Nabi Yusuf, Firaun Akhenaten, Al-Malikul Misr Dan Al-aziz.

0
1787
views

Di dalam surah Yusuf, difirmankan Allah swt tentang al-Aziz (pembesar Mesir) Di dalam surah ini, ada dua orang yang digelar al-Aziz, iaitu:

1. al-Aziz pertama: Qithfir, suami kepada Zulaikha.

Nabi Yusuf a.s dipenjara selama 14 tahun sebelum dibebaskan oleh ‘al-Malik’.

2. al-Aziz kedua: Nabi Yusuf a.s (surah Yusuf ayat 88).

Menggantikan posisi al-Aziz lama, iaitu Qithfir atau Potifar.

Dalam surah Yusuf, ayat 54:

وَقَالَ ٱلْمَلِكُ ٱئْتُونِى بِهِۦٓ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِى ۖ فَلَمَّا كَلَّمَهُۥ قَالَ إِنَّكَ ٱلْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ

Dan raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku”. Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: “Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami”.

Melalui ayat nombor 55 di dalam al-Quran, kitab suci umat Islam, difirmankan Allah swt tentang kisah Nabi Yusuf a.s menjadi bendaharawan negara Mesir:

قَالَ ٱجْعَلْنِى عَلَىٰ خَزَآئِنِ ٱلْأَرْضِ إِنِّى حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Berkata Yusuf : “Jadikanlah aku bendaharawan negeri Mesir. Sesungguhnya aku adalah orang-orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan”.

(surah Yusuf: 55).

Menurut Tafsir al-Jalalain, Nabi Yusuf a.s berpengetahuan dalam ilmu menulis dan al-hisab (matematik).

Dalam ayat 54 surah Yusuf ini, pemerintah Mesir digelar sebagai ‘al-Malik’ iaitu bererti penguasa. Bukannya gelaran sebagai Firaun. Mengapa pemerintah di Mesir pada waktu ini tidak memakai gelaran Firaun?

Kalaulah zaman Nabi Yusuf a.s adalah fasa Kerajaan Baru: New Kingdom (Zaman Dinasti Kelapan Belas), mengapa Akhenaten tidak digelar Firaun oleh Allah swt?

Jikalau Nabi Yusuf a.s hidup pada fasa sebelum Kerajaan Baru, iaitu pada fasa ‘Old Kingdom’ dan ‘Middle Kingdom’, dinasti yang mana satu disyaki dipimpin oleh ‘al-Malik’ tersebut?

Menurut pakar arkeologi merangkap Pengarah Umum Kajian dan Pembelajaran Arkeologi dan Saintifik Laut dan Sinai , Dr. Abdel Rahim Rihan, beliau berkata:

“Yusuf (a.s), tinggal di Mesir ketika zaman Dinasti Keenam Belas di bawah pemerintahan Raja Ibbabi I. Disebutkan juga di dalam kitab Taurat ‘al-Aziz’ sebagai Fotifar (Qithfir)”.

Sebuah makam ditemui dengan terpahat nama ‘Foti Fara’ yang dimana ia dikaji dari zaman Dinasti Ketujuh Belas.

Dinasti Ketujuh Belas merupakan zaman penaklukan bangsa Hyksos ke atas bumi Mesir. Kemungkinan ketika Nabi Yusuf a.s di dalam penjara, kepimpinan di ibukota Memphis telah ditukar dengan pentadbiran yang baharu oleh bangsa Hyksos. Setelah bangsa Hyksos menakluk ibukota Dinasti Keenam Belas dan menjatuhkan Fotifar, maka mereka membangunkan Dinasti Hyksos (Dinasti Ketujuhbelas) dan memerintah ibukota Mesir waktu itu, Memphis dan sekaligus menguasai wilayah Mesir Bawah.

Menurut Dr. Abdel, Nabi Yusuf a.s beserta bapa dan saudaranya tinggal di daerah Jushan atau Gasan (nama moden adalah Wadi al-Tumailat) iaitu sebuah kawasan lembah untuk pertanian yang tidak jauh dari kota Zagazig, al-Sharqeya iaitu di barat al-Ismailia.

Beliau juga berkata, ketika zaman Dinasti Hyksos, seluruh pemimpin dinasti tersebut tidak disebut sebagai Firaun melainkan dengan gelaran sebagai Raja atau ‘al-Malik’ kerana mereka merupakan dinasti bangsa asing yang datang menjajah bumi Mesir.

Melalui pendapat Dr. Abdel Rahim, bukti yang beliau kemukakan adalah berkenaan:

1. Period pemerintahan sebuah dinasti yang menggunakan gelaran Raja bukannya gelaran Firaun.

2. Penemuan sebuah makam yang menyatakan seorang manusia bernama Foti Fara yang namanya dicatatkan di dalam Perjanjian Lama (Taurat) sebagai Fotifar yang hidup bersama Nabi Yusuf a.s.

3. Fotifar diyakini hidup pada zaman terakhir Dinasti Keenam Belas sebelum dinasti ini jatuh ditakluk oleh bangsa Hyksos (Dinasti Ketujuh Belas).

4. Kawasan ‘nome’ (wilayah) yang diyakini sebagai lembah pertanian yang subur iaitu Gasan, merupakan salah satu kawasan yang subur dengan tanaman gandum dan tanaman-tanaman lainnya.

Ini boleh dirujuk melalui dari penulisan Bible dalam ‘Book of Genesis’ yang menyatakan wilayah ini dipanggil sebagai ‘The Land of Goshen’ yang tanahnya subur dengan perternakan dan pertanian.

Dari pendapat atau teori yang dikemukan oleh Dr. Abdel Rahim, kawasan yang diyakini adalah wilayah Gasan dan pemerintah tersebut yang mengangkat Nabi Yusuf a.s sebagai bendaharawan Mesir (Ghaza’inilardh dalam surah Yusuf ayat 55) adalah Raja Ibbabi I.

Pelbagai kontroversi atau teori yang melanda sejarah Nabi Yusuf a.s sepertimana sejarah Nabi Musa a.s seperti di mana lokasi kelahirannya, di mana lokasi dibesarkannya, di mana lokasi terakhir mereka dan banyak lagi. Dalam hal Nabi Yusuf a.s terdapat juga pendapat yang menyatakan baginda tinggal di kawasan Thebes, ibukota kedua Mesir setelah kejatuhan Dinasti Hyksos dan kembalinya pemerintahan Mesir ke tangan penguasa tempatan. Seperti yang diterangkan dalam bab Akhenaten, Nabi Yusuf juga disyaki hidup pada waktu itu dengan pelbagai bukti dari penemuan tablet Amarna dan pegangan agama yang dianuti oleh Akhenaten sendiri.

KEMARAU DAN KELAPARAN SELAMA 7 TAHUN.

Mimpi ‘al-Malik’.

“Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): ‘Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus, dan tujuh butir (gandum) yang hijau dan tujuh butir lainnya yang kering. Hai orang-orang yang terkemuka, terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kamu dapat mena’birkan mimpi’ (43).

Tafsir mimpi oleh Nabi Yusuf a.s:

Yusuf berkata: ‘Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa, maka apa yang kamu tuai (petik) hendaklah kamu biarkan kecuali sedikit untuk kamu makan. (47) Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari sedikit gandum yang akan kamu simpan. (48) Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa mereka memeras anggur.’

Kuatnya dalil-dalil dari kedua belah pihak ini dengan pelbagai sebab memungkinkan untuk para arkeologi dan sejarawan mencari bukti yang lain, bukti yang lebih tepat untuk mengenalpasti kelahiran Nabi Yusuf a.s, jarak yang ditempuhnya dari tanah Kana’an ke Mesir, siapakah di sebalik nama al-Aziz (wazir Mesir), siapakah pula nama pemerintah Mesir yang membebaskannya dan mengangkatnya sebagai bendaharawan negara, lokasi yang diyakini sebagai kawasan yang subur dengan pertanian yang memungkinkan Nabi Yusuf mengendalikan bekalan makanan yang cukup untuk rakyat Mesir pada waktu tersebut iaitu majoritinya adalah tanaman gandum dan catatan apakah yang pernah menyebutkan bumi Mesir dilanda musim kemarau dan kelaparan yang teruk selama 7 tahun lamanya.

Melalui dua watak pemerintah dari dua zaman yang berbeza iaitu Raja Ibbabi I (Dinasti Ketujuh Belas) dan Akhenaten (Dinasti Kelapan Belas) adapula bukti lain yang didapati daripada sebuah inskripsi dari zaman Dinasti Ptolemy.

Dalam sebuah buku bertajuk Ancient Egypt karya Farid Atiya, beliau menulis tentang adanya sebuah inskripsi batu yang dikenali sebagai Famine Stela telah ditemui di Pulau Sehel, Mesir. Di inskripsi batu tersebut memahatkan sebuah kisah melalui dari tulisan Hieroglif yang dipahat pada zaman pemerintahan Dinasti Ptolemy.

Inskripsi ini menceritakan tentang sebuah bencana kelaparan yang panjang melanda bumi Mesir pada zaman pemerintahan Djoser selama tujuh tahun lamanya. Akibat kemarau yang berpanjangan ini dan keringnya sungai Nil maka ramai masyarakat Mesir yang kelaparan dan terdesak melanggar peraturan dan berbuat kejahatan seperti mencuri gandum dari tempat penyimpanan makanan kerajaan. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Djoser sehingga akhirnya, Imhotep, pembantu kanannya menceritakan mimpi yang beliau bertemu dengan Dewa Khnum iaitu dewa yang bertanggungjawab dalam mengawal aliran sungai Nil. Djoser yang mengetahui tentang masalah ini terus memerintahkan para pendeta, para pekerja dan para hambanya untuk berangkat ke daerah kuno Elephanite yang dimana di kawasan ini berdirinya sebuah kuil yang ditinggalkan iaitu kuil Dewa Khnum. Setelah kuil ini diperbaiki dan masyarakat Mesir mula menyembahnya kembali, maka hujan pun turun dan aliran air di sungai Nil kembali seperti sediakala.

Melalui dari sebuah kisah dari surah al-Quran di dalam ayat Yusuf, kita dapat mengetahui gambaran bagaimana perjalanan hidup kisah seorang Rasul yang dibesarkan di bumi Mesir oleh seorang wazir, setelah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam sebuah perigi buta. Dan kisah selanjutnya membawa kita untuk menghayati nasib seorang hamba yang akhirnya menjadi seorang bendaharawan negara yang paling terkenal di dalam sejarah melalui kebijakan yang dilakukannya dalam mempersiapkan bekalan makanan berupa gandum dan lain-lain dalam sebuah gudang simpanan yang besar dan membahagikan makanan secara teratur kepada seluruh penduduk tempatan Mesir dan penduduk luar Mesir (Kana’an) tanpa berkurang sedikitpun. Kehebatan baginda Nabi Yusuf a.s telah menyelamatkan negara Mesir daripada hancur dibaham cuaca, menyebabkan ramai ahli arkeologi, sejarawan ingin mengkaji siapakah pemerintah pada masa itu dan bilakah berlaku musim kelaparan serta kemarau selama 7 tahun lamanya. Dengan mengetahui zaman tersebut, maka mereka akan mencari jawapan bagaimana kaedah atau cara yang digunakan oleh Nabi Yusuf dalam membahagikan makanan ke seluruh masyarakat selama tempoh waktu yang lama.

Sehingga ke hari ini, jawapan untuk mengetahui sejarah hidup yang mendalam di sebalik persoalan sosok Nabi Yusuf a.s masih misteri dan belum terungkai sepenuhnya.

Jadi kesimpulan jawapan dari pihak saya, Akhenaten berkemungkinan bukan ‘al-Malik’ yang difirmankan Allah swt di dalam Quran kerana tugu-tugunya masih wujud dan tidak dihancurkan pada zamannya. Jarak Kana’an dan wilayah Mesir Bawah (Memphis) pada zaman Dinasti Hyksos lebih dekat daripada jarak Kana’an dengan Mesir Atas (Thebes) dibawah pemerintahan Dinasti Kelapan Belas. Tanah di daerah di sekitar kota Memphis diyakini lebih subur daripada tanah di daerah sekitar kota Thebes. Teori dan pendapat Dr. Abdel Rahim lebih kuat menyatakan yang Raja Ibabbi I merupakan ‘al-Malik’ yang disebutkan di dalam al-Quran.

Dan… sejarah pasal Raja Ibabbi I sangat sedikit sumbernya.

Sebelum menutup artikel yang ringkas ini, saya ingin bertanya, bagaimana pula dengan pendapat anda pula?