Bila kita sebut pasal Vikings, pelbagai tanggapan berkenaan mereka akan muncul. Kita mengenali mereka sebagai orang yang ganas dan tidak bertamadun serta berupaya menghapuskan tentangan mana-mana pihak yang cuba melawan. Ada pula yang menganggap mereka ini menjarah tempat-tempat yang dituju demi memenuhi keperluan nafsu mereka. Melihat kepada mitos-mitos ini, perlu untuk kita melihat semula sama ada mitos-mitos Viking ini benar atau sebaliknya.

1. Topi bertanduk

Kita selalu dimomokkan orang Viking memakai topi bertanduk tak kira sama ada melalui pembacaan komik atau animasi. Tiada sebarang bukti arkeologi yang menunjukkan orang Viking memakai topi sebegini. Memang benar mereka memakai topi besi tetapi itu sebagai pelindung kepala semasa mereka bertempur di medan perang. Jika orang Viking memakai topi bertanduk semasa berlawan, ia pasti tidak akan membantu situasi semasa bertahan lebih-lebih lagi bila pihak lawan menggunakan kapak, belantan atau pedang.

Walaupun ada mengatakan mereka memakai topi sebegini berdasarkan plak-plak helmet yang ditemui dari tapak arkeologi Sutton Hoo dan Vendel, kita kena teliti perkara tersebut dengan lebih mendalam. Mengikut plak-plak tersebut, ia menunjukkan imej dewa-dewa memakai topi bertanduk semasa berperang tetapi hakikatnya, rekaan tersebut lebih kepada burung yang berparuh seperti cangkuk. Selain dari imej tersebut, tiada sebarang imej menunjukkan tentera atau pedagang Viking memakai topi sedemikian.

Idea orang Viking memakai topi bertanduk datang dari abad ke-19 dan diinspirasikan daripada opera The Ring Cycle yang dihasilkan komposer Jerman, Richard Wagner. Karya itu diinspirasikan daripada pelbagai watak yang wujud dalam mitos-mitos orang Norse. Tetapi idea topi bertanduk diterjemah dalam bentuk realiti apabila pereka kostum Carl Emil Doepler menghasilkan topi berkenaan untuk watak-watak Vikings pada tahun 1870-an. Sejak itu, ramai kartunis, pembikin filem dan artis meneruskan fantasi ini sehingga hari ini. Tak boleh bayang watak Thor memakai topi bertanduk sambil menghayun tukulnya, Mjolnir.

2. Nama Vikings 

Terma Viking datang dari perkataan Iceland lama ‘Viking-r, a creek dweller’ (Viking-r, si penghuni anak sungai kecil). Memandangkan Viken merupakan wilayah perdagangan utama Norway ketika itu, nama tersebut diambil dan merujuk kepada sekumpulan orang yang masuk dan keluar berdagang di wilayah tersebut. Perkataan Viking kemudiannya dianggap sinonim untuk ekspedisi laut/ekspedisi merompak dan berfungsi sebagai kata kerja. Individu atau kumpulan-kumpulan yang keluar untuk ‘Viking’ yang bermakna mereka perlu meninggalkan tanah air mereka semasa bulan-bulan musim panas, mengembara dengan bot-bot panjang ke wilayah-wilayah di mana mereka boleh berdagang atau merompak

Penulis-penulis kontemporari tidak menggunakan terma Viking yang merujuk kepada sekumpulan orang. Sebaliknya, kelompok ini digelar Norsemen (orang dari utara) atau pagan menurut teks-teks Kristian lama. Namun, sesetengah orang masih menganggap Viking merujuk kepada wilayah-wilayah Scandinavia termasuk Denmark, Sweden dan Norway. Semua wilayah ini ditadbir oleh pemerintah-pemerintah berbeza dan mereka juga berbeza antara satu sama lain. Dari segi lanskap juga berbeza kerana semakin jauh sesebuah wilayah itu di utara, semakin sukar bagi sesebuah komuniti untuk bertani berikutan cuaca buruk. Ada ketikanya, pemerintah-pemerintah ini menggabungkan kekuatan tentera masing-masing untuk tujuan pertahanan atau operasi lebih besar. Tetapi penggunaan terma Viking hanya untuk menggambarkan semua orang Eropah Utara sama adalah salah sama sekali!

3. Ganas 

Dalam pelbagai teks sejarah Kristian lama, orang Viking menempa nama sebagai kumpulan yang ganas semasa menyerang terutama biara-biara yang mudah terdedah. Dalam satu teks, seorang lelaki bernama Alcuin dari York kepada Bishop Higbald mengisytiharkan bahawasanya kumpulan orang Viking ini membunuh ramai orang suci di biara dan memijak mayat-mayat mereka seperti najis di jalanan.

Berdasarkan bukti arkeologi, banyak bukti yang menunjukkan orang Viking berlaku ganas kepada mangsa mereka. Penemuan arkeologi menunjukkan ada sesetengah mangsa mati dengan senjata pembunuh mereka masih melekat pada tulang-tulang mereka. Satu rangka yang ditemui di Muzium Hertfordshire Utara menunjukkan sebuah kepala lembing masih melekat pada leher rangka tersebut. Walaupun sesetengah memang dikenali sebagai serigala perang, ramai yang memilih menjalani kehidupan secara aman dengan bertani, berdagang dan mengadakan hubungan dengan komuniti-komuniti sekitar.

Dan perlu diingat pada era Viking, ia merupakan satu tempoh yang dianggap ganas dan kejam. Keganasan orang Viking kadang-kadang sama atau diatasi oleh musuh mereka semasa tempoh tersebut. Salah seorang yang berlaku kejam terhadap Viking ialah Charles I atau lebih dikenali sebagai Charlemagne. Maharaja Empayar Rom Suci itu mengarahkan pembunuhan beramai-ramai dilakukan ke atas orang Viking di wilayah Saxony. Peristiwa yang digelar Pembunuhan Beramai-Ramai Verden ini berlaku pada 782 Masihi di mana askar-askar Charlemagne menyembelih 4,500 orang Saxon yang diberi kepada baginda sebagai sekutu. Namun memandangkan statusnya sebagai pemelihara agama Kristian dan penyokong kuat gereja, penulis-penulis Kristian menulis versi yang memperlihatkannya sebagai seorang raja yang baik.

4. Bukan Balik Tetapi Menetap

Dalam siri televisyen Vikings, ada sesetengah adegan menunjukkan orang Viking memilih untuk menetap di kawasan baru berbanding kembali ke tempat asal mereka. Antara alasan di sebalik tindakan ini menurut sejarawan ialah tanah wilayah baru lebih subur dan sesuai dijadikan sebagai kawasan pertanian. Ini mendorong mereka mendirikan petempatan yang terus bertahan sehingga hari ini.

Antara petempatan yang mendapat tempias pengaruh Viking ialah ibu negara Republik Ireland hari ini, Dublin. Selepas ditubuhkan pada 841 Masihi, ia berkembang sebagai sebuah bandar perindustrian yang berkembang maju dan mempunyai pelabuhan perdagangan yang rancak. Bandar ini turut menyaksikan pembikinan duit syiling Ireland pertama. Di England atau lebih tepat York, bandar tersebut dipindahkan orang Viking ke muara sungai sebagai sebuah bandar baru yang maju dan diberi nama Jorvik. Iceland juga berkembang apabila orang Viking membuka petempatan di situ pada tahun 874 Masihi.

Tetapi semua kisah ini tidak boleh mengatasi pemilikan wilayah Normandy oleh orang Viking semasa pemerintahan Raja Charles III. Orang Perancis menggelar mereka ini Norman kerana asal-usul mereka dari utara. Dan seperti dipaparkan dalam siri televisyen Vikings, wilayah Normandy di utara Perancis ini diberi kepada Rollo untuk mengelak serangan berterusan orang Viking ke atas Perancis. Dan sebagai pemanis, Charles III juga mengahwinkan puterinya dengan Rollo. Ini mendorong ramai orang Viking menetap dan menerima budaya dan bahasa Perancis. Dan lama-kelamaan, ia sebenarnya membentuk generasi baru penakluk di mana sesetengah daripada keturunan Rollo menjadi raja di England, Sicily dan wilayah Antioch.

5. Pagan

Kebanyakan teks-teks sejarah Kristian melabel orang Viking sebagai pengamal paganisme dan tidak bertuhan. Hakikatnya berdasarkan teks dan bukti-bukti arkeologi, ia satu keterangan yang salah. Ini kerana agama Viking ini bersifat tersusun, hierarki dan berdasarkan beberapa siri naratif yang dipercayai. Ianya bukan berdasarkan kitab-kitab samawi dan mitos-mitos yang menyelubungi agama Norse disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi.

Mereka tidak mengamalkan agama di tempat-tempat khas seperti gereja atau kuil tetapi mengikut tradisi lama Celt seperti dusun atau sungai suci. Kebanyakan amalan mereka dilakukan oleh pendeta-pendeta mereka dan diambil dari ketua-ketua keluarga. Gelaran pendeta itu sendiri dikurniakan oleh raja-raja mereka. Malah, mereka turut melaksanakan upacara korban sama ada berbentuk objek, haiwan atau manusia. Dan bagi yang sudah masak dengan mitos-mitos Norse atau lebih tepat siri komik Thor, pasti sudah biasa dengar tempat-tempat seperti Asgard dan Midgard. Asgard merupakan tempat di mana dewa-dewi Norse bersemayam sementara Midgard merupakan gelaran yang diberi kepada bumi. Bagi para pahlawan yang terbunuh, ada satu tempat khas bagi mereka iaitu Valhalla.

6. Jahil

Orang Viking bukanlah jahil seperti yang disangkakan penulis-penulis Kristian pada zaman mereka. Walaupun mereka tidak menulis teks panjang seperti kisah-kisah pengembaraan hinggalah lewat Era Viking, mereka tetap menulis menggunakan skrip kompleks dipanggil rune dan ianya penuh dengan pelbagai jenis simbol. Setiap abjad dalam skrip rune bersambung dengan perkataan. Misalnya perkataan f rune dipanggil feoh yang bermaksud kekayaan atau kumpulan lembu. Ini merupakan ukuran kekayaan orang Viking pada ketika itu. Selain itu, ia juga dijadikan sebagai teks keagamaan, dedikasi dan nama peribadi seseorang.

Jika benarlah orang Viking itu jahil seperti didakwa, bagaimana mereka boleh berlayar beratus-ratus batu dari tanah air mereka untuk sampai ke wilayah-wilayah baru untuk berdagang atau merompak. Ukiran-ukiran prasejarah dan batu menunjukkan kepentingan bot dalam masyarakat berkenaan. Dan menjelang abad kesembilan Masihi, mereka sudah berupaya membina kapal yang berkemampuan menyeberangi Lautan Atlantik Utara sehingga satu ketika, pernah sampai di Amerika Utara.

7. Wanita

Masyarakat Viking diperintah oleh golongan bangsawan jarl, sesetengah daripada mereka ini bergelar raja bila sudah mempunyai kuasa yang besar. Memandangkan masyarakat tersebut berteraskan tentera, kekuatan tentera sentiasa diutamakan. Tetapi itu tidak menghalang kelompok cerdik pandai sama ada lelaki atau wanita dari menyumbang dan ada ketikanya, menjadi pemerintah komuniti itu sendiri.

Golongan wanita memainkan peranan penting dalam komuniti Viking. Jika kaum Adam keluar berlayar untuk berperang atau berdagang, merekalah yang menjadi penjaga harta dan tanah. Ada juga yang mendapat latihan tentera dan turut sama keluar berperang bersama kaum Adam semasa ekspedisi laut Viking. Antara gambaran paling mudah berkenaan kelompok wanita ini ialah Lagertha dalam siri televisyen Vikings. Dan status mereka sentiasa terpelihara di mana ada dikebumikan dalam lokasi bersifat penting seperti dua mayat wanita yang ditanam dalam kapal Oseberg.

Selain berpengetahuan menguruskan pentadbiran dan terlibat dalam kempen tentera, ada juga yang mempunyai kemahiran dari segi spiritual termasuk ilmu sihir. Ini berdasarkan penemuan banyak tongkat dalam kubur-kubur mayat wanita. Dan jika dibandingkan dengan wanita Kristian, mereka mempunyai hak perundangan jauh lebih baik dan boleh menceraikan suami mereka sekiranya suami gagal menghormati atau menderanya.

8. Pembersih

Jika ada merasakan orang Viking ini pengotor dan tidak pandai menjaga kesihatan, anda salah. Di sesetengah tapak arkeologi, mereka menemui sikat-sikat dan pisau cukur yang digunakan orang Viking untuk menjaga kekemasan diri. Selain itu, mereka juga menetap dalam dewan-dewan yang besar dan luas seperti digambarkan dalam Vikings dan sajak epik Norse Beowulf. Dari segi diet pemakanan, mereka mempunyai diet pemakanan yang baik. Antara makanan mereka ialah ikan salmon dan trout, pufin, daging elk dan beruang.

SUMBER

Ramirez, Janina. (2018). HistoryExtra. 8 Viking myths busted. https://www.historyextra.com/period/viking/8-viking-myths-busted/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.