Mafhum dari Hadis Rasulullah, dua perkara yang harus dicari serta dijaga oleh sekalian Mukmin adalah Sanad dan Nasab. Itulah tema bagi Majlis Haul al-Marhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah & Ijazah Sanad Adikarya Baginda, Kitab Pohon Agama yang dihadiri oleh kaum Kerabat DiRaja Kesultanan Selangor yang berlangsung pada 24 Ogos 2019 di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya. Perjalanan majlis ini ada terakam dalam pautan https://instagram.com/khairiasyraf_17

Dari segi Nasab, segalanya bermula dengan Deang 5 Bersaudara iaitu bangsawan Bugis yang berlayar ke Semenanjung Tanah Melayu pada era Kesultanan Johor-Riau. Salah seorang dari mereka ialah Daeng Celak yang ditabal menjadi Yamtuan Muda Johor-Riau II. Daeng Celak mempunyai dua anak yang masyhur. Pertama Raja Lumu dan kedua Raja Haji Fisabilillah.

“Sejarah dan salasilah keturunan kerabat DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah”

Raja Haji Fisabilillah an-Naqshabandi inilah yang digelar Marhum Teluk Ketapang kerana syahid ketika berjihad menentang penjajah Belanda. Ketika syahid, di sebelah tangannya memegang Badik dan sebelah lagi memegang Kitab Dalail Khairat. Beliau memiliki anak yang bernama Raja Haji Ahmad. Raja Haji Ahmad pula memiliki anak yang bernama Raja Ali Haji iaitu penulis Tuhfat an-Nafis. Raja Ali Haji ini seorang ulama, pujangga sastera dan sejarawan. Banyak sejarah mengenai Bugis ditulis olehnya.

Raja Lumu pula ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Salahuddin Shah. Baginda memiliki putera bernama Sultan Ibrahim Shah. Sultan Ibrahim Shah memiliki putera bernama Raja Abdullah. Raja Abdullah ialah ayahanda kepada Sultan Abdul Samad. Sultan Abdul Samad memiliki putera bernama Raja Muda Musa. Raja Muda Musa inilah ayahanda kepada Sultan Alauddin Sulaiman Shah iaitu Sultan Selangor ke-5 yang juga merupakan seorang ulama.

“Para pewaris amanah Sanad Kitab Pohon Agama dari kerabat baginda sendiri”

Paduka Sri Sultan Alauddin Sulaiman Shah sangat terkenal sebagai seorang pemerintah yang amat kasih terhadap sekalian rakyat jelata tetapi sangat tegas dalam hal ehwal keagamaan. Baginda berprinsip bahawa hanya dengan ilmu dan amal Islami sahaja membolehkan umat Melayu mencapai perpaduan dan kemajuan insani. Baginda memperkasakan sekolah-sekolah agama dengan subjek ilmu Tauhid, Ibadah dan Tasawwuf.

Baginda sendiri menjemput Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani iaitu anak murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang kedua-dua mereka merupakan guru di Masjidil Haram untuk ditabalkan menjadi Syeikhul Islam Setia DiRaja Selangor. Baginda juga mewakafkan sebidang tanah kepada salah seorang dari tujuh waliyullah Tanah Melayu iaitu Syeikh Muhammad Nur al-Khalidi al-Minankabawi bagi mengembangkan ilmu-ilmu kesufian di Selangor.

Baginda juga tegar mempertahankan syariat Islam di mana baginda memperkasakan Mahkamah Syariah dengan meletakkan garis jelas bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Bahkan baginda merupakan tokoh yang terkehadapan dalam pemakmuran masjid-masjid di Selangor. Antara Masjid yang baginda terlibat secara langsung dalam pembinaannya adalah Masjid Diraja Sultan Sulaiman, Klang. Penentuan kiblat masjid itu dibuat berdasarkan ilmu falak dengan kaedah istiwa adzham yang menggunakan tongkat baginda Sultan sebagai pengukur.

Istiadat ini turut dihadiri Raja Muda Tengku Musa’eddin, Syeikhul Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, ulama dan pakar ilmu falak, Kiyai Haji Muhammad Ali Qaribun Sijangkang, Dato’ Kaya Abdul Hamid Dato’ Kaya Baduk, Pawang DiRaja Haji Syawal Haji Jamal, Qadhi Besar Selangor, Raja Haji Othman serta beberapa Kerabat DiRaja, pembesar istana dan penghulu. Sehingga kini, semakan arah kiblat tersebut adalah tepat setelah diuji dengan peralatan moden.

“Majlis Haul & Ijazah Sanad di Masjid Raja Haji Fisabilillah”

Baginda sendiri sering menyampaikan khutbah Solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha di masjid-masjid sekitar negeri Selangor. Ini melambangkan baginda merupakan seorang Sultan merangkap Ketua Agama Islam yang berwibawa lagi berdaulat. Bahkan, puncak bukti kealiman Paduka Sultan adalah baginda telah mengarang kitab-kitab agama yang diakui oleh para alim ulama sendiri.

Antara adikarya baginda adalah Kitab Pohon Agama yang siap dikarang pada tahun 1919. Ianya merupakan kitab akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asyairah-Maturidiah dengan menghuraikan ilmu Sifat 20. Kitab ini merupakan khulasah kepada Kitab Umm al-Barahin karya Imam Muhammad bin Yusuf al-Sanusi al-Maliki al-Hassani al-Tilimsani. Baginda berimpian dan berwasiat agar pengajian kitab ini disebarkan untuk dipelajari oleh waris kerabat baginda serta seluruh rakyat jelata negeri Selangor Darul Ehsan.

Dari segi Sanad, pemegang sanad tertinggi kitab tersebut buat masa kini ialah anakanda baginda sendiri iaitu YAM Tengku Mahmud Shah al-Haj. Cucunda baginda iaitu YDM Orang Kaya Maha Bijaya Sepang Tengku Dato’ Prof Dr Jamaluddin sering menganjurkan daurah pengajian kitab ini. Kitab ini disusun semula dengan nama Kitab al-Aqidah as-Sulaymaniyyah dan disyarahkan oleh cicit baginda sendiri iaitu YM Syeikh Raja Ahmad Mukhlis asy-Syadzuli al-Azhari.

Kitab ini boleh didapati dari penerbit Akademi Jawi Malaysia dan pengedar Pelita Dhihin. Bagi merealisasikan impian paduka Sultan, kini, cicit baginda iaitu YM Syeikh Raja Ahmad Mukhlis asy-Syadzuli al-Azhari diamanahkan untuk mengajarkan kitab ini di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) dan Akademi al-Ihya.

“Pengijazahan Sanad Kitab Pohon Agama karya DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah”

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.