https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Mitos Perjanjian Orang Sungai Dan Buaya

1,234

Artikel kali ini penting bagi saya yang berdarah Orang Sungai kerana mitos ini adalah sebahagian dari identiti bangsa yang jarang didengari (selain orang Sabah sendiri) yang menduduki Sungai Kinabatangan ini.

Orang Sungai. Orang Sungai adalah kaum asli yang menetap di daerah Kinabatangan, Beluran, dan Kota Marudu. Selain itu, orang Sungai juga terdapat di Ranau, Lahad Datu, dan Sandakan.

Bangsa ini digolongkan ke dalam bangsa Kadazan Dusun kerana berkongsi adat resam dan bahasa yang hampir sama. Orang Sungai juga adalah suku kaum terbesar di Pantai Timur Sabah. Ramai umumnya tidak mengetahui kewujudan Orang Sungai ini sebab tiada apa-apa maklumat atau pendedahan di media massa.

Orang Sungai juga mempunyai pecahan-pecahan suku tersendiri kerana dialek bahasa yang berbeza. Contohnya Orang Sungai di Beluran dan di Kinabatangan. Biarpun mereka adalah kaum yang sama, dialek yang dipengaruhi oleh bangsa lain dan keadaan geografi yang berbeza menyebabkan dialek bahasa mereka berbeza. Agama yang paling ramai dianuti adalah Islam. Sebahagian dari mereka adalah menganut Kristian dan animisme yang menetap di kawasan Tongod, Pinangah, Lahad Datu, dan Paitan.

Ekonomi mereka dahulu bergantung kepada hasil buah dan hasil air sungai. Sekarang ekonomi mereka makin maju dengan perladangan kelapa sawit. Tetapi mereka tidak tinggalkan ekonomi mereka dahulu. Mereka tetap melakukannya biarpun ekonomi telah maju ke hadapan.

Selain mempunyai amalan kehidupan yang unik, ada satu perkara yang lagi unik terhadap Orang Sungai ini. Kaum ini sebenarnya pernah berjanji dengan buaya suatu ketika dahulu. Pernah salah satu saudara saya yang berbangsa Orang Sungai, cuma dipanggil sebagai Herman menceritakan kepada saya akan kisahnya.

Dulu, Orang Sungai Kinabatangan digelar Orang Sungai Sukang. Kehidupan seperti kehidupan Orang Sungai juga tetapi yang membezakan Orang Sungai Sukang dengan Orang Sungai sekarang adalah tubuh badan yang besar dan tinggi. Disebabkan Orang Sungai Sukang telah bertebar di seluruh Timur Sabah, keaslian Sungai Sukang hampir pupus. Sejak penjajahan Jepun, sedikit saja Orang Sungai Sukang yang ada sehinggakan Orang Sungai Sukang sekarang ini digelar Orang Sungai Kinabatangan yang mempunyai iras-iras bangsa Jepun.

Pernah ada peristiwa atuk kepada bapa Herman (moyang) bertemu dengan buaya. Suatu hari, moyang ini seperti biasa, keluar mencari rezeki. Sampai di tepi sungai, moyang terjumpa seekor buaya yang tersekat di akar pokok bakau. Moyang berkira-kira mahu selamatkan buaya atau tidak.

Kasihan dengan keadaan buaya tersebut, moyang terus tekad selamatkan buaya yang tersepit itu tidak kira akan nyawanya. Setelah moyang melepaskan buaya itu dari sepitan akar pokok bakau, buaya terus melarikan diri ke dalam sungai. Moyang pelik. Buaya kan ganas. Membaham tidak kira siapa mangsanya. Kenapa diar lari? Cetus hati moyang.

Tanpa peduli kejadian itu, moyang terus pergi melakukan kerjanya. Waktu malam, moyang termimpi buaya yang pernah dia selamatkan. Buaya itu mendekatinya. Berulang-ulang mimpi itu menghantui moyang. Sehingga suatu hari moyang mencari seseorang yang tahu menafsir mimpi. Moyang menceritakan mimpinya. Kemudian penafsir mimpi itu beritahu:

“Buaya tu berterima kasih sama kamu. Dia mahu cari kamu. Nanti pergi cari dia dan bagi makanan sama buaya tu.”

Moyang mengiakan dan terus membuat persiapan mencari buaya yang dia selamatkan itu. Dia pergi tepi pantai tersebut, tidak kelibat buaya itu. Selama 3 hari moyang puas mencari, akhirnya moyang terjumpa buaya itu. Moyang mendekati perlahan-lahan kerana takut tindakan buaya seterusnya. Tetapi buaya itu diam saja. Sampai ke tempat buaya itu, moyang memberikan makanan kepada buaya itu.

“Kalau kamu berterima kasih sama aku, aku terima. Kalau berterusan kamu dan keluargamu tidak kacau kami, kami pun buat yang sama juga macam kamu semua buat.” Moyang berkata, mementerai janji dengan buaya itu.

Dari peristiwa itulah keluarga moyang dan keturunan buaya itu menghormati satu sama lain. Kemudian kisah buaya tersebut menjadi bualan masyarakat Kinabatangan. Bagi mencari kesahihan kisah ini, kata Herman tidak mungkin kita mendapat kesahihan cerita dari orang terdahulu sebab semuanya telah tiada di muka bumi ini. Jadi boleh saja dianggap kisah ini mitos namun masih lagi ada antara generasi tua percayainya lagi.

Kerana kisah moyang bertemu buaya itulah ramai orang Sungai Kinabatangan menghormati buaya apabila mencari rezeki di sungai. Namun sehingga abad ini, tradisi tersebut semakin menghilang kerana tiada generasi kemudian yang membawa mitos ini. Tambahan pula, telah ada kes buaya membaham penduduk Kinabatangan.

Sedih keluarga si mangsa sehingga sanggup salah satu ahli keluarga membeli senapang patah demi memburu buaya yang membunuh mangsa. Amat menyedihkan namun ada sebab ekologi mengapa buaya sanggup berbuat demikian.

Aktiviti perluasan ladang kelapa sawit dan perumahan semakin pesat di kawasan hutan berhampiran Sungai Kinabatangan. Hutan tidak lagi meliar di kawasan tersebut dan tiada lagi haiwan buruan buaya seperti rusa menetap di situ. Buaya yang biasa memburu haiwan daratan akan keliru dengan penduduk yang berjalan dan memancing di tepi sungai sebagai rusa. Kalau kelaparan, buaya tanpa was-was menyerang penduduk tersebut.

Inilah yang menyebabkan telah ada kes serangan buaya di Kinabatangan. Mohon pihak berwajib selesaikan masalah tersebut dengan solusi pemuliharaan dan larangan penduduk meceroboh kawasan buaya. Saya berharap mitos buaya bersahabat dengan Orang Sungai berkekalan menjadi bualan masyarakat yang sayangkan budaya kaum mereka.

RUJUKAN:

Frans Welman (2011). Borneo Trilogy Volume 1: Sabah. Booksmango.

Wendy Hutton (2004). Kinabatangan: Sabah Colour Guide. Natural History Publications (Borneo

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.