Apabila membaca sejarah Vietnam, negara ini seperti ‘China di Asia Tengara’ kerana teramat banyak dinasti yang bergilir memerintah Vietnam sejak Zaman Besi lagi. Perang sivil juga kerap berlaku setanding Zaman Tiga Kerajaan China namun perang sivil Vietnam ini tidaklah sepopular yang disangka.

Pada 111 SM, Empayar dinasti Han menggulingkan kerajaan Nam Việt (Vietnam yang diperintah oleh dinasti kuno bernama Triệu) dan membahagikan tanah Vietnam kepada 3 negeri: Giao Chỉ (kawasan delta Red River), Cửu Chân dan Nhật Nam. Walaupun Vietnam diambil alih pemerintahannya kepada para gabenor dan pegawai atasan China, namun para bangsawan Vietnam masih berkhidmat untuk urusan pentadbiran dan hal ehwal kaum mereka.

Pada 40 M, pasangan adik-beradik perempuan Trưng (Trưng Sisters) melakukan pemberontakan bagi melawan Empayar Han dengan menggulingkan pemerintahan gabenor bernama Su Dung, sekaligus dapat merampas kembali 65 buah daerah dari tangan Han. Trưng Trắc, kakak dari adik beradik Trưng melantik dirinya menjadi Ratu Trưng Nữ manakala adiknya iaitu Trưng Nhị menjadi pegawai pentadbir kerajaan baru mereka.

3 tahun memerintah, Maharaja Guangwu dari Empayar Han menghantar jeneral terhandal, Ma Yuan dan tenteranya untuk mematahkan pemberontakan Vietnam. Setelah lama berperang, Ma Yuan berjaya menghentikan pemberontakan itu. Atas kekalahan para pemberontak Vietnam, adik-beradik Trưng membunuh diri dengan melemaskan diri di Sungai Hat Giang bagi mengelakkan mereka ditangkap tentera Han. Pengorbanan adik-beradik ini menjadikan mereka sebagai srikandi nasionalisme bagi wanita Vietnam.

Bagi mengelak sebarang pemberontakan Vietnam berlaku di masa akan datang, jeneral Ma Yuan bertindak menghapuskan segala tradisi dan budaya Vietnam dan memaksa orang Vietnam untuk mendalami budaya China. Maharaja China dari dinasti seterusnya berusaha menghapuskan kuasa para bangsawan Vietnam dengan menghantar mereka ke China untuk mempelajari politik dan budaya China.

Gabenor wilayah Wu iaitu Shi Xie dihantar oleh pentadbir Empayar Han ke tanah Vietnam pada 187 M untuk memerintah di sana dengan jawatan sebagai panglima perang selama 40 tahun. Pada tahun 225, pemberontakan sekali lagi bangkit dipimpin oleh srikandi bernama Triệu Thị Trinh yang terkenal dengan nama Lady Triệu. 23 tahun Lady Triệu berjuang, akhirnya pemberontakannya dihentikan oleh tentera China dan dia terjun ke sungai bagi mengelak dirinya ditangkap.

Pada tahun 554, China berhadapan lagi dengan pemberontakan oleh bekas pegawai daerah bernama Lý Bôn dan pewarisnya iaitu Triệu Quang Phục, kemudian berjaya menghalau tentera China. Lý Bôn menubuhkan dinasti baru iaitu Dinasti Lý Awal dan menamakan tanah yang ditakluknya sebagai Vạn Xuân yang bermaksud ‘musim bunga berkekalan’. Tahun 602 adalah tahun terakhir pemerintahan Dinasti Lý Awal kerana Dinasti Sui China telah berjaya menggulingkannya.

Sekian lama China memiliki Vietnam, pada tahun 905 puak Khúc bersama seorang pegawai daerah utara Vietnam, Dương Đình Nghệ berjaya menakluk keseluruhan Vietnam dan menjadikannya sebagai kerajaan autonomi dalam usaha memerdekakan Vietnam dari kekuasaan China.

Tahun 938, kerajaan Han Selatan menghantar tenteranya untuk kempen menakluk Vietnam. Ngô Quyền iaitu menantu Dương Đình Nghệ berjaya menumpaskan bala tentera Han Selatan dalam Perang Bạch Đằng. Dari kemenangan Ngô Quyền, berakhirnya hampir 1,000 tahun penguasaan China terhadap Vietnam dan beliau menubuhkan Dinasti Ngô dan melantik dirinya sebagai maharaja Vietnam, seterusnya bermulanya era kemerdekaan Vietnam.

Walau bagaimanapun, China tidak berputus asa lagi untuk memiliki Vietnam. Pada 979, Raja Đinh Tiên Hoàng (pemerintah dari Dinasti Đinh) dan pewaris puteranya telah dibunuh, meninggalkan putera bongsu Đinh Toàn yang berusia 6 tahun sebagai pewaris tunggal dinasti ayahandanya. Apabila peristiwa ini diketahui oleh maharaja Dinasti Song dari China, baginda menghantar bala tentera menawan Vietnam. Risau akan kemaraan tentera Song, komander perang iaitu Lê Hoàn lekas mengambil takhta dan menubuhkan dinasti baru bernama Lê Awal. Kemudian baginda bersama tentera Vietnam berjaya menyekat kemaraan tentera Song dengan pembunuhan komandernya. Sekali lagi Dinasti Song China gagal menguasai Vietnam.

Masuk ke Dinasti Lý (1009 – 1225), perang dinasti Song – Lý berlangsung pada 1075. Tentera Lý menyediakan bala tentera seramai 100, 000 orang untuk hadapi sebarang invasi China bakal berlaku. Keputusannya, tentera Lý berjaya tumpaskan 3 pasukan tentera Song yang berpusat di tiga buah negeri China. Setahun kemudian, Song membalas dendam atas kekalahannya namun serangannya masih dapat dipatahkan di kawasan Sungai Như Nguyệt yang bertempat di negeri Bắc Ninh.Akhirnya kedua-dua kuasa ini melakukan gencatan senjata.

Ketika Dinasti Trần (1225 – 1400) berlangsung, China berada dalam kekuasaan kaum Mongol dan menubuhkan Dinasti Yuan. Ketika pemerintahan Kublai Khan, mereka mengadakan kempen penaklukan terhadap Vietnam atau Annam. Kekuatan tentera Mongol amat besar dengan jumlah sekitar 300,000 hingga 500,000 orang.

Sudah tentu mereka mudah menakluk Vietnam namun tentera Trần bijak mengatasi lawannya. Tentera Trần mengosongkan kota yang biasa tentera Mongol jadikan sebagai medan perang dan memaksa musuh berlawan di kawasan paya dan sungai. Akibat dari peperangan ini, tentera Mongol sengsara dihinggap penyakit tropika dan dijarah teruk oleh tentera Trần. Tahun 1288, tentera Trần berjaya menghalau tentera Mongol dalam Perang Bạch Đằng.

Pada 1407, Dinasti Ming di China muncul menakluk Vietnam yang diperintah oleh dinasti Hồ (1400 – 1407) bagi membantu kerabat diraja Trần kembalikan takhtanya. Namun, tiada siapa pewaris yang layak meneruskan Dinasti Trần, jadi Vietnam diserap masuk menjadi salah satu negeri Ming.

Pada 1418, seorang petani kaya bernama Lê Lợi memulakan kebangkitan rakyat Lam Sơn (negeri kediamannya) menentang tentera Ming. Dari kebangkitan itu, para pemberontak berjaya mara ke utara dan membedil Hanoi yang dijajah oleh Ming.

Ibu kota Ming menghantar bantuan ketenteraan namun Lê Lợi bijak membatalkan bantuan tersebut dengan perang gerila sehingga membunuh komander Ming bernama Liu Shan. Atas kekalahan teruk Ming di Hanoi, tenteranya menyerah kalah. Tahun 1428, Lê Lợi diangkat menjadi raja baru menubuhkan Dinasti Hậu Lê.

Sejak kegagalan Ming pertahankan jajahan Vietnam, tiada lagi kempen penaklukan dari China. Vietnam di akhir pemerintahan dinasti iaitu Dinasti Nguyễn jatuh di tangan penjajah Perancis dan menjadikan Vietnam sebagai Indochina, tanah koloni Perancis.

RUJUKAN:

Coedes, G.; Cœdès, George (1966). “The Making of South East Asia”. University of California Press

Dardess, John W. (2012). Ming China, 1368–1644: A Concise History of a Resilient Empire. Rowman & Littlefield. ISBN 1442204907. Retrieved 6 May 2019.

Forbes, Andrew, and Henley, David: Vietnam Past and Present: The North (History of Hanoi and Tonkin). Chiang Mai. Cognoscenti Books, 2012.

Kiernan, Ben (2017). Viet Nam: A History from Earliest Times to the Present. Oxford University Press.

Taylor, Keith Weller (1991). “The Birth of Vietnam”. University of California Press


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.