Naresuan The Great: Raja Badass Bangsa Thai

0
2376
views
Tugu Raja Narasuan

Bangsa Thai dan Burma ialah dua bangsa yang seringkali bertelagah dan berperang antara mereka dalam helaian sejarah. Kalau bangsa Melayu berbangga dengan kewujudan raja agung seperti Dharanindra daripada Dinasti Sailendra, Dapunta Hyang Jayanasa yang merupakan pengasas Empayar Srivijaya, atau nama seperti Sultan Mansur Shah sebagai raja teragung Empayar Melaka, bangsa Thai juga tidak kurang juga dengan nama-nama hebat dalam sejarah mereka. Mari, saya perkenalkan seorang raja Thai yang dianggap sebagai salah seorang raja terhebat dalam sejarah Thai, yang saya kira merupakan seorang yang sangat badass bukan sahaja dalam sejarah Thai sendiri, tetapi dalam sejarah dunia.

Sejarah keagungan Naresuan dikenang oleh orang Thai bermula ketika pertengahan 1560 Masihi, apabila Burma dibawa dinasti terbaik yang pernah memerintah negara itu, juga empayar terbesar di Asia Tenggara iaitu Dinasti Taungoo dalam dasar perluasan kuasa dibawa raja hebatnya bernama Bayinnaung yang kisahnya pernah dicoretkan di laman The Patriots. Maka, Thai dengan kerajaan terhebatnya iaitu Ayutthaya akhirnya berjaya ditakluk dengan separuh daripada populasi Ayyuthaya ketika itu dijadikan sebagai hamba sambil seorang putera rajanya dibawa kembali ke Burma dijadikan sebagai tawanan dan tebusan kerajaan Burma. Putera raja itu ialah Naraseuan itu sendiri.

Hidup sebagai seorang putera raja yang menjadi tawanan dan dibesarkan di dalam Istana Burma membuatkan Naresuan belajar banyak perkara tentang tamadun Burma. Setiap ilmu yang dikutipnya sepanjang bergelar tawanan akan sangat membantu dirinya pada masa hadapan. Naresuan mempelajari taktik peperangan hebat daripada jeneral-jeneral perang hebat Burma, tidak lupa juga seni mempertahankan diri yang dimiliki oleh bangsa Burma yang selepas itu akan membantu kepada perkembangan seni mempertahankan diri Muay-Thai.

Hanya ketika 9 tahun kemudian, ketika usianya dalam sekitar 16 tahun sahaja dia dipulangkan semula ke Siam, dengan pertukaran kepada kakaknya yang dikahwinkan dengan raja Burma ketika itu. Kembalinya ke Siam sebagai seorang pemangku jawatan kepada takhta raja Ayutthaya yang ketika itu tidaklah membawa apa-apa makna kerana Ayutthaya adalah sebuah kerajaan yang telah dijajah oleh Burma.

Patung Raja Naresuan

Ketika raja agung Burma bernama Bayinnaung mati, ianya menimbulkan beberapa pemberontakan di dalam Empayar Burma itu sendiri dan beberapa buah wizurai daripada wilayah-wilayah dalam Empayar Burma termasuklah daripada Ayutthaya sendiri untuk membantu raja baru Burma bernama Nanda Bayin. Namun, ketika memimpin bala tentera Ayutthaya, Naresuan pula seperti melengah-lengahkan penggerakkan tenteranya membuatkan Nanda Bayin ketika itu jadi berang dan mengesayki kesetiaan Naresuan pada Burma. Maka, baginda pun mengarahkan anaknya iaitu Maha Uparaja Mingyi Swa untuk kekal di pusat pemerintahan Burma di Bago dengan harapan ketika Naresuan sampai, maka anakandanya akan menyerang Naresuan dari belakang dan membunuhnya. Malangnya rancangan pembunuhan itu diketahui oleh Naresuan. Berbantukan tentera dari orang-orang Mon, maka Nareasuan berjaya melarikan, sambil sempat membebaskan 10, 000 keluarga-keluarga bangsa Thai yang dijadikan tawanan di Bago sebelum dia turut melarikan diri bersama dengan mereka.

Gajah-Gajah Perang

Tentera Burma dibawah pimpinan Maha Uparaja Mingyi Swa mnengejar sehinggakan tentera Burma dan Tentera Thai dibawah Naresuan bertembung di Sungai Satong. Malangnya, salah seorang daripada komander tentera Burma yang terkenal pula menjadi bidikan tepat senjata api yang dibawa oleh Naresuan. Ini membuatkan unit tentera Burma menjadi kelam kabut dan memaksa Maha Uparaja Mingyi Swa berundur kembali ke bumi Burma.

Waqaf Saham

Dicatatkan sebaik sampai sahaja di pusat pemerintahan Ayutthaya, maka Naresuan pun mengiytiharkan kemerdekaan Thai dan menyatukan kerajaan-kerajaan Thai seperti Sukothai dibawah satu bangsa. Maka berduyun-duyunlah pun orang-orang Thai berada dibawah panji Naresuan. Ini membuatkan Naresuan menjadi antara raja-raja dalam sejarah Thai yang menyatukan bangsa Thai.

Burma tidak duduk diam dengan apa yang dilakukan oleh Naresuan ini lalu menghantar gelombang tentera demi tentera melanggar Ayutthaya. Sekurang-kurangnya terdapat lima buah serangan melanggar Ayutthaya dan salah satu daripanya berlaku berdekatan dengan Chiang Mai dengan 10, 000 orang tentera Burma ditawan bersam adengan 120 buah gajah perang, 100 ekor kuda, 400 buah perahu bersama dengan senjata api, peluru dan bekalan makanan. Tidak dilupakan juga tentang bagaimana Naresuan bertahan di kota Ayutthaya selama 5 bulan apabila dikepung oleh raja Burma bernama Nanda Bayin sendiri. Namun, kepungan itu tidak berjaya kerana kebijaksanaan Naresuan sendiri.

Namun, kebanyakan serangan Burma yang diarahkan ke arah Ayutthaya itu hanyalah dipatahkan ketika beliau masih bergelar seorang putera raja. Sebaik sahaja pada tahun 1590 apabila kemangkatan ayahandanya Maha Thammarachathirat, barulah Naresuan menaiki takhta. Ketika inilah sebuah pertempuran yang sangat diingati oleh Thailand berlaku di antara dua orang pemimpin dua empayar ketika tahun 1593. Ketika raja Burma yang ketika itu mengerahkan tenteranya melanggar Siam untuk sekian kalinya, kedua-dua mereka bertemu di Nong Sarai. Untuk pengetahuan semua, Pertempuran Nong Sarai mencatatkan bahawa Burma telah mengerahkan bala askar terbesar dalam sejarahnya demi memastikan Ayutthaya dan bangsa Thai kembali terjajah.

Ketika pertempuran berlaku, Naresuan dikatakan melihat Mingyi, putera raja Burma yang dihantar untuk memimpin tentera tersebut sedang bersemayam di atas gajahnya dibawah sebuah pokok rendang. Dicatatkan bahawa Naresuan berteriak memanggil Mingyi Swa:

“Wahai saudara lelakiku, apa yang kau lakukan dibawah pohon rendang itu? Marilah kita bertarung satu lawan satu untuk meraihkan perseteruan antara kita? Sesungguhnya tidak akan ada lagi raja selepas kita yang akan bertarung dalam satu lawan satu seperti kita hari ini!”

Mendengarkan cabaran yang dilaungkan oleh Naresuan, maka Mingyi Swa pun mengerahkan gajahnya, bertemu satu lawan satu dengan Naresuan di atas gajahnya sendiri. Maka bertempurlah kedua-dua gajah itu sambil kedua-dua raja ini pula bertarung di atas kepala gajah masing-masing, sambil mencuba untuk membenamkan senjata masing-masing dan menjatuhkan lawan dari gajah mereka. Akhirnya, Mingyi Swa berjaya dibunuh dan kematian Mingyi Swa membuatkan tentera Burma dalam keadaan jatuh semangat dan morale mereka, lalu membuatkan raja Burma ketika itu berundur daripada perlanggaran ini. Peristiwa hebat dalam sejarah Thailand ini kemudiannya dirayakan sebagai salah satu daripada cuti tahunan negara Thai dan digelar sebagai Hari Gajah.

Tidak cukup dari itu, maka Naresuan pun memimpin tentera-tenteranya menakluk satu demi satu negara kota yang masih belum berada dibawah kerajaannya. Bahkan, Naresuan sanggup pula menyerang empayar penjajahnya dengan menakluk beberapa kota Burma dan menjarah ibu kotanya. Tidak lupa juga usaha Naresuan menakluk bumi Kemboja itu sendiri yang berjiran dengannya sekaligus bergelar salah seorang raja penakluk dalam Empayar Ayutthaya itu sendiri.

-HE-

Previous articleSiapa Bilang Permainan Video Untuk Golongan Yang Tidak Matang?
Next articleKenapa Bendera Negara Semasa Raptai Merdeka Semalam Diusung Terbalik?
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.