Secara umumnya, orang Melayu pada zaman sebelum merdeka memiliki latar belakang pendidikan dari dua jenis aliran sekolah yang berbeza. Ada tokoh-tokoh yang mendapatkan pendidikan dari aliran Sekolah Inggeris dan ada dari aliran Sekolah Agama (Pondok).

Dari sinilah terbentuknya corak pemikiran dan perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan seterusnya mentadbir tanah air. Kita hanya selalu didendangkan dengan cerita perjuangan tokoh Melayu yang berpendidikan Inggeris sahaja. Maka artikel ini adalah sisi naratif tokoh pejuang Melayu dari aliran ulama pondok pula.

Tokoh yang ingin dijulang ialah Syeikh Abdullah Fahim iaitu Mufti pertama Pulau Pinang. Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Mekah. Beliau mendapat pendidikan agama dari puluhan ulama di Mekah serta dari ayahnya sendiri, Syeikh Ibrahim bin Tahir al-Fathani. Oleh itu, menurut lidah ulama Melayu, beliau dikenali sebagai Syeikh Abdullah Pak Him bersempena nama bapanya. Namun, ulama Arab menyebutnya sebagai Syeikh Abdullah Fahim dek kerana beliau memiliki kefahaman agama yang amat tinggi.

Antara guru-guru beliau yang terkenal ialah :-

1) Syeikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (Pengarang kitab I’anuth Thalibin yang juga murid Sayyid Ahmad Zaini Dahlan Mufti Syafie di Mekah)

2) Syeikh Ahmad al-Fathani (Duta Khilafah Turki Uthmaniyyah ke Nusantara yang mengarang kitab Faridatul Faraid fi ilm Aqaid)

3) Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (pengarang kitab Aqidah an-Najin)

4) Syeikh Muhammad Ismail Daud al-Fathani (pengarang kitab Matla’ul Badrain)

5) Syeikh Ali Kutan al-Kelantani as-Sufi (pengarang kitab Zahratul Murid fi ilmi Tauhid)

Antara rakan sepengajian beliau pula antaranya ialah Syeikhul Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi, Tok Kenali, Kiyai Hasyim Asyaari dan ramai lagi. Kiyai Hasyim Asyaari menubuhkan institusi Melayu-Islam yang terbesar di dunia iaitu Nahdlatul Ulama Indonesia.

Oleh kerana pemikiran mereka sama, Syeikh Abdullah Fahim pula menubuhkan Nahdhatul Ulama Malaya. Di Tanah Suci Mekah, Syeikh Abdullah Fahim juga aktif dalam isu politik Islam dan antarabangsa. Beliau yang memiliki semangat jihad yang tinggi turut terlibat dalam gerakan Islam menentang penjajahan Barat dan Yahudi di negara-negara Islam. 

Syeikh Abdullah Fahim dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengajar di Masjidil Haram menggantikan bapanya. Beliau memiliki ramai pelajar dari Nusantara, seperti Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei, Sumatera, Jawa, Fathani dan Filipina. Bahkan ada juga muridnya yang datang dari Arab, India dan China.

Kealiman Syeikh Abdullah Fahim menjadikan beliau sebagai ulama kesayangan Istana Kedah dan Istana Perak. Bahkan P Ramlee juga merupakan murid beliau sebelum berhijrah ke Singapura untuk berkarya dalam bidang seni.

Syeikh Abdullah Fahim amat alim dalam ilmu Akidah, Fiqh, Tasawuf, Tafsir, Hadis, Sastera Arab dan lain-lain. Beliau seorang yang amat bercita-cita tinggi bagi memerdekakan Tanah Melayu dari belenggu penjajah. Oleh itu, beliau giat menyatukan umat Melayu untuk mencapai merdeka. Formula penyatuan umat Melayu beliau adalah dengan memantapkan ilmu fardhu ain masyarakat iaitu Akidah, Fiqh dan Tasawuf. 

Beliau mengajarkan ilmu Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Asyairah Maturidiah (Sifat 20). Walaupun beliau alim dalam ilmu fiqh 4 mazhab, namun beliau menegaskan pengajaran disiplin Fiqh mazhab Syafie agar umat Melayu dapat beribadah dan berhukum dengan selari. Beliau menentang kuat fahaman anti mazhab atau campur aduk mazhab yang gemar membidaah, menyesat dan mengkufurkan umat Islam dalam furu’ dan khilafiyah. Beliau juga mendidik akhlak masyarakat dengan amalan soleh dari tarekat Tasawuf yang mengikuti jalanan Imam Junayd al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali. 

Beliau berwasiat, “Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat bawah hingga peringkat atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma’an.

Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie [diharamkan merobek ijma’]. Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya.

Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy’ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya’ Ulumiddin dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyarus Salikin.”

Apabila British mahu menubuhkan Malayan Union pada 1946, tokoh-tokoh Melayu dari 41 buah persatuan sama ada aliran Inggeris mahupun agama bergabung dalam satu perhimpunan besar yang dikenali sebagai Kongres Melayu SeMalaya bagi membantah usaha tersebut.

Pada Kongres yang ketiga, gabungan persatuan Melayu tersebut membentuk UMNO. Syeikh Abdullah Fahim adalah orang pertama dari Pulau Pinang yang menyertai UMNO. Beliau menjadi pengerusi jawatankuasa penasihat agama UMNO yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama & Pelajaran UMNO yang parti ini sendiri danai. 

Akhirnya pada tahun 1948, Malayan Union dikuburkan dan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk secara semi-autonomi. Bahagian Agama & Pelajaran UMNO mengadakan beberapa persidangan Alim Ulama seluruh Malaya bagi menentukan hala tuju Agama Islam dalam pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1951, persidangan alim ulama ini ingin menubuhkan Badan Tertinggi Agama Islam peringkat kebangsaan yang neutral dan bergerak bebas.

Badan ini adalah hasil kesimpulan “Manifesto Badawi” oleh Tuan Guru Ahmad Badawi. Antara cadangan nama badan ini ialah Persatuan Ulama SeMalaya, Perikatan Ulama UMNO Malaya, Persatuan Islam SeMalaya dan Nahdhatul Ulama Malaya. Ini kerana pengaruh gerakan Nahdhatul Ulama Indonesia pimpinan Kiyai Hasyim Asyaari amat kuat dalam badan Agama UMNO pada ketika itu. Namun akhirnya, nama Persatuan Islam SeMalaya dipilih dan dipimpin oleh Syeikh Abdullah Fahim. 

Suatu ketika, berlaku perpecahan dalam politik orang Melayu antara penyokong Dato Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Namun, bagi menjaga kestabilan kuasa politik orang Melayu, Syeikh Abdullah Fahim dan beberapa tokoh ulama lain yang dikenali sebagai Nahdhatul Ulama Malaya bertindak untuk kekal menyebelahi golongan majoriti tokoh politik Melayu dalam UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Ada juga sebahagian agamawan yang tidak menyebelahi Tunku Abdul Rahman. Akhirnya, Persatuan Islam SeMalaya turut berpecah.

Golongan agamawan Persatuan Islam SeMalaya yang tidak mahu mengikuti Tunku Abdul Rahman akhirnya berpisah dengan UMNO. Akhirnya, mereka dikenali sebagai Parti Islam SeMalaya (PAS) secara rasminya pada 1955. PAS ketika itu dipimpin oleh nasionalis sayap kiri iaitu Dr Burhanudin al-Helmi iaitu bekas pemimpin gerakan radikal Kesatuan Melayu Muda (PKM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Juga antara penyebab berpecahnya Persatuan Ulama SeMalaya adalah kerana kemuncak pertelagahan antara Kaum Muda dan Kaum Tua (Ulama Pondok). 

Sebagai seorang tokoh utama Kaum Tua, Syeikh Abdullah Fahim memperingatkan kepada orang Melayu akan bahaya pemikiran Kaum Muda melalui wasiatnya yang masyhur, “(Nasihat) supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang telah muncul di Malaya, Mazhab Khawarij yang terkeluar dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Maksud mereka itu mahu merobohkan fahaman awam yang sebati dan merobohkan pakatan Melayu yang jati dan menyalahkan majoriti bangsa Melayu.

Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri…”

Ulama Pondok dalam hal ehwal politik mengambil sikap muktadil mengikut lunas ilmu dan syarak. Mereka menolak usaha pensekularan negara yang memisahkan politik dari agama, dan mereka juga menolak usaha mengkhawarijkan rakyat yang mendoktrinkan bahawa politik itu perkara usul akidah sehingga membawa kepada gejala takfiri (pengkafiran sesama umat Islam). Politik itu adalah Wasail hukmu Maqasid. Dalam Islam itu ada politik, tetapi diletakkan dalam kategori perbahasan Fiqh.

Syeikh Abdullah Fahim amat terkenal sebagai pakar ilmu Falak (astronomi). Dengan ilmu ini, beliau mampu menentukan arah kiblat, waktu solat, menyusun kalendar dan sebagainya. Beliau menggunakan glob astrolabe bagi menghitung pergerakan cakerawala dan buruj-buruj bagi mendapatkan tarikh yang “masak” untuk dipilih sebagai hari kemerdekaan.

Beliaulah yang menyuruh Tunku Abdul Rahman menetapkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Beliau juga memiliki ilmu firasat yang kuat dimana beliau telah memberitahu Tunku Abdul Rahman bahawa nama Tanah Melayu akan ditukar setelah beberapa tahun kemerdekaan. Perkara ini benar apabila nama Tanah Melayu ditukar menjadi Malaysia.

Peranan Nahdhatul Ulama Malaya kian dilupakan pemerintah selepas negara mengecapi kemerdekaan serta semakin jauh dibawa arus pembaratan dan modenisasi. Ada cubaan untuk mengembalikan kegemilangan Nahdhatul Ulama Malaya melalui gagasan Islam Hadhari oleh Perdana Menteri Malaysia kelima iaitu Tun Abdullah bin Tuan Guru Ahmad Badawi bin Syeikh Abdullah Fahim, namun beliau dicantas dengan pelbagai tekanan politik kotor sehingga terpaksa meletak jawatan. 

Hakikatnya, Ulama Pondoklah yang masih cekal memperjuangkan penulisan Jawi melalui pengajian kitab-kitab kuning turath. Namun, orang Melayu sendirilah yang membunuh tulisan Jawi, bahkan institusi pengajian pondok ditohmah dengan pelbagai naratif buruk di media massa dan perfileman. Kini, ulama pondok hanya akan diangkat apabila tarikh pilihanraya semakin hampir sahaja. Dan masyarakat hanya mula mengenali ulama pondok apabila mereka menjadi viral di media sosial pada hari mereka meninggal dunia. 

Pelbagai naratif separa benar tentang perjuangan ulama pondok yang digelar Kaum Tua disebarkan, bahkan dalam buku teks sejarah di sekolah sendiripun. Sedangkan Ulama Pondok Kaum Tua ini adalah pewaris perjuangan jihad pahlawan Melayu dahulu seperti Raja Ali Haji, Syeikh Daud Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Arsyad Banjari, Syeikh Abdul Samad Falimbani, Tokku Paluh al-Aydarus, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Haji Abdul Rajman Limbong, Kiyai Salleh Selempang Merah, Syeikh Muhammad Said Linggi dan ramai lagi. Ada antara mereka yang syahid di medan tempur namun kisah mereka kurang didedahkan buat tatapan anak cucu kemudian hari.

Bagi mengangkat semula darjat institusi dan ulama pondok, terdapat usaha untuk menyatukan pondok-pondok ini dibawah satu payung yang sistematik. Usaha ini kini giat oleh Nahdathul Ulama Malaysia (NAAM) dengan kerjasama Ikatan Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI). NAAM menyatukan pondok-pondok turath jawi di seluruh Malaysia. Manakala ISLAMI menyatukan seluruh institusi pengajian Ahlus Sunnah Wal Jamaah sama ada dari Pondok Turath Jawi, al-Azhar, Morocco, Deobandi, Ribath Habaib Yaman dan lain-lain.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha ini boleh ikuti perkembangannya di pautan :-
– https://instagram.com/khairiasyraf_17
https://www.facebook.com/PertubuhanNUMalaysiaNAAM/
https://m.facebook.com/islamimalaysia/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.