Angka sembilan amat sinonim dengan sebuah gerakan khusus. Pada zaman Ashoka (268-232 SM) misalnya, wujud sekumpulan sembilan lelaki misteri yang dilantik sendiri oleh Ashoka untuk mendalami sembilan bidang berbeza. Di Nusantara pula, pernah satu ketika masyhur dengan gerakan dakwah sembilan wali yang mengislamkan Tanah Jawa.

Perkara serupa turut berlaku di India pada era pemerintahan Maharaja Akbar (1542-1605). Akbar merupakan maharaja Mughal yang ketiga, mewarisi takhta daripada ayahandanya Humayun (1508-1556).

Boleh dapatkan dua buku terbaru kami di webstore: https://bit.ly/pratempahktmktr

Walaupun sejarawan mengesahkan yang Akbar menghidap disleksia dan buta huruf, minatnya terhadap ilmu sama sekali tidak luntur. Beliau bahkan mengasaskan beberapa buah khana (institusi) seperti ibadat khana (institusi penyelidikan) dan maktab khana (institusi sastera & penterjemahan) – seakan meneladani legasi Bayt al-Hikmah (Baghdad), Qarawiyyin (Maghribi), Timbuktu (Mali), dan al-Andalus (Cordoboa).

Demi meniti kegemilangan dalam bidang keilmuan, kebudayaan, dan keten.teraan, Akbar mendampingi sembilan cendekiawan yang dikenali oleh sejarah sebagai navaratna (sembilan permata). Sembilan individu inilah yang menjadi tulang belakang kepada Empayar Mughal pada era Akbar dan artikel kali ini ingin membawa kita mengenali serba-serbi setiap seorang dari mereka.

1 – Abul-Fazl ibn Mubarak: Sejarawan Yang Menulis Hikayat Akbarnama

Abul-Fazl (1551-1602) merupakan ilmuwan merangkap wazir tertinggi di istana Maharaja Akbar. Jadi, peranan dan sumbangannya memang besar. Dialah yang menterjemah Bible ke dalam bahasa Parsi. Dia jugalah yang mentintakan riwayat baginda ke dalam hikayat tiga jilid berjudul Akbarnama.

Mengimbau biografinya, Abul-Fazl memang membesar dengan baik. Bapanya seorang ulama’. Gurunya juga banyak. Cuma setelah menginjak usia belia, dia sempat mengalami tekanan jiwa, sebelum dibantu seorang sahabatnya yang bernama Badauni.

Bersama Badauni, Abul-Fazl kemudiannya berbakti di Fatehpur Sikri – ibu kota baru Empayar Mughal. Ketika itu, usianya baru 23 tahun. Tetapi, bakat melebihi segalanya. Jadi, kedua-dua mereka pun dipilih berkhidmat untuk Akbar di istana.

Namun makin lama, haluan masing-masing makin berbeza. Abul-Fazl cenderung berfikir bebas. Badauni pula seorang Sunni yang ikhlas. Jadi, tempat mereka di samping Akbar jelas ketara. Abul-Fazl lebih akrab di sisi Akbar, terutama disebabkan kecenderungannya terhadap Din-i-Ilahi – ajaran sinkretisme (campur-aduk) yang diperkenalkan oleh Akbar.

Apapun, Abul-Fazl tidak hanya berbakti dalam bidang sastera. Dia juga berjasa dalam hal ekonomi, politik, dan budaya. Di samping itu, dia juga berminat dalam bidang keten.teraan. Khususnya semasa dia diutus oleh Akbar pada 1599 untuk menggantikan Putera Murad yang gering (lalu mangkat) sewaktu mengetuai pasukan ten.tera.

Tetapi malang, tiga tahun kemudian, dia pula yang menemui ajal. Pada usia 51 tahun, Abul-Fazl ma.ti dibunuh oleh orang upahan Putera Salim (kelak bertakhta sebagai Maharaja Jahangir). Pembu.nuhan ini ekoran bantahannya terhadap pencalonan Salim sebagai putera mahkota, yang ternyata, membawa padah ma.ut pada dirinya.

Navaratna (ikut arah jam); Birbal, Abdul Rahim, Faqir Aziao-din, Raja Man Singh, Mian Tansen, Raja Todar Mal, Mullah do Piyaza, Faizi, dan Abul-Fazl

2 – Mian Tansen: Penggubah Muzik Istana

Tansen atau nama sebenarnya, Ramatanu Pandey (1502-1586), merupakan salah seorang penyair dan pemuzik paling dihormati di istana Akbar. Khidmatnya berlangsung selama 24 tahun, bermula dari 1562 hingga 1586.

Sama seperti Abul-Fazl, Tansen juga dididik oleh bapa (Mukund Pandey) dan guru (Swami Haridas) yang hebat.

Cuma menurut legenda, dia sebenarnya lahir dalam keadaan lain upaya – iaitu bisu dan pekak. Keadaan itu katanya pulih setelah dia dibawa berjumpa dengan seorang ulama bernama Mohammed Ghouse. Benar atau tidak legenda ini, hanya Tuhan sahaja tahu. Namun apa yang pasti, melalui Sheikh inilah Tansen memeluk Islam.

Sebelum berkhidmat untuk Mughal, Tansen terlebih dahulu berada di istana Gwalior milik Raja Vikramjit. Ketika itulah dia diberi gelaran Tansen.

Kemudian, setelah bakatnya diketahui ramai, keluar ‘firman’ daripada Akbar yang menuntut Vikramjit supaya menyerahkan Tansen. Sebagai pemerintah bawahan, Vikramjit perlu akur. Justeru, Tansen pun berpindah ke istana Mughal dan di saat itulah dia dikurniakan gelaran Mian.

Menurut Abul-Fazl dalam Ain-i-Akbari, bayaran untuk persembahan pertama Tansen di istana Mughal adalah sebanyak 2 juta rupee. Dia memang banyak menyumbang dalam hal sastera, dengan dua karya utamanya berkaitan muzik ialah Rajmala dan Sangeeta Sara.

Walaupun lahir sebagai Hindu (justeru karyanya juga banyak elemen Hindu), Tansen sempat memeluk Islam dan mengubah nama kepada Muhammad Ata Khan. Makamnya didirikan di Gwalior, berhampiran makam guru rohaninya, Mohammed Ghouse.

Mian Tansen (tengah) ketika berguru dengan Swami Haridas (kanan)

3 – Raja Birbal: Penasihat Utama Dalam Hal-Ehwal Hindu

Raja Birbal dilahirkan pada 1528 di Madhya Pradesh. Nama sebenarnya ialah Mahesh Das. Sebelum bertemu Akbar, dia terlebih dahulu berbakti untuk Raja Ram Chandra di Rewa.

Kefasihannya berbahasa Hindi, Sanskrit, dan Parsi banyak memberi kelebihan. Tambahan, dia sendiri merupakan penganut aliran Brahmin yang justeru, membekalinya kefahaman yang mendalam tentang selok-belok agama Hindu.

Bagi Akbar sendiri, Birbal merupakan antara individu terawal yang diambilnya bagi mendirikan Maktab Khana (institusi kesusasteraan). Iaitu, pada tahun 1556 di usia 28 tahun. Enam belas tahun kemudian, dia dikurnia gelaran Kavi Raj (Raja Pemuisi) dan seterusnya Raja Birbal (Raja Pahlawan).

Di istana, Birbal merupakan sahabat merangkap penasihat utama Akbar – khususnya yang berkait hal-ehwal Hindu. Ini lantaran dia merupakan satu-satunya orang Hindu yang menganut Din-i-Ilahi.

Sepanjang 30 tahun berkhidmat, Birbal turut menggalas peranan sebagai panglima pe.rang. Dia pernah menyertai kempen ke Gujerat. Dia juga pernah mengetuai misi menyelamat (ketika Husain Quli Khan diserang oleh Hakim Mirza).

Namun pada usia 61 tahun, segalanya berakhir. Birbal terko.rban dalam pe.rang. Ketika itu, dia dihantar oleh Akbar untuk membantu Zain Khan menangani pemberon.takan suku Yousafzai di Afghan.

Dalam perjalanan, Birbal perlu mengharungi lereng sempit di Lembah Swat. Tepat di lereng inilah dia dan 8,000 orang ten.teranya dise.rang hendap. Pasukan Birbal tewas. Dia sendiri terbu.nuh, tanpa jasadnya dapat dijumpai.

Kema.tian Birbal memang memberi kesan besar buat Akbar. Dikhabarkan, Akbar sampai tidak lalu makan selama dua hari. Ini tidak menghairankan. Birbal merupakan antara sahabatnya yang paling akrab. Menurut Monserrate, dalam kalangan penasihat Akbar, ada tiga orang sahaja yang tidak pernah membangkitkan kemurkaannya. Mereka ialah Tansen, Birbal, dan Faizi.

4 – Faizi: Sasterawan Pengarang ‘Layla-Majnun’ India

Faizi atau nama penuhnya, Abu al-Faiz ibn Mubarak dilahirkan di Agra pada 1547. Dia merupakan abang kepada Abul-Fazl, pengarang Akbarnameh.

Ketika berusia dua puluh tahun, Faizi dijemput untuk berkhidmat di istana Akbar. Pada mulanya, dia enggan menerima tawaran tersebut. Sebabnya, Akbar selalu menghu.kum bapanya, Shaikh Mubarak lantaran perbezaan pandangan dalam agama.

Namun, Faizi akhirnya akur. Justeru, bermulalah kariernya di Fatehpur Sikr yang tidak berapa lama, disusuli pula oleh adiknya.

Di istana Akbar, dia dilantik sebagai pengasuh tiga orang putera – Salim, Murad, dan Daniyal, di mana nanti Salim yang naik takhta sebagai Jahangir. Pada tahun 1588 pula, dia dilantik sebagai ketua penyair istana. Tiga tahun kemudian, tugasannya bertambah menjadi duta dan pernah dihantar ke Khandesh, Ahmednagar, dan Deccan.

Sumbangan Faizi yang paling utama bagaimana pun adalah dalam bidang sastera dan penterjemahan. Antara karya terjemahannya ialah Yoga Vasishta (teks falsafah karangan Valmiki) dan Lilavati (teks matematik oleh Bhaskaracharya).

Dalam bidang sastera pula, Faizi sempat mengarang lebih seratus karya berkait puisi. Himpunan puisinya (divan) dikenal sebagai Tabashir al-Subh. Ia memuatkan ratusan qasidah, ghazal, dan ruba’ie (puisi empat rangkap).

Namun antara semua, karya Faizi yang paling diraikan ialah Markaz ul-Advar (Pusat Bulatan) Nal o Daman (penceritaan semula epik romantis Nala dan Damayanti karangan Sriharsha pada kurun ke-12). Penceritaan Nal o Daman oleh Faizi banyak diilhami oleh karya masyhur Nizami Ganjavi, Layla Majnun, namun turut mengekalkan elemen kebudayaan India.

Faizi juga mengarang tiga karya besar lain, berjudul Sulaiman o Bilqis (Sulaiman dan Balqis), Haft Kishvar (Tujuh Petala Bumi), dan Akbarnameh. Namun, ketiga-tiga karya ini tidak sempat disiapkan lantaran dia dise.rang penya.kit asma sekembali dari lawatan ke Deccan pada tahun 1595. Jenazahnya disemadikan di Agra, sebelum dipindahkan ke Sikandara.

Pertemuan Nala dan Damayanti, epik romantis yang diceritakan semula oleh Faizi dengan nilai-nilai sufi

5 – Abdul Rahim Khan-i-Khana: Penyair Andalan

Abdul Rahim dilahirkan pada 17 Disember 1556 sebagai anak kepada Bairam Khan, pengasuh maharaja Akbar. Selepas kehilangan bapa pada usia empat tahun, dia dibela dan dibesarkan di istana.

Ini membolehkan Abdul Rahim mendaki kedudukan dan seterusnya dikahwinkan dengan seorang kerabat bernama Mah Banu. Ibunya sendiri kemudian diambil sebagai isteri kedua Akbar, sekali gus menjadikan Abdul Rahim anak tiri kepada maharaja.

Semasa hayatnya, Abdul Rahim dikenali dengan peribadi dermawan. Setiap kali menderma, Abdul Rahim akan menghulurkan tangan sambil menundukkan pandangan.

Tabiat ini pernah ditanyakan oleh Tulsidas (penyair ulung Hindi) di dalam sepucuk surat, “Hai petinggi, mengapa tuan menderma begini? Tangannya tinggi sementara pandangan tuan membumi?” Surat tersebut kemudian dibalas, “Hai penyair yang dihormati, tidak ada pemberi selain Ilahi. Dialah yang memberi sepanjang hari. Justeru mataku membumi, supaya bukan aku yang mereka puji.”

Walaupun dilahirkan sebagai Muslim, Abdul Rahim turut memuji (dewa) Krishna dan mengabadikan sejumlah puisi untuknya. Dia juga mengarang dua karya astrologi berjudul Khet Kautukam dan Dwawishd Yogavali, di samping menterjemahkan Baburnameh (memoir Babur, pengasas Empayar Mughal) ke dalam bahasa Parsi.

Sememangnya, Abdul Rahim fasih berbahasa Parsi, Turki, dan Hindi. Puisi-puisinya dikarang dalam tiga bahasa tersebut. Dan sama seperti Raja Birbal, Abdul Rahim turut berkecimpung dalam medan bahasa dan ten.tera – di mana dia ikut menyertai penak.lukan Gujerat, Sind, dan Deccan.

Khidmatnya berpanjangan sehingga era Jahangir. Cuma, pada era ini ramai yang disingkir. Dua orang puteranya adalah antara mereka yang dibu.ru dan dibu.nuh lantaran membantah penabalan maharaja baru. Abdul Rahim sendiri bagaimana pun sempat berkhidmat sehingga akhir hayat, iaitu pada tahun 1627 – tahun sama Jahangir mangkat. Jenazahnya dikebumikan di Nizamuddin.

6 – Mullah do Piyaza: Penasihat Yang Cerdik

Antara kesemua naravatna, identiti Mullah do Piyaza (1527-1620) adalah yang paling diragui. Ini kerana nama tersebut tidak muncul dalam mana-mana catatan era Mughal. Ia hanya hadir pada lewat kurun ke-19 menerusi karya Hafiz Mahmood Shirani.

Apapun, Mullah selalu disifatkan sebagai saingan buat Raja Birbal – sesuai dengan kecerdikan yang dimiliki oleh kedua-duanya. Ada satu kisah yang sering diceritakan bagi menggambarkan kepintaran Mullah.

Kisah ini berlaku ketika Mullah selesai menghadap maharaja Akbar di istana. Dalam perjalanan pulang, sekeping syiling tembaga terjatuh dari sakunya. Itu adalah satu-satunya wang yang dimiliki Mullah ketika itu. Jadi, dia pun mencarinya dengan bersungguh.

Hal itu disaksikan oleh seorang anggota istana lain, yang lantas melaporkannya kepada Akbar, “Hai paduka, lihat Mullah itu. Buruk sekali perilakunya – paduka sudah mengurniakan kemewahan, tetapi dia masih juga mencari sekeping syiling tembaga.”

Sindiran itu pantas dijawab, “Hai paduka, sahabat saya tersilap anggap. Patik mencari syiling itu bukan kerana nilainya, tetapi kerana wajah paduka yang ada padanya. Patik khuatir akan ada yang memijak syiling itu tanpa sengaja, jadi patik pun cuba mencarinya sehingga jumpa.”

Dek kerana bersenang hati dengan jawapan itu, Akbar pun menanggalkan cincin berlian yang menghiasi jarinya lalu menghadiahkannya kepada Mullah. Memang bijak. Duit syiling yang hilang dapat dijumpa. Maruahnya dapat dibela. Kedudukan di sisi maharaja pun dapat dijaga, sampai menerima kurnia.

Fatehpur Sikri, pusat pemerintahan Maharaja Akbar

7 – Raja Todar Mal: Menteri Kewangan & Pertanian

Raja Todar Mal (1500-1589) dilahirkan di Laharpur (kini Uttar Pradesh) sebagai penganut Hindu berkasta Kshatriya. Latar belakangnya agak sederhana, dengan bapanya mening.gal dunia saat dia masih kecil.

Sebelum memasuki istana, Raja Todar Mal merupakan seorang penulis. Setelah bakatnya disedari, dia pun dijemput berkhidmat untuk Sher Shah Suri. Antara tugasan awalnya ialah membina kubu Rohtas di Punjab bagi menyekat se.rangan suku Ghakkar, di samping ia turut berfungsi sebagai penampan di barat laut Mughal.

Antara kesemua navrata, Raja Todar Mal adalah satu-satunya yang berkhidmat untuk tiga generasi – Sher Shah Suri, Islam Shah Suri, dan Akbar. Sepanjang berbakti untuk Dinasti Suri (dinasti yang meram.pas kuasa dari Humayun buat seketika), Raja Todar Mal banyak mengendalikan hal-ehwal tanah dan kewangan.

Pengalaman ini justeru membuatkan dia dilantik menggantikan Khwaja Malik Itimad sebagai menteri kewangan Akbar pada tahun 1560. Antara sumbangannya termasuklah menyeragamkan ukuran berat dan jarak, memperbaharui sistem percukaian (disebut dahsala), dan memperkemas sistem pemantauan tanah pertanian (disebut  zabti).

Raja Todar Mal amat cekap dalam tugasannya sampaikan pernah ketika dia mengambil cuti untuk mengunjungi Haridwar (satu dari tujuh bandar suci Hindu), Akbar mengirimnya sepucuk surat yang berbunyi, “Kan lebih baik berbakti kepada dunia berbanding bercuti untuk (melakukan) perjalanan suci.”

Malah, sejarawan juga mencatatkan betapa Akbar melarang Raja Todar Mal dari bersara – hinggakan dia terus berkhidmat sehingga  penghujung nyawa, iaitu di usia 89 tahun.

8 – Raja Man Singh: Panglima Tertinggi

Raja Man Singh dilahirkan di Amber (Jaipur) pada tahun 1550 sebagai putera kepada Raja Bhagwant Das (penguasa Kachwaha). Dia muda lima tahun berbanding Akbar dan mula berkhidmat pada usia 17 tahun.

Berikutan latar belakangnya yang unggul, Raja Man Singh diberi kepimpinan ke atas pasukan ten.tera Mughal. Dia terlibat dalam sejumlah 67 buah pertem.puran, termasuklah di Mewar (1576; menen.tang Maha Rana Pratap), Kabul (1580; menangani pembero.ntakan Mirza Hakim), Afhan (1585; menangani suku Yousafzai), dan Orissa (1590; menak.luk Sultan Qatlu Khan).

Selepas kema.tian bapanya pada 1589, Raja Man Singh mewarisi mansab (kepimpinan) ke atas 5,000 ten.tera kavalri dan jumlah ini dinaikkan kepada 7,000 orang – jumlah paling tinggi untuk seseorang panglima.

Kedudukan Raja Man Singh di sisi Akbar sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Pada tahun 1587, dia pernah diajak untuk menganut Din-i-Ilahi. Namun, dia secara jelas menolak dan mengatakan yang dia lebih rela menganut agama Islam jika itu yang diperintahkan oleh Akbar.  Dia juga ditugaskan oleh Akbar untuk menjadi pengawal peribadi Khusrau, putera sulung Jahangir.

Raja Man Singh bermain gusti dengan Maharaja Akbar

Selepas kemang.katan Akbar, Raja Man Singh terus berkhidmat untuk Jahangir walaupun sebelum itu dia menen.tang keras pemahkotaannya. Lantaran pengaruh Raja Man Singh yang besar, Jahangir tidak mengapa-apakannya – tidak seperti yang dilakukan terhadap keluarga Abdul Rahim.

Dia sekadar dihantar ke Bengal untuk menjadi gabenor yang justeru, memisahkannya dengan Khusrau dan segala urusan rasmi di ibu kota. Raja Man Singh mening.gal dunia di sana pada tahun 1614 akibat sa.kit tua dan kedudukannya diambil-alih oleh puteranya, Raja Bhau Singh.

9 – Fakir Aziao Din: Mentor Rohani

Azio Din (1508-1572) merupakan naravatna yang paling kurang dikenali. Ini rentetan peribadinya yang lebih banyak bersendiri – sekadar berada di sisi Akbar sebagai mentor rohani, persis Muhammad al-Fateh didampingi oleh Syeikh Samsuddin al-Wali.

Walaupun kurang dikenali, hakikat namanya tersenarai sebagai salah seorang daripada sembilan permata Istana Mughal sudah cukup untuk mencerminkan keulungannya dalam membantu Akbar meneruskan kegemilangan Mughal.

RUJUKAN:

Tauseef, Khadija. (2021, 22 July). The Navratnas: Nine Jewels of Emperor Akbar’s Mughal Court. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.