Setiap negara dan kelab bola sepak ada legenda yang menjadi sebahagian daripada kelab eksklusif pemain satu kelab. Bagi penyokong Manchester United, siapa tidak kenal kelibat Gary Neville dan Paul Scholes yang menjadi tunjang utama England pada tahun 90-an dan awal dekad 2000.

Sementara Malaysia tidak ketinggalan mempunyai pemain satu kelab yang bukan saja menjadi kebanggaan negeri Selangor tetapi juga menjadi igauan ngeri pasukan lawan antarabangsa pada tahun 70-an. Legenda yang saya maksudkan ialah Allahyarham Mokhtar Dahari.

Latar belakang

Mokhtar merupakan anak jati Setapak, Kuala Lumpur dan dilahirkan pada 13 November 1953. Beliau merupakan anak kedua dari lima adik-beradik. Memandangkan bapanya Dahari Abeng sentiasa sibuk bekerja sebagai pemandu lori, mereka membesar di bawah perhatian ibu tercinta Aminah Sharikan.

Sejak dari bangku sekolah lagi, Mokhtar sudah menunjukkan minat dalam bidang sukan. Buktinya, semasa beliau bersekolah di Sekolah Rendah Jalan Kuantan (kini Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan), Mokhtar sudah menjadi wakil sekolah dalam beberapa acara seperti pingpong, sepak takraw dan bola sepak.

Selepas mereka sekeluarga berpindah ke Kampung Pandan pada tahun 1964, beliau terus menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sukan. Setiap petang, Mokhtar menyertai rakan-rakannya bermain di padang Pandan Dalam sehingga pukul 5.00 petang. Pada ketika itu, mereka perlu memberi laluan kepada pelajar-pelajar senior untuk menggunakan padang berkenaan.

Setahun selepas itu, beliau menghadiri sekolah premier utama negara ketika itu iaitu Victoria Institution (VI) dan dikelilingi oleh rangkaian sosial terdiri daripada rakan-rakan dan guru-guru yang menyumbang kepada pertumbuhannya sebagai pemain legenda yang kita kenali hari ini.

Memandangkan penyertaan dalam sukan badminton dan pingpong amat sengit ketika itu, Mokhtar merasakan peluang terbaiknya menyinar dalam dunia sukan melalui sukan bola sepak. Dalam tempoh beberapa bulan, beliau berjaya menyertai pasukan sekolah VI dan bermain dalam pertandingan bola sepak peringkat negeri bawah 15 tahun.

Satu detik yang melonjakkan namanya ialah apabila Mokhtar menjaringkan gol kemenangan bagi membantu VI mengatasi Sekolah La Salle dari Sentul 2-1 pada tahun 1968. Menyedari bakat besar yang dimiliki putera keduanya itu, Mokhtar Dahari menggunakan sebahagian daripada wang gajinya untuk membeli sepasang kasut but bola sebagai hadiah selepas tamat menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP/kini Pentaksiran Tingkatan Tiga) pada November tahun sama. But itu digunakan sebaiknya oleh Mokhtar dan sejak itu, beliau mula mencipta nama sebagai antara pemain paling berbakat ketika itu.

Bermulanya sebuah kisah…

Selepas tamat persekolahan pada tahun 1971, kelibat Mokhtar mula diintai Kelab Bola Sepak Darul Afiah yang ketika itu bermain di Divisyen Dua Negeri Selangor ketika itu. Di bawah bimbingan jurulatih Hussein Hashim, kemahiran menggeleceknya bertambah baik dan sekaligus membantunya menjadi tunggak utama pasukan di peringkat negeri.

Dan ini turut mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di mana beliau dipanggil mewakili Selangor menyertai kejohanan bola sepak Piala Burnley (kini Piala Razak) di Kuching, Sarawak. Walaupun baru berusia 16 tahun, terpapar kematangan dan keyakinannya beraksi di atas padang. Pasukan yang turut mengandungi Reduan Abdullah dan Abdullah Noordin berjaya menjuarai piala berkenaan dengan Mokhtar sendiri menjaringkan empat gol.

Tidak seperti pemain profesional hari ini yang mendapat gaji dan insentif lumayan, berbeza dengan generasi pemain terdahulu. Kebiasaannya, mereka cuba menampung kehidupan dengan mendapatkan pekerjaan lain. Dalam kes Mokhtar, beliau bekerja sebagai kerani bank dan selepas tamat waktu kerja, melaporkan diri untuk latihan pada waktu petang. Kehidupannya sangat sederhana dan motosikal merupakan kaedah utama pengangkutannya sama ada ke tempat kerja atau ke padang latihan.

Tetapi pada satu ketika, karier beliau hampir-hampir berakhir apabila beliau kehilangan motosikalnya dalam satu insiden. Insiden itu hampir-hampir mendorongnya bersara tetapi ia berjaya dihentikan apabila sebuah syarikat motosikal menghadiahkan sebuah motosikal baru untuk kegunaannya. Ini menambah keazaman Mokhtar untuk berjaya sebagai pemain bola sepak.

Tahun 1972 dianggap tahun penting bagi Mokhtar kerana tahun ini menyaksikan pelbagai pencapaian peribadinya dilakar. Tahun tersebut merupakan tahun pertamanya beraksi bersama pasukan negeri Selangor dan pada April 1972, beliau membantu Selangor mengatasi Perak 3-0 untuk membantu Gergasi Merah Kuning menjulang Piala Malaysia.

Tahun itu juga menyaksikan beliau membuat kemunculan pertama bersama pasukan kebangsaan tetapi kemunculannya diterhadkan di atas padang berikutan kekurangan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

Namun, bakat dan kemahirannya itu mencuri tumpuan pada final Piala Raja Thailand 1972 yang menyaksikan Malaysia berjaya menjuarai kejohanan berkenaan dengan Mokhtar menjaringkan gol kemenangan. Kemenangan ini juga merupakan permulaan kepada dekad emas pasukan kebangsaan yang turut dibarisi Datuk Soh Chin Aun, R. Arumugam dan Khalid Ali pada tahun 70-an.

Sepanjang bersama pasukan kebangsaan, pelbagai pencapaian dilakar Mokhtar yang sehingga hari ini masih sukar diatasi. Beliau pernah memenangi edisi Pesta Bola Merdeka sebanyak empat kali, dua kali memenangi pingat emas Sukan SEA (1977 dan 1979) dan pingat gangsa untuk Sukan Asia Tehran 1974. Tetapi ada dua perlawanan yang menggamit perhatian peminat bola sepak dunia.

Pertama, perlawanan persahabatan antara Arsenal yang dibimbing pengurus legenda Bertie Mee dengan pasukan kebangsaan pada tahun 1975. Pasukan ini bukan calang-calang kerana dibarisi anggota pasukan kejuaraan berganda 1970-1971 seperti Peter Storey dan John Radford. Tetapi pasukan ini mudah dijinakkan Harimau Malaya dengan sentuhan magis SuperMokh berjaya mengatasi Gunners dengan keputusan 2-0.

Pada tahun 1978 pula, sebagai persiapan pemanas badan England bagi menghadapi Piala Dunia 1978, pasukan kedua England berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Walaupun pasukan ini merupakan England B, ia masih dibarisi nama-nama besar seperti penjaga gol legenda Manchester City Joe Corrigan dan bek tengah Nottingham Forest David Needham.

Tetapi jika Three Lions menyangka Harimau Malaya mudah dibaham, mereka tersilap sama sekali. Pasukan bimbingan Sir Bobby Robson itu dikejutkan dengan jaringan penyamaan cantik Mokhtar di mana beliau menggelecek beberapa pemain England sebelum menewaskan Corrigan. Selepas tamat perlawanan, Robson menyifatkan beliau boleh bermain untuk mana-mana kelab Divisyen Satu England (nama lama bagi Liga Perdana Inggeris).

Dan saya tidak terkejut gol itu juga memberi inspirasi kepada pemusnah England pada tahun 1986, Diego Maradona untuk melakukan perkara sama terhadap England semasa Piala Dunia 1986. Gol kedua Maradona itu selepas gol ‘Tangan Tuhan’ dianggap gol tercantik sepanjang zaman oleh ramai pihak. Legenda Argentina itu mengakui bakat ajaib SuperMokh semasa mewakili Boca Juniors untuk perlawanan persahabatan dengan Pilihan Selangor pada tahun 1982.

Bukan sekali dua Mokhtar dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab besar ketika itu seperti Arsenal dan Real Madrid. Beliau boleh saja mengikut jejak langkah Cha Bum-kun yang mencetuskan mimpi ngeri terhadap Aberdeen yang dibimbing Sir Alex Ferguson selepas pasukan pengurus legenda Manchester United tewas di tangan Eintracht Frankfurt. Tetapi atas sebab patriotisme, beliau memilih untuk kekal bersama Selangor.

Kontroversi dan persaraan

Tetapi tempohnya bersama pasukan kebangsaan tidak sunyi daripada kontroversi. Pada akhir tahun 70-an, Mokhtar mengumumkan persaraan daripada pasukan kebangsaan selepas tidak tahan dengan kritikan keras media terhadapnya dan rakan-rakan sepasukannya. Media yang merasa bersalah cuba memberi laporan positif dengan harapan dapat memujuknya kembali bersama pasukan kebangsaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga cuba melakukan perkara sama tetapi gagal mengubah keputusan SuperMokh yang tetap dengan keputusannya. Ini menyebabkan FAM memberi amaran mana-mana pemain yang menarik diri daripada pasukan kebangsaan tidak dibenarkan mewakili pasukan untuk Piala Malaysia.

Ini mendorong Mokhtar bersemuka dengan Presiden FAM Tan Sri Hamzah Abu Samah yang menyatakan alasan pengundurannya ialah kerana terlalu letih. Tan Sri Hamzah bersedia menerima alasan itu tetapi menolak persaraan beliau jika memberi alasan kritikan media.

Tetapi entah bagaimana, 11 bulan selepas itu beliau kembali semula ke pangkuan pasukan kebangsaan. Namun, itu bukan bererti pengakhiran kontroversi ini. Pada tahun 1981, wujud rombakan besar dalam pasukan kebangsaan yang menyaksikan hero-hero Olimpik 1980 seperti Hassan Sani dan James Wong digugurkan.

Hanya Mokhtar sahaja dikekalkan walaupun beliau bersimpati dengan nasib rakan-rakan sepasukannya dan pernah meminta digugurkan atas alasan prestasi tidak memuaskan. Tetapi itu tidak menghalang beliau menjadi tonggak utama negara pada tahun itu terutama bagi menghadapi saingan Sukan SEA 1981.

Malangnya, Mokhtar mengalami kecederaan yang mengakibatkan beliau terlepas beberapa kejohanan besar seperti Pesta Bola Merdeka dan Piala Presiden Park. Beliau menyangka selepas pulih ada peluang kembali menyarung jersi negara sempena kejohanan Piala Merlion tetapi hasratnya tidak kesampaian. Merasa jauh hati dengan apa yang berlaku, SuperMokh meluahkan keinginannya untuk bersara buat kali kedua menerusi artikel Apa Ada Pada Nama Kalau FAM Sudah Tidak Berselera Lagi dalam majalah Dunia Sukan.

Artikel ini mencetuskan kemarahan FAM dengan Tan Sri Hamzah mengingatkan tindakannya itu melanggar status amaturnya. Ini kerana bila beliau menerima wang dari hasil penulisannya, beliau dianggap melanggar peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan berpotensi digantung.

Tetapi bagi Mokhtar, itu hanyalah alasan FAM yang secara halus tidak lagi mahukan dirinya terbabit dengan Harimau Malaya. Justeru pada Oktober 1982, beliau menggantung but buat kali kedua dan memfokuskan kariernya bersama Selangor serta keluarga tercinta yang dibina hasil perkahwinan dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim pada tahun 1979.

Tengku Zarina merupakan penyokong setia SuperMokh dan tidak teragak-agak mempertahankan maruah suaminya lebih-lebih lagi jika beliau dikritik keras oleh peminat. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Redza, Nur Azera dan Nur Arina. Dan Tengku Zarina menjadi saksi kepada komitmen jitu beliau terhadap Selangor.

Pernah pada satu ketika, Mokhtar terkena demam panas sehari sebelum perlawanan tetapi enggan dimasukkan ke hospital kerana bimbang terlepas perlawanan. Menurutnya, SuperMokh bermain bukan kerana duit tetapi atas dasar cinta mendalam terhadap negeri kelahirannya itu.

Pada tahun 1986, Selangor memenangi Piala Malaysia kali ke-10 bersama Mokhtar dan hadiah buat bakal Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah juga istimewa iaitu jersi beliau sendiri. Tetapi tatkala rakan-rakan sepasukan dan penyokong masih diselubungi euforia kemenangan, pertemuan itu turut mendedahkan hasrat terpendam beliau: persaraan penuh dari sukan bola sepak. Dan beliau bersara secara rasmi pada Mei 1986 dan mula memfokuskan usaha kepada kejurulatihan.

Tetapi Mokhtar diuji dengan satu penyakit misteri pada bahagian tekak yang berterusan. Untuk mengetahui diagnosis sebenar penyakitnya itu, beliau berangkat ke London bersama Tengku Zarina pada tahun 1989 untuk membuat pemeriksaan penuh. Hasil pemeriksaan mendapati beliau diuji dengan penyakit motor neuron dan cubaan mendapatkan rawatan tidak berhasil.

Selepas bergelut dengan penyakit itu selama tiga tahun, Mokhtar kembali ke rahmatullah pada 11 Julai 1991 pada usia 37 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Taman Keramat, Ampang.

Mokhtar turut diberi dua pingat penghargaan pasca-kematian iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) dan Dato Setia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) yang membawa gelaran Dato. Beberapa tempat turut mengabadikan namanya seperti Dataran Komuniti Mokhtar Dahari dan Akademi Mokhtar Dahari.

RUJUKAN:

1. Teh Leam Seng, Alan. (2018). Supermokh: Remembering our greatest footballer. New Straits Times. https://www.nst.com.my/lifestyle/pulse/2018/07/390573/supermokh-remembering-our-greatest-footballer

2. Lugard, Gary. (2017). Mokhtar Dahari, Legenda Bola Sepak Kebanggaan Malaysia. SemuanyaBola.com. https://semuanyabola.com/legenda-negara-mokhtar-dahari-malaysia/

3. Eizwan, Sharell. (2017). Kontroversi Persaraan Mokhtar Dahari. Sukan.my. https://sukan.my/kontroversi-persaraan-mokhtar-dahari/

4. Zainal, Zulhilmi. (2013). Malaysian Football Legends: Mokhtar Dahari. Goal.com. https://www.goal.com/en-my/news/3891/features/2013/06/19/4057414/malaysian-football-legends-mokhtar-dahari


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.