Moving Forward As One

Nabi Ishaq Ialah Nenek Moyang Bangsa Rom?

5,727

Terdapat dua contoh salasilah Iskandar Agung Makaduniah (Alexander The Great) yang kita rata-rata temukan iaitu seperti berikut:

1) Iskandar bin Filibish bin Mithubin Rum bin Lantha bin Yunan bin Yafith bin Yunah bin Syarkhun bin Raumah bin Syaifit bin Taufi’ bin Rum bin al-Asfar bin Yaqus bin al-‘Is bin Ishaq bin Ibrahim.

2) Iskandar bin Filibish bin Batrius bin Hurmus bin Hurdus bin Manthun bin Rum bin Lathin bin Yunan bin Yafith (terputus dan dari sini hanya ditulis) yang mencapai sehingga al-‘Is bin Ishaq bin Ibrahim.

Kedua-dua salasilah Iskandar ini jika diteliti tidak boleh diterima bulat-bulat. Ini kerana ia menggabung dan menunggangterbalikkan dua salasilah yang mempunyai asal yang berbeza dan tidak selari.

Dalam pada itu, kita boleh membahagikan kedua-duanya kepada dua jalur salasilah yang berbeza iaitu:

i) Jalur Eurasia; keturunan Yafith bin Nuh iaitu,

Iskandar bin Filibish bin Mithubin bin Lantha bin Yunan bin Yafith bin Nuh; dan,

Iskandar bin Filibish bin Batrius bin Hurmus bin Hurdus bin Manthun bin Rum bin Lathin bin Yunan bin Yafith bin Nuh, dan

ii) Jalur Semitik; keturunan Sam bin Nuh iaitu,

Yunah bin Syarkhun bin Raumah bin Syaifit bin Taufi’ bin Rum bin al-Asfar bin Yakus bin al-‘Is bin Ishaq bin Ibrahim.

Kesilapan ahli sejarah seperti yang saya telah nyatakan adalah apabila mereka menindihkan salasilah dari jalur i dengan jalur ii lalu menakwilkan bahawa kesemua orang Romawi (Latin-Yunani) adalah berketurunan al-‘Is bin Ishaq.

Namun pada hakikatnya seperti yang kita maklum orang Romawi secara mutlak adalah berketurunan Yafith bin Nuh dari jalur bapa seperti yang turut ditegaskan oleh pelbagai hadith nabawi dan atsar para sahabat, sedangkan al-‘Is bin Ishaq adalah jelas daripada nasab Sam bin Nuh.

Kekeliruan ini sebenarnya berpunca daripada kesilapan penakwilan terhadap pelbagai riwayat Israiliyyat yang menyatakan bahawa ada keturunan al-‘Is yang telah berhijrah ke Rum, menjadi raja di Rum, dan menurunkan bangsa Romawi, sedangkan ini perlu difahami dengan konteks “sebahagian”.

Kesilapan inilah juga yang menjadi punca bagi ahli sejarah untuk meletakkan Nabi ‘Ayyub yang juga berketurunan Amwas bin Zarih bin Ra’il bin al-‘Is bin Ishaq sebagai nenek moyang kepada orang Romawi sedangkan baginda adalah pendatang yang berhijrah ke bumi yang sudah dihuni oleh orang Romawi yang berketurunan Yafith.

Selain daripada Nabi ‘Ayyub, menurut riwayat-riwayat Isra’iliyyat wujud juga keturunan lain al-‘Is yang turut pergi ke Rum termasuk ke Rum Barat (Roma), dan ini termasuklah dalam riwayat yang dinukilkan oleh al-Tabari. Tokoh yang dimaksudkan antara yang jelas adalah salah seorang anak Ilfaz bin al-‘Is yang bernama al-Asfar atau Sayfur (Zepho).

Al-Asfar inilah yang masyhur dinyatakan telah pergi ke Mesir pada sekitar zaman Nabi Yusuf kemudian diangkat menjadi raja kepada anak cucu Tubal bin Yafith bin Nuh di Pulau Kitti (Crete atau Cyprus) dan menakluk seluruh kepulauan sekitarnya. Dari Kitti beliau kemudian berhijrah ke lembah Tiber-Latin dan mengasaskan Kota Roma (Rome).

Menurut salasilah 1, beliau dikatakan merupakan bapa kepada Raumah (Remus), yang melahirkan Syarkhun (Saturnus), yang melahirkan Yunah (Jaunus), iaitu masing-masing adalah legenda dan dua dewa penting yang mengambil bahagian dalam penubuhan Kota Roma, manakala bapa al-Asfar sendiri ditulis sebagai Ya’uz atau Yaquz iaitu sama ada Zeus atau Kronos.

Ini menunjukkan bahawa ahli sejarah telah mencampuradukkan nama tokoh bersejarah yang benar-benar wujud dalam riwayat nabi-nabi dengan nama-nama nenek moyang mitos dari kalangan dewa-dewa Romawi.

Unsur mitos ini juga boleh ditemukan pada salasilah 2 kerana nama Batrius (Petrus), Hurmus (Hermes) dan Hurdus (Heracles?) ‘nenek moyang’ Iskandar tidak lain tidak bukan adalah nama-nama dewa-dewa mitologi Romawi yang dianggap sebagai leluhur bangsa.

Ini telah mewujudkan satu sela besar bagi salasilah-salasilah yang berkenaan untuk mencapai kepada nama Yafith bin Nuh. Juga, berdasarkan pencemaran unsur mitologi didalam salasilah nasab tersebut akan timbul pula tanda-tanya apakah kisah al-Asfar menjadi raja bangsa Romawi itu benar-benar berlaku atau sekadar dongeng Isra’iliyyat yang dilebih-lebihkan?

Dalam pada itu, kita juga tidak dapat menafikan kemungkinan bahawa pertindihan dua salasilah ini dapat dijustifikasi atau diterima namun secara bersyarat atau berkonteks iaitu melalui kewujudan persemendaan diantara nasab al-‘Is bin Ishaq bin Ibrahim dengan nasab bangsa Romawi keturunan Yafith bin Nuh.

Kembali kepada salasilah-salasilah yang dinyatakan, Raumah (Remus) pada hakikatnya adalah individu yang berbeza daripada Rum, dan Rum pula di situ ada dua, iaitu Mathiyubin Rum bin Lantha (Latin) keturunan Yafith dengan Rum bin al-Asfar keturunan Sam. Berkemungkinan besar ahli sejarah juga telah keliru dengan mencampuradukkan nasab dua Rum yang berbeza ini.

Secara objektif salasilah-salasilah bermasalah yang disebutkan tadi tidak dapat dibuktikan dengan nyata, disusun secara tidak sempurna, menimbulkan kekeliruan, justeru tidak boleh berdiri sendiri tanpa disokong oleh sumber lain untuk menjadi suatu dalil sejarah yang muktamad.

Kepentingan pernasaban Bangsa Romawi dan keturunan Bani Ishaq ini sebenarnya agak penting dalam ilmu eskatologi. Ini kerana menurut pelbagai hadith dan atsar berkenaan akhir zaman seperti al-Malhamatul Kubra, Pembukaan Qastantaniyyah, keluarnya Dajjal dan turunnya Nabi ‘Isa, ia akan melibatkan watak-watak yang sudah kita bicarakan.

Bani Asfar yang dinyatakan sebagai bangsa Romawi yang akan bersekutu dan menyerang umat Islam pada peristiwa al-Malhamatul Kubra tidak lain tidak bukan adalah sebahagian pembesar rantau Eropah yang mempunyai darah campuran nasab al-Asfar bin al-‘Is bin Ishaq. Manakala Bani Ishaq pula adalah keturunan induk al-‘Is bin Ishaq yang pada hari ini sudah menjadi masyarakat Arab Musta’ribah yang tinggal di sekitar bumi Sham dan Hijaz di Semenanjung Tanah Arab.

Bani Ishaq inilah yang disebut didalam hadith sebagai penunggang kuda dari Madinah dan manusia terbaik yang wujud di muka bumi pada waktu tersebut, berjihad bermati-matian melawan tentera Romawi sehingga imam mereka al-Qahtan jatuh shahid, meneruskan legasinya dengan menakluk Qastantiniyyah, berhadapan dengan fitnah dajjal, menyambut kedatangan semula Nabi Isa alaihissalam dan berhadapan dengan Ya’juj dan Ma’juj.

Semua ini akan berlaku setelah kemusnahan bangsa Arab dari jurai Hashimi, Mudhari dan Qahtani.Apakah peristiwa-peristiwa besar ini merupakan futuhat dan petanda kepada terkabulnya do’a Nabi Ya’qub kepada al-‘Is bahawa zuriat keturunannya suatu hari nanti akan memenuhi muka bumi dan tidak akan pernah dapat dikuasai atau dikalahkan oleh mana-mana bangsa lain?

Salasilah Nabi Ishaq A.S

Wallahua’lam

Ruangan komen telah ditutup.