Narconomic: Gerakan Ekonomi Bawah Tanah Berasaskan Dadah

0
658
views

Tom Wainwright ada menulis buku Narconomics, catatan beliau tentang potensi dan kesan ekonomi bawah tanah berasaskan dadah. Beliau juga pernah menulis tentang lain-lain kegiatan ekonomi berkaitannya seperti pelacuran, penjualan dan penculikan kanak-kanak serta peras ugut disekitar urusniaga dadah ini.

Skop penulisannya banyak berkisar tentang kartel-kartel dadah yang digeruni di California dan disertai kumpulan komuniti berasal dari El Salvador iaitu Mara Salvatrucha (MS-13), dan Calle 18. Kartel-kartel dikenali kerana kekejaman dan perang dadah antara mereka selain mudah dikenali kerana cacahan tatu di seluruh badan, dari kepala hingga kaki.

Selain California, beberapa negara seperti Kanada dan negara-negara Amerika Latin turut terkesan dengan pengaruh kartel ini, malah lebih parah lagi keadaannya di dalam penjara mereka. Kartel dadah ini ialah fenomena yang bermula sejak 80-an lagi. Kartel ini merekrut anak-anak dan remaja yang tidak memiliki dokumen sah, selain dilihat berseorangan kerana perpecahan dan desakan ekonomi keluarga masing-masing.

Tom Wainwright pernah menerangkan mengapa cacahan badan (tatu) dari kepala hingga kaki seorang anggota kartel dadah ini sangat penting.

1. Ia memastikan anggota ini senang dikawal dan mudah dikenalpasti.

2. ‎Ia juga bermaksud sekiranya anggota ini mati dibunuh oleh penguasa, atau diseksa, dikelar dalam keadaan paling teruk sekalipum, cacahan seluruh badannya akan membantu pengecaman.

3. ‎Ini lebih memudahkan balas dendam dan membuat head count tentang berapa ramai yang mati, ditangkap atau mungkin melarikan diri.

4. Ia memastikan anggota kartel yang bekerja untuk kartel ini, sukar mencari kerja lain. Ini akan memastikan bekalan dadah jalanan terus wujud dan memastikan kesetiaan anggota ini terjamin.

5. Anggota kartel veteran lebih mengetahui selok belok kawasan, operasi edaran dadah serta faham bagaimana kartel pesaing bekerja. Ia akan menjadikan mereka lebih setia pada kartel masing-masing.

6. Mereka boleh dikerah untuk melaksanakan lebih banyak kerja, namun dibayar gaji yang lebih murah. Ini kerana cacahan tatu seluruh badan menyebabkan anggota kartel tiada pilihan selain bekerja sebaik mungkin untuk kartel tersebut, kerana peluang untuk memperolehi kerja lain sudah tiada.

7. Cacahan tatu seluruh badan adalah demi kemegahan peribadi kerana berkhidmat untuk kartel. Setiap kartel dadah ini, contohnya Mara Salvathrucha (MS-13) atau Calle 18, hanya akan membenarkan seseorang itu menyertai mereka apabila membenarkan dirinya dicacah.

8. Ia adalah penjenamaan setiap kartel ini yang terhadap setiap anggotanya. Secara tidak langsung, cacahan tatu seluruh badan ini akan mengikat anggota tersebut sehingga mati untuk berkhidmat sepenuh jiwa dan raga demi kartel masing-masing.

*Gambar ialah anggota kartel, dipercayai anggota MS-13 di penjara El Salvador. Perhatikan cacahan “MS” pada badan mereka.