Inderaputera sebuah karya sastera tradisional yang dicipta era kegemilangan Kesultanan Melayu Acheh. Hikayat Inderaputera mengisahkan seorang pemuda yang bernama Inderaputera, iaitu putera kepada Raja Bikrama Buspa dari negeri Samanta Puri telah diculik oleh burung Merak Emas. Ketika Putera Inderaputera dilahirkan, baginda diramalkan bahawa tidak boleh berada dekat dengan sebarang binatang. Pada suatu hari, Putera Inderaputera duduk di atas ribaan ayahandanya teruja melihat Merak Emas yang dibawa masuk mengadap di istana, lalu mendekati Merak Emas tersebut. Tiba-tiba Putera Inderaputera diterbangkan oleh Merak Emas tersebut. Setelah diterbangkan, Putera Inderaputera dijatuhkan di dalam sebuah taman bunga milik seorang nenek kebayan. Putera Inderaputera dibesarkan oleh nenek kebayan dengan bantuan seorang menteri. Inderaputera menjadi pembantu kepada menteri tersebut.

Setelah Putera Indera dewasa, Putera Inderaputera menempuh pelbagai halangan. Putera Inderaputera diuji setelah menemui Maharaja Syahian. Putera Inderaputera terpisah dengan nenek kebayan. Setelah melepasi beberapa halangan, Putera Inderaputera tetap mencari nenek kebayan yang menjaganya dari kecil. Putera Inderaputera bertemu semula dengan ayahandanya. Putera Inderaputera  ditabalkan sebagai raja yang bergelar Paduka Sultan Mengindera di negeri Samanta Puri dan hidup bahagia bersama empat orang isterinya (Hikayat Inderaputera, 1979)

Perwatakan murni pertama nenek kebayan dalam pengenalan cerita Hikayat Inderaputera memaparkan jasa nenek kebayan menjaga Putera Inderaputera. Jasa nenek kebayan dalam menjaga Putera Inderaputera hingga dewasa bermula selepas Putera Inderaputera dijatuhkan oleh burung Merak Emas dalam taman bunga nenek kebayan ketika Putera Inderaputera masih kecil. Apabila dewasa, Putera Inderaputera berpisah dengan nenek kebayan. Hakikatnya, Putera Inderaputera tetap mencari nenek kebayan yang menjaganya dari kecil hingga baginda bertemu ayahandanya dan ditabalkan sebagai Paduka Sultan Mengindera:

Syahadan, maka Inderaputera pun serta sekalian mereka itu pun bangkit daripada sujud sembahnya itu lalu meminta doa kepada Allah Taala memberi (akan anakanda) Inderaputera itu bertambah-tambah dengan kemuliannya dan darjatnya. Kalakian, maka Inderaputera pun bergelar Paduka Sultan Mengindera. Setelah sudah maka mereka itu pun menjunjung duli. (Hikayat Inderaputera,1979: 218)

Kepentingan watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dan watak kodi dalam Hikayat Inderaputera dipaparkan berdasarkan perwatakan murni nenek kebayan sebagai penjaga wira dalam Hikayat Inderaputera, iaitu Putera Inderaputera. Perwatakan murni nenek kebayan membantu watak Putera Inderaputera sebagai wira apabila Putera Inderaputera menghadapi masalah.

Perwatakan murni nenek kebayan melalui kesantunan budi bahasa yang nenek kebayan disanjungi oleh masyarakat dan orang istana. Namun begitu, kedudukan nenek kebayan bukan dalam hierarki tinggi stratifikasi sosial golongan pemerintah dan bangsawan (Syahidatul Munirah Badrul Munir, 2015: 7

Perwatakan murni nenek kebayan sebagai penyelamat dan penjaga Putera Inderaputera dalam Hikayat Inderaputera bermula daripada pengenalan cerita, iaitu setting. Nenek kebayan telah menjaga dan membesarkan Putera Inderaputera setelah diculik oleh Merak Emas seperti yang diceritakan dalam petikan berikut:

Setelah sudah makan, maka nenek kebayan pun pulanglah daripada berjual bunga. Maka, bakulnya pun ditaruhkannya. Maka datanglah ia ke dalam kebunnya. Maka,= Inderaputera pun setelah melihat orang tua perempuan itu, maka ia pun teringat akan dirinya, dan bercintalah  ia akan ayahanda dan bondanya. Maka, ia fikir dalam (hatinya), “sudahlah dengan nasibku.” (Hikayat Inderaputera,1979: 5-6)

Peranan nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam Hikayat Inderaputera telah menjaga Putera Inderaputera selepas Inderaputera terpisah dengan ayahandanya dan bondanya. Nenek Kebayan memainkan peranannya sebagai penjaga Putera Inderaputera dari kecil hingga Putera Inderaputera dewasa seperti yang diceritakan dalam petikan yang berikut:

Maka ujar nenek kebayan, “Hai cucuku mahukah cucuku duduk bersama dengan,hamba?Maka ujarnya Inderaputera, “Baiklah nenekku: ke mana lagi hamba hendak membawa dirinya hamba lagi.”

(Hikayat Inderaputera,1979:6)

Keluhuran hati nenek kebayan telah memperkenalkan Putera Inderaputera kepada orang-orang di dalam istana di negeri nenek kebayan agar dengan harapan nenek kebayan, Putera Inderaputera dapat bertemu dengan ayahanda dan bondanya. Malah, keluhuran hati nenek kebayan menjaga dan membesarkan Putera Inderaputera hingga Putera Inderaputera pulang ke negeri Samanta Puri. Keluhuran hati nenek kebayan tergambar melalui keakraban hubungan nenek kebayan dengan Putera Inderaputera ketika Inderaputera dan nenek kebayan terpisah sewaktu mengembara dan ketika Putera Inderaputera berkahwin Putera Inderaputera. Jika diberikan pilihan Putera Inderaputera tetap ingin bertemu dengan nenek kebayan:

Maka ujar Berma Sakti, “Hai anakku, tuan pejamkan matamu dan citalah barang yang engkau kehendaki nescaya sampailah kepada tempat itu.”

Syahadan maka Inderaputera pun mengikut seperti pesan Berma Sakti itu. Maka dipejamkan matanya. Maka dicitalah kebun nenek kebayan. Setelah ia membuka matanya itu seraya dilihat dirinya itu di dalam kebun. Maka dilihatnya kebun nenek kebayan itu pun habislah sudah menjadi hutan dan dilihatnya nenek kebayan tengah duduk menangis.

(Hikayat Inderaputera, 1979: 166)

Kasih sayang nenek kebayan terhadap Putera Inderaputera membuktikan bahawa perwatakan murni nenek kebayan berupaya menyucikan pemikiran kanak-kanak yang selalu dimomokkan dengan nilai negatif terhadap nenek kebayan. Buktinya, kasih sayang nenek kebayan terhadap Putera Inderaputera dalam Hikayat Inderaputera begitu menyayangi Putera Inderaputera yang ditemuinya sejak kecil lagi di taman bunga nenek kebayan hingga berjaya membesarkan Putera Inderaputera sehingga dewasa.

Pelbagai perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera sebenarnya ditonjolkan sebagai protagonis dalam Hikayat Inderaputera, selain berperanan sebagai watak pembantu, iaitu setting yang menggerakkan plot Hikayat Inderaputera hingga ke peleraian cerita Hikayat Inderaputera. Asas perwatakan murni nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam Hikayat Inderaputera memainkan peranan penting bermula sebagai penyelamat Putera Inderaputera melalui nilai kasih sayang, pengorbanan, jasa, budi bahasa, keluhuran hati dan membantu menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh Putera Inderaputera.

Demikian secara keseluruhannya, perkembangan cerita lipur lara dalam kesusasteraan Melayu tradisional telah mengangkat perwatakan murni nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam cerita lipur lara. Malah, susur galur watak dan perwatakan dalam karya sastera meletakkan kedudukan nenek kebayan sebagai watak pembantu dan watak kodi. Oleh itu, perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera mampu menyucikan pemikiran kanak-kanak agar berfikiran positif terhadap nenek kebayan berdasarkan gabungan nilai murni dalam kehidupan yang bersifat positif dan luhur. Perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera berjasa menyelamatkan Putera Inderaputera dan menyelesaikan konflik yang dialami oleh Putera Inderaputera. Setiap subplot nenek kebayan sebagai watak pembantu bersama wira menggerakkan cerita yang mencetuskan hukum sebab akibat daripada sesuatu peristiwa. Jika tiada watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dan protagonis dalam Hikayat Inderaputera akan menjadikan plot cerita Hikayat Inderaputera kelihatan lesu. Perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera dapat membentuk menyemai nilai-nilai murni  agar diamalkan oleh kanak-kanak dan golongan dewasa dalam kehidupan seharian.

 

BIBLIOGRAFI  

Abd. Hadi Hashim, 2002. Kupasan & Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu

      KBSM. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

Ali Ahmad (ed). 1979. Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.   

A.Samad Ahmad (peny.), 2003. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, Edisi Pelajar.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azlina Asaari dan Jamaluddin Aziz. 2013. “Mencabar Ideologi Maskulin: Wanita

dan Saka dalam Filem Seram di Malaysia” dalam Jurnal Komunikasi Malaysian

Journal of Communication Jilid  29 (1) 2013: 113-126, Universiti Kebangsaan

Malaysia.

(https://m.youtube.com> watch Nenek Si Bongkok Tiga-Musang Berjanggut 1959). (21

September 2017).

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2015. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syahidatul Munirah Badrul Munir. “Nenek Kebayan dan Bujang Selamat:

Penyelesaian Konflik oleh Watak Pembantu” dlm Jendela Utara, Disember

2015.

Salleh Jaafar dan Jamilah Baba, 16 Jun 2017. Temubual di Kampung Sungai Tinggi,

Trong, Perak.