Negeri Perlis Diasaskan Oleh Habib-Habib Jurai Jamalullail Dari Yaman

1,700
Perlis asalnya merupakan salah satu wilayah dalam kerajaan negeri Kedah Darul Aman. Kesultanan Kedah diasaskan sejak tahun 1136 dahulu lagi. Ini menjadikan Kesultanan Kedah merupakan antara Dinasti yang paling lama kekal memerintah hingga ke zaman kini. Pengasasan Kesultanan Kedah sangat berkait rapat dengan sejarah Ahlul Bayt Rasulullah iaitu Syeikh Abdullah al-Qumairy yang berasal dari Yaman.

Sepertimana Kesultanan Kedah, Kerajaan Perlis juga mempunyai sejarah pengasasan yang berkait dengan Ahlul Bayt Rasulullah. Kerajaan Perlis diasaskan oleh para Habib jurai Jamalullail yang berasal dari Tarim, Hadhramawt, Yaman. Para Habib ini bermazhab Syafie pada Fiqh, berakidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengikut manhaj Asyairah-Maturidiah dan bertarekat BaAlawi.

Jurai Jamalullail berasal dari Habib Muhammad al-Jamalullail bin Hassan al-Muallim bin Muhammad Asadullah bin Hassan al-Turabi bin Ali bin Muhammad al-Faqih Muqaddam bin Ali BaAlawi bin Muhammad Sahib Mirbath bin Ali Khali Qassam bin Alwi bin Muhammad Sahib Sumaah bin Alwi bin Ubaidillah bin Ahmad bin Isa al-Muhajir bin Muhammad bin Ali al-Uraidhi bin Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainul Abidin bin Hussein bin Ali bin Abi Talib dan Fatimah az-Zahra binti Muhammad Rasulullah.

Gelaran Jamalullail adalah berasal dari kalimah Arab, Jamal al-Layl yang bermaksud “Keindahan Malam”. Jamalullail merupakan gelaran bagi Habib Muhammad al-Jamalullail kerana beliau sangat suka menikmati keindahan malam dengan melakukan ibadah tahajjud. Salah seorang keturunan Habib Muhammad al-Jamalullail, iaitu Syed Ahmad bin Hussein bin Abdullah bin Aqil bin Abdullah bin Muhammad bin Salim bin Ahmad bin Abdul Rahman bin Ali bin Habib Muhammad al-Jamalullail berhijrah dari Hadhramawt, Yaman ke Kedah pada tahun 1735.

Pada tahun 1751, anak Syed Ahmad Jamalullail iaitu Syed Harun Jamalullail berhijrah ke Chenak, sempadan Kedah-Siam. Namun, oleh kerana tekanan dari Raja Siam, Syed Harun Jamalullail kembali ke Kedah lalu mengasaskan sebuah penempatan di Arau, Kedah. Syed Harun Jamalullail ini merupakan seorang ahli Sufi yang memiliki keperibadian yang soleh lagi warak. Beliau merupakan seorang ulama, pendakwah dan pedagang sepertimana para leluhurnya.

Sultan Dhiauddin Mukarram Syah II yang memerintah Kedah dan Perlis pada ketika itu amat memuliakan Ahlul Bayt Rasulullah ini. Baginda mengahwinkan salah seorang puterinya dengan Syed Harun Jamalullail. Bahkan, Sultan Dhiauddin Mukarram Syah II melantik Syed Harun Jamalullail sebagai penghulu yang pertama di Mukim Arau pada tahun 1797.

Perkahwinan Syed Harun Jamalullail dengan puteri Sultan tidak mewariskan zuriat. Oleh itu, beliau berkahwin pula dengan seorang lagi wanita bangsawan lalu dikurniakan seorang anak bernama Syed Hussein Jamalullail. Syed Hussein Jamalullail ini dianggap sebagai cucu angkat kepada Sultan Dhiauddin Mukarram Syah II kerana beliau dibesarkan di dalam istana dengan penuh adat istiadat.

Suatu ketika, kerajaan Siam telah menawan Kedah dalam siri Perang Musuh Bisik. Siam memisahkan wilayah Kedah menjadi empat wilayah berasingan yang dipanggil “Mueang”. Wilayah tersebut adalah Mueang Saiburi (Kedah), Mueang Kupangpasu (Darul Qiyam), Mueang Satun (Setul) dan Mueang Polit (Perlis). Dalam waktu kekalutan perang inilah Syed Harun Jamalullail meninggal dunia. Oleh itu, Syed Hussein Jamalullail mewarisi jawatan ayahnya sebagai penghulu Mukim Arau yang kedua pada tahun 1825.

Syed Hussein Jamalullail berdiri dibelakang kerabat Kesultanan Kedah iaitu Tunku Anum bersama ramai lagi bangsawan lain bagi melancarkan kempen Jihad melawan Siam. Mereka berusaha menyatukan semula wilayah-wilayah Kedah ini. Pada tahun 1839, Raja Siam melantik Syed Hussein Jamalullail menjadi Timbalan Gabenor bagi Mueang Polit sebelum kemudiannya beliau dilantik menjadi Gabenor Mueang Polit setelah gabenor sebelum ini mati.

Pada tahun 1842, setelah Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin bersetuju dengan syarat-syarat Raja Siam, wilayah Kedah dipulangkan semula dari tawanan Siam. Namun, wilayah Perlis tetap diasingkan dan tidak dipulangkan, sebaliknya Perlis diletakkan terus dibawah pentadbiran Raja Siam di Bangkok.

Pada tahun 1843, Raja Siam melantik Syed Hussein menjadi Phrya Polit (Raja Perlis) yang pertama dengan persetujuan Sultan Kedah. Maka bermulalah tradisi Raja-Raja Perlis menghantar ufti berbentuk bunga emas dan bunga perak kepada Raja Siam setiap 3 tahun bermula pada tahun 1845. Raja Syed Hussein Jamalullail menggelarkan negerinya sebagai Perlis Indera Kayangan. Pemerintah Perlis digelar Raja tidak seperti pemerintah Kedah yang digelar Sultan.

Keturunan Syed Hussein Jamalullail terus memerintah negeri Perlis sehinggalah ke hari ini. Golongan Syed dari pelbagai Jurai sama ada al-Jamalullail, al-Qadri, al-Atthas, al-Haddad, al-Saqqaf, al-Aydarus, al-Habshi, al-Khered, al-Jufri, al-Hamid, al-Kaff, al-Masyhur, al-Musawwa, al-Shatiri dan sebagainya sebenarnya begitu ramai di utara tanah air seperti di Kedah, Perlis, Pulau Pinang serta Perak. Kebanyakkan mereka berkahwin campur dengan para bangsawan tempatan.

Bahkan, ramai juga yang berkahwin dengan orang kebanyakkan sehingga melahirkan keturunan Wan dan sebagainya. Ada golongan Syed yang menghilangkan pangkal gelar nama ini kerana mereka diburu oleh penguasa Siam atau ingin hidup bersederhana tanpa gelaran tersebut.

Sebaliknya, ada juga golongan yang memiliki nama Syed yang bukan dari keturunan Ahlul Bayt. Ini kerana suatu ketika dahulu, sebahagian masyarakat menamakan anak mereka sebagai Syed apabila anak tersebut dilahirkan pada malam Jumaat yang dikenali sebagai penghulu segala hari (Sayyidul Ayyam). Para Saadah Alawiyin (Keturunan Keluarga Ahlul Bayt) selalunya akan menyimpan jurai nasab mereka untuk dirujuk oleh generasi terkemudian.

Sehingga kini, para ulama Habaib dari Tarim, Hadramawt masih mengekalkan tradisi untuk berziarah ke penempatan para Syed di utara tanah air. Bahkan, tradisi ini juga berlaku diseluruh Alam Melayu kerana sememangnya Alam Melayu ini ibarat rumah kedua bagi para ulama Habaib Yaman. Golongan al-Hadhrami (ulama Ahlul Bayt dari Hadhramawt) inilah yang membawa Islam ke Nusantara suatu ketika dahulu.

Sebahagian istana Raja-Raja Melayu seperti Kerajaan Johor, Perak, Terengganu, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan masih mengekalkan hubungan akrab dengan para ulama Ahlul Bayt sehingga kini. Ini kerana sudah menjadi tradisi sejak zaman dahulu bahawa ulama Ahlul Bayt menjadi Mursyid atau penasihat peribadi kepada para Sultan Melayu terutama ketika zaman menentang penjajah. Tidak dipastikan sejauh mana keakraban pihak Istana Kedah, Perlis dan Kelantan dengan para ulama Habaib kerana keterbatasan maklumat.

Sebarang perkongsian maklumat atau soal jawab, jemput follow penulis di : https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN
– 26 Mutiara Habaib Nusantara, Abdul Qadir Umar Mauladdawilah
– Perlis : Dari Jajahan Takluk Ke Negeri Berdaulat, Dato’ Yazid Mat & Dr. Hazman Hassan
– Salasilah Diraja, www.perlis[dot]gov.my

Ruangan komen telah ditutup.