Tahukah anda, monarki Jepun telah berjaya bertahan selama 2500 tahun? Oleh itu, pasti ada yang tertanya bagaimana monarki ini mampu bertahan sebegitu lama. Sedangkan kita telah dapati banyak monarki di Asia telah diruntuhkan, antaranya dinasti-dinasti Cina, monarki Korea (Silla, Koguryo, Paekche), Ryukyu dan Dai Viet.

Simbol diraja monarki Jepun yang berasal daripada Era Yamato

Sebelum saya menghuraikan faktor-faktor kelangsungan monarki Jepun, mari kita selami sejarahnya terlebih dahulu. Menurut mitologi Jepun, monarki Jepun bermula dengan pemerintahan Maharaja Jimmu pada sekitar tahun 660 SM. Maharaja Jimmu dikatakan berasal daripada Dewi Amaterasu sendiri, iaitu dewi matahari Jepun. Dewi Amaterasu merupakan entiti yang paling tinggi dalam kepercayaan Shinto sebagaimana Dewa Zeus dalam kepercayaan Pagan Yunani.

Namun begitu, sehingga ke hari ini para sejarawan masih tidak dapat mengesahkan kewujudan Maharaja Jimmu. Setakat ini, mereka hanya mampu mengesahkan Maharaja Kinmei (539 M) sebagai maharaja Jepun yang pertama sekali dalam sejarah. Maka, kita boleh mengandaikan kewujudan tokoh ini sebagai fasa permulaan monarki Jepun.

Berikut merupakan faktor-faktor kelangsungan monarki Jepun:

1. Maharaja hanya berperanan sebagai simbol kekuasaan

Walaupun kerabat diraja Jepun dianggap suci lagi sangat dihormati, namun kebanyakan fasa pemerintahan mereka sebenarnya didominasi oleh puak-puak aristokrat tertentu atau ketua tentera. Semasa era Asuka, kerabat diraja Yamato telah dikawal dan dipegang oleh puak Soga yang banyak memainkan peranan dalam menyebarkan ajaran Buddha ke seluruh Jepun.

Seterusnya, puak Fujiwara telah berjaya melancarkan kudeta terhadap puak Soga dan terus berkuasa untuk dua abad selepas itu. Pada zaman Edo pula, puak Tokugawa telah berjaya menegakkan sistem pemerintahan Shogun yang mana Shogun selaku ketua tentera mempunyai kuasa pentadbiran yang tertinggi. Monarki Jepun kembali berkuasa penuh semula selepas Maharaja Meiji berjaya menjatuhkan sistem pemerintahan Shogun sehinggalah tamatnya Perang Dunia Kedua.

Sejurus tamatnya perang tersebut, kuasa maharaja telah dihadkan semula dan sistem demokrasi berparlimen telah ditegakkan dengan sokongan Amerika Syarikat. Namun begitu, faktor ini bukanlah penyebab utama kelangsungan monarki Jepun.

2. Peranan agama Shinto

Gambaran Dewi Amaterasu, dewi matahari Jepun

Kalau diperhatikan semula sejarah keruntuhan monarki-monarki lain, kita juga dapati banyak kudeta telah berjaya dilancarkan oleh tokoh-tokoh tertentu yang memperoleh sokongan besar daripada lapisan masyarakat. Contohnya, Dinasti Qing telah diruntuhkan oleh Parti Kuomintang pimpinan Dr Sun Yat Sen. Akan tetapi, perkara sebegini tidak pernah terjadi dalam sejarah Jepun.

Puak-puak aristokrat yang berkuasa besar seperti Soga dan Fujiwara hanya bertindak menabalkan kerabat-kerabat diraja yang cenderung untuk menyokong mereka, bukannya terus mengambil alih sistem monarki Jepun. Mengapa? Hal ini kerana terdapat kepercayaan yang kuat dalam kalangan masyarakat Jepun bahawa monarki Yamato merupakan jurai keturunan Dewi Amaterasu.

Justeru, hanya tokoh-tokoh yang berketurunan Dewi Amaterasu sahaja yang layak untuk menjadi maharaja Jepun.

Kini, kita bakal menyaksikan peralihan daripada era Heisei (Maharaja Akihito) kepada era Reiwa (Maharaja Naruhito). Walaupun kuasa maharaja telah dihadkan, namun Maharaja Akihito telah banyak menaburkan jasa dalam memulihkan imej Jepun pasca-WWII di mata dunia. Akhir sekali, apakah kejutan yang bakal menanti untuk Jepun pada era Reiwa?

RUJUKAN:

i. How Did Japan’s Imperial Family Last So Long?, oleh Linfamy
https://www.youtube.com/watch?v=GE66hsPw3bo

ii. Japan’s Emperor Akihito: Ten things you may not know
https://www.bbc.com/news/world-asia-36983409


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar di UPM. Pencinta sejarah, falsafah dan sains. Percaya bahawa masyarakat perlu kembali kepada pembudayaan ilmu untuk memajukan agama, bangsa dan negara

Comments are closed.