Mesir merupakan tanah bumi anbia yang mempunyai pelbagai tarikan tersendiri termasuk nilai sejarah silamnya. Dari Tamadun Mesir Purba hinggalah Empayar Turki Uthmaniyyah, bumi ini menyimpan pelbagai cerita menarik untuk tatapan pengunjung.

Bagi yang meminati sejarah Tamadun Mesir Purba, tidak sah jika tidak berkunjung ke Muzium Mesir di Kaherah. Kini, sebuah lagi muzium akan menjadi tumpuan para pelancong bila mereka berada di Giza iaitu Muzium Besar Mesir (GEM) atau Muzium Giza.

Projek ini sebenarnya sudah dirancang sejak tahun 2002 lagi sebagai sebahagian daripada visi Mesir 2050 oleh Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak. Tetapi ia sentiasa tertangguh akibat pelbagai masalah termasuk pertukaran rejim sehingga mengakibatkan rancangan membukanya pada tahun 2015 gagal dilaksanakan.


Tetapi selepas berbelanja $1 bilion, ramai menjangkakan GEM akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun hadapan. Bagi Menteri Antikuiti Mesir, Khaled el-Enany menyifatkan muzium ini sebagai hadiah Mesir kepada dunia. Dijangkakan GEM akan menarik lima juta pengunjung setiap tahun sekaligus merangsang sektor pelancongan Mesir dan seterusnya kantung kewangan negara itu.

Tugu Firaun Ramses II yang akan menyambut tetamu

Apabila muzium ini siap dan dibuka kepada orang ramai pada tahun hadapan, pengunjung akan disambut dengan tugu Firaun Ramses II setinggi lebih sembilan meter dan seberat 83 tan. Muzium yang berkeluasan 500,000 meter per segi itu dijangka menempatkan 100,000 artifak berharga termasuk artifak-artifak milik Firaun Tutankhamun, kebanyakannya dipamerkan buat kali pertama.

Rekaan penebat konkrit muzium mampu mengatasi cabaran suhu padang pasir di mana bumbung boleh mencecah suhu 70 darjah Celsius sekaligus membolehkan suhu dalaman muzium dan artifak berharga pada suhu 23 darjah Celsius. Muzium itu turut menempatkan sebuah panggung 3D yang 250 tempat duduk dan sebuah muzium kanak-kanak.

Antara 5,400 artifak milik Tutankhamun yang akan dipamerkan di GEM ialah tiga buah keranda dan sebuah topeng kematian milik baginda. Salah satu daripadanya ialah sebuah keranda bersadur emas baginda yang dikeluarkan dari Lembah Raja-Raja, Luxor di mana ia kemudiannya dibawa ke Kaherah untuk kerja-kerja pemulihan sebelum ia boleh dipamerkan di GEM. Menurut El-Enany, kerja-kerja pemulihan keranda itu dijangka mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan sebelum ia boleh dipamerkan kepada orang ramai pada tahun hadapan.

Maka tidak hairanlah, menjelang pembukaan GEM pada tahun hadapan, satu jelajah pameran Tamadun Mesir Purba yang menampilkan Tutankhamun sebagai bintang utama diadakan di seluruh dunia pada tahun ini dengan 10 lokasi dipilih seperti Los Angeles, Paris dan London. Secara dasarnya, ia merupakan satu bentuk kempen pelancongan Mesir selain membantu menambah lagi wang ke dalam kantung kewangan mereka. Pada pameran di Paris misalnya, ia merupakan pameran paling popular dalam sejarah Perancis dan berjaya mengaut $10 juta. Menurut ahli arkeologi terkenal Dr Zahi Hawass, wang dari kutipan pameran ini akan digunakan untuk menambah dana pembangunan GEM. Dr Zahi turut mendedahkan pameran ini merupakan pameran terakhir yang membawa kebanyakan artifak milik Tutankhamun dan selepas ini, ia akan ditempatkan di GEM dan tidak lagi dibawa keluar dari Mesir.

Antara artifak Tutankhamun yang ditempatkan di GEM ialah topeng kematian baginda.

Antara artifak Tutankhamun yang ditempatkan di GEM ialah topeng kematian baginda.

Namun, tidak semua yang tertarik dengan idea muzium baru ini. Salah seorang daripada mereka ialah ahli arkeologi Monica Hanna. Sambil menyifatkan projek tersebut sebagai satu lagi usaha kemegahan Mubarak, beliau berpandangan jika Mesir hendak menambah kehadiran pelancong, terdapat beberapa perkara yang perlu diubah.

Antara perkara yang ditekankan Hanna ialah mengurangkan gangguan penjenayah, pengangkutan awam yang baik dan memastikan tandas awam bersih. Sebelum Revolusi Arab Spring melanda Mesir, 15 juta pelancong melawat Mesir pada tahun 2010. Tetapi kini, bilangan pengunjung ke Mesir mencatat 11.3 juta orang pada tahun 2018.

Pihak kerajaan berharap kewujudan satu lagi tarikan baru pelancong di Mesir dilihat dapat mengukuhkan lagi sektor pelancongan negara itu walaupun terus bergelut dengan isu keselamatan. Pada Mei dan Ogos tahun ini, dua insiden serangan bom mengejutkan negara itu yang menyaksikan 37 orang terbunuh. Ini disusuli kekecohan yang ditimbulkan British Airways apabila menggantung penerbangan ke Kaherah selama seminggu atas alasan keselamatan pada Julai sekaligus menimbulkan kemarahan kerajaan.

Bilangan pengunjung juga dijangka berkurangan apabila Mesir seperti Malaysia mengenakan levi perlepasan sebanyak $25 kepada setiap penumpang yang berlepas dari Kaherah berkuatkuasa bulan ini ditambah caj $25 yang dikenakan pada 2014.

Tetapi dengan publisiti positif yang menyelubungi GEM, ramai berharap ia akan menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Mesir. Pengerusi Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziry berjanji sesiapa saja yang berkunjung ke situ akan menikmati satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

RUJUKAN:

1. Addley, Esther. (2019). Tutankhamun’s glitzy farewell tour a timely promotion for Egypt. The Guardian. https://www.theguardian.com/culture/2019/nov/01/tutankhamuns-glitzy-farewell-tour-a-timely-promotion-for-egypt

2. Michaelson, Ruth. (2019). A glimpse behind the scenes of Giza’s Grand Egyptian Museum. The Guardian. https://www.theguardian.com/travel/2019/sep/04/a-glimpse-behind-the-scenes-of-gizas-grand-egyptian-museum


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.