Monumen-Monumen Bersejarah: Mengenang Kejatuhan Kota Melaka

1,169

Melaka dahulunya dikenali sebagai Venice of the East. Ia merupakan sebuah pusat tumpuan perdagangan yang terpenting di dunia pada ketika itu. Empayar Melayu Melaka merupakan kerajaan yang luar biasa kekayaannya. Melaka yang dahulunya terkenal sebagai Pusat Ketamadunan Islam kemudiannya telah dijatuhkan dengan semangat Gold, Gospel, Glory.

Alfonso de Albuquerqe berkata, “Jika Melaka berjaya dirampas dari tangan umat Islam, nescaya Mekah dan Kaherah akan binasa”. Manakala Tome Pires penulis karya terkenal Suma Orientel pula menyatakan bahawa “Barangsiapa yang menguasai Melaka, maka dialah yang akan memegang leher Venice.”

GEREJA ST PAUL

Zaman dahulu, kawasan ini dinamakan sebagai Bukit Melaka. Namun, apabila Empayar Melaka jatuh pada 1511, bukit ini dinamakan Mary Hill (Bukit Maryam).

Duerte Coelho seorang Kapten Portugis membina sebuah chapel di atas bukit ini pada tahun 1521. Chapel ini didedikasikan kepada Virgin Mary dan dinamakan sebagai Our Lady of the Hills.

Pada tahun 1548, chapel ini diserahkan kepada Society of Jesus (Jesuit). Setelah dibesarkan, chapel ini ditukar menjadi Igreja de Madre de Deus (Gereja Tuhan Ibu) yang merupakan Gereja Kristian Mazhab Roman Katolik tertua di Asia Tenggara.

Paderi St Francis Xavier akan menginap disini setiap kali datang ke Melaka. Gereja ini dijadikan markas St Francis Xavier untuk menyebarkan agama Kristian ke timur Asia sehingga mencapai ke negara Jepun.

Ketika Belanda datang menjajah Melaka dan menghalau Portugis pada tahun 1641, nama gereja ini ditukar menjadi St Paul Church dan bukit ini juga mula dikenali sebagai Bukit St Paul.

Belanda juga menukar gereja ini dari berorientasikan Mazhab Roman Katolik menjadi Mazhab Protestant Reformasi Belanda. Kemudian, gereja ini tidak lagi digunakan apabila Gereja Christ siap dibina oleh Belanda pada tahun 1753.

Ketika pemerintahan British, gereja ini dijadikan gudang menyimpan serbuk senjata atau peluru oleh tentera British. Lama setelah itu, gereja ini dibiarkan memburuk dan kemudiannya usaha-usaha pemulihan diadakan bagi memelihara warisan sejarah dan dijadikan kawasan tarikan pelancong.

Penulis di kubur St Francis Xavier

KUBUR ST FRANCIS XAVIER

Di ruang utama bangunan Gereja St Paul, terdapat satu lubang kosong yang ditutup dengan pagar besi. Ruang kosong ini sebenarnya merupakan bekas kubur St Francis Xavier, seorang tokoh agung mubaligh Kristian kelahiran Navarre Sepanyol. St Francis Xavier ini merupakan murid kepada St Ignatius Loyola. Mereka berdua dan beberapa tokoh lain mengasaskan gerakan Jesuit atau dikenali sebagai Society of Jesus. St Francis Xavier dikenali sebagai Hawari Timur (Apostle of the East).

St Francis Xavier merintis misi penyebaran Kristian Mazhab Katolik ke wilayah-wilayah yang belum pernah dikunjungi oleh mubaligh-mubaligh Katolik seperti Melaka, Borneo, Kepulauan Maluku dan Jepun. St Francis Xavier tiba di Melaka pada Oktober 1545. St Francis Xavier sering berulang alik ke Melaka sepanjang tahun 1545 hingga 1552 bagi tugasan menyebarkan agama Kristian Katolik.

Apabila St Francis Xavier mati, jasadnya disemadikan di ruang utama chapel ini. Sembilan bulan kemudian, jasadnya dipindahkan ke Goa untuk disemadikan di sana. Bagi masyarakat Kristian di seluruh wilayah Timur, St Francis Xavier merupakan tokoh agung yang telah banyak berjasa kerana membawa agama Kristian kepada mereka.

Batu-batu besar yang bersandar di sekeliling dinding Gereja St Paul itu sebenarnya adalah batu nisan.

ISTANA MELAKA

Dikatakan panjang Istana Melaka yang sebenar adalah 95 Meter. Berdasarkan catatan dalam Sulalatus Salatin, Istana Melaka dikatakan ada 7 tingkat.

Menurut Dokumen Portugis, semasa Portugis sampai ke Melaka, Melaka ada banyak istana-istana yang diperbuat daripada kayu dan ada yang diperbuat daripada batu (masonic building).

Di bawah setiap Istana Melaka terdapat gedung bawah tanah. Setiap Sultan Melaka mempunyai bilik simpanan harta yang berbeza. Gedung ini cukup besar untuk digunakan bagi menyimpan emas dan perak Sultan Melaka. Terdapat catatan yang mengatakan bilik simpanan harta Sultan Melaka mempunyai tiga tan emas selain harta-harta lain.

Ketika Portugis datang menyerang Melaka, Istana Melaka telah hangus terbakar. Namun, ruang bawah tanah ini tidak musnah. Pihak Portugis telah menemui ruangan ini di sebalik runtuhan kebakaran Istana Melaka. Harta ini telah disrampas oleh Portugis dan menjadi sebahagian daripada harta yang dibawa balik ke Portugal.

A FAMOSA

Menurut Tom Pires, dahulu Sultan Melaka sangat meminati ilmu tassawuf dan sangat memuliakan ulamak. Baginda membina sebuah masjid yang sangat cantik berdekatan dengan bukit Melaka.

Namun, ketika Portugis datang menyerang dan menakluk Melaka, Masjid Agung Melaka, makam-makam diraja, tembok kota dipecahkan dan istana Melaka dibakar. Di bawah runtuhan Masjid Sultan dan Istana Melaka inilah dibinanya Kubu Melaka atau dalam bahasa Portugisnya “Fortaleza de Malaca”.

Namun ia lebih dikenali dengan nama gelarannya iaitu “Kota A Famosa” yang bermaksud “Yang Termasyhur”. Ia sebenarnya merupakan kubu pertahanan besar yang mengelilingi pusat pemerintahan Portugis bagi menangkis serangan orang-orang Melayu dari merampas semula Melaka.

Ia dibina atas arahan Alfonso de Albuquerque sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain. Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh sehinggakan ia membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan.

Ketika Belanda merampas Melaka dari Portugis, Kota A Famosa telah rosak teruk. Kemudian, ia telah diperbaiki dan diubahsuai sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan jata Syarikat Hindia Timur Belanda.

Ketika British menguasai Melaka, William Farquhar mengarahkan agar benteng-benteng ini dihancurkan pada tahun 1807. Namun, perobohan ini dihentikan atas permintaan Sir Stamford Raffles setahun selepasnya.

Hanya pintu gerbang Porta de Santiago sahaja yang masih tertinggal sehingga kini sepertimana yang dapat kita lihat pada gambar tersebut. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

THE STADTHUYS

Dalam bahasa Belanda, ianya bermaksud “Dewan Bandaraya”. Ia berada disebelah Gereja Christ. Stadthyus yang dibina pada tahun 1650 dengan senibina Belanda ini merupakan penempatan rasmi Gabenor Belanda (VOC). Dipercayai bahawa bangunan ini adalah antara bangunan peninggalan Belanda yang tertua di Asia Tenggara.

Semasa pemerintahan Belanda di Melaka, Stadthuys dicat dengan warna putih. Melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, Melaka telah diserahkan oleh Belanda dan bandar tersebut menjadi tanah jajahan British. Pada tahun 1911, British mengecat bangunan Stadthuys dan Gereja Christ dengan warna merah salmon.

Pada tahun 1982 tempat ini diubah suai menjadi Muzium yang mempamerkan sejarah Melaka, sejarah penjajahan Portugis dan British.

Jemput follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.