Sehari dua ini, isu mengenai guru kembali hangat. Ini disebabkan tindakan seorang guru yang merakam seorang murid yang mengatakan ayahnya memasak ketum. Video itu kemudiannya telah dipunggah oleh guru tersebut kepada ibu bapa pelajar tersebut. Namun entah bagaimana, video tersebut akhirnya menjadi tular dan sekali lagi profesion perguruan dikecam hebat oleh rakyat Malaysia.

Sebagai seorang guru, saya sangat tidak bersetuju video sebegini disebarkan kerana video semacam ini akan menyebabkan pelajar tersebut “dibuli” oleh rakan-rakannya. Saya yakin pasti akan ada yang mengejek murid tersebut dengan panggilan “ketum” atau sebagainya.

Namun dalam tulisan ini, bukan topik ini yang ingin saya bincangkan. Ini kerana topik yang ingin saya bincangkan ialah mengenai Mitos yang sering dikaitkan dengan bidang perguruan ini.

Mitos yang pertama ialah guru bergaji mahal. Ada sesetengah manusia “parasit” yang mempersoalkan kenapa gaji guru dibayar mahal?. Namun jika ditanya berapa gaji guru, saya pasti dia tidak akan mampu menjawabnya dengan tepat. Saudara pembaca sekalian, gaji cikgu bukanlah antara gaji termahal. Gaji guru sama sahaja dengan gaji yang dibayar kepada profesion lain yang mempunyai gred yang sama.

Kebanyakan guru baharu bergred DG41 dengan permulaan gaji sebanyak RM 2222.94. Jumlah ini sama sahaja dengan penjawat awam lain yang bergred 41. Dan sehingga sekarang masih ada guru yang mempunyai Gred 29 dan semestinya tangga gaji mereka lebih rendah.

Dengan gaji tersebut dan ditambah elaun lebih kurang RM 750, guru-guru perlu menyediakan semua bahan kepada murid. Kebayakan sekolah tidak menyediakan peruntukan untuk fotostat bahan untuk pelajar, jadi guru terpaksa menggunakan duit koceknya sendiri untuk fotostat bahan untuk anak-anak kita.

Namun ada sekolah yang prihatin akan menggunakan duit PIBG untuk tujuan tersebut tetapi sudah tentu peruntukannya sangat terhad. Selain itu, guru perlu menggunakan duit sendiri untuk membeli marker, pen dan sebagainya.

Jika ada murid yang tidak berkemampuan, guru akan mengeluarkan duit kocek sendiri untuk membantu murid tersebut. Bila tengok pelajar tidak mampu untuk membeli makanan di kantin, sudah tentu guru tersebut akan mengeluarkan beberapa ringgit untuk diberikan kepada murid tersebut.

Walaupun guru bergred 41, tetapi mereka masih seperti seorang “pekerja am”. Ini kerana mereka terpaksa membawa murid ke klinik jika murid tersebut tidak sihat. Selain itu, ada juga guru yang mengeluarkan duit sendiri untuk membeli simen dan pasir bagi menampal lubang-lubang yang wujud di sekolah dan yang menampal lubang tersebut ialah guru itu sendiri.

Ada juga juga yang terpaksa mencuci muntah, kencing, berak murid di sekolah terutamanya di sekolah rendah. Tetapi sebagai seorang guru, mereka tidak merungut mengenai perkara tersebut. Mereka tetap menjalankan amanah yang diberikan walaupun itu bukanlah tugas hakiki mereka. Saya secara peribadi belum mendengar rakan-rakan guru yang merungut apabila terpaksa melaksanakan tugas bukan hakiki mereka.

Sedangkan di sesetengah jabatan lain, dengan gred 41 itu, mereka sudah bos dan memiliki pemandu sendiri. Ada juga sesetengah jabatan menjadikan gred 41 itu sebagai timbalan pengarah negeri.

Mitos kedua ialah, guru mempunyai cuti yang banyak. Pada saya kenyataan ini jelas tindakan sembrono yang pukul rata terhadap semua guru. Cuti sebenar guru hanyalah 10 hari sahaja yang disebut sebagai Cuti Rehat Khas ( CRK ) sedangkan cuti penggal dan sebagainya itu bukanlah cuti “hakiki” guru. Jika dipanggil oleh pengetua atau jabatan untuk bertugas, mereka wajib datang untuk bertugas dengan segera walaupun dalam cuti penggal!!.

Dan saya berani mengatakan bahawa daripada 416,743orang guru yang ada di Malaysia ini, majoriti mereka sebenarnya langsung tidak merasai “kenikmatan” cuti penggal itu terutamanya cuti akhir tahun. Ini kerana pada waktu ini, sekolah akan sangat sibuk dengan peperiksaan SPM dan sebahagian guru lagi sibuk menanda SPM.

Bahkan ramai juga guru yang terpaksa menghadiri kursus dan sebagainya pada waktu cuti tersebut. Di sekolah berasrama pula, mereka terpaksa datang pada waktu cuti untuk menguruskan kemasukan pelajar ke sekolah. Itu belum dikira guru kelas yang terpaksa datang untuk menyediakan kelas supaya dalam keadaan terbaik bagi menyambut kedatangan muridke sekolah.

Bagi sekolah yang ada temuduga pula, guru terpaksa datang ke sekolah untuk proses persiapan dan juga proses temuduga pelajar. Jadi hakikatnya, tidak semua guru mendapat “kenikmatan” cuti penggal tersebut.

Mitos ketiga ialah guru balik awal. Guru sebenarnya kena mengetip kedatangan ke sekolah selewatnya pada jam 7.20 pagi. Ini kerana, kebanyakan sekolah memulakan sesi Pengajaran dan Pemudahcaraan  pada jam 7.30 pagi. Dan masa balik guru sekitar pukul 2 petang -3 petang. Sekolah saya sendiri pernah balik pukul 3.30 petang.

Tapi adakah sekolah akan kosong pada jam 2.00 -3.00 petang itu?. Jawapannya hampir mustahil perkara tersebut berlaku. Ini kerana selepas waktu sekolah, biasanya akan ada taklimat, ladap, kursus, mesyuarat dan sebagainya sehingga menuntut guru untuk pulang sekitar jam 4.30 – 5.00 petang.

Dalam seminggu, boleh dikatakan akan berlaku sekurang-kurangnya sekali. Itu belum cerita cikgu yang terpaksa datang bertugas pada hari cuti mingguan. Bahkan tidak pelik jika guru perlu datang bertugas pada hari cuti umum dan perkara ini pernah berlaku pada saya sendiri. Tetapi tiada seorangpun kawan-kawan saya merungut kerana terpaksa datang bekerja pada waktu cuti umum.

Tulisan ini bukanlah untuk meminta simpati daripada netizen. Tetapi tulisan ini, sebenarnya mengandungi jutaan harapan agar netizen sekaliannya memahami tugas dan tanggungjawab seseorang guru. Saya tidak menafikan bahawa ada guru yang bermasalah, namun jika ada apa-apa isu berkaitan dengan guru,  janganlah dituduh semua guru secara pukal.

Guru ialah ibu bapa kedua anak-anak kita. Dan ramai dalam kalangan anak-anak kita lebih suka berkongsi masalah dengan guru berbanding dengan ibu bapa sendiri. Ini kerana mereka merasa selamat bersama guru yang mereka sayangi…

Untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih mantap, satu kerjasama yang kukuh antara guru dan ibu bapa perlu dijalin melalui PIBG. Majulah pendidikan untuk negara.Bersama membangunkan pendidikan negara. Malaysia Prihatin2020.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sarjana muda pendidikan sejarah UPSI. Kini mengajar di SM Maahad Pontian Johor. Meminati sejarah Melayu terutamanya berkenaan dengan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu.

Comments are closed.