Moving Forward As One

Nagara Rimba Nusa: Konsep Ibu Kota Indonesia Yang Baru Di Kalimantan

2,236

Presiden Indonesia yang ke-7, Presiden Joko Widodo telah mengumumkan projek pembangunan bandar berskala mega baharu yang dikenali sebagai Nagara Rimba Nusa. Projek itu bertujuan untuk mengalihkan ibu kota pentadbiran negara Indonesia yang terletak di wilayah Jakarta, Pulau Jawa ke wilayah Kalimantan Timur, Pulau Borneo.

Pembangunan yang menelan belanja sehingga 500 Trilion Rupiah atau USD $33 Bilion itu bakal menjadi ‘game changer’ baharu buat Indonesia, lebih-lebih lagi apabila pusat pentadbirannya bakal berada di ‘titik tengah’ yang strategik; khasnya dalam menghubungkan ribuan pulau yang berada di bawah jurisdiksi negara gergasi Asia dan ASEAN itu.

Projek itu dikatakan bakal didanai secara bersama oleh kerajaan Indonesia menerusi Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN), Kerjasama Pemerintah dan Badan Usaha (KPBU) dan pihak swasta.

Berdasarkan laporan BBC Indonesia; APBN dikatakan akan membiayai kira-kira 20% daripada nilaian keseluruhan pembangunan ibu kota negara itu, dengan anggaran kos sebanyak 100 Trilion Rupiah atau RM 28.4 Bilion.

Dari sudut pandang konsep reka bentuk pembangunan, pada tahun 2019; kerajaan Indonesia telah menobatkan pasukan Urban+ yang membawa pelan bernama ‘Nagara Rimba Nusa’ sebagai pemenang pertama di dalam pertandingan ‘design concept’ yang telah dianjurkan oleh Kementerian Pekerjaan Buruh dan Perumahan Rakyat (PUPR).

Pembikinan konsep rekaan yang diketuai oleh Sibarani Sofian selaku pengasas dan pengarah syarikat Urban+, dikatakan menepati tiga kriteria utama yang telah ditetapkan oleh penganjur.

Antara kriteria yang ditetapkan adalah; konsep itu harus meletakkan Ibu Kota Negara (IKN) baharu sebagai lambang identiti Bangsa Indonesia yang maju, selain pembinaan bandar yang mesra alam sekitar (environmental-friendly) dan dilengkapi dengan elemen-elemen futuristik yang bercirikan masa hadapan.
Baru-baru ini, iaitu pada 2 April 2021; Presiden Jokowi menerusi laman Facebook rasminya; telah memuat naik sebuah klip video berdurasi dua minit tujuh saat yang memaparkan rekabentuk awal ibu kota baharu negara itu.

Walaupun video itu hanyalah bersifat ‘pra-design’, ianya amat jelas kelihatan hala tuju kerja-kerja pembinaan ‘super-modern’ yang bersulamkan falsafah kenegaraan Indonesia.

Walau bagaimanapun, projek berskala mega yang strategik ini juga tidak terlepas daripada sebarang kritikan.

Kritikan itu datang daripada pelbagai pihak, khasnya pemimpin-pemimpin politik daripada parti pembangkang termasuk para ilmuwan dan sebilangan rakyat negara itu.
Rata-rata pengkritik yang mengkritik, meminta agar projek itu ditangguhkan seketika; setidaknya sehingga pandemik Covid-19 dapat dikawal dengan baik.

Projek itu masih berada di dalam fasa perancangan, yang mana Kerajaan Indonesia pimpinan Presiden Jokowi dilaporkan belum membentangkan Rang Undang-Undang khas berkait pembangunan projek itu di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk dibahas secara tuntas oleh sejumlah 575 orang Ahli Dewan.

Pun begitu, perbahasan itu dijangka tidak memberikan masalah buat Presiden Jokowi memandangkan kerajaan pimpinannya memiliki sokongan lebih daripada 2 per 3 Ahli Dewan DPR iaitu; 471 kerusi berbanding 104 ahli parti pembangkang.

Mungkin ramai dalam kalangan kita tertanya-tanya, apakah pemindahan ibu negara Indonesia itu dibuat atas tujuan strategik semata-mata ataupun terdapat beberapa alasan penting lain yang tidak dapat dielakkan?

Menurut Jokowi, pemindahan itu adalah suatu keputusan yang amat mendesak.

Selain kedudukan ibu negara baharu yang strategik, pemilihan wilayah Kalimantan Timur itu dibuat atas faktor keadaan geografi yang tidak memihak kepada Jakarta, khasnya berkait dengan isu bencana alam dan kepadatan semasa dengan lebih 10 juta populasi.

Seperti yang kita sedia maklum, pakar alam sekitar sebelum ini telah memberikan amaran bahaya kepada Indonesia; kira-kira 1 per 3 kawasan bandaraya itu bakal tenggelam menjelang tahun 2050. Situasi ini diburukkan lagi dengan keadaan fasiliti yang tidak seimbang, kesan daripada pembangunan pesat yang tidak terkawal.
Atas keterdesakan itu, kerajaan Indonesia pernah merencanakan beberapa projek penampan bagi melindungi wilayah Jakarta; antaranya projek pembinaan pulau buatan di teluk Jakarta dan pembinaan tembok besar di kawasan tepi pantai yang dianggar bernilai sebanyak USD $40 Bilion.

Namun projek seumpama itu dilihat sebagai tidak ‘relevan’ memandangkan projek pembinaan tembok konkrit penghadang yang telah dibina di kawasan kejiranan berisiko tinggi sejak beberapa tahun lalu tidak memberikan petunjuk positif.

Oleh hal yang demikian, pemindahan ibu kota adalah alternatif terbaik yang ada setelah mengambil kira pelbagai sudut.

Semestinya pemindahan ibu negara Indonesia bakal memberikan kesan ke atas Malaysia, khasnya melibatkan wilayah Sarawak dan Sabah seperti mana yang diperkatakan oleh penganalisis politik, Prof Madya Dr Hamidin Hamid. Beliau takrifkan senario itu sebagai ‘satu magnet yang amat kuat dalam konteks serantau’.
Sisi positifnya, wilayah Sarawak dan Sabah akan menerima ‘tempias’ daripada limpahan kepesatan aktiviti ekonomi yang bakal berlaku di kepulauan Borneo.

Ruangan komen telah ditutup.