Nabi Khidir A.S. Dalam Legenda Dan Sejarah Dunia

4,794

Sebut saja nama Nabi Khidir a.s, pasti ramai mengingati kisah pertemuan antara dua laut membabitkan baginda dengan Nabi Musa a.s seperti direkodkan dalam Surah al-Kahfi. Baginda bukan saja dikenali sebagai seorang nabi dan seorang yang bijaksana tetapi turut dikenali dalam pelbagai kepercayaan lain sebagai pelindung dan wali. Malah, kepercayaan lain turut mempunyai nama-nama lain terhadap baginda.

Sesetengah cendekiawan bukan Islam berpandangan watak Khidir itu sebenarnya jauh lebih tua dari apa yang disangkakan. Ada berpandangan kisahnya berdasarkan kisah Utnapishtim dari tamadun Mesopotamia, dewa kaum Kanaan Kothar-wa-Khasis atau dewi air golongan Majusi bernama Anahita.

Agama Nasrani menggelar baginda sebagai St George dan ada sesetengah cendekiawan Kristian berpandangan Khidir itu sebenarnya Nabi Ilyas a.s atau Elijah namun pandangan itu ditolak. Kepercayaan Eropah menggelarnya Lelaki Hijau (Green Man) sementara kelompok orang asli Amerika menggelarnya orang yang mempunyai banyak helah (trickster).

Pertemuan dua laut

Kisah pertemuan Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir a.s bermula selepas Nabi Musa mendakwa baginda merupakan orang yang paling pintar. Namun selepas berbicara dengan Allah s.w.t, baginda diberitahu ada seorang manusia yang jauh lebih bijak berbandingnya. Lalu baginda ditemani pembantunya bernama Yusha’ bin Nun berjalan ke satu tempat yang dikenali sebagai tempat pertemuan dua laut. Para ulama dan cendekiawan berbeza pendapat tentang lokasi sebenar tempat pertemuan dua insan istimewa itu. Yang pasti, bila mereka melalui kawasan pertemuan dua laut, ikan yang dibawa sebagai bekalan makanan tiba-tiba melompat masuk ke dalam laut.

Perkara itu tidak disedari Nabi Musa dan Yusha’ sehinggalah mereka berdua hendak berhenti melepaskan lelah dan menyediakan juadah makanan. Selepas melihat ikan itu tiada, barulah pembantu Nabi Musa itu perasan bahawa tempat ikan melompat itulah merupakan tempat pertemuan dua laut. Tanpa berlengah, kedua-duanya segera berpatah balik ke lokasi itu dan di situlah Nabi Musa a.s bertemu dengan Nabi Khidir a.s.

Sebelum mula mengembara, baginda memberi amaran kepada Nabi Musa a.s agar bersabar dengannya dan tidak bertanyakan banyak soalan, satu perkara yang dipersetujuinya. Pengembaraan mereka berdua ini menyaksikan Nabi Khidir melakukan sesuatu yang aneh tetapi jika dilihat secara tersirat, ia mengandungi kebijaksanaan dan ihsannya menerusi ilmu ladunni yang dikurniakan Allah s.w.t terhadap baginda. Tiga perkara pelik yang berlaku ialah baginda menebuk lubang perahu seorang nelayan yang ditumpangi mereka, membunuh seorang anak kecil dan membetulkan sebuah bangunan yang hampir menyembah bumi. Tiga perbuatan ini nyata mengundang reaksi kurang senang Nabi Musa disusuli dengan pertanyaan mengapa Nabi Khidir berbuat demikian.

Justeru pada akhir pengembaraan mereka, Nabi Khidir a.s memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Nabi Musa a.s seperti direkodkan dalam ayat 79-82, Surah al-Kahfi, “Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. Adapun si anak kecil itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.

Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.” Dalam agama Yahudi, kisah yang sama turut direkodkan mereka tetapi ia ditujukan kepada Nabi Ilyas a.s atau Elijah.

Khidir a.s dan legenda-legenda sufi

Berdasarkan kisah legenda seorang sufi, seorang dervish memujuk seorang raja untuk menyokongnya selama tiga tahun dan sebagai balasan, dia akan membawa Lelaki Hijau atau Khidir. Tetapi selepas tempoh yang dijanjikan itu selesai, dervish itu gagal memenuhi janjinya dan melarikan diri. Tatkala itulah, seorang lelaki berpakaian putih bertemu dengannya dan meminta dibawakan menghadap raja tersebut.

Sebaik dibawa menghadap baginda, sang raja meminta pandangan para menterinya berkenaan nasib yang harus diterima si dervish itu. Menteri pertama mencadangkan si dervish dicincang sampai mati, menteri kedua (direbus hingga mati), menteri ketiga (dicampak ke dalam dapur yang panas) dan menteri terakhir (meminta raja mengampunkan si dervish).

Kesemua syor yang dinyatakan mereka sebenarnya memberi petunjuk kepada latar belakang keluarga masing-masing. Lelaki berpakaian putih itu memberitahu latar belakang mereka: menteri pertama (anak seorang penjual daging), menteri kedua (anak seorang tukang masak), menteri ketiga (anak seorang pembuat roti) dan menteri keempat (anak seorang bangsawan).

Akhirnya, raja itu memutuskan untuk mengampunkan dervish tersebut bukan sahaja kerana mengikut syor menteri keempat tetapi percaya lelaki yang dibawa menghadap baginda itu ialah Nabi Khidir a.s. Dan mengikut janji asal mereka, dervish tersebut telah memenuhi janji yang dibuatnya sebelum ini.

Dalam satu legenda lain, Nabi Khidir a.s dikatakan telah menemui lokasi Air Kehidupan di sebelah timur dan pernah merasai air telaga itu. Pada satu ketika, baginda dikatakan berjalan di padang pasir dan menemui sebuah kolam yang telah kering. Khidir kemudiannya menjatuhkan seekor ikan kering dalam kolam berkenaan dan dengan izin Allah s.w.t, kolam tersebut mula dipenuhi dengan air.

Tatkala itulah, baginda sedar inilah Air Kehidupan lalu mendorongnya terjun ke dalam kolam dan menukar warna jubahnya kepada warna hijau. Baginda selalu dikaitkan dengan laut dan dikatakan menetap di sebuah pulau di tengah-tengah lautan.

Hari ini, ramai warga Arab Syria melihat baginda sebagai semangat laut dan wali di lautan. Nabi Khidir turut digelar sebagai ‘Lelaki yang berjalan di atas lautan’. Golongan Sufi memberitahu baginda banyak membantu manusia dari kelemasan, api, raja-raja dan jin yang jahat, ular dan kala jengking yang berbisa.

Baginda juga dianggap orang yang membantu melancarkan perjalanan manusia semasa mereka mengembara. Sebut pasal asal-usul baginda, wujud pelbagai teori siapa dirinya yang menghasilkan pelbagai legenda. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mengetahui siapa sebenarnya Khidir a.s.

RUJUKAN:

1. Miller, Mark. (2015). The Strange Life of Al-Khidr, the Legendary Immortal Prophet, Mystic, Trickster and Sea Spirit. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends/strange-life-al-khidr-legendary-immortal-prophet-mystic-trickster-and-sea-spirit-020673

2. Surah.my. Surah al-Kahfi. http://www.surah.my/18

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.