Kesemua budaya dan agama mempunyai kisah penciptaan mereka yang tersendiri. Sebilangan daripadanya lazim didengari dan adapula cerita yang luar daripada kebiasaan.

Antaranya seperti kisah penciptaan yang melibatkan Dewa Mbombo memuntahkan dunia, manusia dan alam semesta. Lazimnya, kisah penciptaan bermula dengan satu kemenjadian berkuasa mencipta segala sesuatu dalam alam semesta. Namun, ada juga kisah penciptaan yang bermula dengan muntah!

DEWA MBOMBO

Pada awal kewujudan, dalam alam ini hanya terdapat Mbombo si pencipta dan air serta kegelapan. Mbombo, atau Bumba, sebagaimana nama yang dipanggil dalam tradisi Boshongo, disifatkan sebagai satu dewa gergasi yang berwarna putih. Tambahan lagi, mitos menyebutkan bahawa Mbombo telah menanggung sakit selama jutaan tahun. Punca penyakit tersebut adalah kesunyian yang tidak terubat. Mitos penciptaan ini datang dari kaum Kuba yang hidup di Afrika Tengah, atau lebih tepat, di Republik Demokratik Congo moden.

Mbombo mencipta alam semesta

MUNTAH YANG MENCIPTAKAN ALAM SEMESTA

Menurut mitos, Mbombo muntah dan mengeluarkan matahari lalu terciptalah cahaya dan siang. Keadaan ini mendorong air yang telah sekian lama wujud mengering lalu membentuk pula daratan. Mbombo kemudiannya muntah buat kali kedua. Pada kali ini, muntahnya itu mengeluarkan bulan dan bintang yang membahagikan waktu antara siang dan malam.

Untuk kali ketiganya, beliau muntah dan mengeluarkan sembilan jenis haiwan, iaitu harimau bintang (Koy Bumba); helang (Ponga Bumba); buaya (Ganda Bumba); ikan (Yo Bumba); kura-kura (Kono Bumba); burung pucung (Nyanyi Bumba); kambing (Budi); kumbang dan haiwan yang berupa seperti kucing hitam yang kelak menjadi kilat (Tsetse Bumba).

Burung pucung yang pertama ini melahirkan lebih banyak jenis burung. Buaya pula mengeluarkan lebih banyak jenis reptilia dan ular, sementara kambing membiakkan pelbagai haiwan bertanduk. Aneka spesis ikan lahir daripada ikan pertama tadi dan kumbang pula melahirkan segala jenis serangga. Biawak, yang lahir daripada buaya, membiakkan haiwan yang tidak bertanduk.

Bersama dengan membiaknya haiwan-haiwan ini, lobak merah dan manusia pun kemudiannya wujud.

LEGASI YANG BERTREUSAN

Mbombo mempunyai tiga orang anak lelaki yang menyempurnakan lagi dunia sebaik segala jenis haiwan sudah tercipta. Anak pertama, Nyonye Ngana, cuba menciptakan semut-semut putih dengan memuntahkan mereka. Namun, beliau mati tidak lama setelah itu. Untuk mengenang jasanya, semut-semut ini mengorek jauh ke bawah tanah untuk mencari tanah hitam bagi tujuan mengebumikannya. Mereka berjaya menemukan tanah hitam ini dan membawanya ke permukaan sekaligus mengubah padang pasir menjadi permukaan bumi seperti yang kita lihat pada hari ini.

Chonganda si anak kedua pula menciptakan satu jenis tumbuhan yang berupaya menghidupkan segala macam pokok dan tumbuhan lain. Anak ketiga, Chedi Bumba, mencipta burung terakhir, iaitu burung layang-layang.

Pada suatu tahap, Tsetse Bumba membuat kerenah yang merimaskan sehingga Mbombo menghalaunya dari bumi dan menghantarnya ke langit. Di sana, Tsetse Bumba berubah menjadi petir dan semenjak itu, beliau sering menyambar bumi kerana marah.

Mbombo juga dipercayai mengajarkan manusia cara mencipta api dari pokok. Menurut Mbombo, segala jenis pokok mengandungi api. Setelah segala sesuatu di atas muka bumi sudah diciptakan, Mbombo pun pulang ke langit dan menyerahkan kesemua ciptaan itu untuk ditadbir oleh manusia.

Beliau juga meninggalkan manusia pertama (Loko Yima) untuk bertanggungjawab sebagai ‘dewa di atas muka bumi’. Wanita lautan, yang dikenali sebagai Chienge, dipercayai hidup di Timur dan puteranya, Woto, menjadi raja pertama kaum Kuba. Woto si raja Bushango (Bakuba) berpindah ke Barat bersama anak-anaknya, menjauhkan diri dari ibunya. Di sana, mereka menghitamkan kulit dan menukar bahasa dengan cara meletakkan ubat pada lidah mereka.

KAUM KUBA

Kerajaan Kuba adalah sebuah kerajaan pra-kolonial di Afrika Tengah. Kerajaan ini mengalami perkembangan pada kurun ke-17 hingga kurun ke-19 dan berlokasi di tenggara Republik Demokratik Congo moden. Kerajaan Kuba mencapai zaman kegemilangannya pada pertengahan kurun ke-19 dan ia mula dimasuki masyarakat Eropah pada tahun 1884. Pemerintah mereka yang berkuasa pada hari ini, Kot-a-Mbweeky III, telah berada di pucuk pimpinan kaum ini sejak tahun 1969.

Selain Mbombo, kaum Kuba juga percaya pada kewujudan satu makhluk luar biasa yang bernama Woot. Woot inilah yang menamakan segala jenis haiwan yang dikeluarkan oleh Mbombo. Begitu juga dengan segala sesuatu yang ada di muka bumi ini. Woot dipercayai sebagai manusia pertama yang dicipta oleh Mbombo, justeru Kuba kadangkala dikenali sebagai ‘Anak-Anak Woot’.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.