Bila kita membaca novel Mary Shelley, Frankenstein dan menonton adaptasi kisah tersebut di layar perak atau kaca televisyen, kita cuma melihat elemen seram yang membuatkan penonton atau pendengar tidak senang duduk. Antara pelakon yang mendapat penghormatan melakonkan watak raksasa Frankenstein ialah Robert De Niro (Raging Bull, Ronin) dalam Mary Shelley’s Frankenstein (1994) dan Rory Kinnear (Skyfall, Spectre) dalam siri televisyen Penny Dreadful (2014). Di sebalik kisah ini yang mengandungi elemen drama dan tragis, terdapat beberapa tema yang kita perlu ambil sebagai pelajaran.

1. JANGAN BERLAGAK JADI TUHAN

Satu perkara menarik yang dipetik Shelley dalam novel ini ialah tindakan protagonisnya, Victor Frankenstein yang mengkaji dan membuat eksperimen menghidupkan semula orang yang telah tiada. Punca beliau melakukannya kerana beberapa minggu sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Ingolstadt, ibunya mati selepas menghidap demam skarlet. Bagi Victor, kematian ibunya memberi motivasi untuknya mengatasi kematian dengan mencipta semula kehidupan. Dengan bakat yang dimiliki dalam bidang sains, Victor berjaya menguasai teknik memberi kehidupan kepada benda bukan hidup termasuk memberi nyawa kepada makhluk di mana anggota badannya digabungkan daripada komponen mayat-mayat lain. Victor menyangka makhluk ciptaannya itu cantik seperti yang dibayangkan tetapi sebaliknya, makhluk tersebut amat hodoh dari segi penampilannya. Ini menyebabkan beliau menolak makhluk tersebut sebagai raksasa dan tidak selayaknya dianggap ciptaannya yang terhebat.

Figure 1: Ilustrasi dalam novel Shelley menunjukkan bagaimana Victor Frankenstein mencipta makhluknya.

Sebagai manusia, kita tidak seharusnya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan sunatullah. Ini kerana semua yang berlaku telah diatur dengan sempurna oleh Allah s.w.t termasuklah dalam soal kematian. Sesungguhnya ada hikmah tersembunyi di sebalik apa yang berlaku. Manusia yang berusaha mencabar sunatullah sebenarnya tidak sedar, jika dibandingkan dengan kekuasaan Ya Malik, dia sebenarnya terlalu kerdil dan apa sahaja yang dikerjakannya tidak akan berlaku melainkan dengan izin-Nya.

Benar, kita boleh melakukan pelbagai perkara dalam soal kemajuan dan perkembangan tamadun manusia tetapi kita juga perlu tahu tentang bahaya andainya kita mahu melakukan perkara-perkara yang melawan sunatullah. Contohnya soal pengklonan manusia. Saintis menyifatkan usaha tersebut salah bukan saja dari segi etika tetapi juga berhadapan kesukaran dari aspek genetik selain isu pengkomersialan. Hank Greely, seorang saintis dari Universiti Stanford menyifatkan pengklonan membabitkan spesies haiwan seperti kucing dan tikus boleh dilakukan tetapi ianya sukar dilakukan bagi manusia, spesies primat dan sesetengah spesies haiwan lain. Bagi George Annas pula, seorang ahli bioetika dari Universiti Boston menyifatkan sebarang teknologi baru yang diperkenalkan firma-firma kesihatan termasuk pengklonan terdedah kepada penyalahgunaan teknologi dan selalunya didorong motif mengejar keuntungan.

2. KEBERTANGGUNGJAWABAN

Selepas makhluk tersebut bernyawa, ini bukanlah ciptaan terhebat yang diidamkan oleh Victor tetapi satu raksasa. Bila makhluk ciptaannya cuba menghampiri beliau seperti mana seorang anak cuba menghampiri ibunya, Victor menolak tindakan makhluk tersebut dan segera melarikan diri. Tindakan beliau seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang dilakukan dan malu sekiranya kewujudan makhluk tersebut diketahui orang lain. Akibatnya, ramai orang mati di tangan makhluk tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mangsa makhluk tersebut ialah:

a) William Frankenstein (adik Victor)
b) Justine Moritz (pengasuh William yang diperangkap makhluk tersebut sebagai pembunuh William)
c) Henry Clerval (sahabat karib Victor)
d) Elizabeth Lavenza (isteri Victor)
e) Alphonse Frankenstein (ayah Victor yang mati akibat sakit tua dan terkesan dengan kematian anak angkatnya, Elizabeth)
f) Victor Frankenstein (pencipta makhluk tersebut yang mati akibat keletihan dan hipotermia kerana obses dengan dendam terhadap makhluk ciptaannya)

Bagi makhluk ciptaan Frankenstein, padanya, apa yang dilakukan terhadap ahli keluarga dan sahabat Victor bersesuaian dengan balasan yang patut diterima pada penciptanya. Dia menyifatkan darah yang ditumpahkan itu berpunca daripada tindakan Victor yang membawanya ke dunia sebagai makhluk yang dibenci semua orang. Namun pada akhirnya, bila menyedari semua pembunuhan atau tindakan yang dilakukan tidak membawa sebarang ketenangan yang dimahukannya, makhluk tersebut bersumpah akan membunuh dirinya sendiri agar kewujudannya tidak diketahui dunia. Ini menunjukkan bahawa dia mahu bertanggungjawab akan kesalahan yang dilakukannya dan cuba menebus dirinya.

Figure 2: Tema kebertanggungjawaban yang dipilih Shelley amat dekat di hatinya berikutan pengkhianatan yang dilakukan suaminya, Percy semasa beliau berpantang dan kehilangan anak yang mati tidak cukup bulan.

Sebarang tindakan yang dilakukan kita ada sebab dan akibat lebih-lebih lagi membabitkan soal etika dan moral. Dan bagi setiap tindakan, kita perlu bersedia menerima akibatnya sama ada baik atau buruk. Ini dinyatakan dalam firman Allah s.w.t menerusi ayat 38, Surah Al-Mudatthir, “Setiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.” Orang yang bijak tidak akan meremehkan soal tanggungjawab, lebih-lebih lagi kiranya individu tersebut memegang jawatan atau amanah manusia. Ini kerana bagi setiap tindakan kita, baik atau buruk, semua dicatat oleh malaikat pencatat amal iaitu Raqib dan Atid. Firman Allah s.w.t dalam ayat 12, Surah Yaasiin, “Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) setiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.” Justeru, usah pandang enteng erti tanggungjawab kerana ia sebenarnya memberi kesan penting dalam setiap aspek kehidupan kita.

3. OBSES

Figure 3: Makhluk ciptaan Frankenstein obses dengan keinginan ada teman hidup dan dendam pada penciptanya. Kredit: https://en.wikipedia.org/wiki/Bride_of_Frankenstein

Novel Shelley menceritakan obsesi tiga individu. Pertama, Kapten Robert Walton, seorang penulis dan kapten yang mahu menjelajah Kutub Utara yang obses mencipta nama untuk dirinya sendiri. Kedua, makhluk ciptaan Frankenstein yang obses dengan dendam terhadap penciptanya yang membawanya lahir ke dunia tetapi menjadi sasaran kebencian semua orang. Ini ditambah dengan tindakan Victor menjahanamkan ciptaannya iaitu pengantin perempuan untuk makhluk tersebut sehingga menambah obsesi ke tahap melampau. Ketiga, Victor sendiri yang obses mahu mengatasi kematian dengan mencipta kehidupan. Selepas hidupnya huru-hara gara-gara jenayah kejam yang dilakukan makhluk tersebut, beliau obses dengan dendam dan mengejar makhluk tersebut sehingga ke Kutub Utara semata-mata untuk membalas dendam kematian orang-orang yang dikenali dan dikasihinya termasuk isteri tercinta, Elizabeth.

Obses ini baik kerana di situlah, kita boleh memfokuskan tenaga dan semangat kita pada perkara yang kita suka. Namun ia boleh saja bertukar menjadi buruk bila kita bersikap melampaui batas. Ini kerana sikap sebegini bukan saja akan menyusahkan diri sendiri tetapi juga memberi mudarat kepada orang lain. Dan obsesi sebegini turut membawa kepada kewujudan sikap-sikap lain seperti dengki dan khianat. Jika dibiarkan, kedua-duanya berupaya menjahanamkan manusia dan apa saja perkara yang cuba dibinanya.

Terlalu banyak firman Allah s.w.t yang mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas. Contohnya, firman-Nya dalam ayat 151-152, Surah As-Syuara, “Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan.” Begitu juga dengan firman-Nya dalam ayat 27, Surah As-Syura, “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.”

Dan akibat daripada obsesi ini berdasarkan novel Shelley:

a) bagi Victor, obsesinya untuk mengatasi kematian dengan mencipta kehidupan secara tidak langsung membawa kepada kematian orang tersayang terutama isterinya, Elizabeth. Dan kerana obsesi yang sama ini juga mewujudkan dendam kesumat yang membawa kepada kematiannya di Kutub Utara.

b) bagi makhluk ciptaan Victor, obsesinya dalam membalas dendam terhadap penciptanya tidak memberi sebarang ketenangan yang dicarinya. Tetapi sebaliknya, obsesinya itu menyebabkan dia merasa kesunyian dan diselubungi rasa bersalah yang teramat pada penciptanya. Dan kerana itu, raksasa ini mengambil keputusan mati bersama Victor.

c) bagi Kapten Walton sendiri, ekspedisi ke Kutub Utara pada hujung abad ke-18 bertujuan untuk mencipta nama untuk dirinya sendiri tanpa mempedulikan keselamatan diri dan krewnya. Walau bagaimanapun, selepas mendengar kisah Victor akan bahaya obsesi melalui kisahnya itu ditambah dengan kehilangan beberapa krewnya, Walton membatalkan ekspedisi dan berpatah balik ke England.

4. DENDAM

Tema yang sentiasa muncul dalam novel Frankenstein ialah dendam sama ada milik Victor atau makhluk ciptaannya. Bagi makhluk tersebut, dendam tersebut muncul apabila masyarakat menolaknya dan melayannya seperti pariah. Baginya, Victor bersalah kerana membawanya lahir dalam dunia yang kejam pada makhluk sepertinya. Ini ditambah keinginannya mempunyai teman hidup dinafikan Victor atas alasan sekiranya diteruskan, ia boleh merosakkan kemanusiaan itu sendiri. Ini mendorong Victor memusnahkan terus teman hidup makhluknya, menyebabkan makhluk tersebut marah dan menyimpan dendam kesumat terhadap penciptanya. Atas sebab itu, makhluk tersebut menjustifikasikan semua jenayah pembunuhannya dengan alasan penciptanya patut merasa kesakitan sama yang dialaminya semasa di luar. Namun, dendamnya itu tidak membawa apa-apa ketenangan sebaliknya hanya kesunyian. Dan ia juga mewujudkan rasa bersalah yang teramat pada penciptanya sehingga mendorong makhluk tersebut membunuh diri dan mati bersama Victor.

Bagi Victor sendiri, dendamnya terbit gara-gara tindakan ciptaannya itu membunuh semua orang yang dikenalinya. Namun, satu perkara yang mendorongnya untuk bertindak ialah apabila makhluk tersebut membunuh isterinya, Elizabeth dalam keadaan menyayat hati. Sudahlah Elizabeth dicekik sehingga mati dan apabila Victor melihat kelibat makhluk tersebut, dia mengejek Victor dengan menunjukkan keadaan mayat isterinya sebelum melarikan diri. Dan tambah menyedihkan, Alphonse, ayah beliau mati akibat sakit tua dan patah hati akibat kehilangan Elizabeth. Ini mendorong Victor memburu makhluk tersebut sehingga ke Kutub Utara tanpa mempedulikan keadaan dirinya. Akibatnya, dendam beliau sebenarnya membawa kepada kematiannya sendiri kerana semasa kumpulan Kapten Walton menemui Victor, beliau mengalami keletihan dan hipotermia.

Usahlah kita mencontohi sikap dua protagonis kisah ini. Lihatlah akan pengakhiran mereka. Mahukah kita mendapat pengakhiran buruk angkara dendam kesumat tak berkesudahan? Ketahuilah perbuatan sebegini dibenci Allah dan Rasul-Nya. Dalilnya, sabda Rasulullah s.a.w, “Orang yang paling dibenci Allah s.w.t ialah orang yang menyimpan dendam kesumat.” (Riwayat Muslim) Dalam satu hadis lain, baginda mengingatkan manusia untuk tidak saling bermusuhan sehingga ke tahap tidak mahu bertegur sapa dan terputusnya hubungan silaturahim, “Tidaklah halal bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya lebih dari tiga malam. Kedua-duanya juga saling bertemu, tetapi mereka tidak saling mengacuhkan satu sama lain. Yang paling baik diantara kedua-duanya yang terlebih dahulu memberi salam.” (Riwayat Muslim) Justeru, berusahalah untuk berlapang dada dan saling bermaafan antara satu sama lain seperti yang dianjurkan Nabi s.a.w. Ketahuilah dendam tidak membawa sebarang manfaat melainkan mudarat dan duka berpanjangan.

SUMBER

1. Muchlis Al-Habibi. (2013). Menghilangkan Benci dan Dendam Dengan Al-Quran dan Hadis. http://alhabibi89.blogspot.com/2013/06/menghilangkan-benci-dan-dendam-dengan.html

2. Al-Manhaj. (2013). Rasulullah s.a.w Seorang Yang Berlapang Dada, Tidak Suka Membalas Dendam. https://almanhaj.or.id/3784-rasulullah-shallallahu-alaihi-wa-sallam-seorang-yang-lapang-dada-tidak-suka-membalas-dendam.html

3. Begley, Sharon. (2016). Business Insider. Here’s why we’re still not cloning humans, 20 years after Dolly the sheep. http://www.businessinsider.com/can-you-clone-a-human-2016-7/?IR=T

4. Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu. Surah.my


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply