‘The Diva’, iaitu seorang wanita cantik yang mempunyai perwatakan menarik, telah hampir tiga jam duduk di hadapan kameranya, bagi menyempurnakan misi rancangan siaran langsungnya (live broadcast) pada hari tersebut. Misi yang dimaksudkan di sini adalah makan di hadapan kamera dalam kuantiti yang banyak! Wanita ini merupakan salah seorang daripada BJ (broadcast jockey) yang sangat terkenal melalui siri mukbang yang dikendalikannya. Memakai gelaran sebagai ‘The Diva’, wanita cantik yang kecil molek ini boleh menghabiskan makanan dalam jumlah yang banyak pada setiap kali siaran mukbang beliau berlangsung. Apa yang menariknya, wanita tersebut boleh makan sehingga lima hidangan mi dan satu kilo ayam dalam masa hanya dua jam beliau bersiaran!

Kisah mengenai ‘The Diva’ ini merupakan sebahagian cerita mengenai kegilaan yang melanda masyarakat di Korea Selatan terhadap aktiviti makan yang dipaparkan secara atas talian (online) atau dipanggil sebagai mukbang. Perkataan mukbang ini sebenarnya merupakan akronim atau singkatan yang diambil daripada perkataan muk-da yang bermaksud makan, dan bang-song yang bererti program langsung. Secara asasnya, kedua-duanya membawa maksud rancangan makan secara langsung (eating broadcast) yang akhirnya disingkatkan menjadi mukbang.

Sejarah mukbang

Mukbang pada asalnya merupakan sebuah rancangan siaran langsung yang menjadi salah satu genre intipati di dalam Afreeca TV iaitu sebuah multi channel network (MCN) yang terbesar di Korea Selatan. Afreeca TV telah memulakan siarannya pada tahun 2006, dan siaran ini telah menjadi amat terkenal selepas rancangan protes yang dilakukan terhadap import daging US disiarkan pada tahun 2008. Pada tahun yang sama jugalah, mukbang yang pertama telah disiarkan dan para penonton telah memberikan respon yang sangat menggalakkan daripada siaran tersebut. Bermula daripada siaran pertama tersebut, mukbang mula berkembang dengan cepat dan sehingga kini, antara 10% hingga 15% daripada kesemua saluran yang bernaung di bawah Afreeca TV mula memaparkan genre mukbang sebagai daya tarikan utama mereka.

Setiap mukbang yang disiarkan akan dikendalikan oleh BJ atau broadcasting jockey yang bertindak sebagai hos atau pengacara bagi siaran langsung berkenaan. Individu yang menjadi BJ ini boleh menyiarkan apa jua yang ingin mereka paparkan kepada para penonton, malah para penonton ini juga boleh berinteraksi dengan BJ yang bertugas melalui ruangan chatting yang disediakan khas setiap kali siaran langsung tersebut berjalan. Jadi, bagaimanakah setiap BJ ini menjana pendapatan mereka melalui siaran langsung yang mereka kendalikan?

Ini merupakan salah satu ciri unik yang telah diketengahkan oleh saluran seperti Afreeca TV ini bagi meraih keuntungan melalui setiap mukbang yang disiarkan. Afreeca TV telah menggunakan sistem pembayarannya yang tersendiri bagi setiap penonton yang menonton rancangan tersebut, iaitu melalui ‘star balloon’, iaitu sejenis matawang yang hanya terpakai melalui saluran Afreeca TV sahaja. Setiap penonton yang berpuashati dan gemar dengan kandungan yang dipaparkan oleh BJ boleh menghantar star balloon sebanyak mana yang mereka suka sewaktu siaran sedang diadakan.  Setiap satu star balloon ini sebenarnya bernilai 10 sen, dan jumlah kesemua star balloon yang diperoleh oleh setiap BJ akan dikira berdasarkan nilaian ini. Pihak Afreeca TV kebiasaannya hanya akan mengambil 30% hingga 40% daripada keuntungan tersebut, manakala selebihnya akan diberikan kepada BJ tersebut. Kaedah ini secara tidak langsung telah memberi suatu bentuk pekerjaan baru bagi ramai golongan muda di Korea Selatan yang ingin meraih pendapatan lumayan (bagi penganggur) dan mendapatkan pendapatan sampingan (bagi yang telah bekerja).

Tugas BJ di dalam mukbang

Secara asasnya seseorang BJ (broadcast jockey) yang mengendalikan mukbang haruslah tahu untuk menarik perhatian penonton melalui aktiviti makan mereka dan mampu membuatkan penonton untuk ‘makan’ bersama mereka. Dalam hal ini, kebanyakan BJ mempunyai gelaran mereka yang tersendiri bagi mencipta suatu identiti unik dalam mukbang yang mereka kendalikan.  Malah, kesemua BJ ini juga boleh dikategorikan kepada beberapa jenis tertentu berdasarkan kepada corak pembawaan dan gaya penyampaian mereka di dalam mukbang.

BJ Banzz dalam rancangan mukbang yang dikendalikannya

Pertamanya, BJ yang dikelaskan sebagai big food fighter, di mana BJ ini kebiasaannya terdiri daripada individu yang mempunyai bentuk fizikal yang besar. BJ yang menjadi big food fighter ini gemar untuk mencabar diri mereka sendiri dalam acara makan dalam mukbang tersebut. Cabaran yang dimaksudkan ini adalah untuk makan sejumlah besar hidangan dalam waktu yang singkat, sebagai contoh, seorang BJ mampu menghabiskan lima mangkuk jajangmyeon dalam masa yang singkat, dan cabaran ini kemudiannya diteruskan pula oleh seorang lagi BJ yang mampu menghabiskan sepuluh mangkuk dalam masa sepuluh minit. Cabaran demi cabaran bagi acara menghabiskan hidangan ini akan berlanjutan dan setiap seorang daripada mereka akan cuba untuk melakukan cabaran yang berbeza pada setiap mukbang kendalian mereka.

Kategori BJ yang kedua pula merupakan calm eater. BJ yang termasuk dalam jenis ini merupakan seorang individu yang bersifat tenang, dan hanya fokus kepada sesi makan-makan dalam mukbang yang mereka lakukan. Seseorang BJ yang menjadi calm eater biasanya tidak kecoh dalam mukbang mereka dengan melakukan cabaran yang tertentu, namun mereka mampu untuk menghabiskan makanan dalam jumlah yang banyak dengan tenang dan santai. Malah, mereka turut berkongsi maklumat mengenai hidangan yang dinikmati dan melayan segala pertanyaan daripada penonton sewaktu siaran dilakukan. Sesetengah daripada mereka turut berkongsi tips mengenai cara memilih makanan tersebut dalam pasaran dan jenama terbaru makanan yang boleh dicuba oleh penonton.

Jenis BJ yang ketiga pula ialah weirdo, di mana BJ dalam kumpulan ini biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai perangai yang unik berbanding BJ yang lain. Mukbang kendalian mereka kebanyakan terdiri daripada elemen makan dengan cara yang pelik, atau melakukan sesi pertempuran dengan hidangan seperti bergelut dengan sotong yang masih hidup. Ada juga antara BJ ini mengenakan solekan serta pakaian yang pelik sewaktu sesi makan mereka bertujuan untuk menarik perhatian penonton.

Kategori yang keempat pula ialah BJ yang menjadi tukang masak (cook). Mukbang yang mereka jalankan biasanya terdiri daripada acara mereka memasak makanan dari awal sehingga akhir proses tersebut dan sesi makan. BJ yang memasak ini kebanyakannya terdiri daripada mereka yang pernah bekerja sebagai tukang masak profesional di hotel atau restoran, dan mereka juga mampu untuk menerangkan bahan-bahan yang digunakan dalam masakan tersebut serta berkongsi resepi bersama penonton. Siaran langsung ini juga kadangkala digelar sebagai cookbang.

Manakala kategori BJ yang terakhir pula ialah BJ yang cantik dan kacak (pretty girl/boy). BJ yang cantik dan kacak ini kebiasaannya lebih fokus kepada penampilan diri mereka sewaktu mengendalikan mukbang, kerana makanan yang terhidang hanyalah sebagai suatu topik sampingan sahaja. Malah, mereka hanya akan menjamah sedikit sahaja makanan yang terhidang dan lebih gemar berkomunikasi bersama penonton. BJ dalam kategori ini juga sangat mementingkan aspek pencahayaan sewaktu siaran langsung dan cuba untuk memakai solekan sebaik yang mungkin demi menarik perhatian penonton.

Impak daripada mukbang

Mukbang secara dasarnya telah memberi suatu persepsi dan jenama baru dalam kepelbagaian rancangan masakan dan makanan di Korea Selatan. Ia secara tidak langsung telah merentasi rancangan masakan konvensional dalam memperkenalkan sesuatu jenis makanan melalui kaedah yang lebih kontemporari dan mudah untuk menarik golongan muda bagi menontonnya. Namun begitu, impak yang dibawa daripada kemunculan mukbang ini ada sisi positif dan negatifnya.

Jika dilihat daripada rancangan-rancangan berasaskan masakan dan makanan yang terdapat di Korea Selatan sebelum bermulanya era mukbang pada tahun 2008, hampir kesemua rancangan tersebut banyak memfokuskan kepada nilai kesihatan yang diperoleh daripada makanan yang diperkenalkan. Apa yang dapat dilihat melalui rancangan-rancangan masakan tersebut ialah mengenai makanan yang berkualiti tinggi yang dihasilkan berdasarkan resepi turun temurun, hidangan sihat yang sesuai untuk dimasak sebagai hidangan di rumah dan segala maklumat tentang bahan-bahan berkhasiat yang boleh digunakan dala masakan. Rancangan-rancangan ini secara asasnya memelihara nilai tradisi, dan pada masa yang sama turut mempunyai elemen komersil melalui kaedah penyediaan yang dilakukan.

Namun, kemunculan rancangan kontemporari yang lebih bersifat pop seperti mukbang ini sedikit sebanyak telah menghakis nilai-nilai tradisional yang sebelum ini dipaparkan dalam rancangan masakan yang konvensional. Apa yang ditunjukkan melalui mukbang ialah gambaran mengenai makanan yang tiada nilai-nilai kesihatan, tidak berkhasiat dan tiada aspek penyediaan yang khusus. Mukbang telah banyak mempengaruhi para penonton melalui acara makan hidangan makanan segera seperti mi segera, pizza, burger dan makanan sejukbeku yang lain. Malah, BJ yang mengendalikan mukbang juga dilihat sebagai lebih mementingkan makanan yang berkalori tinggi dan berminyak sebagai hidangan utama dalam setiap mukbang yang dikendalikan.

Satu lagi sisi negatif yang dipaparkan melalui mukbang ini adalah mengenai tatacara serta etika yang ditunjukkan dalam proses menjamah hidangan. Apa yang dipaparkan dalam rancangan masakan konvensional ialah seni hidangan di meja makan serta adab untuk makan mengikut nilai-nilai tradisional, namun melalui mukbang, apa yang ditunjukkan oleh BJ yang bertugas ialah cara makan yang gelojoh dan mengenepikan semua tatacara yang sepatutnya ada dalam menghadapi hidangan makanan. Hal ini telah menjadi suatu isu dan kerisauan kepada  ramai pakar masakan di mana ia dibimbangi akan terus menghakis sentimen estetika yang sepatutnya wujud dalam setiap hidangan makanan Korea Selatan.

Selain itu, kehadiran BJ yang sering mencabar diri mereka sendiri untuk makan dalam kuantiti yang banyak, serta makan makanan yang terlalu pedas secara tidak langsung telah mengabaikan aspek kesihatan sepatutnya menjadi ciri utama dalam setiap rancangan masakan yang lain. Malah, kumpulan makanan berkalori tinggi yang sering dipaparkan di dalam mukbang telah secara terang-terangan melanggar aspek pemakanan sihat yang sering menjadi intipati bagi masyarakat di Korea Selatan.

Kesimpulan

Meskipun kehadiran mukbang ini dilihat sebagai suatu perkembangan yang positif dalam mempelbagaikan bentuk serta format rancangan berbentuk masakan dan makanan di Korea Selatan, namun sedikit sebanyak ia telah menimbulkan kegusaran dalam masyarakat lantaran paparannya yang dilihat tidak mementingkan aspek kualiti makanan dan etika dalam menjamah hidangan. BJ yang bertugas pula dilihat tidak profesional dan lebih mengutamakan kehendak penonton yang ingin melihat sesuatu yang berbeza pada setiap mukbang yang dijalankan. Namun, inilah realitinya kini, apa yang popular tetap menjadi pilihan penonton terutamanya golongan muda walaupun nilai tradisi dan etika terpaksa diketepikan.

Rujukan

Anderson, N. (2016). FoodTube: Why are people producing – and devouring – food broadcasts? Retrieved November 3, 2018, from https://www.theglobeandmail.com/life/food-and-wine/food-trends/foodtube-why-are-people-producing-and-devouring-food-broadcasts/article32168465/

Cheung, Y. (2018). ASMR & Mukbang — Satisfying Your Food Cravings While Dieting. Retrieved November 2, 2018, from https://medium.com/@yeukmancheung/asmr-mukbang-satisfying-your-food-cravings-while-dieting-ddba0d7309a2

Hong, S., & Park, S. (2017). Internet Mukbang (Foodcasting) in South Korea. In I. E. and L. Mikos (Ed.), Young & Creative, Digital Technologies Empowering Children in everyday Life (pp. 111–123). Gothenburg: Nordicom.

Jisun, Y. (2015). Past , Present , and Future of Food Programmes in Public Service Television. Seoul, South Korea.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.