Mubarizun – Briged Tentera Elit Islam

1,553

Pemerintah pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin melaksanakan perluasan kuasa bagi merealisasikan matlamat Futuhat. Kosa kata futuhat membawa maksud sebarang negara yang dibuka dan ditakluki oleh tentera Islam melalui peperangan. Manakala al-Fath al-Islami pula membawa erti sampai dan tersebarnya agama Islam ke dalam negara yang dibuka selepas peperangan.

Jadi, kita dapat fahami bahawa perluasan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan Islam bukanlah bersifat merampas tanah dan menjajah penduduk, tetapi sebaliknya bertujuan untuk keperluan berjihad di jalan Allah dan pada masa yang sama menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia. Tidak hairanlah, ketika zaman Khulafa Ar-Rasyidin, Islam berjaya melebarkan sayap kekuasan dan menguasai sebahagian besar negara-negara yang berada disekitar mereka.

Khulafa Ar-Rasyidin telah memerintah selama 30 tahun dan menjadikan Madinah Al Munawwarah sebagai pusat pemerintahan. Pada zaman ini, angkatan tentera mula diberikan perhatian secara khusus kerana perluasan kuasa giat dijalankan oleh pemerintah.

Ketika zaman pemerintahan Umar Al-Khattab, armada tentera laut telah berjaya ditubuhkan bagi memudahkan perluasan kuasa dijalankan dengan lebih cepat. Ketika Usman Affan menjadi khalifah, baginda telah memperbesarkan lagi saiz angkatan tentera darat dan juga laut Islam bagi menyaingi kekuatan empayar musuh yang lain.

Penubuhan Diwan Al Jundi ( Jabatan Ketenteraan) dilihat sebagai satu langkah untuk memperkasakan kekuatan angkatan tentera kerana ia berfungsi dalam mengendalikan latihan, menjaga kebajikan, membayar gaji serta cakna akan isu yang berkaitan dengan ketenteraan. Antara salah satu divisyen yang terdapat ketika zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin ialah pasukan briged elit yang dikenali sebagai Mubarizun.

Mubarizun berasal daripada perkataan arab yang bermaksud “duelist” ataupun “juara”. Mubarizun merupakan unit tentera khas ketika zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin. Mubarizun terdiri daripada pejuang elit dalam pelbagai divisyen seperti tentera daripada divisyen yang menggunakan pedang, tombak serta panah.

Mereka yang digelar sebagai mubarizun ini merupakan ‘pakar’ bagi setiap divisyen yang telah dinyatakan. Tugas Mubarizun sangat berat kerana mereka perlu bertarung dengan pejuang terbaik daripada tentera pihak lawan. Selalunya angkatan perang akan menghantar komander mereka bagi berlawan dalam acara ini. Jika berjaya membunuh ketua mereka, pasukan lawan seakan menjadi tempang kerana kehilangan pemacu mereka.

Jika anda merupakan seorang peminat filem yang bertemakan perang, semestinya anda akan ‘familiar’ serta cakna dengan babak yang memaparkan dua pahlawan perang daripada pihak yang berlainan akan beradu tenaga di tengah tengah padang pertempuran sambil disaksikan oleh puluhan ribu askar. Perlawanan ‘satu lawan satu’ ini selalunya menjadi acara pembukaan bagi kebanyakkan edisi peperangan yang pernah berlaku pada zaman dahulu.

Acara ini memberi gambaran awal kepada pihak lawan akan kekuatan pasukan yang dibawa. Memenangi acara ‘satu lawan satu’ ini bukan bermakna pasukan tersebut telah mencapai kemenangan tetapi ia menjadi pendorong serta dapat membantu meningkatkan moral angkatan perang tersebut. Kemenangan itu juga mampu menggerunkan pihak lawan yang mana memberikan kelebihan kerana berjaya menganggu emosi serta fokus mereka.

Dalam kesempatan ini, penulis akan membawakan secara ringkas tentang salah seorang pahlawan Islam yang terkenal sebagai seorang Mubarizun. Mereka telah berjaya memainkan peranan mereka dengan sebaik mungkin dalam menyebarkan agama Islam. Kegagahan serta jasa mereka di medan perang memberikan kesan yang sangat besar dalam sejarah ketamadunan Islam.  Hasilnya, kita dalam lihat bahawa Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia pada ketika ini

Abdul Rahman bin Abi Bakar

Abdul Rahman bin Abu Bakar merupakan salah seorang anak Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Sebelum keislamannya, beliau merupakan antara tokoh yang kuat menentang Islam. Tidak seperti adik-beradiknya yang mengikut jejak langkah ayah mereka dengan berhijrah kepada Islam, Abdul Rahman tetap kukuh menganuti kepercayaan yang dipegang oleh kaum musyrikin pada ketika itu. Beliau juga merupakan antara pejuang yang dipertaruhkan oleh kaum musyrikin ketika Perang Badar.

Abdul Rahman mendapat peluang untuk membunuh bapanya tetapi beliau tidak sampai hati dan berpaling mencari mangsa lain. Bukan itu sahaja, ketika Pertempuran Uhud, beliau telah dilantik menjadi ketua angkatan tentera bagi divisyen memanah buat tentera musyrikin. Akhirnya, ketika pada tahun ketujuh hijrah dan selepas Perjanjian Hudaibiyyah ditandatangani, Allah telah membuka pintu hatinya untuk memeluk agama suci Islam selepas melihat kebaikan yang dilakukan oleh Muslim.

Selepas memeluk Islam, beliau terus direkrut menjadi salah seorang pejuang Islam. Beliau juga merupakan antara salah seorang Mubarizun yang terkenal dengan kehebatannya membunuh musuh. Diceritakan bahawa Abdul Rahman ketika Perang Yamanah, beliau telah membunuh Jeneral Perang tentera Musailamah iaitu Muhakkam al-Yamama.

Bukan itu sahaja, ketika Perang Yarmuk, Ketua Panglima tentera Byzantine memilih lima pahlawan handalan daripada pihak Byzantine, dan mereka mencabar umat Islam untuk bertarung. Abdul Rahman telah menyahut cabaran itu dan membunuh semua daripada mereka satu demi satu. Begitulah hebatnya seorang Mubarizun ketika menghadapi musuh di medan perang.

Ini merupakan kisah tentang salah seorang daripada ratusan ataupun mungkin ribuan Mubarizun yang telah menaburkan khidmat bakti mereka dalam melihat syiar Islam terus berada di muka bumi ini. Nama besar lain yang juga merupakan seorang Mubarizun adalah seperti Ali bin Abi Talib, Khalid Al-Walid, Dhiraar bin Al-Azwar, Al-Qaqa ibn Amr al-Tamimi dan Asim ibn ‘Amr al-Tamimi.

Penulis mengakhiri artikel ini dengan sabda Nabi Muhammad SAW tentang jihad

“Siapa yang berperang semata-mata untuk menegakkan kalimatullah (agama Allah), maka itulah fisabilillah.” (Sahih al-Bukhari, no. 3126)

Ikuti penulis: https://www.instagram.com/_hairulfaizi/

RUJUKAN:

I- Rozali, Ermy Azziati; Ab Rahman, Zamri. Kecemerlangan Futuhat Islamiyyah Era Khulafa’Al-Rashidin (The Excellence of Futuhat Islamiyyah in the Era of Khulafa’ Al-Rashidin). Journal of Al-Tamaddun, [S.l.], v. 12, n. 2, p. 25-40, dec. 2017. ISSN 2289-2672

II- Military History (Saracen Jihad). https://althistory.fandom.com/wiki/Military_History_(Saracen_Jihad)

III- Abdurrahman bin Abi Bakar. https://www.wikiwand.com/ms/Abdurrahman_bin_Abi_Bakar

IV- Saidina Abdul Rahman bin Abu Bakar RA. https://ikimfm.my/saidina-abdul-rahman-bin-abu-bakar-ra/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.