Mitos-Mitos Dalam Perhubungan

846

Kita semua begitu didedahkan dengan banyak pendapat berkenaan dengan alam perhubungan dari tradisi turun temurun seperti ahli keluarga dan kenalan yang terdekat kemudian dari mesej yang disebarkan oleh media massa seperti television, radio, lagu, drama dan seumpamanya. Dari dua sumber inilah yang menjadikan gambaran seseorang tentang cinta atau perkahwinan boleh jadi benar dan boleh jadi salah.

Mitos tentang perhubungan bukanlah benda baru. Ianya sudah lama berakar mekar dalam budaya setiap bangsa tidak kiralah bangsa itu maju atau mundur. Namun mitos seringkali dikaitkan dengan sesuatu masyarakat yang taksub berpegang kepada agama dan tradisi yang sempit. Sedangkan agama yang bersifatkan wasatiyah (sederhana dan pertengahan) menyeimbangkan umatnya untuk menilai dan menimbang tara kesemua dakwaan dengan bukti-bukti yang sahih dan tepat. Sama ada bukti dari al-Quran dan Sunnah beserta pengikat ilmu sains dan psikologi.

Sebagaimana di firmankan oleh Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat ayat 6)

Kata Syaikh Abdurrahman Ibn Nashir al-Sa’di dalam tafsirnya :

“Ayat ini juga menerangkan adab yang harus diperhatikan oleh orang-orang yang berakal, iaitu apabila ada orang fasik yang memberitahukan kepada mereka sesuatu berita, maka hendaknya mereka menelitinya dan tidak terus menerima berita secara buta tuli, kerana jika berlaku sedemikian akan terjadinya suatu dosa.

Hal ini disebabkan jika berita orang fasik menggantikan posisi berita orang yang yang benar lagi adil sehingga dibenarkan dan dilanjutkan rentetan atau kesannya tentu akan menimbulkan bahaya, seperti binasanya jiwa dan harta tanpa alasan yang benar sehingga membuat seseorang menyesal.

Oleh sebab itu, yang wajib dalam menerima berita orang fasik adalah tatsabbut (meneliti), jika ada dalil dan qarinah (tanda) yang menunjukkan kebenarannya, maka disahkan dan dibenarkan. Tetapi jika dalil dan qarinah menunjukkan kedustaannya, maka didustakan dan tidak dibenarkan. Dalam ayat ini terdapat dalil bahwa berita orang yang jujur adalah diterima dan bahawa berita orang yang berdusta adalah ditolak, sedangkan berita orang fasik, maka tergantung dalil dan qarinah.

Oleh sebab itulah, kaum salaf (generasi awal islam) pernah sehingga menerima banyak riwayat dari orang-orang Khawarij yang terkenal kejujurannya meskipun fasik.”(Tafsir al-Sa’di)

Jika kita tinjau dari perspektif islam dari segi sejarah tradisi periwayatan sanad hadis sendiri pun Islam amat menitik beratkan soal ketepatan, kewajaran, dan kesahihan sesuatu hadis itu sendiri. Ini bermakna dalam apa jua aspek kehidupan pun sebagai seorang muslim kita patut mengambil iktibar dari ini semua sebagai asas disiplin dalam kita menilai sesuatu gambaran, khabar atau dalam erti kata yang sebenar bijak menapis mitos-mitos dalam perhubungan.

Mitos & Ekspetasi

Mitos terjadi bila masyarakat tidak mempedulikan dalil atau bukti yang boleh dipegang secara yakin dan jelas. Budaya hedonism (hiburan melampau) turut menyumbang ke arah suatu pemikiran mempercayai benda karut marut kerana sifatnya ekspres dan pantas. Hiburan kadangkala diperlukan serba sedikit namun jika berlebihan ia boleh mengundang pemikiran yang malas hendak menakkul dan memproses sesuatu dakwaan sehingga benar-benar masak.

Hiburan telah membina persepsi yang salah tentang alam perkahwinan, percintaan dan hubungan sesame manusia. Sebab hiburan selalunya berdiri di atas rekaan semata, bukan berpijak pada fakta yang dirumuskan oleh ilmuwan berwibawa. Sebab hiburan ini salah satu cara manusia untuk lari dari masalah dan tekanan rutin seharian hidup. Tentulah orang akan hadam apa sahaja yang disampaikan dalam bentuk hiburan.

Saya teringat podcast yang disampaikan oleh Jay Shetty seorang pencipta konten hikmah dan motivasi terkenal dalam aplikasi Spotify yang bertajuk ‘3 Reason Why Compatibility Is More Important Than Chemistry’ kata beliau kita percayakan sesuatu dakwaan dalam perhubungan seperti mitos-mitos adalah kerana kita terlalu menjadikan hiburan sebagai sumber kepercayaan kita terhadap sesuatu perkara. Manusia secara umumnya akan merumuskan sesuatu atau bertindak sesuatu menggunakan pengetahuannya sekalipun sekadar memandang kedua ibu bapanya di rumah.

Bagi seorang bayi pengetahuannya bukan pembacaan namun penglihatan yang dicerap melalui moto skil visual sebab itu ada pepatah mengatakan anak-anak tidak mendengar apa yang ibu bapa arahkan namun anak-anak ikut tindakan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya.

Maka sumber pengetahuan seseorang berkenaan dengan alam perhubungan tentulah berdasarkan kepada apa yang dia cerap dari mata, telinga dan persekitaran yang dia lalui setiap hari.

Kalau hidup kita didominasi dengan filem, drama dan novel maka sedikit sebanyak tindakan dan sikap kita terpengaruh atau condong ke arah apa yang kita cerapkan dari itu semua. Sebaliknya kalau kita sering membaca artikel ilmiah, jurnal, buku akademik, esei separa ilmiah, podcast ilmiah dan seumpamanya tentulah ekspetasi yang kita bina dalam hidup ini hampir kebanyakannya berasaskan fakta yang jitu.

Top Mitos Dalam Perhubungan

Pernah tak kita skrol aplikasi social media seperti Facebook atau Instagram kita ternampak ayat-ayat potongan yang mendakwa sekian sekian, biasanya disebarkan oleh halaman-halaman popular untuk menaikkan rating pelawat lalu mendapat hebatan perkongsian yang meluas. Kebanyakannya bersifat mitos semata, bukannya ada hujah yang kukuh pun dibelakang dakwaannya. Sekadar dicipta untuk meraih perkongsian yang banyak demi keuntungan pemilik halaman tersebut sahaja semata.

Dalam istilahnya budaya ini dinamakan sebagai “pseudo-profound” (kata-kata yang bersifat palsu dan tidak berdiri di atas hujah saintifik). Seorang pengkaji yang bernama Gordon Pennycook dari Universiti Waterloo dari Kanada menyifatkan perkara ini sebagai tak masuk akal dan merumuskan bahawa orang yang suka menyandarkan ayat-ayat ini dalam hidupnya lebih percayakan pada benda tak ilmiah seperti perubatan alternative yang mitos, percaya teori konspirasi yang sekadar gimik dan lemah dalam logik.

Kata seorang kaunselor dan pakar perhubungan Davida Rappaport bahawa seseorang yang mudah percayakan mitos akan mengakibatkan dia sering kemalangan dalam perhubungan sebab bina ekspetasi yang tidak berteraskan logik dan fakta serta akan mengakibatkan suatu perhubungan itu tidak mencapai kebahagiaan kerana asyik memikiran antara satu sama lain tidak memenuhi keperluan emosi sesama pasangan.

  • Pasangan Yang Bahagia Tidak Bergaduh

Tidak ada sesiapa pun dalam dunia ini yang suka akan pergaduhan namun secara realitinya kita perlukan sedikit pergaduhan dalam hubungan seperti kata seorang pakar perhubungan Caitlyn Paltsios bahawa pergaduhan boleh bawa pasangan ke arah memahami keinginan masing-masing dan meluahkan emosi negatif secara sihat. Batasan-batasan apa yang pasangan tidak mahu kita langgar atau sensitiviti pasangan yang sepatutnya kita ambil berat supaya tidak melampau batas dalam pergaulan.

Bila kita tiada pergaduhan dibimbangi hubungan itu tidak sihat iaitu kita asyik memenuhi keperluan dan keinginan si dia sedangkan kita keletihan kerana bersifat pura-pura. Pura-pura adalah memenatkan emosi seseorang yang mana akhirnya hubungan itu boleh berkecai sebab tidak tertahan lagi.

  • Habiskan Masa Selalu Bersama

Semasa awal perhubungan kita rasakan bahawa hubungan yang sihat memerlukan kita dan dia selalu bersama-sama, sedangkan lama kelamaan kalau kita amalkan sebegini masing-masing mula Nampak keburukan masing-masing dan kurang menghargai. Kata pakar iaitu Paltsios, dalam perhubungan masing-masing perlu ada ‘me time’ tersendiri sebagai satu terapi untuk menghargai pasangan dari jarak tertentu.

Bila kita selalu memandang pasangan sahaja, bila masakah kita hendak mengembalikan tenaga emosi dan fizikal melayani dia secara romantik dan lebih baik? Manusia perlukan rehat dan waktunya sendiri untuk baik pulih semangat, motivasi dan tenaga emosi serta fizikal.

  • Kena Terima Si Dia Seadanya, Walaupun Kelemahannya. Kata Sayang kan?

Apabila kita masuk ke dalam sesuatu perhubungan kita secara automatiknya sedia maklum bahawa tiada seorang pun yang sempurna dalam dunia ini. Namun itu bukanlah alasan munasabah untuk membenarkan setiap kelemahan kita untuk ditonjolkan pada pasangan, sebagai contoh kalau kelemahan kita malas bangun pagi, janganlah setiap pagi kita malas. Ini tentu akan merimaskan si dia dan lama kelamaan mencetuskan pergaduhan yang besar. Dalam kelemahan kita, perlu diletakkan kayu ukur atau jangkaan untuk berubah ke arah yang lebih positif.

Pasangan tak mahu kita jadi seperti Nabi Muhammad saw pun, cukuplah sekadar kita menunjukkan usaha-usaha walaupun kecil untuk berubah setiap hari dengan lebih baik lagi.

Kata pakar perhubungan Stephen Hussey dalam laman mayanya Get The Guy :

‘The truth is, relationships at often broken by our worst behaviours. And we have to work, not to eliminate our flaws, but to at least mitigate the worst manifestations of them.’

  • Perhubungan Yang Sihat Sepatutnya ‘Mudah’

Kita selalu dimomokkan dengan mitos bahawa kalau sudah bertemu dengan orang yang tepat maka kesemuanya mudah dari awal perkenalan sampailah ke jinjang pelamin semua mudah. Takkan wujud lagi konflik, perdebatan atau apa sahaja yang menyusahkan. Saya teringat satu video oleh seorang pakar perhubungan terkenal yang bernama Matthew Hussey dalam program ceramahnya, bila ada seorang perempuan bertanya pada beliau apakah situasinya dengan lelaki yang susahkan pertemuan.

Kata beliau, setiap perhubungan yang berkualiti pada awalnya sepatutnya mudah seperti kalau sudah jatuh hati, prosesnya mudah untuk buat deklarasi namun yang sukarnya ialah untuk menempuh suka duka bersama. Disitulah yang sepatutnya sukar, bukan ketika awal-awal perkenalan sudah bermain teka-teki dan flip-flop (kejap begitu dan begini).

  • Saya Nak Baiki Hidup Dia!

Ada perbezaan antara kita hendak bantu seseorang tunjukkan jalan cara bagaimana untuk berkembang, maju dan semangat dalam hidup dengan mengubah keseluruhan personaliti si dia macam kita ubah suai enjin kenderaan. Kalau kenderaan kita bolehlah overhaul (ubah suai) dalaman sebab operasinya kita faham, namun manusia tidak semudah itu. Sebab manusia diciptakan sebagai makhluk yang sangat kompleks.

Maka sebab itulah dalam psikologi pun masih ada keterbatasan dalam memahami tindak tanduk manusia menurut persilangan adat budaya dan norma yang ada berbeza-beza setiap tempat dan zaman.

Pakar perhubungan Stef Safran kata jika kita tidak boleh cintakan pasangan kita sebagaimana personalitinya yanga asal, berpisahlah dengan segera. Jangan fikir kita boleh ubah suainya sebagaimana kenderaan atau perkakas elektrik.

Kesimpulannya dalam alam perhubungan sama ada yang sudah berkahwin atau masih bertunang atau fasa perkenalan cinta hendaklah kita semua memperbetulkan dahulu ekspetasi atau jangkaan dalam memahami pasangan. Berpijaklah pada ekspetasi yang logik dan tidak berlebih-lebih agar hubungan kita itu mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan.

Bahagia sementara boleh dicapai jika kita percaya apa sahaja yang kita contohi dari media massa, namun untuk Bahagia selamanya tentulah bahan ilmiah sepatutnya dijadikan sandaran.

Artikel dikirimkan oleh Saifuddin Hamizan untuk The Patriots.

RUJUKAN

  1. 8 Common Relationship Goals To Ignore If You Want A Healthy Partnership https://www.bustle.com/p/8-common-relationship-goals-to-ignore-if-you-want-a-healthy-partnership-15724194?fbclid=IwAR0naU1SUcyySqEca3oqrVu70Borgtrq-6ZXvYxiz5TaRpCuQ9o862K_J4I
  2. The Most Dangerous Myths About Relationships https://www.howtogettheguy.com/other/the-most-dangerous-myths-about-relationships/
  3. When He Says “I Need Time,” You Say This… (Matthew Hussey, Get The Guy) https://www.youtube.com/watch?v=yzAPI5ZIRNY
  4. People who like “pseudo-profound” quotes are not so smart, says science https://qz.com/566050/people-who-like-pseudo-profound-quotes-are-not-so-smart-says-science/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.