Bayangkan anda berada di lapangan terbang. Anda sedang beratur untuk melepasi Kastam dan pasukan keselamatan. Tiba giliran anda, anda meletakkan bagasi anda ke dalam mesin pengimbas sinaran X. Tanpa perlu menyentuh bagasi anda, pegawai Kastam yang bertugas mampu menentukan isi kandungan bagasi anda dengan hanya menggunakan teknologi sinaran X. Sinaran X, merupakan salah satu daripada kaedah analisis yang dikenali sebagai Non-Destructive Testing, atau NDT.

Non-Destructive Testing (NDT), atau dalam Bahasa Melayunya Ujian Tak Musnah, merupakan salah satu cabang dalam Sains dan Teknologi di mana objek diuji tanpa keperluan untuk memusnah, merosakkan atau menyentuh objek yang ingin kita analisa. Disebabkan ia adalah suatu analisa, maka terdapat banyak kaedah yang mampu digunakan dalam proses analisa ini.

Figure 1: Antara contoh kegunaan radiografi di lapangan terbang adalah bagi mengelakkan bahan-bahan terlarang memasuki pesawat.

NDT dalam perubatan dan industri.

Industri minyak dan gas adalah merupakan penyumbang utama dalam membangunkan sektor industri di Malaysia. Berikutan daripada pembanguan sektor industri yang pesat, maka terbinalah berbagai-bagai loji dan sistem yang canggih. Ini termasuklah pembinaan loji-loji pemprosesan minyak dan gas, loji-loji kimia, petrokimia dan oleo kimia, loji-loji penapisan minya dan loji janakuasa elekrik.

Pada tahun 1984, masyarakat Malaysia telah menyaksikan bagaimana anak-anak tempatan telah terlibat secara langsung dalam pemasangan pipeline (PETRONAS Gas Utilization) sepanjang 1700 km bermula dari Loji Penapisan di Kerteh ke serata Semenanjung Malaysia. Pelbagai aktiviti bersskala besar yang belum dilihat sebelum ini telah menjayakan pembinaan saluran paip ini.  

Diantara teknologi yang terlibat secara langsung dalam projek ini ialah teknologi ujian tanpa musnah (nondestructive testing-NDT).  Dalam proses transformasi dari sebuah Negara pertanian kepada sebuah Negara industri Teknologi, NDT telah memainkan peranan yang amat besar bagi memastikan integriti komponen kejuruteraan berfungsi dengan sempurna tanpa memberikan risiko kemalangan yang tinggi kepada pekerja industri dan juga orang awam.

Dalam kes lapangan terbang kita tadi, sinaran X yang kita guna sebagai contoh tadi adalah apa yang dipanggil sebagai radiografi. Secara umumnya, penggunaan radiografi di Malaysia lebih tertumpu kepada industri (industrial radiography) dan juga radiografi perubatan (medical radiography). Antara contoh radiografi industri termasuklah pemeriksaan kekukuhan sesuat bahan setelah dikimpal serta semakan bagi melihat kecacatan sesuatu objek. Bagi perubatan pula, agak umum, kita menggunakan sinaran X atau sinaran Gamma bagi membolehkan kita mendapat imej dalaman bagi badan kita.

Figure 2: Antara contoh kecacatan yang mampu diperoleh daripada radiografi industri.

Buat masa ini, bilangan pengamal professional NDT Malaysia yang berkelayakan untuk melaksanakan  pemeriksaan NDT terhadap kimpalan-kimpalan dalam pelbagai komponen kejuruteraan masih diperingkat sangat sedikit. Jumlah pengamal yang terhad bagi memenuhi permintaan dari sektor industri telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pihak industri.  Keadaan ini telah mula disedari sejak sekian lama sehinggakan Kerajaan Malaysia telah mengambil inisiaatif untuk menubuhkan satu Skim Persijilan yang dikenali sebagai Sijil Kemahiran Malaysia-NDT (SKM-NDT) pada tahun 1989.   Sejumlah pelaburan yang tinggi telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan Skim ini dapat dilaksanakan dan terus berfungsi bagi memenuhi keperluan industri.  

Skim Kemahiran Malaysia-NDT telah dibangunkan berasaskan kepada standard antarabangsa iaitu ISO 9712 dan ianya mampu menghasilkan pengamal NDT yang setaraf kualitinya dengan pengamal NDT diperingkat antarabangsa yang mana rata-rata dilayakkan menurut skim persijilan yang juga berasaskan kepada standard ISO 9712. Bagi memastikan sistem SKM-NDT ini setaraf dengan Skim Persijilan antarabangsa yang lain,  Jabatan Pembangunan Kemahiran yang merupakan organisasi yang diberi tnggungjawab untuk melaksanakan skim persijilan  ini telah mengambil inisiatif untuk ditauliahkan menurut ISO 17024.  Jabatan Pembangunan Kemahiran selaku Badan persijilan Kebangsaan NDT telah pun dianugerahkan pentauliahan menurut 17024 oleh Jabatan Standard Malaysia pada bulan Oktober 2012.

Figure 3: Encik Muhammad sedang memeriksa peralatan NDT.

Selain sinaran X, satu lagi contoh aplikasi NDT dalam bidang perubatan adalah penggunaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dalam pengimejan perubatan. MRI, jika dibandingkan dengan sinaran X, adalah dianggap lebih ‘selamat’ dalam konteks radiasi, kerana sinaran X mendedahkan penggunanya dengan bahaya radiasi jika dibandingkan dengan MRI yang lebih kepada aplikasi medan magnet dengan tujuan untuk mendapatkan imej. Tambahan pula, gambaran imej yang dibina oleh MRI adalah lebih jelas jika dibandingkan dengan radiografi akibat sinaran X. Namun disebabkan kos MRI yang lebih mahal, sinaran X selalunya menjadi pilihan para pengamal perubatan, ditambah dengan keperluan perubatan yang lain.

Figure 4: Antara perbezaan imej yang didapati daripada sinaran X, CT-scan dan MRI.

Sekiranya objek yang kita ingin analisa akan terjejas akibat radiasi ataupun gelombang elektromagnet, salah satu pilihan lain yang ada adalah teknik analisa NDT yang dipanggil Ultrasound Testing (Ujian Ultrabunyi). Ujian ultrabunyi selalunya menjadi pilihan bagi ibubapa yang sedang menanti kelahiran anak mereka, di mana sebagai salah satu ujian tak musnah, doctor hanya perlu menggunapakai mesin sonar bagi melihat tumbesaran anak mereka, serta jantina anak mereka. Oleh kerana ultrabunyi menggunapakai gelombang bunyi, maka tiada risiko radiasi yang perlu dikhuatiri untuk bayi mereka

Figure 5:Contoh aplikasi ultrabunyi adalah dalam pengimejan bayi yang masih lagi berada dalam rahim.

Bagi aplikasi industri pula, ultrabunyi seringkali digunapakai dalam proses untuk menguji bahan-bahan besi, seperti paip, bagi melihat dan mengesan karat. Kaedah pengesanannya adalah agak unik, kerana di dalam ujian ultrabunyi, sekiranya berlaku kecacatan, akan berlakunya perubahan pada gelombang bunyi yang diberikan.

Kerjaya dalam NDT

Anak-anak tempatan kini amat digalakkan untuk menyertai kursus-kursus NDT yang ditawarkan oleh pusat-pusat latihan Kebangsaan NDT dan seterusnya menduduki peperiksaan dan memperolehi sijil kompetensi yang mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam pasaran pekerjaan pada hari ini. Aplikasi teknologi NDT dalam sektor minyak dan gas, sektor penerbangan, sektor otomobil, sektor pembinaan, sektor fabrikasi kejuruteraan dan sebagainya mewujudkan permintaan yang sangat tinggi terhadap  khidmat pemegang sijil NDT seperti radiografi, ultrasonik dan sebagainya.  Maklumat yang diperolehi dari industri menunjukkan masih ramai lagi pengamal NDT diperlukan bagi memenuhi keperluan industri yang sangat berhajatkan kepada teknologi ini bukan sahaja diperingkat pembinaan bahkan ianya berterusan sehingga keperingkat senggaraan sistem-ssitem kejuruteraan kritikal dan juga pembaik-pulihan loji-loji pemprosesan.

Rujukan:

NONDESTRUCTIVE TESTING METHODS AND NEW APPLICATIONS (2012). Mohammed Omar, IntechOpen

Fundamentals of Diagnostic Radiology (1994). William E. Brant, Clyde A. Helms, Lippincot Williams and Wilkins.

Artikel ini ditulis bersama Encik Muhammad bin Abd Nassir, RPO dari Syarikat Madani NDT Training Centre Sdn Bhd


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.