Nelson Mandela, rasanya semua orang sudah pun mengenal gerangan masyhur ini. Aktivis dan Presiden Afrika Selatan ini telah membawa pengakhiran sistem apartheid dan simbol global kepada pejuang hak asasi manusia.

Beliau telah dilahirkan pada 18 Julai 1918 dalam keluarga diraja puak Thembu bertutur bahasa Xhosa di kampung Mvezo di Afrika Selatan yang mana ayahnya, Gadla Henry Mphakanyiswa memegang jawatan ketua. Ibunya pula, Nosekeni Fanny adalah isteri ketiga daripada empat isteri Mphakanyiswa.

PERMULAAN SEBUAH PERJUANGAN

Selepas bersekolah di sekolah berasrama Methodist, Mandela menyambung pelajaran ke satu-satunya universiti elit untuk golongan kulit hitam, Universiti Fort Hare. Beliau telah mula menentang pihak berkuasa dan akhirnya dibuang.

Sementara beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kemudiannya kerani di firma guaman, Mandela telah bertemu dengan Walter Sisulu, aktivis ANC (Kongres Nasional Afrika) dan berkawan rapat dengan golongan liberal dan komunis.

Beliau akhirnya menyertai ANC pada 1944 dan menubuhkan liga mudanya setelah mengalami sendiri rasisme di Universiti Witwatersrand. Bersama dengan kumpulan muda yang bijak dan bermotivasi, Mandela telah mentransformasikan ANC kepada sebuah gerakan politik besar-besaran.

Sejarah apartheid sudah berakar jauh sejak permulaan pemerintahan Eropah di Afrika Selatan, namun pengasingan kaum telah dikodifikasikan secara menyeluruh dalam undang-undang sejak pilihanraya kerajaan Parti Nasional di kotak undi khas orang berkulit putih pada 1948. Dalam terma undang-undang, apartheid mempunyai tiga tonggak utama:

  1. Akta Klasifikasi Ras (Race Classification Act) – mengelaskan setiap rakyat yang disyaki tidak menjadi Eropah mengikut ras.
  2. Akta Perkahwinan Campur (Mixed Marriage Act) – menghalang perkahwinan pasangan berlainan ras.
  3. Akta Kawasan Perkumpulan (Group Areas Act) – memaksa orang ras tertentu hidup di kawasan yang ditentukan.

Komitmen politik Mandela dan ANC bertambah kuat pasca kemenangan Parti Nasional (parti yang didominasi oleh Afrikaner) pada 1948 yang turut memperkenalkan sistem rasmi pengkelasan ras dan segregasi. Justeru, ANC telah melaksanakan pelan untuk mencapai kewarganegaraan penuh bagi rakyat Afrika Selatan melalui mogok, ketidakpatuhan sivil, boikot dan kaedah tanpa kekerasan lain.

Mandela juga telah mempromosikan Kempen Penentangan Undang-Undang Tidak Adil (Campaign for the Defiance of Unjust Law) pada 1952 dengan menjelajah Afrika Selatan untuk mengatur protes menentang polisi diskriminasi serta mempromosikan masifesto yag dikenali sebagai Piagam Kebebasan (Freedom Charter); yang kemudiannya diratifikasi di Kongres Rakyat pada 1955.

Firma guaman Afrika Selatan milik orang berkulit hitam pertama telah ditubuhkan oleh Mandela dan Tambo pada 1952; menawarkan nasihat perundangan percuma dan kos rendah kepada sesiapa yang terjejas akibat sistem apartheid.

Beliau bersama 155 aktivis lain telah ditangkap atas tuduhan khianat pada 1959, namun kesemua tertuduh telah dibebaskan pada 1961. Pada masa yang sama pulak, puak militan telah berpecah daripada ANC akibat peningkatan ketegangan dalaman dan mereka akhirnya membentuk Kongres Pan Afrikanis (PAC).

Pada tahun berikutnya, kerajaan apartheid telah bertindak mengisytiharkan keadaan darurat dan pengharaman kedua-dua ANC dan PAC, sejurus insiden yang dikenali sebagai Pembvnuhan Beramai-Ramai Sharpeville (Sharpeville Massacre).

Pada 1961 juga, Mandela telah menjadi penubuh bersama dan pemimpin Umkhonto we Sizwe (Spear of the Nation), juga dikenali sebagai MK. Di bawah pimpinan beliau, MK telah melancarkan kempen sabotaj terhadap kerajaan, tambahan pulak ketika itu Afrika Selatan baru sahaja diisytiharkan sebagai republik dan menarik diri daripada Komanwel (Afrika Selatan ketika itu menolak idea pemerintahan majoriti (majority rule)).

Apabila polis menyerbu tempat persembunyian ANC di Rivonia pinggir Johannesburg, pemimpin MK telah diberkas dan bukti konspirasi ganas, pengkhianatan dan sabotaj telah dibawa ke muka keadilan.

Dua tahun kemudian, Mandela bersama tujuh defendan lain berjaya melarikan diri daripada tali gantung dan mereka dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hidup dalam Perbicaraan Rivonia (Rivonia Trial). Beliau telah dihantar ke Penjara Pulau Robben.

Mandela menghabiskan hukuman penjaranya di Penjara Pulau Robben selama 18 tahun. Sebagai tahanan politik berkulit hitam, beliau menerima catuan yang sikit berbanding tahanan lain. Malah, Mandela dan rakan tahanannya dikenakan hukuman tidak berperikemanusiaan meskipun kesalahan kecil; terdapat laporan pengawal mengebumikan tahanan hingga paras leher lalu kencing ke atas tahanan-tahanan itu. Tragis.

Kisah perjuangannya tidak berhenti setakat disini, meskipun pemerintah Barat terus menyokong rejim apartheid Afrika Selatan. Minat terhadap Mandela dan ANC meningkat kembali sejak kebangkitan militant Gerakan Kesedaran Hitam pada 1970-an dan kematian salah seorang pengasas gerakan itu yang juga aktivis pelajar, Steve Biko.

Beliau telah dipindahkan ke Penjara Pollsmoor pada 1982, lalu diletakkan di tahanan rumah bawah fasiliti keselamatan minimum pada 1988. Presiden F.W. de Klerk, yang baru dilantik ketika itu, telah mengangkat sekatan kepada ANC dan menyeru kepada sebuah Afrika Selatan yang tidak rasis; tindakan yang memutuskan hubungan beliau dengan golongan konservatif di partinya sendiri. Akhirnya, Mandela telah dibebaskan pada 11 Februari 1990.

LEGASI

Kebebasan Mandela perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Sebab itu, beliau telah mengetuai ANC dan Parti Nasional (parti pemerintah) dan organisasi politik lain untuk berbincang demi mengakhiri sistem apartheid dan membentuk kerajaan multiras. Perbicangan ini, meskipun dilaksanakan pada era genting ketidakstabilan politik, ia telah pun memberikan Mandela dan de Klerk akan Hadiah Nobel Keamanan pada Disember 1993.

Pada 26 April 1994, sejumlah 22 juta rakyat Afrika Selatan telah berpusu-pusu keluar menuju ke kotak undi pada pilihanraya multiras pertama negara itu. Majoriti besar pengundi telah mengundi ANC pada pilihanraya itu. Sejarah tercipta pada 10 Mei 1990 apabila Nelson Mandela sendiri telah mengangkat sumpah selaku Presiden Afrika Selatan, presiden berkulit hitam pertama negara itu. Timbalan Presiden pulak dijawat oleh de Klerk.

Selaku Presiden, Mandela telah menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Pendamaian (Comission of Truth and Reconciliation) untuk menyiasat pelanggaran politik dan hak asasi manusia yang telah dilakukan oleh penyokong dan penentang apartheid dari 1960 ke 1994. Pada 1996, beliau juga telah memimpin pindaan perlembagaan Afrika Selatan baharu, yang menubuhkan kerajaan pusat baharu berdasarkan pemerintahan majoriti dan melarang diskriminasi terhadap minoriti termasuklah golongan berkulit putih.

Agenda utama Presiden Mandela berpusat pada memperbaiki hubungan antara kaum, mencegah pembalasan dendam golongan kulit hitam kepada kulit putih dan membina imej antaabangsa Afrika Selatan yang bersatu. Beliau telah mengundurkan diri daripada karier politik sejurus menghabiskan penggal pertama presiden pada 1999 dan beliau digantikan oleh timbalannya, Thabo Meki dari ANC.

Selepas meninggalkan jawatan nombor satu negara itu, Mandela masih kekal juara keadilan dan hak asasi manusia di negaranya sendiri. Beliau juga menubuhkan beberapa organisasi lain seperti Nelson Mandela Foundation, Nelson Mandela’s Children Fund dan The Elders, masing-masing mempunyai pengaruh dan peranan tersendiri.

Afrika Selatan mula berubah menjadi kuasa budaya pasca pemerintahan Mandela. Afrika Selatan menjadi tuan rumah Piala Dunia Ragbi pada 1995 – acara pertama diadakan di sana selepas pemboikotan sejak era apartheid. Ragbi (dan kriket) adalah sukan yang dinikmati eksklusif oleh minoriti golongan berkulit putih, menjadikan sukar untuk beliau menghebahkannya.

Di sinilah Mandela memberikan ucapan bersejarahnya, “Sukan mempunyai kuasa untuk mengubah dunia. Ia mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi” (Sport has the power to change the world. It has the power to inspire)

Lebih manis, Springboks (pasukan ragbi nasional Afrika Selatan) menjuarai piala dunia itu meskipun negara itu baru sahaja keluar daripada apartheid. Saat ini didokumentarikan melalui filem Invictus (2009) lakonan Morgan Freeman dan Matt Damon, menggambarkan pemulihan Afrika Selatan dan kembalinya negara itu ke laluan kejayaan di arena sukan.

Pada 5 Disember 2013, Mandela akhirnya meninggal dunia selepas menghabiskan tiga bulan terakhirnya di hospital kerana jangkitan paru-paru. Perjalanan kehidupan beliau boleh dijadikan sebagai teladan kepada kita; sesukar manapun perjalanan hidup kita, nescaya muncul jua sirna kejayaan di penghujung jalan itu.

RUJUKAN:

  1. HISTORY (2019), Nelson Mandela, https://www.history.com/topics/africa/nelson-mandela
  2. BBC (2013), Nelson Mandela death: The man who destroyed apartheid, https://www.bbc.com/news/world-africa-10524587
  3. NBC News (2019), 7 Ways Nelson Mandela Changed South Africa, https://www.nbcnews.com/news/world/7-ways-nelson-mandela-changed-south-africa-flna2D11702722

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pelajar sarjana muda kejuruteraan elektrik UiTM yang minat untuk menulis. Juga membangunkan LamAlifBa sebagai blog ilmiah. Menolak untuk menjadi seorang idealis. Berminat dengan ilmu.

Comments are closed.