Ya, dan istilah “Byzantine” pun hanya mula digunakan selepas empayar itu sendiri tak lagi wujud. Semasa kewujudannya, seluruh Eropah hanya akan merujuknya sebagai Empayar Rom atau lebih tepat lagi, Empayar Rom Timur.

Empayar Rom Timur dijatuhkan oleh Empayar Uthmaniyah dalam Pengepungan Konstantinopel pada tahun 1453, tapi nama “Byzantine” hanya pertama kali digunakan pada tahun 1557 oleh seorang ahli sejarah yang bernama Hieronymus Wolf, yang memetik nama ini berdasarkan salah satu nama kuno untuk kota Constantinople – Byzantion (Byzantium).

Nama Byzantine digunakan bagi menandakan titik perbezaan antara Empayar Rom Latin asli dengan Empayar Rom Timur Yunani yang bangkit selepas kejatuhan separuh bahagian barat pada abad ke-5.

Empayar yang terbelah dua.

Empayar Rom dibahagikan kepada dua bahagian selepas kematian Theodosius pada tahun 395. Bahagian barat diberikan kepada anaknya yang paling muda, Honorius, dan bahagian timur diberikan kepada anak lelaki yang paling tua iaitu Arcadius.

Ibukota bahagian barat adalah kota Rom sejak awal lagi, sebelum ia beralih ke lokasi lain. Maharaja Constantine memindahkan ibukota ke tempat yang dipanggil Konstantinople. Di bahagian barat, ibukota Empayar Rom buat pertama kali dipindahkan ke Milan, kemudian ke Ravenna.

Kota Konstantinopel telah diisytiharkan penubuhannnya pada tahun 330, tapi ia bukan sebuah kota yang baru ditemui. Ia hanyalah nama baru tapi dikitar semula untuk sebuah kota kuno yang telah diasaskan oleh perintis Yunani, iaitu Megara pada sekitar tahun 657 SM.

Ini bermakna semasa Maharaja Constantine memutuskan untuk menamakan kota itu bersempena dengan nama dirinya sendiri, kota itu sebenarnya telah wujud selama lebih dari seribu tahun dan telah dikenali dengan pelbagai nama-nama yang berbeza.

Lukisan yang gambarkan Constantine.

Konstantinopel menjadi ibukota Empayar Rom Timur yang merupakan sebuah empayar kesinambungan untuk Empayar Rom memandangkan para maharaja (dari Heraklion dan selepasnya) mereka digelar sebagai “Raja-raja Roman Kristian yang taat setia” .

Oleh itu, tak pernah wujud sebuah kerajaan bernama Empayar Byzantine. Ia sentiasa menjadi Empayar Rom. Seperti empayar-empayar lain, seluruh Empayar Rom terlalu besar untuk diperintah oleh satu entiti politik.

Empayar Rom Timur ditubuhkan pada tahun 395 dan ia diasingkan oleh entiti politik berbeza kerana Empayar Rom dibahagikan kepada dua bahagian yang besar: Empayar Rom Barat (ibukota di Milan) dan Empayar Rom Timur (ibukota di Konstantinopel).

Sehingga jatuhnya Rom Timur di tangan Uthmaniyah pada tahun 1453 yang menandakan kejatuhan mutlak seluruh Empayar Rom, kedua-dua Rom barat dan timur hanya dikenali sebagai Rom, mereka tak pernah dipanggil Byzantine.

Al-Fatih.

Dan jika kita merasakan tindakan Sultan Mehmed al-Fatih ‘klaim’ dirinya dan kerajaannya sendiri iaitu Empayar Uthmaniyah sebagai pewaris legasi Empayar Rom selepas menakluki Konstantinopel pada 1453 itu sudah cukup unik, orang-orang Jerman juga buat perkara yang sama tapi tidak secara tersirat langsung.

Pada tahun 962, Empayar Rom Suci ditubuhkan dengan mengangkat Otto the Great sebagai maharajanya. Kemunculan Rom Suci agak mengejutkan orang Rom yang sebenar kerana sebelum itu mereka kurang mengetahui tentang dunia Jerman, apatah lagi suku-suku Jerman juga pernah menjadi musuh Empayar Rom.

Tiba-tiba muncul sebuah negara yang diasaskan oleh penduduk berbahasa Jerman, di mana mereka menamakan negara mereka sebagai Rom. Memang terkejut beruk lah orang Rom.

Akhirnya tibalah pada abad ke-18, di mana para penulis mula membahaskan karya seni Byzantine. Siapa penulis-penulis ini? Dah tentulah orang Jerman dan orang Perancis. Penggantian tamadun yang cemerlang ini merupakan salah satu kenyataan yang dilupakan dalam sejarah.

Pada tahun 1930 zaman pasca-Uthmaniyah, Mustafa Kemal Ataturk menjadikan Istanbul sebagai nama rasmi yang baru menggantikan Konstantinopel, tapi hingga sekarang, orang Turki sendiri masih memanggilnya sebagai Konstantinopel (Sultan Mehmed tak pernah menamakan ia sebagai Istanbul secara rasmi, ia hanya gelaran sejak 1453).

Hinggalah wujudnya satu undang-undang pejabat pos yang menetapkan sesiapa yang mengirimkan surat atau barang kepada alamat yang ditulis dengan nama Konstantinopel, kiriman itu dianggap tak sah dan akan ditolak.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.