Munafik 2: Pelajaran Di Sebalik Wayang

0
1242
views

Munafik 2 merupakan sebuah filem seram (sebenarnya saya tidak tahu nak letakkan genre apa) arahan Syamsul Yusof dan merupakan kesinambungan kepada Munafik yang telah ditayangkan pada 2016. Filem ini mula ditayangkan di Malaysia pada 30 Ogos 2018 dan bakal ditayangkan di pawagam Indonesia pada 26 September pada tahun yang sama. Filem ini menelan perbelanjaan sebanyak RM 2.8 juta sahaja dan penggambaran telah dimulakan pada awal tahun 2017. Munafik 2 dibarisi oleh Syamsul Yusof sendiri di samping beberapa lagi pelakon terkenal seperti Maya Karin, Fizz Fairuz, Mawi, Fauzi Nawawi, Nasir Bilal Khan, Weni Panca (Indonesia) dan Dato’ Rahim Razali.

Selepas sehari ditayangkan, Munafik 2 mendapat pelbagai reaksi terutamanya daripada netizen yang telah menyaksikan filem ini. Ada yang memberikan pujian dan penghargaan, ada juga yang mencurahkan kekecewaan serta ketidakpuashatian terhadap Syamsul Yusof bersama konco-konconya. Bagi saya, sekiranya anda telah menyaksikan Munafik, anda sewajarnya memberikan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua krew produksi Munafik 2 atas keberhasilan pembikinan filem yang cukup dramatis ini. Kerana saya percaya, kalian pastinya akan melihat perbezaan yang begitu ketara antara Munafik dan Munafik 2.

Menurut kaca mata perspektif saya, bukanlah mudah seorang Syamsul Yusof yang cukup terkenal dengan filem KL Gangster untuk bertukar angina, mengubah diri dan kebiasaan, mengadaptasikan dan mendalami watak dalam filem Munafik 2 yang jelas sekali berbeza skop dan pembawaannya. Manakan tidak, daripada filem yang penuh dengan aksi berubah kepada filem yang berunsurkan agama dan dakwah. Malah dalam temuramah bersama Harian Metro pada 9 Julai 2018, Syamsul Yusof berkata, “Ketika melakukan proses suntingan, saya menangis sebab jalan cerita ini filem ini. Apatah lagi, unsur dakwah yang diketengahkan diambil dan diinspirasikan daripada kisah para nabi dan negara yang ditindas. Jadi, menerusi filem ini, saya nak penonton merasai sendiri ajaran Islam yang dibawa menerusi beberapa watak sedia ada dan karakter baru yang diperkenalkan.”

Jadi, jelas sekali di sini bahawa harapan Syamsul Yusof dan krew penerbitan adalah supaya semua penonton jelas, hadam dan khatam akan objektif daripada pembikinan filem ini. Menerusi tajuknya saja – iaitu munafik – kita sewajarnya tahu dan letakkan dalam minda bahawa filem ini sebenarnya adalah berunsurkan keagamaan; Islamik. Tidak dinafikan bahawa terdapat cacat celanya dalam pembikinan Munafik 2 ini tetapi tidak sewajarnya kita merendah-rendahkan malah mencemuh usaha semua krew penerbitan apatah lagi yang melibatkan dengan agama Islam dan medan dakwah.
Jadi, dengan keterbatasan dan kedangkalan ilmu yang dimiliki, saya akan cuba kongsikan kepada anda tentang beberapa nilai pengajaran yang sewajarnya anda dapatkan apabila menonton filem ini.

1) APA ITU MUNAFIK? SIAPA MUNAFIK?

Secara literalnya, golongan munafik didefinisakan sebagai golongan yang bermuka-muka; talam dua muka. Golongan munafik merupakan golongan yang tidak mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT sehingga kehidupan sehariannya tidak mengandungi nilai-nilai ibadah serta jauh daripada mencari reda-Nya. Golongan munafik ini akan mengaku bahawa dia beriman kepada Allah SWT, Nabi Muhammad SAW, al-Quran dan sunnah.

Perbuatan golongan munafik disebut sebagai nifaq. Mereka hanya berkata dan berperilaku baik hanya pada zahir sahaja. Namun pada batinnya, penuh dengan helah dan tipu belaka. Bahkan golongan munafik inilah yang paling ditakuti dan lebih berbahaya mereka berbanding orang-orang kafir. Masakan tidak? Orang kafir sudah jelas dan terang lagi bersuluh kekafiran, kebusukan hati, kedengkian dan kejahatan yang ditunjukkan kepada golongan muslimin. Adapun golongan munafik? Diumpamakan seperti duri dalam daging!

“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan; Kami telah beriman. Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan; Sesungguhnya kami berpendirian sama dengan kamu. Kami hanyalah berolok-olok.”
(al-Baqarah, 14)

Sayidina Umar al-Khattab pernah berkata,

“Yang menghancurkan Islam ialah orang alim yang menyimpang. Orang munafik yang pandai menggunakan ayat al-Quran dalam perdebatan dan untuk kepentingan peribadi serta para pemimpin yang sesat.”

Ucapan dan bait kata yang keluar dari mulut golongan ini kedengarannya hebat dan mengandungi kebenaran. Tetapi ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita tentang golongan munafik ini,

“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendenganrkan perkataan mereka. Mereka ialah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan keras yang ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka. Semoga Allah SWT membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?”

(al-Munafiqun, 4)

Antara ciri golongan munafik adalah,

1) Ingin menipu daya Allah SWT.
“Dan dalam kalangan manusia ada yang mengatakan; Aku beriman kepada Allah SWT dan sehingga hari kemudian. Padahal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang yang beriman. Mereka itu hendak menipu Allah SWT berserta orang-orang yang beriman. Padahal mereka sedang menipu diri sendiri sedang mereka tidak sedar.”
(al-Baqarah, 8-9)

2) Lebih suka orang kafir berbanding orang Muslim sebagai pemimpin.
“(Iaitu) orang-orang yang mengambil dalam kalangan orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan para mukmin. Apakah mereka akan mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan adalah kepunyaan Allah SWT.”
(an-Nisa’, 139)

3) Tidak suka terhadap hukum Allah SWT dan rasul-Nya.
“Apabila dikatakan kepada mereka (orang-orang munafik); Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang telah Allah SWT turunkan dan kepada hukum rasul, nescaya kamu lihat orang-orang munafik itu menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu.”
(an-Nisa’, 61)

4) Malas menegakkan solat. Tetapi kalau solat suka menunjuk-nunjuk (riak).
“Dan apabila mereka berdiri untuk melaksanakan solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka itu menyebut asma Allah SWT kecuali sedikit sekali.”
(an-Nisa’, 142)

5) Berdusta apabila berkata-kata, mengingkari janji dan khianat (pecah amanah).
“Tanda-tanda orang yang munafik ada tiga. Pertama, apabila berkata dia suka berdusta. Kedua, apabila berjanji dia suka menyalahinya. Ketiga, apabila diberikan kepercayaan (amanah) dia khianati.”
(HR Bukhari dan Muslim.)

Jadi, ini adalah nilai pertama dan yang palin besar ingin saya ketengahkan. Sekiranya anda tidak terdetik untuk memikirkan perkara ini sewaktu menonton Munafik 2, maka periksa kembali niat dan tujuan anda. Berdasarkan kesemua tanda yang dituliskan di atas, adakah kita tergolong dalam salah satu ciri-ciri tersebut?

2) TIADA TUHAN SELAIN ALLAH.

Di sini, saya akan sertakan beberapa buah dalil daripada al-Quran sendiri berkenaan kalam Allah SWT yang memberi peringatan bahawa tiada tuhan selain Dia.
“Sesungguhnya Aku ini ialah Allah , tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku. Maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku.”
(Taha, 14)

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata; Sesungguhnya Allah adalah al-Masih putera Maryam. Padahal al-Masih (sendiri) berkata; Hai Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu.”
(al-Maidah, 72)

“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah. Dia Yang Maha Hidup lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya.”
(al-Imran, 2)

“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah. Sesungguhnya, Dia akan mengumpulkan kamu semua pada Hari Kiamat yang tidak ada keraguan terjadinya (Hari Kiamat). Dan siapakah yang lebih benar perkataan selain daripada Allah?”
(an-Nisa’, 87)

Katakanlah “Hai manusia! Sesungguhnya aku ialah utusan Allah kepada kalian semua. Iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tidak ada Tuhan melainkan Dia yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kalian kepada Allah dan Rasul-Nya. Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimat-kalimat –Nya (kitab-Nya) dan ikutilah dia supaya kalian mendapatkan petunjuk.”
(al-A’raf, 158)

Berdasarkan bukti dalil-dalil di atas, adakah mampu untuk kita menafikan bahawa wujudnya lagi Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT? Sekiranya kita berpegang teguh dan bersunguh-sungguh berprinsipkan al-Quran dan sunnah, tergamakkah kita untuk meragui kewujudan Allah SWT lantas meragukan-Nya sebagai Tuhan sekalian alam?

Ada satu babak (pada akhir-akhir babak) dalam Munafik 2 yang menunjukkan Ustaz Adam (Syamsul Yusof) berkata, “Haza Fir’aun fi hazizil ummah!” yang membawa maksud “Inilah Firaun untuk umat (zaman) sekarang!” Mengapa Ustaz Adam berkata demikian? Kerana Fir’aun pada zaman Nabi Musa AS telah mengaku bahawa dirinya ialah Tuhan dan memaksa sekalian manusia untuk sujud dan menyembahnya.

Bahkan, perlu juga kepada kita selaku umat Islam yang mukmin dan muslim untuk memahami dan mendalami dengan sebaiknya makna di sebalik kalimah لاَ اِلَهَ اِلاً الله (Laa ilaha illa Allah). Semua telah sedia maklum bahawa ertinya ialah tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT. Saya tidak berhasrat untuk mengulas kalimah ini dari kaca mata ilmu tauhid atau ilmu Bahasa Arab yang lebih mendalam. Cukup sama-sama kita resapi maknanya dan biar ia tumbuh mekar dalam sanubari.

3) ISLAM SATU-SATUNYA AJARAN YANG ALLAH SWT REDA.

Islam merupakan satu-satunya agama dan ajaran yang diredai dan diterima oleh Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang mafhumnya:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah SWT adalah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya. (Perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah SWT, maka sesungguhnya Dia amat segera dalam perhitungan hisab-Nya.”
(al-Imran, 19)

Muhammad Qurasih Shihab berkata, “Ayat yang lalu (di atas) menegaskan bahawa tiada Tuhan, iaitu tiada Penguasa yang memiliki dan mengatur seluruh alam kecuali Dia Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Jika demikian, ketundukan dan ketaatan kepada-Nya ialah kepercayaan yang tidak boleh dibantah. ”

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Qatadah, katanya, “Islam adalah penyaksian bahawa Tuhan itu hanyalah Allah SWT dan mengakui segala yang datang adalah daripada-Nya.”
Al-Qurtubi berkata, “al-Din dalam ayat ini adalah ketaatan dan agama. Islam dengan makna iman dan taar. Inilah juga pendapat Abu al-Aliah dan jumhur Mutakallimin.”

Menurut Ibnu Kathir pula, ayat ini mengandungi peringatan daripada Allah SWT bahawa tiada agama di sisi-Nya yang diterima oleh-Nya daripada seorang pun rasul kecuali Islam iaitu mengikuti para rasul yang diutus-Nya setiap saat hingga berakhir dengan Nabi Muhammad SAW. Apabila hadirnya Nabi Muhammad SAW, maka tertutuplah sudah segala pintu dan jalan menuju Allah SWT kecuali jalan dari arah Baginda sehingga sesiapa yang menemui Allah SWT setelah diutusnya Nabi Muhammad SAW dengan menganut satu agama selain syariat yang Baginda sampaikan, maka tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Waqaf Saham

Maka, telah saya kemukakan kalam Allah SWT berserta hujah para alim ulama berkenaan tiada agama yang diterima oleh-Nya selain Islam. Maka, masih adakah ragu dalam diri kita?

4) SIAPAKAH DAJJAL SEBENARNYA?

Ya. Nama Dajjal banyak disebut tidak kira dalam Munafik atau Munafik 2. Seringkali diratib bibir para pelakon dalam filem ini. Saya kira, tidak perlu untuk saya terangkan dengan lebih lanjut berkenaan individu ini. Dialah yang bakal keluar pada akhir zaman nanti dan bakal mengaku diri sebagai Tuhan dengan mempunyai keupayaan sihir (yang dianugerahkan oleh Allah SWT) sehingga ramai yang akan termakan dengan hasutannya. Bagaimana pula untuk menghadapi fitnah Dajjal yang sangat besar ini?

Daripada Abu Darda, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda,
“Barangsiapa menghafal 10 ayat pertama daripada surah al-Kahfi maka dia akan terjaga daripada fitnah Dajjal.”
(HR Muslim)

Daripada Abu Said al-Khudri, Nabi Muhammad SAW bersabda,

“Barangsiapa membaca al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan, maka baginya cahaya pada Hari Kiamat dari tempat berdirinya hingga Mekah dan barangsiapa yang membaca 10 ayat terakhirnya kemudian Dajjal keluar, maka dia tidak akan dapat dikuasainya.”
(HR Muslim)

Fitnah Dajjal akan berlaku selama 40 hari. Sehari seperti setahun, satu hari selepas itu seperti sebulan, satu hari selepas itu seperti seminggu dan selebihnya seperti hari-hari biasa sekarang. Saya akan cuba rungkaikan lebih lanjut berkenaan Dajjal pada lembaran yang lain, insya-Allah.

5) JANGAN MAKAN DAGING SAUDARA SENDIRI.

Antara nilai yang dapat dipetik daripada Munafik 2 adalah unsur fitnah. Perkara ini dapat dilihat melalui babak apabila Ustaz Adam (Syamsul Yusof) telah ditangkap oleh Abuja (Nasir Bilal Khan) dan dipanggil orang-orang kampung untuk berkumpul. Lalu, Sakinah (Maya Karin) disuruh oleh Abuja untuk mengatakan fitnah bahawa dia telah dirogol oleh Ustaz Adam. Tiba-tiba, Azman (Fizz Fairuz) muncul dari belakang dan mengatakan sesuatu yang tidak disangka-sangka.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran mafhumnya,
“Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh.”
(al-Baqarah)

Mengapa diperkatakan sedemikian? Hal ini demikian kerana, perbuatan fitnah dapat menyebabkan masyarakat hilang hormat, kepercayaan dan kasih sayang serta dapat mencetuskan api permusuhan. Perkara ini akan memberikan dampak atau kesan yang buruk kepada yang difitnah. Jadi, sama-sama kita jauhi perbuatan fitnah yang banyak mengundang keburukan.

6) JANGAN MAIN HENTAM SAJA!

Alhamdulillah, ini merupakan satu nilai positif terbesar yang saya dapat kesan melalui filem Munafik 2. Masih lagi berada dalam babak Ustaz Adam difitnah. Perkara yang memeranjatkan saya adalah, apabila penduduk kampung mendengar fitnah yang dilemparkan kepada Ustaz Adam, mereka tidak terus percaya bulat-bulat apa yang disampaikan oleh Sakinah. Sebaliknya mereka berkata,

“Sabar Abuja! Apa buktinya? Kita tiada bukti untuk tuduh Ustaz Adam macam itu? Kita kena siasat dulu perkara ini.” (lebih kurang beginilah dialognya)

Nah! Apabila selesai sahaja penduduk kampung berkata demikian, tiba-tiba Azman muncul dari belakang Abuja lantas mengatakan sesuatu perkara yang sungguh di luar jangkaan (Nak tahu apa dia? Tengok dulu!)

Pengajarannya, apabila kita mendapatkan sesuatu berita yang kurang jelas kesahihannya, maka janganlah kita terus terima bulat-bulat berita tersebut. Sebaliknya, kita harus membuat penilaian atau tabayyun terlebih dahulu supaya kita tidak salah menghukum dan terpelihara daripada orang-orang yang percaya kepada fitnah dan khabar angin.

7) PERBUATAN SIHIR.

Sihir menurut istilah merupakan perbuatan menyakiti atau mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang disihir secara tersembunyi (ghaib) yang melibatkan makhluk halus. Perbuatan ini melanggar hukum-hakam Islam dan dilakukan atas tujuan tertentu. Orang yang mengamalkan ilmu sihir akan terjatuh hukum syirik padanya dan berdosa besar.
Perkara ini jelas terlihat dalam Munafik 2 kerana Abuja merupakan pengamal sihir yang sangat tegar sehingga tergamak untuk mencederakan orang-orang yang melawannya. Bukan sahaja berani membunuh, dia juga berani mencabar hukum Allah SWT.

Ibnu Khaldun dalam buku Muqaddimah menjelaskan sihir seperti berikut,
“Ilmu sihir dan tilik adalah satu ilmu tentang persediaan jiwa manusia untuk mempengaruhi alam kebendaan samada tanpa bantuan atau dengan bantuan dari langit. Pertama sihir dan kedua adalah tilik. Oleh kerana ilmu-ilmu ini ditolak di sisi syariat kerana bahayanya, dan kerana antara syarat (mengamalkannya) adalah berpaling daripada Allah SWT, maka kitab-kitab tentangnya telah lenyap dalam kalangan manusia kecuali yang terdapat pada kitab-kitab bangsa purba termasuk yang wujud sebelum Nabi Musa AS seperti bangsa Qibti dan Kaldani.”

Sihir juga boleh berlaku kerana didorong oleh perasaan hasad dengki seperti hasadnya Abuja apabila mengetahui Ustaz Adam mula memasuki kampungnya. Saudara dan saudariku sekalian, janganlah sekali-kali kita mendekati apatah lagi mengamalkan sihir dan perbuatan syirik yang lainnya. Tak takut balasan Allah SWT kah? Kita mungkin dibantu syaitan dan jin, tetapi lupakah kita bahawa keupayaan mereka itu sebenarnya keizinan daripada-Nya?

8) ILMU RUQYAH.

Berbicara soal perbuatan sihir. Tahukah kita bahawa sesungguhnya Islam itu agama yang penuh dengan solusi? Salah satunya solusi kepada permasalahan sihir ini. Dalam filem Munafik 2 bahkan Munafik juga banyak menayangkan babak-babak Ustaz Adam dan Azman membacakan beberapa potongan ayat daripada al-Quran untuk melawan jin yang sedang mengganggu.

Dalam Islam, perbuatan ini dinamakan sebagai ruqyah. Kalau dalam Bahasa Inggerisnya dikenali sebagai exorcism. Terdapat ayat-ayat khusus dalam al-Quran yang dapat digunakan untuk menangani masalah gangguan makhluk halus. Antaranya surah al-Fatihah, al-Ikhlas, an-Nas, al-Falaq, al-Baqarah (1-5,102,163-164,255,285-286), al-Jin dan banyak lagi.

Bahkan, hakikatnya ayat-ayat dalam al-Quran merupakan penawar dan penyembuh kepada bermacam-macam penyakit di samping gangguan makhluk halus. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang mafhumnya,

“Dan kami turunkan daripada al-Quran sesuatu yang menjadi penyembuh dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
(al-Isra’, 82).

Namun demikian, amalan ini haruslah datang dengan syarat seperti yang dikatakan oleh al-Allamah Abdurrahman as-Sa’di RA,

“al-Quran mengandungi penyembuh dan rahmat. Dan ini tidak berlaku untuk semua orang. Hanya bagi kaum mukminin yang membenarkan ayat-ayat Allah SWT dan berilmu dengannya. Adapun, orang-orang zalim yang tidak membenarkan dan tidak mengamalkannya, maka ayat-ayat tersebut tidaklah menambah baginya apa-apa melainkan kerugian.”

9) SIAPAKAH PENUNGGANG AGAMA?

Dalam Munafik 2 banyak disebutkan tentang ‘penunggang agama’. Siapakah penunggang agama ini? Mengapa dia sangat dibenci oleh umat dan agama? Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

“Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang diperbuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud) untuk mendapatkan simpati orang ramai. Percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan yang jahat). Allah SWT berfirman kepada mereka; Adakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku? Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dalam kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu).”

Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa golongan yang digelar ‘penunggang agama’ merupakan golongan yang menggunakan agama demi kepentingan peribadinya sendiri. Dalam perkataan yang lebih mudah, dia akan menjual agamanya demi mencapai apa-apa yang dia inginkan. Perkara ini merupakan fitnah dan bala yang diturunkan oleh Allah SWT kepada golongan yang tidak beriman dengan sebenarnya terhadap ayat-ayat-Nya.

Bahkan dalam hadis di atas disebutkan bahawa orang-orang yang disebutkan oleh Allah SWT dalam hadis di atas ialah golongan cendekiawan dan agamawan. Mereka inilah yang menyalahgunakan ayat-ayat Allah SWT dan hukum-hakam agama Islam demi mencapai impiannya. Dia akan memutarbelitkan perkara yang hak dan mengatakan sesuatu yang jauh daripada kebenaran untuk meyakinkan orang lain.

10) DAKWAH TAK PERNAH MUDAH.

Sudahlah jatuh, ditimpa pula dia dengan tangga. Itulah perumpaan yang dapat diberikan kepada Syamsul Yusof yang membawakan watak Ustaz Adam apabila dia ditimpa dengan pelbagai musibah dalam menegakkan kebenaran dan amar makruf nahi mungkar. Pada Munafik yang lepas, kita dapat saksikan bahawa Ustaz Adam telah kehilangan isteri dan anak tercinta. Lalu, pada Munafik 2 pula Ustaz Adam telah kehilangan ibu tercinta sehingga mengundang keresahan dan kesedihan kepadanya.

Perkara ini menunjukkan bahawa perjalanan menyebarkan dakwah bukanlah sesuatu yang dipenuhi dengan emas, permata dan karpet merah. Bahkan dalam sirah Nabi Muhammad SAW sekalipun dapat kita saksikan bahawa Baginda melalui pelbagai mehnah dan cabaran dalam menyebarkan risalah Allah SWT yang mulia ini.

Namun percayalah, bahawa sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama dengan hamba-Nya yang bersabar dan bertawakal serta bergantung pengharapan hanya kepada Dia sahaja. Kerana setiap kesusahan itu diturunkan sekali berserta dengan kemudahan dan Allah SWT menurunkan ujian kepada tentera-Nya yang mempunyai semangat juang dan keazaman tinggi.

Percayalah, setiap perkara yang kita korbankan tidak kira masa, harta, atau tenaga, sesungguhnya Allah SWT telah menyediakan balasan yang setimpal buat kita. Semuanya terserah pada kita, ingin ikhlas atau sekadar ingin mendapatkan pujian manusia yang sementara.

11) UKHUWWAH FILLAH!

Ada sebuah hadis mahsyur diriwayatkan daripada Imam Bukhari dan Imam Muslim tentang tujuh golongan yang akan dinaungi oleh ‘arasy dan mendapatkan pertolongan daripada Allah SWT di Padang Mahsyar kelak. Salah satu golongannya ialah dua insan yang berkasih sayang kerana Allah. Mereka bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah.

Perkara ini dapat dilihat apabila Azman (Fizz Fairuz) mengatakan bahawa dia akan sentiasa bersama-sama dengan Ustaz Adam dalam menegakkan Islam dan menyebarkan dakwah. Mereka mencontohi persahabatan antara Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat yang lain, semata-mata ingin menyebarkan risalah mulia Allah SWT. Lantas, bagaimana pula ceritanya dengan persahabatan kita pada zaman ini?

12) PERBEZAAN BUKANLAH TIKET KEPADA PERPECAHAN.

Islam sangat meraikan perbezaan dalam kalangan umatnya. Bahkan keempat-empat imam besar mazhab sekalipun tidak terlepas dengan khilaf dalam kalangan mereka. Namun, ajaran Islam masih kekal diamalkan sehingga ke hari ini dan ini menunjukkan bahawa perbezaan dan kemanusiaan tak akan dapat pernah untuk dipisahkan. Islam menganjurkan solusi buat menghadapai perbezaan yang terjadi iaitu dengan melaksanakan musyawarah atau perbincangan. Perkara ini juga terjadi apabila kita menelusuri sirah-sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

Jadi, tidak wajar sekiranya kita mengkafirkan atau mencemuh seseorang semata-mata kerana dia berbeza pandangan dengan kita. Sewajarnya, kita meraikan perbezaan itu dan mengajaknya untuk bermusyawarah bersama-sama demi mendapatkan sebuah keputusan yang adil dan memuaskan semua pihak.

Perkara mengkafirkan orang kerana berbeza pandangan dapat dilihat apabla Omar (orang kanan dan pengikut setia Abuya) dan Abuya sendiri mengkafirkan Ustaz Adam dan orang-orang kampung yang tidak mahu tunduk serta mengikuti ajaran Abuya.

Sebenarnya, ada banyak lagi yang ingin saya kongsikan berkenaan filem ini. Tetapi, rasanya cukup sekadar ini sahaja kerana saya yakin pembaca di luar sana mempunyai ilmu dan pengamatan yang lebih tinggi dan terperinci berbanding saya. Ya, Munafik 2 mungkin lemah dalam beberapa aspek kerana manusia itu jauh daripada sifat kesempurnaan. Tetapi, janganlah juga dilupakan nilai-nilai positif yang telah ditonjolkan oleh kesemua krew penerbitan. Sekurang-kurangnya, mereka telah mempunyai bekal yang akan dibawa kepada Allah SWT dan menjadi saksi atas usaha mereka menegakkan Islam di bumi-Nya ini? Kita pula bagaimana?

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, suka saya memetik pertanyaan daripada watak wanita misteri dalam Munafik 2 yang dilakonkan oleh Weni Panca pelakon dari Indonesia. Pertanyaannya berbunyi lebih kurang begini,

“Kalau Tuhan itu adil, kenapa tidak diciptakan semua manusia beriman kepada-Nya?”
Sekali imbas, pertanyaan ini kedengaran ada betul dan logiknya. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran,

“Dan jikalau Tuhanmu mengkehendaki, tentulah beriman semua orang yang berada di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?”
(Yunus, 99)

Wahai pembaca sekalian, pernahkah kalian bertanyakan kepada guru-guru, para professor atau pensyarah kalian kenapa tidak diluluskan saja semua pelajar dan mendapat keputusan yang cemerlang? Kenapa perlu diadakan ujian dan saringan? Mengapa syarikat-syarikat yang ingin mengambil pekerja baru kebiasaannya menjalankan temuduga (interview) terlebih dahulu? Saya tinggalkan kembali persoalan ini sebagai muhasabah untuk kita bersama.

Wallahu Ta’ala A’lam.