Muzium Kesenian Islam Malaysia

321

Setiap kali ke Kuala Lumpur, jika ditanya tentang muzium, pasti jawapan pertama yang terpacul ialah Muzium Negara. Ya, Muzium Negara sememangnya menjadi destinasi utama bagi para pencinta ilmu terutama pencinta sejarah.

Tetapi sayang seribu kali sayang, nama Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) jarang meniti di bibir pengunjung bila datang ke Kuala Lumpur. Padahal, muzium ini juga memberi sumbangan yang signifikan bukan saja kepada negara tetapi juga kepada umat Islam amnya.

Idea penubuhan muzium ini sebenarnya telah dimulakan menerusi Pameran Dunia Tamadun Islam yang diadakan di Pusat Islam, Kuala Lumpur pada tahun 1994. Pameran itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung ketika itu. Justeru, ia mencetuskan idea keperluan sebuah pusat pembelajaran dan penyelidikan tetap bagi memelihara sejarah dan warisan umat Islam.

Dan ini membawa kepada penubuhan MKIM yang siap dibina pada tahun 1998 hasil sumbangan Yayasan al-Bukhary. MKIM merupakan manifestasi komitmen yayasan berkenaan dalam memelihara budaya, warisan dan sejarah Islam.

Muzium yang menelan belanja sebanyak RM50 juta ini dibina dengan kerjasama kerajaan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Muzium ini berperanan sebagai menyimpan, pembaik pulih, pemuliharaan dan pendidik kesenian Islam agar generasi alaf baru tidak terasing untuk mengamati dan menghargai kesenian Islam yang berharga ini.

Jalan masuk ke muzium ini dihiasi dengan sebuah pintu gerbang yang indah dan megah yang dikenali sebagai iwan. Iwan merupakan corak rekaan jubin mozek yang indah dengan bentuk hiasan seni bina yang berasal dari zaman pra-Islam Sasania.

Iwan ini direka dalam bentuk abstrak tanpa dewan kubah dan pintu gerbang yang runcing dan menggambarkan peranan muzium ini yang bukan setakat sebagai institutsi keagamaan Islam semata-mata tetapi turut menggalakkan penhayatan nilai estetik.

Lima buah kubah yang indah membentuk elemen utama bangunan muzium ini. Bahagian dalaman empat daripada lima buah kubah tersebut dihiasi dengan warna-warna cerah seperti terracotta, biru dan gandaria serta sepuhan emas. Kubah kelima pula direka secara terbalik dan dihiasi pula dengan ukiran arabes, hiasan bersepuh emas dan medallion cermin.

MKIM mempunyai keluasan 270,000 kaki persegi dan terbahagi kepada empat tingkat yang dikhususkan kepada dua tingkat untuk galeri tetap dan juga dua galeri istimewa untuk pameran sementara. Galeri-galeri utama bermula daripada Aras 3 dengan Galeri Seni Bina yang mempamerkan beberapa model monumen agung, jubin dan hiasan seni bina dalam era Islam.

Quran Berhias Keemasan. Bukhara, Uzbekistan.
Sekitar pertengahan abad ke-19
Galeri Quran dan Manuskrip.
Al-Quran biru dari Afrika Utara yang boleh didapati di muzium ini.

Sementara Galeri al-Quran dan Manuskrip mempamerkan Quran-Quran dan kitab-kitab keagamaan dan sekular, lukisan miniature, karya-karya perubatan, astrologi serta puisi dari pelbagai wilayah. Turut terdapat di bahagian ini ialah Galeri Dunia Melayu, Galeri India dan Galeti Cina yang mewakili kelpelbagaian budaya di Malaysia.

Galleri Dunia Melayu.

Di Aras 4 pula terdapat Galeri Seramik dan Barangan Kaca, Galeri Hasil Kerja Logam, Galeri Kelengkapan Senjata, Galeri Barang Kemas, Galeri Mata Wang dan Galeri Tekstil.

Galeri Seramik dan Barangan Kerja mencerminkan wawasan gaya dan teknik hiasan berbeza pada setiap artifak mengikut tahap kemasyhurannya sementara Galeri Hasil Kerja Logam pula memberi tumpuan kepada inovasi hiasan berciri Islam dan kehebatan bahan- bahan yang digunakan.

Galleri Kelengkapan Senjata.
Pedang Uthmaniyah yang boleh didapati di sini.

Manakala di Galeri Kelengkapan Senjata pula, para pengunjung berpeluang melihat senjata dan pakaian pelindungan masyarakat Islam pasti terpukau dengan susunan perhiasan yang berkilauan daripada empayar agung dan juga kumpulan suku kaum Islam.

Galeri Mata Wang pula mempamerkan satu himpunan besar mata wang dari segenap pelosok dunia Islam, manakala Galeri Tekstil mempamerkan fabric dan pakaian kelengkapan berciri keislaman yang mewah.

Kini, tambahan baru muzium ialah sebuah perpustakan yang diberi nama Perpustakaan Cendekiawan Yayasan Albukhary. Perpustakaan itu mempunyai koleksi lebih 20,000 naskhah buku dan jurnal dari seluruh dunia.

Dihasilkan dalam pelbagai bahasa dan meliputi beraneka disiplin, naskhah berkenaan turut meliputi bidang kesenian dan seni bina Islam, sejarah, agama, bibliografi, sains perpustakaan, bahasa dan kesusasteraaan, yang turut memberi penekanan terhadap bidang falsafah, sains, per-ubatan, sosiologi, antropologi, ketenteraan serta sains dan teknologi. Kemudahan terbaru itu juga mempunyai bahagian khas yang menempatkan penerbitan nadir dan edisi terhad termasuk buku yang dicetak pada awal abad ke-17.

Promosi Buku DTT

Ketika ini, MKIM merupakan hos kepada dua pameran. Pameran pertama ialah Pameran Haji: Perjalanan Merentas Zaman. Pameran ini meneroka sejarah ibadat haji, perjalanan haji ke kota suci Makkah al-Mukarramah dan bagaimana ritual ibadat itu dilakukan melalui gambar-gambar arkib, lukisan minyak yang menarik dan rekod sejarah.

Siri pameran ini menerangkan bagaimana perjalanan haji dilakukan pada masa silam termasuk perjalanan yang mencabar merentasi bumi Hijaz sebelum kewujudan kenderaan moden hari ini. Pameran ini berlangsung dari 13 Disember 2019 hingga 13 Mac 2020.

Pameran kedua yang dihoskan oleh MKIM ialah Pameran Pengenalan Kaligrafi Islam yang berlangsung dari 21 Januari 2020 hingga 31 Mei 2020.

Pameran ini bukan saja menyentuh sejarah kaligrafi tetapi turut menyentuh sumbangannya kepada dunia Islam selama satu alaf. Kebanyakan gaya kaligrafi yang diketahui seperti Khufi, Rayhani dan Thuluth telah dibangunkan selama bertahun-tahun oleh pakar-pakar yang terkenal dan digunakan dalam hiasan seni yang mengagungkan kebesaran Kalamullah.

MKIM telah mendapat pelbagai pengiktirafan yang memberangsangkan dari pelbagai pihak. Antaranya adalah seperti berikut:

2014 – Platinum Award-Tourist Attraction (Culture, Arts and Heritage) Category – dianugerahkan oleh Kuala Lumpur Mayor’s Tourism Award.

2014 – Top 10 Travellers’ Choice Museums (10th in Asia) – dianugerahkan oleh TripAdvisor.

2015 – Top 10 Travellers’ Choice Museums (10th in Asia) – dianugerahkan oleh TripAdvisor.

2017 – Malaysia Tourism Quality Awards.

Bagi para pelawat yang ingin mengunjungi MKIM, pelawat dewasa dikenakan tiket berharga RM14.00, pelajar yang datang dengan pas pelajar (RM7.00) dan warga emas berumur 55 tahun ke atas (RM7.00). Manakala kanak-kanak yang berusia enam tahun ke bawah dibenarkan masuk secara percuma.

Sekiranya Galeri Khas tidak dibuka, MKIM mengenakan tiket berharga RM12.00 dan RM6.00 mengikut kategori yang dinyatakan. MKIM dibuka setiap hari dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.