Nasihat Percintaan Tidak Berkesan, Mengapa?

750

Selalunya bila kita terdengar yang kawan kita atau ahli keluarga kita sedang bersedih kerana patah hati atau kecewa dalam perhubungan, kita terus hendak mengambil tindakan membantu. Membantu itu bagus sekali sebab ia salah satu dari bentuk sedekah yang terpuji disisi islam, namun adakalanya membantu itu sendiri tidak efektif pada seseorang.

Barangkali niat sudah baik namun cara atau langkah yang kita lakukan itu tidak sejajar dengan ilmu yang betul.

Dalam hal putus cinta, perceraian, putus tunangan dan yang seumpama dengannya selalu berlaku pada orang di sekeliling kita. Bagaimana pertolongan yang sepatunya kita hulurkan? Tentu ini yang menjadi tanda tanya sebahagian orang. Maka sebahagian besar orang memberikan bantuan dengan cara masing-masing yang dirasakan sesuai.

Sebagai contoh, kita bersungguh-sungguh hendak memberikan jalan keluar yang bersifat “ekspres” (pantas) sebab kita sayangkan kawan atau ahli keluarga kita itu. Ya, siapa yang tidak sayangkan orang terdekat yang sedang berdukacita.

Namun dengan cara yang tidak sesuai kadangkala mengundang kesedihan yang bertimpa-timpa untuk jangka masa panjang meskipun si dia mengukirkan senyuman saat bersama dengan kita.

Makanan segera, kekayaan segera, kurus segera dan apa jua bentuk yang menjanjikan atau menginginkan kesegeraan ini selalunya hanya bersifat sementara sahaja. Lama kelamaan kesan yang negatif akan timbul juga.

Kalau makanan segera kesannya sakit berkaitan organ dalaman badan, kalau kekayaan segera kesannya jadi penipu dan tidak halal (scammer), kalau kurus segera pula mendatangkan risiko kematian akibat ditipu dengan produk palsu.

Saya masih teringat semasa saya putus cinta sebelum ini, kawan baik saya cepat-cepat ajak saya beli tiket wayang dan menonton filem Black Panther, masa itu kawan saya sangka selepas menonton filem aksi begitu saya terus boleh melupakan pasal pasangan saya. Ternyata tidak pun, ia cuma kegembiraan yang terpaksa dan kelat untuk mengukir wajah senyuman sepanjang saya berada di panggung wayang.

Sebenarnya ramai sahaja alami situasi macam ini, kawan-kawan ada niat yang baik untuk bantu kita tetapi seringkali tidak sesuai dengan keadaan kita yang baru sahaja mengalami perasaan yang sangat mandalam kesedihannya.

Kita hanya mahu menangis, meluahkan, termenung dan merasai kesakitan itu buat seketika waktu. Bukannya keluar berjalan dan berlakon seakan-akan gembira.

Orang sekeliling kita selalunya akan ajar kita bagaimana nak menghilangkan kedukaan tersebut dengan cara berpesta, olok-olok bahagia, senyum walau rasa taknak senyum, menjerit sekuat hati atas tempat yang tinggi kononnya itu boleh melegakan perasaan, menghabiskan masa dengan melepak dengan kawan, berkaraoke dan sebagainya. Ini semua Nampak seperti seronok walhal keseronokan ini semua tidak mampu pun membuatkan hati kita terawat dengan lebih baik dari semasa ke semasa.

Semakin kita menafikan perasaan sedih, duka dan kecewa semakin kita menjarakkan diri kita dari menjadi ‘human being’ (manusiawi) atau mengecapi makna kehidupan yang lebih bernilai di kemudian hari. Jika lihat dari perspektif islam, keredhaan tentang ujian yang berlaku akan membuatkan seseorang hamba Allah swt itu mengecapi pandangan hikmah dikemudian hari. Disitulah peranan redha dan syukur.

Jika dari perspektif psikologinya pula saya teringat kepada seorang tokoh psikologis yang bernama Susan David pengarang kepada buku “Emotional Agility” ketika beliau menyampaikan syarahan di sebuah rancangan Ted-Talk berkenaan dengan tajuk “The Gift and Power of Emotional Courage” yang mana beliau membahaskan tentang peranan emosi itu sendiri dalam diri seseorang.

Kita selalu ingin menafikan perasaan sedih, duka lara, sengsara dan kekecewaan kerana masyarakat menganggap itu semua adalah teruk untuk dilalui walhal dari segi saintifiknya kemampuan untuk melabel emosi negatif adalah sangat digalakkan kerana ini akan membantu seseorang itu untuk belajar membingkaikan semula diri mereka, menyedari keadaan dan berkemampuan untuk mengecapi kesejahteraan untuk jangka masa panjang.

Menafikan perasaan negatif akan menyebabkan kita lebih lama terperangkap dan tidak mampu untuk bergerak ke hadapan. Terperangkap dalam emosi yang celaru dan keliru, kerana kita berlakon seperti gembira sedangkan kita menahan emosi sedih yang terpendam dan tidak terlerai dengan cara yang harmoni.

Ini mengingatkan bagaimana peristiwa Nabi Muhammad saw yang mana ketika baginda menyaksikan kematian dan pengurusan jenazah anak kesayangan Ibrahim maka baginda pun menangis dan mengalirkan air mata seperti hadis ini :

العَيْنُ تَدْمَع، وَالْقَلْبُ يَحْزَنُ، ولا نَقُولُ إِلَّا مَا يُرْضِى الرَّبُّ، وَإْنَّا عَلَيْكَ يَا إِبْرَاهِيم لَمَحْزُونُون

Maksudnya: “Mata mengalirkan airnya, hati begitu sedih dan kami tidak kata kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan. Dan sesungguhnya kami atas perpisahanmu hai Ibrahim begitu sedih.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Meskipun baginda mengalirkan airmata dan bersedih secara normal namun baginda masih mengamalkan adab-adab berdukacita sebagaimana yang disyarahkan oleh pensyarah kitab hadis ini :

Rasulullah SAW menasihatkan ummahnya hatta dalam hal menta’zimkan manusia dalam perkara kematian anaknya (puteranya bernama Ibrahim) di mana Baginda tidak mengiyakan saki-baki amalan jahiliyyah dan sangkaan bahkan dengan tegas Nabi menolak dengan menyatakan gerhana berlaku bukan dengan sebab kematian atau kehidupan seseorang. (Lihat: Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram 3/60-62)

Ada satu kertas saintifik jurnal yang diterbitkan oleh Journal of Personality and Social Psychology yang bertajuk “Chatarsis, Agression, and Persuasive Influence: Self-Fulfilling or Self-Defeating Propieches?” tulisan Brad J. Bushman, Angela D. Stack, dan Roy F. Baumiester dimana mereka mengatakan adalah mitos bahawa menjerit, meraung dan melepaskan marah itu membuatkan seseorang itu lebih berasa lebih baik selepas itu.

Sedangkan psikologi positif yang saintifik telah merumuskan bahawa seseorang yang sedang berduka cita seharusnya bertenang, jaga pernafasan dengan betul (breathing), bina pemikiran ketara-sedar (mindful), buat suatu perbincangan yang berobjektif dan konstruktif, belajar melabel emosi sendiri barangkali kita sedang sedih dan kita sedar tentang keadaan itu, berdialog dengan diri sendiri menerusi perspektif berbeza, bingkaskan semula (resilence) dan ambil tindakan untuk bergerak ke hadapan (move on).

Nasihat Percintaan Yang Tidak Berkesan

Ada juga sebahagian dari mereka yang baru sahaja menghadapi kesedihan dalam perhubungan seperti baru memutuskan atau keluar dari sesuatu hubungan memilih untuk mendapatkan nasihat-nasihat percintaan supaya mereka menemukan pengganti yang lebih baik dan cepat.

Walhal mereka belum pun melabelkan emosi negatif dan menghormati emosi tersebut. Malah menafikan emosi tersebut kerana tidak mahu menampakkan kelemahan diri di depan sesiapa termasuklah bekas pasangannya.

Ini tidak benar, kerana bekas pasangan itu sudah tiada apa-apa pada kita yang hendak kita tunjukkan lagi. Apa yang penting sebenarnya adalah diri kita terlebih dahulu kerana kita mahu bergerak ke hadapan, bukannya soal si dia lagi.

Saya teringat kepada sebuah syarahan dari Dr Brene Brown (saintis kemanusiaan) di sebuah rancangan Ted-Talk berkenaan tajuk yang agak taboo (jarang dibincangkan) di Malaysia namun mendapat jutaan penonton di channel youtube kerana ia berkait dengan kita semua. Tajuknya ialah “Vulnerability” iaitu yang boleh saya terjemahkan kepada kemampuan seseorang untuk menjadi dirinya sendiri dan berani berterus terang sekalipun tentang kelemahannya tertentu namun masih terurus dan tidak menjatuhkan maruah.

Bilamana kita cuba menyembunyikan atau menafikan perasaan sedia ada seperti sedang baru putus cinta, bercerai atau putus tunang secara langsungnya kita juga tertekan kerana ada sesuatu tekanan-tekanan yang belum disalurkan dengan cara yang organik.

Saya bagi contoh mudah begini, semasa saya membaca buku “How Are You” karya Aiman Azlan & Aiman Amri mereka ada menyelitkan satu perumpamaan yang cantik sekali iaitu setiap dari kita memiliki gelas kosong, semakin banyak tekanan (stress) semakin penuhlah gelas tersebut, bila gelas tersebut penuh tentulah ianya lebih berat. Maka untuk meringankan sedikit ia memerlukan gelas-gelas kosong yang lain yang boleh dikongsikan. Gelas lain itu pula diumpamakan seperti pendengar setia.

Maka sebenarnya nasihat percintaan atau perhubungan amatlah tidak sesuai dengan keadaan yang sedang seseorang itu hadapi. Sepatutnya dia perlu menyedari terlebih dahulu tentang keadaannya dan berbuat seperti ini :

  • Melabelkan emosinya sendiri seperti “Saya sedang berasa kecewa pada waktu sekarang dan saya akan baik seperti sedia kala”
  • Menghormati emosi negatif tanpa menafikannya dan jadilah diri sendiri, bukan berlakon gembira.
  • Berbincang dengan orang yang memahami secara objektif dan konstruktif
  • Kemudian barulah ambil tindakan untuk bergerak ke hadapan (moving on)

Bagaimana Sepatutnya Kita Melayan Orang Yang Sedang Berdukacita?

Seorang ahli psikoterapi Megan Devine kata pula, sebagai seorang sahabat atau ahli keluarga kita perlu mendengar luahan dan wujud disamping orang yang sedang baru patah hati. Tidak perlu menasihati, tidak perlu mencadangkan, serta tidak perlulah untuk memberi respon pun. Cukuplah sekadar menunjukkan rasa wujud dan memahami secara mendalam.

Bilamana kita cuba merespon luahannya itu kepada bentuk nasihat, kritikan dan galakkan walaupun ia berniatkan baik namun sebenarnya tidak begitu berkesan. Orang yang sedang berduka akan larikan dirinya ke dalam sebuah guanya sendiri dan menyendiri. Selagi dia belum meminta untuk diberi nasihat kita seeloknya tak perlulah menasihati secara melulu.

Orang yang berduka ini dia hanya mahukan seseorang yang memahami, wujud disampingnya serta mempelawa diri untuk mendengar sebenar-benarnya.

Dalam islam pun ada adab untuk menasihati orang, antaranya sebuah hadis Nabi saw yang bersabda :

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْهُ، وإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ، وإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ، وإِذَا مَاتَ فَاتْبَعْهُ (رَواهُ مُسلمٌ، بَابُ مِنْ حَقِّ الْمُسْلِمِ لِلْمُسْلِمِ رَدُّ السَّلَامِ برقم 2162)

Terjemah Hadis:

Dari Abu Hurairah radiallahuanhu ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam, iaitu:

  • Jika kamu bertemu dengannya maka ucapkanlah salam,
  • Jika ia mengundangmu maka penuhilah undangannya,
  • Jika ia meminta nasihat kepadamu maka berilah ia nasihat,
  • Jika ia bersin dan mengucapkan: ‘Alhamdulillah’ maka do’akanlah ia dengan Yarhamukallah (artinya = mudah-mudahan Allah memberikan rahmat kepadamu),
  • Jika ia sakit maka jenguklah dan
  • Jika ia meninggal dunia maka iringilah jenazahnya”.

(HR. Muslim, no. 2162).

Artikel disumbangkan oleh Saifuddin Hamizan untuk The Patriots.

RUJUKAN:

  1. (Why we should say no to positivity — and yes to our negative emotions) https://ideas.ted.com/why-we-should-say-no-to-positivity-and-yes-to-our-negative-emotions/?utm_campaign=&utm_medium=&utm_source=&fbclid=IwAR2ikRh1INWNpwvA-vndEEYuz-yiQEiicASDdG847jTo-Tu-aynrYfgSa8Y
  2. (Journal of Personality and Social Psychology, 1999, vol, 76, No 3, 367-376) http://www-personal.umich.edu/~bbushman/bbs99.pdf?fbclid=IwAR3JsVQbXwlnpxON-NwUsAO-jyXh-lKPfjcchOfr5W9_Z8UuAQs2Ng__1dk
  3. (BAYAN LINNAS SIRI KE-13 : ADAB ISLAM BAGI MENGHADAPI KEMATIAN)https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2588-bayan-linnas-siri-ke-13-adab-islam-bagi-menghadapi-kematian
  4. (The gift and power of emotional courage | Susan David) https://www.youtube.com/watch?v=NDQ1Mi5I4rg
  5. ( How do you help a grieving friend?) https://www.youtube.com/watch?v=l2zLCCRT-nE

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.