Pada tahun 1867, Muzium Arkeologi Zagreb, Croatia mendapat mumia dari Mesir yang didermakan oleh waris bekas pengawai Empayar Austria-Hungary berdarah Croatia, Mihajlo Baric. Mumia wanita ini merupakan wanita biasa dan bukan berstatus aristokrat atau raja Mesir Purba. Tetapi apa yang mengejutkan pihak muzium ialah penemuan mesej misteri di dalam balutan yang pernah membalut mumia tersebut – misteri yang gagal diselesaikan sehingga hari ini.

Semuanya bermula pada 1848 apabila Baric memilih untuk berhenti kerja dan menggunakan masa yang ada untuk mengembara. Salah satu negara yang ditujunya ialah Mesir. Semasa berada di Iskandariah, Baric membeli sebuah keranda yang mengandungi mumia wanita sebagai cenderamata untuk dibawa pulang ke Eropah.

Kempen Napoleon Bonaparte terhadap Turki Uthmaniyah di Mesir pada 1798 menjadi pencetus fenomena Egyptomania.

Perlu diingat pada ketika itu, fenomena Egyptomania sedang menyelubungi Eropah. Ia tercetus angkara tindakan pemimpin Perancis yang berkarisma Napoleon Bonaparte menyerang Mesir pada 1798. Semasa kempen tercetus, beliau turut membawa ramai cendekiawan dan saintis ke negara itu untuk tujuan penyelidikan saintifik termasuk sejarah. Penglibatan mereka memperbaharui minat orang Eropah terhadap Mesir sekaligus membawa kepada kelahiran Egyptomania.

Selepas kembali ke kediamannya di Vienna, Austria, Baric mempamerkan mumianya dalam kedudukan menegak di satu sudut ruang tamunya. Balutan kain linen pada mumia berkenaan ditanggalkan dan diletakkan dalam satu kotak kaca pameran yang berasingan. Selepas Baric meninggal dunia pada 1859, mumia tersebut diwarisi oleh abangnya, Ilija, seorang paderi yang tinggal di Slavonia.

Mumia wanita dipercayai hidup dari abad keempat hingga pertama SM dan dikatakan mati pada usia 30-an. Mumia ini kini dipamerkan di Muzium Arkeologi Zagreb.

Bagaimanapun, Ilija langsung tidak berminat dengan mumia milik Baric lalu mendermakannya kepada Institut Negara Croatia, Slavonia dan Dalmatia (kini Muzium Zagreb). Pada ketika itu, tiada siapapun sedar mesej misteri yang tertulis pada balutan linen berkenaan. Ia hanya disedari oleh pakar kaji Mesir Purba dari Jerman, Heinrich Brugsch. Bagaimanapun, tiada kajian lanjut dibuat selepas Brugsch menyangka tulisan tersebut ialah hieroglif Mesir Purba.

Lebih dua dekad kemudian, balutan linen itu dihantar ke Vienna untuk diperiksa dan diterjemah oleh pakar kaji Mesir Purba, Jakob Krall. Sebaik melihat huruf tulisan pada balutan, Krall percaya tulisan tersebut bukan tulisan Koptik tetapi tulisan orang Etruscan – kelompok individu yang menguasai Itali pra-kerajaan Rom. Tidak mustahil kain balutan ini dihasilkan daripada buku linen bangsa berkenaan.

Penemuan sebegini dianggap mengejutkan kerana tidak banyak teks yang ditemui berkenaan orang Etruscan. Gabungan iklim padang pasir Mesir yang kering dan bahan yang digunakan untuk mengeringkan mumia memastikan teks tersebut terus terpelihara. Dengan penemuan itu, ini menjadikan ia sebagai teks Etruscan yang paling panjang – satu penemuan berharga untuk komuniti arkeologi dan sejarah.

Orang Etruscan dikatakan muncul di Etruria (kini Tuscany moden) pada abad kelapan SM. Mereka dikatakan mula berdagang dengan orang Yunani dan membentuk budaya pandai besi, ukiran dan lukisan yang bertaraf tinggi. Perdagangan dengan pihak Yunani bukan saja memperkenalkan mereka terhadap komoditi dan dewa-dewi orang Yunani tetapi juga abjad Euboea Yunani. Ia kemudian diadaptasi bagi membentuk skrip tulisan mereka yang bermula dari kanan ke kiri.

Bahasa Etruscan dianggap unik dalam kalangan bahasa-bahasa Eropah. Kebanyakan bahasa Eropah hari ini termasuk Bahasa Inggeris berdasarkan lidah Bahasa Indo-Eropah yang muncul ribuan tahun yang lalu. Tetapi Bahasa Etruscan dianggap unik kerana wujud sebelum kemunculan Indo-Eropah dan terus bertahan di sebalik kemunculan bahasa tersebut.

Sesetengah perkataan Etruscan diserap dalam Bahasa Latin seperti phersu. Phersu bermaksud topeng dan ia merupakan asas kepada perkataan persona dan person. Tetapi Bahasa Etruscan semakin terhakis seiring dengan pertambahan pengaruh orang Rom sekaligus mengakibatkan banyak artifak, ukiran dan inskripsi makam mereka semakin sukar diketahui sehingga hari ini.

Siapa sangka Maharaja Claudius mempunyai minat mendalam terhadap subjek Etruscan termasuk bahasa dan sejarah bangsa berkenaan.

Antara figura Rom terkenal yang berminat dengan kajian Etruscan ialah maharaja Rom abad pertama, Claudius. Baginda bukan saja mempunyai minat mendalam terhadap subjek tersebut malah mampu menulis dan membaca dalam Bahasa Etruscan. Claudius turut menulis sejarah Etruscan sebanyak 20 jilid tetapi malangnya, ensiklopedia ini telah hilang ditelan zaman.

Menariknya, balutan linen yang kini dikenali sebagai Buku Linen Zagreb ini dibalut bersama dengan Teks Kematian Mesir Purba (Book of the Dead). Buku tersebut merujuk seorang wanita sebagai Nesi-Khons (puan (pemilik) rumah) dipercayai merujuk kepada mumia wanita berkenaan. Analisis pada mumia mendapati wanita tersebut hidup sekitar abad keempat hingga pertama SM dan meninggal dunia pada usia 30-an.

Pengkaji arkeologi percaya dakwat yang digunakan untuk Buku Linen Zagreb diperbuat daripada abu gading gajah dengan tajuk dan teks ditulis dengan dakwat sinabar/merah merona. Kemajuan teknologi inframerah pada 1930-an membolehkan pengkaji Mesir Purba melihat sebahagian teks Etruscan yang terlindung dengan balsam – bahan yang digunakan semasa proses pemumiaan.

Ini membolehkan mereka membuat satu kesimpulan: Buku Linen Zagreb ialah kalendar ritual tertentu yang diadakan sepanjang tahun. Buku tersebut dipercayai dihasilkan di satu tempat berhampiran Perugia, Itali. Bagaimanapun, untuk teksnya pula, ia berkemungkinan dihasilkan lebih lewat daripada apa yang disangka. Sekiranya benar ia ditulis sekitar 200 hingga 150 SM, ini dapat mewujudkan tetingkap sejarah silam Etruscan sebelum ia diserap oleh orang Rom.

Antara nama yang disebut dalam Buku Linen Zagreb ialah dewa matahari Etruscan, Usil.

Salah satu keterangan buku tersebut ialah bila dewa-dewi tertentu disembah dan apa bentuk ritual termasuk korban binatang yang patut dilakukan. Antara dewa-dewi yang disebut ialah dewa air Etruscan, Nethuns yang mempunyai kaitan rapat dengan dewa air Rom, Neptun. Teks sama turut menyebut Usil, dewa matahari Etruscan yang persis dewa matahari Yunani, Helios.

Satu perkara yang membuatkan pengkaji Mesir Purba dan Etruscan tertanya-tanya ialah bagaimana Buku Linen Zagreb ini boleh dijadikan sebagai pembalut kain mumia. Ada berpandangan itu berlaku disebabkan pembuat mumia kehabisan kain balutan untuk dijadikan sebagai kain pembalut. Ini mendorong mereka mengitar semula kain linen sebagai bahan pembalut mumia.

Tetapi satu lagi teori menyatakan ia sengaja dibuat sebagai cara menghormati warisan Etruscan mumia wanita berkenaan. Pengkaji arkeologi percaya ia berkemungkinan dilakukan oleh waris wanita berkenaan dan diletakkan bersama Buku Kematian Mesir Purba sebagai cara menurut adat Mesir Purba dan warisan Etruscannya.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

RUJUKAN

Escolano-Poveda, M. (2022, 20 Mei). What was the mystery message written on the mummy’s wrappings?. National Geographic.

Mingren, W. (2022, 16 Januari). The Liber Linteus: An Egyptian Mummy Wrapped in a Cryptic Message. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply