Bayangkan anda seorang penduduk di Kesatuan Republik Sosialis Soviet, yang lebih dikenali sebagai USSR. Di empayar tersebut, seluruh bahan media yang tak mempunyai idea komunis sejagat, atau mempunyai elemen kapitalis pasti akan diharamkan daripada disiar.

Tapi, anda minat dengan satu lagu sedap ni bertajuk I Wanna Hold your Hand – The Beatles daripada radio luar USSR. Itu pun kadang kala pemerintah USSR akan ‘flip flop’ sekejap haramkan radio luar sekejap benarkan. Jadi, nak tak nak anda perlu beli rekod vinyl lagu tersebut. Malangnya, rekod tersebut juga diharamkan di USSR. Jadi, nak dapat mana rekod tu?

Usah bimbang. Selagi mana filem sinaran X masih ada, penyeludup ada jawapannya.

Kita sambung balik kisah awal sebentar tadi, ya, rekod muzik lagu yang diharamkan tu boleh sahaja dibeli di pasaran gelap, tapi sudah pasti harganya melambung tinggi daripada biasa. Itu pun agak sukar untuk dapatkan rekod vinyl original melainkan anda ada pekerjaan yang membolehkan anda kerap melawat dunia luar seperti tentera dan pelaut. Jadi, penyeludup ni dengan kreativiti mereka cuba untuk mencetak rompak rekod rekod ini dengan harga yang lebih murah.

Kebetulan pada waktu tersebut, pemerintah Soviet menyuruh semua hospital di USSR untuk membuang segala gambar sinaran X dek sifatnya yang senang terbakar. Jadi, campur lambakan gambar dan filem terpakai sinaran X dengan buah fikiran penyeludup ini dan boom! Dapatlah ‘bootleg copy ori’ lagu The Beatles tersebut dalam bentuk rekod yang dipanggil ‘muzik tulang’.

Gambar 1: Koleksi gambar dan filem terpakai sinaran X yang dijadikan muzik tulang. Lubang di tengah dibuat menggunakan pencucuh api.

Detik asal muasal dan siapa yang mulakan budaya cetak rompak muzik tulang ini tak diketahui. Namun, fakta yang konsisten berkenaan hal ini ialah ia dimulakan oleh sekumpulan ‘hipster’ Russia yang dipanggil ‘Stilyaga’ (stylehunter).

Di sebalik dunia monotona USSR yang cuba menerapkan masyarakat dengan nilai komunisme, terdapat sekumpulan pemuda lawan budaya (counterculture) yang berpakaian seperti orang Barat dan Amerika Syarikat, yang berbicara seperti orang Amerika, yang suka mendengar lagu Elvis Presley, dan juga suka mengunyah gula gula getah seperti pelakon James Cagney, pelakon terkenal A.S. pada era tersebut.

Untuk menyimpan dan menyebarkan rekod vinyl kegemaran mereka, kumpulan Stilyaga ini mencetak rompak yang diharamkan kepada gambar dan filem sinaran X yang terpakai. Memandangkan kebanyakannya mempunyai imej tulang pesakit, maka rekod cetak rompak ini dipanggil ‘muzik tulang’. Di USSR, ia juga dikenali sebagai ‘roybra’ yang bermaksud ‘tulang rusuk’.

Gambar 2: Stilyagi di USSR. Gambar hak milik https://www.messynessychic.com.

Kemudian, datang pula geng pencetak rompak terkenal yang dipanggil geng Golden Dog. Sekitar tahun 1946, ahli Golden Dog bernama Ruslan Bogoslowski dan Boris Taigin cuba bereksperimentasi dengan alat gramofon lama dan rekod daripada gambar/filem terpakai sinaran X, yang membawa kepada muzik tulang ini.

Barangkali inilah rujukan tertua berkenaan pasaran gelap ini, yang juga selari dengan zaman Stilyagi. Untuk menambahkan nilai estetika muzik tulang, mereka menampal kolaj buatan mereka ke atas muzik tulang itu. Hasilnya ialah rekod cetak rompak yang kelihatan seperti rekod asli.

Gambar 3: Hasil akhir geng Golden Dog rekod cetak rompak Elvis Presley berserta kolaj buatan mereka. Hak milik https://www.x-rayaudio.com.

Di sebalik kisah ini, industri bawah tanah muzik tulang ini juga tak terlepas daripada ‘urban legend’ dan kisah seram. Contohnya, ada sesetengah daripada muzik tulang ini mempunyai rakaman suara yang memaki anda di pertengahan lagu kerana membeli produk yang diharamkan oleh USSR. Ada yang mengatakan ia dibuat oleh agen USSR untuk menegah industri ini, dan ada juga yang mengatakan ia adalah jenaka yang sengaja dibuat oleh penyeludup.

Namun, daripada kisah ini kita boleh belajar banyak perkara daripada geng penyeludup tersebut. Pertamanya, muzik dan seni budaya akan sentiasa menjadi suara dan senjata lunak yang ampuh, sebagaimana keterdesakan pihak USSR dalam mengharamkan elemen bukan komunisme dan juga budaya penyeludupan muzik luar yang secara tak langsung meruntuhkan USSR dek rakyat mereka yang menyukai seni budaya Barat.

Keduanya, walaupun kisah ini penuh dengan elemen humor, perlu diingatkan perkara yang sama masih lagi berlaku pada negara komunis, cumanya negara tersebut bukanlah USSR, tapi Republik Rakyat China (PRC). Kalau USSR ada Tirai Besi, PRC ada Tembok Api Besar China (The Great Firewall of China).

Hal inilah yang menyebabkan mereka tak mempunyai FB, Twitter, Youtube dan pelbagai lagi alatan internet luar dan menyebabkan budaya muat naik video di Youtube kepada Youku dan Bilibili, media penyebaran video yang setaraf Youtube dan Nico Nico Douga milik Jepun.

Adakah selepas ini akan ada muzik tulang versi baru di China? Mungkin ya, mungkin tak. Tapi yang pasti, budaya Stilyagi dan letupan budaya pop luar sudah pun ada dalam kalangan pemuda China melalui Jepun dan Korea.

Bahkan, laman sesawang Bilibili itu sendiri adalah laman sesawang anime dan budaya otaku terbesar di Jepun, dan nama ‘Bilibili’ tu ialah nama panggilan Misaka Mikoto daripada siri To Aru Majutsu no Index (A Certain Magical Index), watak anime Jepun yang paling popular dan disukai di China.

Gambar 4: Misaka Mikoto a.k.a nama panggilannya, Biribiri/Bilibili yang merujuk pada bunyi kuasa elektrik miliknya. Hak milik Kazuma Kamachi, Kiyotaka Haimura, J.C. Staff dan yang berkait.

RUJUKAN:

Bone music: the Soviet bootleg records pressed on x-rays. Peter Paphides, The Guardian, 29 January 2015. Retrieved 24 December 2015.

Coates, Stephen, X-Ray Audio: The Strange Story of Soviet Music on the Bone Strange Attractor 2015.

Edele, Mark. “Strange Young Men in Stalin’s Moscow: The Birth and Life of the Stiliagi, 1945–1953”. Jahrbücher für Geschichte Osteuropas 50.1 (2002): 37–61. Web. 11. Feb. 2016.

Goff, S. (2017). Bone music: how bootleggers used X-rays to bring rock and roll to the ussr. The Calvert Journal. Recuperado de https://www. Abordajes inter, multi y transdisciplinares en torno al arte y la cultura.

Minor, William. Unzipped Souls: A Jazz Journey Through the Soviet Union. N.p.: Temple University Press, 1995. Web. 13 Feb. 2016.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Comments are closed.