Muzium – Muzium Titanic: Memori Abadi Titanic Hingga Kini

575

Peristiwa Titanic sememangnya memberi impak terhadap dunia. Jadi untuk mengelakkan peristiwa ini luput ditelan zaman, terdapat beberapa buah tempat diabadikan sebagai muzium bagi memperingati peristiwa ini.

MUZIUM TITANIC BELFAST, IRELAND UTARABelfast ialah ibu negara bagi Ireland Utara. Belfast juga merupakan tempat kelahiran bagi kapal Titanic ini. Pada 2012, sempena ulang tahun ke seratus peristiwa ini, Muzium Titanic Belfast telah dibina dan betul-betul terletak di Belfast Lough  di mana ia merupanya laluan keluar masuk kapal sejak dahulu termasuk Titanic. Setelah ia siap dibina, muzium ini telah dinobatkan sebagai Muzium Titanic terbesar di dunia.

Ruangan muzium ini menempatkan kronologi sejarah pembinaan Titanic, peristiwa Titanic dan penemuannya semula. Juga, di dalam muzium ini terdapat sebuah galeri yang menempatkan penemuan semula Titanic oleh Dr Robert Ballard.

Kira-kira 200 meter dari sini, turut menempatkan sebuah hotel yang diberi nama Titanic Hotel Belfast. Hotel ini didirikan di dalam bangunan pereka kapal White Star Line dan juga di sini jugalah pelan-pelan kapal Titanic sebelum ianya dibina dilukis.

Merseyside Maritime Museum,Liverpool.

Terdapat sebuah ruangan di dalam muzium ini  dikhaskan untuk Titanic. Ianya sejajar dengan Bandar Liverpool yang merupakan bandar maritim di England satu ketika dahulu. Liverpool juga merujpakan Port Of Registry bagi kapal-kapal dagang dan penumpang termasuklah Titanic.

Antara tarikan utama muzium ini ialah sebuah model Titanic yang dibina oleh syarikat pembina Titanic sendiri, iaitu Syarikat Harland And Wolff.

Seacity Museum, Southampton

Southampton merupakan tempat Titanic berlabuh untuk mengambil penumpang di Pelabuhan Southampton. Sempena ulang tahun ke 100 peristiwa ini, Seacity Museum telah dibina yang terletak berhampiran dengan Pelabuhan tersebut.

Terdapat sebuah ruangan yang dinamakan Southampton’s Titanic Story yang memaparkan kisah Titanic dari kaca mata kru-kru mereka. Ini kerana kebanyakan kru Titanic merupakan anak jati Southampton. 

Terdapat sebuah bilik yang direka semula mengikut suasana ketika Inkuiri Titanic oleh Kerajaan British dijalankan. Turut dipaparkan kepada pengunjung ialah rakaman pengalaman m4ngs4 sebenar Titanic semasa malam kejadian.

Terdapat juga sebuah bahagian di mana pengaruh Titanic di dalam industri perfileman untuk para pengunjung. Ini termasuklah antara filem terawal yang menjadikan Titanic sebagai plot cerita, iaitu filem In Nacht Un Eis , sebuah filem Jerman yang ditayangkan 4 bulan selepas peristiwa Titanic.

TITANIC MUSEUM PIGEON FORGE, TENNEESEEE  & BRANSON,MISSOURI

Di Amerika Syarikat juga terdapat beberapa buah muzium yang bertemakan Titanic. Muzium yang disiapkan pada 2010 ini menempatkan lebih 400 artifak sebenar dari kapal Titanic. Ini termasuk biola yang dimainkan oleh Wallace Hartley, pemain biola Titanic ketika detik-detik akhir sebelum Titanic tenggelam.

Muzium ini juga turut menempatkan lego Titanic terbesar di dunia dan juga replika tangga utama kelas pertama RMS Titanic. Replika kamar kelas pertama yang diinap oleh John Jacob Astor IV, penumpang terkaya di atas kapal turut dimuatkan di pameran ini. Di bahagian lain, kamar kelas ketiga (seperti bilik Jack Dawson dalam Titanic James Cameron) juga turut dipamerkan

 

Di Muzium Titanic Branson, pengunjung berpeluang untuk merasai bagaimana keadaan sebenar semasa malam kejadian. Pengunjung juga turut diberi peluang untuk merasai aisberg dengan suhu yang sama ketika malam kejadian.

Di akhir bahagian pameran, pengunjung diperlihatkan senarai penumpang yang terselamat dan terk0rb4n di dalam kejadian itu.

TITANIC AT LUXOR, LAS VEGAS.

Di sebalik kemeriahan kota perjudian ini, Las Vegas turut menempatkan pameran Titanic yang terletak di Luxor. Pameran ini mengandungi 250 artifak yang dibawa dari lokasi bangkai kapal Titanic.

Juga turut dipamerkan di sini ialah sebuah artifak yang dipanggil Big Piece. Big Piece merupakan artifak terbesar yang pernah dibawa naik. Big Piece ialah sebahagian dari dinding kapal yang dibawa naik pada 1998.

Antara artifak yang lain ialah sebotol champagne dari Titanic yang masih tidak terusik, replika seratus peratus tangga utama kelas pertama Titanic, beberapa botol kecil minyak wangi yang belum dibuka dan jaket-jaket keselamatan Titanic.

Di sini, turut dibina replika asal ruang pesiar kelas pertama bagi merasai detik-detik kejadian pada malam itu.

LAUTAN ATLANTIK

Sejak Titanic ditemui pada 1985, ramai pengembara, pengkaji Titanic telah “turun” melawat lokasi Titanic di Atlantik Utara. Ada juga sesetengah pihak menawarkan pakej kepada orang ramai untuk melawat Titanic.

Contohnya pada tahun 2018, Syarikat OceanGate membuka 6 ekpedisi untuk melawat Titanic. Namun, kuota ini hanya tertakluk kepada beberapa orang sahaja. Para peserta hendaklah sihat tubuh fizikal dan mental.

Di samping itu, peserta juga perlu membayar 83 000 Pound ( RM 452 Ribu) untuk ekspedisi ini. Ekspedisi ini khabarnya telah ditempah penuh dan para peserta yang bertuah ini akan melihat Titanic dari mata mereka sendiri sebelum Titanic “hilang” pada 2030 nanti.

KESIMPULAN

Pameran-Pameran Muzium Titanic ini meninggalkan memori abadi buat Titanic. Setidaknya, apabila Titanic “hilang” pada 2030 nanti, ada juga peninggalan dari kapal itu untuk tatapan pengunjung dari seluruh dunia.

Sebenarnya, pameran Titanic ini tidaklah berada di United Kingdom atau Amerika Syarikat sahaja. Ada sebuah pihak, Titanic Exhibition yang bekerjasama dengan National Geography bertanggungjawab untuk melakukan pameran Titanic di seluruh dunia.

Antara bandar yang pernah dilawati oleh mereka ialah Sydney, Taipei, Tokyo, Beijing, Shenzhen, Rome dan banyak lagi. Malah, negara jiran kita, Singapura dan Thailand juga pernah menjadi lokasi pameran Titanic tidak lama dahulu. Agaknya bila giliran Kuala Lumpur pula?

 

 

 

 

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.