Nabi Ibrahim Menghidupkan Burung Yang Telah Mati

366

Kita semua meyakini bahawa suatu saat nanti kita semua pasti akan kembali dibangkitkan setelah mati untuk menerima balasan terhadap segala perbuatan yang telah kita lakukan. Kita percaya bahawa Allah berkuasa untuk menghidupkan kita semula dalam bentuk seperti sediakala sekalipun jasad kita telah hancur dimamah bumi.

Tetapi pernah tak kita terfikir tentang bagaimana cara Allah menghimpunkan segala tulang, daging, organ dan segala yang ada pada badan kita ini setelah ianya hancur? Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam Surah al-Baqarah pada ayat ke-260.

Allah s.w.t. telah menceritakan kisah Nabi Ibrahim a.s.  yang pada satu ketika meminta kepada Allah supaya ditunjukkan kepada baginda tentang bagaimana caranya Allah akan membangkitkan makhluk yang telah mati di hari kiamat kelak.

Baginda bersabda, “Ya Rabbku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan sesuatu yang telah mati.” Permintaan ini bukan bermakna Nabi Ibrahim meragui kekuasaan Allah, sebaliknya kerana baginda ingin melihat sendiri proses kebangkitan makhluk yang telah mati. Baginda ingin tahu bagaimana jasad manusia yang telah hancur, boleh dibangkitkan seperti sediakala di akhirat nanti.

Allah bertanya kepada Nabi Ibrahim, “Belum percayakah kamu?” Daripada soalan Allah ini barulah kita dapat fahami tentang keadaan sebenar Nabi Ibrahim. Baginda bertanya bukanlah kerana ragu-ragu, sebagaimana Allah bertanya bukanlah kerana tidak tahu. Tetapi kesemuanya ini berlaku adalah sebagai iktibar buat kita semua.

Baginda menjawab, “Bahkan aku mempercayai, tetapi supaya hatiku menjadi tenang.” Maknanya, baginda ingin melihat supaya dapat fahami dengan lebih mendalam berkenaan proses menghidupkan sesuatu yang telah mati. Percaya, baginda memang percaya. Yakin, baginda memang yakin. Tetapi bagaimana caranya?

Para ulama mengatakan bahawa baginda ingin meningkatkan tahap keyakinan hati baginda, daripada ‘ilmul yaqin’ kepada ‘ainul yaqin’. Ilmul yaqin itu adalah keyakinan berdasarkan ilmu atau teori. Manakala ainul yaqin itu adalah keyakinan yang diperolehi apabila perkara itu telah jelas di hadapan mata, dan sudah pastinya ia dapat menambahkan keimanan yang sedia ada.

Umpama saintis yang mengkaji sesuatu lalu dibuat beberapa teori, apabila teori itu berjaya dibuktikan dan menjadi fakta saintifik, maka bertambah yakinlah saintis itu dan dapat meyakinkan orang lain pula.

Allah menjawab, “Ambil empat ekor burung, maka cincangkanlah kesemuanya. Lalu letakkan setiap satu bahagian burung itu di atas setiap bukit. Kemudian serulah kesemuanya, nescaya mereka datang kepadamu dengan pantas.” Di sini, para ulama berbeza pendapat dalam memahami kalimat ‘fasurhunna ilaika’ sama ada ia bermakna ‘potong’, ‘ikat’ atau ‘jinak’.

Maka Nabi Ibrahim pun menyahut seruan Allah ini dengan mengambil empat ekor burung, lalu menyembelihnya. Apabila burung-burung tersebut telah mati, baginda mencincang daging-dagingnya dan mencampurkan kesemuanya menjadi satu.

Setelah itu, baginda meletakkan sedikit demi sedikit bahagian daging cincang itu di atas beberapa buah bukit. Secara literal kita dapat fahami bahawa semestinya bukit itu berjumlah empat buah. Namun ada juga ulama yang mempunyai pandangan berbeza dengan mengatakan bahawa jumlahnya adalah tujuh buah bukit.

Ulama juga berbeza pendapat mengenai empat ekor burung tersebut tentang spesisnya. Tetapi lebih baik untuk kita tak fikir dan tak bincang pun tentang perkara itu kerana jika betul ia penting, maka sudah pasti Allah menerangkannya dalam ayat tersebut.

Setelah diletakkan di atas beberapa buah bukit yang berbeza, Nabi Ibrahim kemudian menyeru burung-burung tersebut. Lalu dengan izin Allah, daging, bulu dan darah burung-burung itu berpisah daripada campuran tadi lalu bergabung dengan bahagian badan yang asal sehingga menjadi bentuk burung seperti sediakala, sehingga kembalilah empat ekor burung berterbangan kembali kepada Nabi Ibrahim.

Namun bagi ulama yang mentafsirkan kalimah di atas itu tadi sebagai ‘jinak’, maka kisah ini perlu difahami dengan cara yang berbeza. Iaitu Nabi Ibrahim diminta untuk membela dan memelihara empat ekor burung sehingga kesemuanya menjadi jinak.

Lalu setiap seekor burung itu diletakkan di atas empat buah bukit yang berbeza. Setelah itu, Nabi Ibrahim pun menyeru mereka dari kejauhan. Maka kerana rindukan dan taat kepada tuan yang telah menjaga mereka, maka burung-burung itu pun terbang dengan pantas kembali kepada Nabi Ibrahim.

Mana satu tafsiran yang lebih tepat? Hanya Allah yang tahu. Kisah yang pertama menunjukkan kepada kita tentang mukjizat yang Allah kurniakan buat para Nabi. Manakala kisah kedua pula bermain dengan logik akal tanpa melibatkan mukjizat. Namun begitu, kesimpulan daripada kisah tersebut tetap sama iaitu Allah berkuasa menghidupkan sesuatu yang telah mati, dan Allah telah menunjukkan caranya kepada Nabi Ibrahim a.s. supaya baginda bertambah yakin.

Sama ada secara literal iaitu kesemua makhluk yang telah hancur, Allah mampu untuk mengembalikan semuanya kepada tubuh masing-masing sehingga menjadi seperti bentuk yang asal, ataupun secara kiasan iaitu sebagaimana burung yang telah jinak, Allah berkuasa untuk mengembalikan manusia kepada Tuhannya.

Maka daripada kejadian tersebut, sudah pasti bertambahlah keyakinan Nabi Ibrahim a.s., dan kita pun dapat memahami bagaimana proses tersebut akan berlangsung. Secara peribadi, penulis memilih pandangan yang pertama kerana ia sesuai dengan pandangan majoriti ulama bahawa burung-burung itu memang telah mati kemudian dihidupkan.

Namun penulis juga menghormati pandangan kedua yang juga kuat iaitu burung itu kembali kepada Nabi Ibrahim kerana ia jinak, sama seperti roh yang akan kembali kepada tubuh masing-masing lalu menuju Tuhan yang telah menciptakannya.

[Sirah adalah untuk difahami dan dijadikan iktibar, bukan untuk diperdebatkan dan menyalahkan]

RUJUKAN:

HAMKA (1982), Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas: Jakarta

Ismail Ibnu Kathir (2013), Kisah Para Nabi, Klang Books Centre: Selangor

Ismail Ibnu Kathir (2003), Tafsir Ibnu Kathir, Pustaka Imam Syafie: Jakarta

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.