Mo Salah Dapat Undian Tinggi Pemilihan Presiden Mesir

810

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Mohamed Salah Hamed Mahrous Ghaly atau dikenali sebagai Mo Salah merupakan susuk yang cukup dikenali terutamanya dalam kalangan peminat bola sepak dunia. Pemain yang mendapat jolokan ‘Raja Rakyat Mesir’ ini mula menempa nama apabila mewakili pasukan berpangkalan di Merseyside, Liverpool. Namanya mula disebut-sebut peminat pasukannya sendiri mahupun pasukan lawan apabila memecahkan rekod penjaring terbanyak dalam satu musim di liga.

Namun di sebalik kehebatan dan kelincahan beliau di atas padang, Mo Salah dipandang sebagai tokoh masyarakat yang cukup disegani. Beliau juga dianggap sebagai duta agama Islam dalam bidang sukan sebaris dengan nama gah seperti Khabib Nurmagomedov (seni mempertahan diri), Mo Farah (larian jarak jauh) dan Muhammad Ali (Tinju).

Beliau dikenali sebagai seorang Muslim yang menjaga tatacara agama dan sering meraikan gol beliau dengan bersujud. Selain itu, Mo Salah juga sering kali dilihat berdoa sebelum sesuatu perlawanan bermula. Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pernah memberitahu, “ Pemain- pemain Muslim seringkali membasuh badan mereka dalam keadaan yang tertentu. Sebelum dan selepas memanaskan badan”.

Kemungkinan besar kata ‘membasuh badan’ yang diungkapkan oleh pengurus itu adalah berwuduk. Jurgen Klopp juga mengakui pemain-pemain Muslim di Liverpool termasuklah Mo Salah cukup menitik beratkan hal ehwal agama terutamanya dalam solat. Malah di kem latihan mereka ada menyediakan ruang solat bagi pemain-pemain Muslim seperti Mo Salah, Sadio Mane dan Xherdan Shaqiri untuk melaksanakan ibadah mereka.

Impak dan pengaruh yang dibawa oleh Mo Salah cukup besar terhadap dunia. Pada tahun 2019, nama beliau tercatat dalam sebuah majalah tersohor Amerika Syarikat Time sebagai salah seorang daripada 100 manusia paling berpengaruh dalam dunia pada tahun tersebut.

Lebih mengejutkan lagi, satu kajian telah dijalankan oleh sebuah badan imigrasi di England, pengaruh islamophobia bagi kalangan warga Liverpool telah berkurang secara signifikan iaitu pengurangan sebanyak 18.9 %.

Kajian tersebut juga mengenal pasti dalam 15 juta tweet yang dipaparkan oleh peminat pasukan Liverpool, telah berlaku pengurangan melebihi separuh tweet yang memprovokasi agama Islam iaitu dari 7.2 peratus kepada 3.4 peratus. Malah dalam satu nyanyian sorakan yang dicipta oleh penyokong, terdapat satu baris ayat yang bermaksud, “ sekiranya dia menjaringkan lagi, saya akan menjadi Muslim”.

Di Mesir pula, nama beliau tidak perlu diperkenal. Mana-mana rakyat Mesir yang tidak mengenali figura ini bolehlah dikira bukan rakyat Mesir. Poster, mural memaparkan wajah beliau boleh dilihat di mana-mana.

Malah populariti beliau melebihi ahli-ahli politik dan selebriti. Farag Amer, Menteri Belia dan Sukan Mesir pernah memuji Mo Salah dalam sebuah kenyataan, “ Mohamed Salah sangat bermakna kerana beliau merupakan simbol, seumpama Tutankhamun dan bagaikan sebuah piramid”.

Ramai yang tidak sedar tentang betapa ternamanya beliau di Mesir sehingga secara tidak sengaja menjadi salah seorang yang diundi dalam Pilihan Raya Presiden Mesir 2018 meskipun tidak bertanding.

Undian kepada beliau pula bukannya seorang dua tetapi sebanyak  1,762,231 undian mengikut kenyataan tidak rasmi mengalahkan Moussa Mostafa dari parti El-Ghad. Popularitinya melonjak naik apabila menamatkan kemarau Mesir ke Piala Dunia sejak 1990. Beliau disenangi ramai rakyat Mesir kerana telah banyak membantu dalam usaha kebajkan seperti membuka pusat kesihatan dan membaik pulih sekolah-sekolah.

RUJUKAN:

Islamophobia decreases sharply in Liverpool thanks to Mo Salah. https://english.alaraby.co.uk/english/news/2019/6/3/islamophobia-decreases-sharply-in-liverpool-thanks-to-mo-salah

Artikel dikirimkan oleh Arif Haikal untuk The Patriots. 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.