Drama bersiri terbitan Marvel Studios, Moon Knight terus menjadi sebutan walaupun ia telah berakhir pada minggu pertama Mei lepas. Ini kerana siri ini menyentuh isu kesihatan mental yang menyelubungi protagonisnya iaitu Dissociative Identity Disorder (DID) atau kecelaruan identiti. Dalam sesetengah kes, ada penghidap DID yang tidak dapat keluar rumah seperti yang berlaku kepada seorang warga Jerman bernama Leonard Stöckl.
Stockl, 22, yang berasal dari Munich memberitahu dia tidak boleh keluar rumah, apatah lagi untuk belajar atau bekerja. Ini disebabkan dia mempunyai 10 orang personaliti berbeza iaitu Kovu, 4, Hektor, 8, Ana, 16, Cosmo, 17, Ash, 18, Jessy, 19, Leo, 21, Billy, 23, Liv, 24, dan Red, 26.
Stockl merujuk semua personalitinya sebagai sistem dengan kumpulan identiti yang mempunyai kesedaran berbeza antara satu sama lain. Dia merujuk dirinya sebagai tuan rumah sistem sekaligus menjadikan kumpulan personaliti ini yang kerap mengawal badannya.
Tetapi sebelum kisah Stockl dilanjutkan, apa itu DID sebenarnya? Secara ringkas, ia merupakan kecelaruan identiti di mana seseorang itu mempunyai lebih daripada satu personaliti dalam dirinya dengan setiap personaliti berbeza antara satu sama lain. Mengikut pertubuhan National Alliance on Mental Illness yang berpangkalan di Amerika Syarikat, dua peratus penduduk dunia mengalami masalah DID.
Contoh paling mudah, personaliti-personaliti Marc Spector/Moon Knight seperti dipaparkan dalam siri Disney+ itu. Spector dilihat lebih suka menyendiri dan dianggap lebih mementingkan diri sendiri. Sementara personaliti keduanya, Steven Grant/Mr Knight pula menggunakan loghat London British dan berdepan kesukaran bergaul dengan orang lain. Manakala Jake Lockley yang menjadi avatar kegemaran tuan mereka Khonshu pula lebih ganas dan berkomunikasi dalam Bahasa Sepanyol.
Jadi, bagaimana DID boleh tercetus? Antara pencetus utamanya ialah akibat trauma yang dialami oleh si penghidap semasa zaman kanak-kanak. Kanak-kanak yang trauma akan kerap membayangkan situasi berbeza daripada situasi semasa sebagai cara mengatasi trauma yang dialami.
Trauma seperti penderaan, kemalangan atau kematian ahli keluarga akan menyumbang kepada trauma psikologi yang tidak akan hilang dengan mudah daripada ingatan. Salah satu pencetus kemunculan semula trauma sebegini ialah tekanan hidup yang dialami si polan apabila mencecah usia dewasa. Sekiranya ia tidak diatasi dari awal lagi, ia boleh menyebabkan si penghidap mengalami kecelaruan identiti atau DID.
Selain trauma zaman kanak-kanak, DID juga boleh tercetus akibat sebab biologi seperti masalah genetik yang diwarisi daripada ibu bapa, ketidakseimbangan hormon dan corak pemakanan si polan. Dan petanda utama DID ialah si penghidap mengalami masalah mudah lupa dan kesukaran mengingati maklumat diri yang penting.
Ini kerana setiap personaliti berbeza yang wujud dalam diri penghidap mempunyai ciri berbeza dari segi umur, jantina, bangsa atau warganegara berbanding tuan rumah badan. Selain itu, setiap personaliti turut mempunyai postur badan, cara pergerakan dan percakapan yang berbeza. Dalam sesetengah kes DID, ada personaliti penghidapnya muncul dalam bentuk haiwan. Perubahan dari satu identiti kepada identiti yang lain juga berbeza dari segi masa dengan ia boleh berlaku dalam tempoh beberapa saat, minit, jam atau hari.
Dalam kes Stockl, semua personalitinya unik antara satu sama lain. Kovu yang paling muda dalam kalangan semua personalitinya bersikap pendiam, berkemungkinan akibat trauma zaman kanak-kanak. Sementara Cosmo ialah seorang remaja miang dan mempunyai kecenderungan untuk bergaduh. Manakala Red pula dianggap paling senior dan bertanggungjawab menguruskan perkara seperti pembersihan, kertas kerja dan kewangan.
Pada peringkat awal, Stockl mampu menangani isu sebegini. Tetapi semua itu berubah apabila DID mengakibatkan dia tidak berupaya semasa menduduki peperiksaan A-Level pada tahun lepas. Tatkala semua orang fokus kepada pembelajaran, Stockl mengalami masalah kehilangan memori dan simptom-simptom yang berkait dengan perubahan personaliti.
Selepas disahkan mengalami DID, Stockl tidak lagi bekerja berikutan semua personalitinya mempunyai kehendak yang berbeza. Ini mendorongnya membuka sebuah kedai di Etsy yang menjual beg tote dan penanda buku buatan tangan. DID juga memberi kesukaran kepadanya menjalinkan hubungan istimewa dengan sesiapa.
Di sebalik persepsi pesakit mental merupakan orang yang merbahaya, persepsi ini tidak terpakai kepada DID. Ini kerana salah faham terhadap isu ini masih lagi berleluasa terima kasih kepada gambaran negatif yang dibawa filem-filem fiksyen terutama Hollywood seperti Split. Hakikatnya di sini, penghidap DID ialah mangsa kepada keadaan itu dan bukan orang di sekitarnya.
Jadi, bagaimana cara membantu penghidap DID? Rawatan utama ialah melalui sesi psikoterapi yang komprehensif di mana individu tersebut akan dibantu untuk mengenalpasti masalah, menguruskan emosi dan tekanan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2023 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih