Nakba @ 70: Dari “Jewish Homeland” Kepada “Jewish State”

0
492
views

14 Mei disambut sebagai Hari Kemerdekaan di Israel setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan penubuhan negara Israel pada 14 Mei 1948.

Sehari kemudian iaitu 15 Mei 1948, Liga Arab mengisytiharkan perang ke atas Israel, maka tercetuslah Perang Arab-Israel Pertama. Perang tersebut mengakibatkan 700,000 penduduk asal Palestin berbangsa Arab terusir dari tanah asal mereka. Maka 15 Mei diingati sebagai Hari “Nakba” (Hari Malapetaka) oleh umat Palestin.

Hari ini, umat Palestin akan menyambut Hari Nakba yang ke-70. Selain menangisi nasib mereka, kita juga wajar mengambil iktibar bagaimana Yahudi Zionis dapat merampas Palestin walaupun pada asalnya mereka tidak memiliki seinci tanah.

Resipi “kejayaan” golongan Zionis tidak lain tipu helah yang terancang. Sepanjang 50 tahun pertama perjuangan mereka (dari 1897-1947), Zionis tidak pernah menyatakan secara zahir (“explicit”) tentang matlamat muktamad mereka untuk mendirikan sebuah negara (“state”).

Kalau kita meneliti perjanjian asal kuasa-kuasa besar dan Zionis, kita boleh nampak Zionis begitu menekankan matlamat perjuangan mereka hanyalah untuk membina “national home” atau “homeland” bagi orang Yahudi. Mereka tak pernah kata mereka inginkan sebuah negara. Mereka cuma tuntut untuk kembali ke “tanah asal” mereka, dan mereka sanggup hidup di bawah naungan penduduk asal Palestin. Itulah yang digambarkan dalam keputusan Kongres Pertama Pertubuhan Zionis tahun 1897 yang dikenali sebagai “Basle Program”.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Theodore Herzl selaku pengerusi Pertubuhan Zionis telah mendekati Sultan Abdulhamid II, pemerintah Dinasti Turki Uthmaniyah yang menguasai Palestin sejak tahun 1517. Herzl memohon Sultan Abdulhamid agar membenarkan orang Yahudi berhijrah ke Palestin dan menetap di situ. Sebagai balasan, Herzl akan membantu Sultan untuk melangsaikan hutang kerajaan Uthmaniyah.

Permintaan Herzl ditolak. Ada segelintir orang Turki percaya bahawa Herzl seterusnya telah mendanai gerakan “Young Turks” untuk menjatuhkan Sultan pada tahun 1908. Namun dakwaan itu tidak dapat disahihkan. Yang kita pasti, Zionis telah mendekati kerajaan Britain semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918) untuk teruskan perancangan mereka.

Britain ketika itu berada dalam kebuntuan untuk memenangi perang tersebut. Atas kepercayaan bahawa golongan pelobi Yahudi mampu melibatkan US ke dalam perang dan menghalang Rusia (yang baru mengalami revolusi) daripada menarik diri, kerajaan Britain telah menyatakan sokongan kepada perjuangan Zionis untuk mendirikan “a national home for the Jewish people” menerusi Deklarasi Balfour (Balfour Declaration) yang dikeluarkan pada 2 November 1917.

Selepas Perang Dunia Pertama tamat, Britain mengambil alih Palestin daripada Uthmaniyah dan mewujudkan “British Mandate for Palestine”. Britain tidak menjajah Palestin tapi bertindak sebagai penjaga bagi pihak Liga Bangsa (League of Nations). Britain membenarkan orang Yahudi untuk berhijrah ke Palestin dan membeli tanah. Kebanjiran imigran Yahudi serta pertumbuhan komuniti Yahudi yang pesat menimbulkan kerisauan penduduk Arab.

Waqaf Saham

Malah, peningkatan jumlah imigran Yahudi secara mendadak akibat Holocaust di Jerman (dasar penghapusan Yahudi oleh rejim Nazi) telah mengubah imbangan penduduk Palestin. Dari tahun 1933-1936 saja Palestin menerima 164,000 imigran Yahudi. Peratusan penduduk Yahudi melonjak dari 7% pada tahun 1914 kepada 27% pada tahun 1936. Hubungan antara Arab dan Yahudi menjadi semakin tegang dan akhirnya mencetuskan rusuhan besar yang dikenali sebagai “Thawrat Falastin” (“Palestinian Revolt”) pada tahun 1936.

Sebagai respon kepada rusuhan tersebut, pihak British telah menubuhkan sebuah suruhanjaya bernama “Peel Commission” untuk mencari penyelesaian kepada ketegangan Arab-Yahudi. Suruhanjaya tersebut memberi cadangan agar Palestin dipecahkan kepada dua. Orang Arab membantah, namun Pertubuhan Zionis menyeru penduduk Yahudi supaya menerima cadangan tersebut. Zionis melihat cadangan tersebut boleh dijadikan sebagai “batu loncatan” dalam mencapai matlamat yang lebih besar.

Untuk menenangkan orang Arab pula, Britain mengeluarkan “White Paper” pada tahun 1939 yang mengehadkan kemasukan imigran Yahudi. Tindakan Britain tersebut telah mengundang kemarahan orang Yahudi. Mereka menubuhkan militia seperti Irgun dan Lehi untuk melancarkan serangan ke atas pihak berkuasa Britain. Pegawai-pegawai tinggi Britain seperti Lord Moyne (Menteri Hal Ehwal Timur Tengah) dibunuh. Tidak keterlaluan untuk mengatakan Yahudi Zionis sebagai pelopor terorisme di Timur Tengah.

Sementara itu, Pertubuhan Zionis pada tahun 1942 menukar matlamat perjuangan mereka daripada “Jewish homeland” kepada “Jewish Commonwealth”, dengan kata lain, sebuah negara Yahudi. Basle Program digantikan dengan “Biltmore Program” yang lebih radikal.

Maka Britain sedar bahawa ia sudah kena “game” dengan Zionis. Britain akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan British Mandate for Palestin. Pada Mei 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menubuhkan jawatankuasa khas mengenai masa depan Palestin dan hasilnya, Resolusi No. 181 telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung UN (UNGA) pada November 1947.

Resolusi tersebut membahagikan Palestin kepada dua entiti iaitu sebuah negara Yahudi dan sebuah negara Arab, manakala Jerusalem diletakkan di bawah penjagaan antarabangsa. Pada 14 Mei 1948, pemerintahan Britain di Palestin tamat secara rasmi. David Ben-Gurion, pemimpin Yahudi di Palestin mengisytiharkan penubuhan negara Israel dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Israel yang pertama.

Bukan sahaja Zionis telah membelakangi janji asalnya dengan Britain dan kontrak sosialnya dengan penduduk Arab, malah mereka juga tidak menjunjung keputusan UN tentang “two-state solution”. Tanah orang Arab Palestin dirampas, malah Jerusalem pun dirampas sekali. Hari ini, orang Arab hanya menguasai kira-kira 10-20% daripada tanah Palestin yang asal.

Itulah strategi Zionis yang bersifat “dapat betis mahu peha”. Mengaburi mata orang ramai dengan matlamat yang biasa-biasa dan “non-threatening”, kemudian baru merampas hak orang langkah demi langkah. Mula-mula kata “kami cuma nak cari kehidupan, kami duduk di bawah orang pun tak apa”. Kemudian bertukar “tak boleh, kita kena jadi sama rata”. Dan akhir sekali, “kamu siapa? Ini tanah kami”.

Waktu tu pun ada Arab yang bagitau “hati-hati dengan Yahudi ni”. Tapi majoriti kata “bersangka baik” “contohilah akhlak Rasulullah” “mari kita berdakwah kepada mereka”. Semua itu berlaku secara “senyap”. Dalam menghadapi pendatang Yahudi yang agresif dan licik, penduduk Arab terlalu “reactive”, pasif dan “predictable”. Dan itulah harga yang terpaksa mereka bayar.

(Dalam gambar: babak terakhir Perang Arab-Israel Pertama di mana askar Israel menaikkan bendera Israel di Umm Rashrash pada 10 Mac 1949 sebagai tanda kemenangan Israel ke atas Liga Arab)

Bacaan lanjut:
[1] Tom Segev, “One Palestine, Complete: Jews and Arabs under the British Mandate” (Henry Holt, 2013)
[2] Motti Golani & Adel Manna, “Two Sides of the Coin: Independence and Nakba 1948: Two Narratives of the 1948 War and Its Outcome” (Dordrecht, 2011)