Nama Asal Johor Bahru

1730
views

Masih ramai yang tidak tahu nama asal Johor Bahru sebelumnya adalah Iskandar Puteri.

Di Telok Belanga Temenggong Tun Ibrahim @ Daeng Ronggek menubuhkan tiga pejabat di Istana Bukit Aur Telok Belanga untuk mentadbir dan menguruskan kerajaan baginda:

1.Pejabat Temenggong adalah untuk baginda sendiri
2.Pejabat Waris adalah untuk anakandanya iaitu Ungku Abu Bakar
3.Pejabat Menteri diketuai oleh Abdullah @ Enche Long Menteri Bin Tok Muhammad Tahir.

Walaupun mendapat kuasa sebagai pemerintah, pentadbiran Temenggong mendapat kesulitan dalam perhubungan dengan pihak British. Di Singapura terdapat perbezaan dari segi undang-undang dan pentadbiran British dengan undang-undang berdasarkan Islam dan peraturan serta tradisi Johor. Kesulitan ini menjejaskan bidang kuasa Temenggong dalam urusan pentadbiran. Percanggahan undang-undang begini mampu memberi peluang yang luas buat British campurtangan dalam pentadbiran kerana British sentiasa mencari kesilapan di pihak Temenggong.

Atas faktor tersebut Temenggong mula memberi fokus kepada tanah besar Johor yang kaya dengan sumber-sumber ekonomi untuk diterokai.Temenggong berhasrat membuka sebuah pusat pentadbiran baru yang mampu menyaingi Singapura sekaligus terhindar dari undang-undang dan peraturan British.Pada 1855,Temenggong ke tanah besar Johor dari Singapura melalui ‘Bukit Timah Road’ menyeberang ke ‘Old Singapore Straits’ dan mendarat di satu tempat bernama Bukit Tanjung Puteri. Baginda memilih tempat ini untuk dibuka sebuah pusat pentadbiran baru bertentangan dengan Pulau Singapura dan menamakan tempat ini sebagai Iskandar Puteri.

Baginda perkenan melantik Panglima Perang Dapat Bin Panglima Perang Besar Daeng Mohd Salleh sebagai ‘Chief Administrator’ untuk mengawasi kerja-kerja pembangunan pejabat kerajaan, rumah kediaman dan pusat perniagaan di Iskandar Puteri .Beberapa bangunan dibina untuk menempatkan pegawai dan kakitangan untuk urusan pentadbiran.Baginda memberi sepenuh kepercayaan kepada waris baginda iaitu Ungku Abu Bakar untuk mentadbir Iskandar Puteri.Pada 1856, Ungku Abu Bakar melantik sepupunya Raja Ahmad @ Raja Kechil Bin Raja Said sebagai Residen pertama Iskandar Puteri.Bersama Raja Kechil, Ungku Abu Bakar mengurus tadbir Iskandar Puteri dengan membina Balai Polis dan menguatkuasakan undang-undang. Sebagai Residen Iskandar Puteri, Raja Kecil mempunyai kuasa polis, pengeluar undang-undang dan waran.

Di Telok Belanga Encik Long Menteri masih menguruskan urusan pentadbiran disana dengan dibantu anak saudaranya Jaafar Bin Haji Mohamed (kemudian bergelar Dato Bentara).Pada 1856 Encik Long Menteri mengambil Mohd Salleh Bin Perang (kemudian bergelar Dato Bentara Luar) sebagai kerani di Pejabat Menteri.

Untuk menghindar campurtangan British dalam pentadbiran Temenggong, pada 1858 Ungku Abu Bakar mengambil langkah bijak dengan mohon perkenan kepada ayahandanya untuk memindahkan pusat pentadbiran dr Telok Belanga ke Iskandar Puteri.

Pada peringkat awal perpindahan hanya melibatkan pentadbiran kerajaan sahaja.Temenggong dan kaum kerabatnya masih menetap di Istana Telok Belanga.Pada 1860 Temenggong Tun Ibrahim mengistihar menukar nama Iskandar Puteri kepada Tanjung Puteri.

Selepas pengistiharan, bandar Tanjung Puteri semakin pesat membangun.Selepas kemangkatan Temenggong Tun Ibrahim pada 31 January 1862 di Telok Belanga, jawatan Temenggong diganti oleh Ungku Abu Bakar yang bergelar Dato’ Temenggong Sri Maharaja.Pada 1 Januari 1866 Temenggong Abu Bakar melakukan upacara perasmian Tanjung Puteri dan diberi nama baru iaitu Johor Bahru.

Sumber :

Tawarikh Dato Bentara Luar – Mohd Salleh Bin Perang

Sejarah Johor Dalam Pelagai Perspektif – Kassim Thukiman

Prince Of Pirates, The Temenggong and The Development of Johor and Singapore 1784 – 1885 – Carl A.Trocki

Tawarikh Al Marhum Sultan Abu Bakar – Muhammad Said Sulaiman

Titisan keturunan daripada Burok [Orangkaya Semantan] + Abdul Jamil [Raja Timur] dan Panglima Perang Besar Daeng Mohd Salleh Bin Panglima Perang Raja Awang

Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012 – Dato Abdul Rahim Bin Ramli (Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Joho

Source of Map: The National Archives, United Kingdom
Covering Date: c.1850s