Tanpa sebarang keraguan, kita suka filem-filem genre perisikan yang tidak pernah menghampakan dengan aksi-aksi lagak ngeri yang mendebarkan dan cerita-cerita menghiburkan walaupun ada sesetengahnya bersifat tidak masuk akal. Dalam kes siri filem James Bond yang sudah menampilkan enam pelakon yang memegang watak ikonik itu, ada saja cerita menarik yang menyelubungi siri berkenaan dari mitos berkaitan perisikan sehinggalah fakta di sebalik filem-filem Bond.

Figure 2: Q (Ben Whishaw) dan James Bond (Danial Craig) dalam Skyfall. Kredit http://jamesbond.wikia.com/wiki/Q_(Ben_Whishaw)

1. Kita semua tahu kebanyakan versi kuartermaster Perkhidmatan Perisikan Rahsia (SIS/MI6) atau pembuat senjata dan peralatan Bond ialah Q dan kesemua pelakon yang membawa watak berkenaan ialah lelaki. Dan sejak filem Skyfall (2012), peranan berkenaan diisi oleh suara di sebalik watak Paddington, Ben Whishaw. Tetapi tahukah anda, versi sebenar Q di SIS sebenarnya diisi oleh seorang wanita dan ini didedahkan sendiri oleh ketua SIS, Alex Younger semasa upacara anugerah Women in IT pada tahun 2017.

2. Menerusi ucapan sama, Younger turut mendedahkan stereotaip yang menyatakan individu yang seharusnya menyertai MI6 ialah individu yang elegan atau pernah melanjutkan pelajaran ke institusi berprestij seperti Oxford atau Cambridge adalah tidak tepat. Menurut beliau, stereotaip sebegini mengganggu usaha agensi berkenaan merekrut individu berbakat dari pelbagai kelompok termasuk wanita. Proses perekrutan individu dari pelbagai kelompok dilihat menambah kemahiran kepada agensi selain membantu SIS membuat keputusan tepat dalam setiap operasi yang dijalankan.

3. Ramai menganggap lesen membunuh atau license to kill itu hanyalah fiksyen semata-mata. Berdasarkan kenyataan Michael Smith menerusi bukunya SIX: The Real James Bonds, ianya memang wujud dan hanya diberi kepada pegawai perisikan elit SIS. Antara insiden yang dikatakan ada kaitan dengan perbuatan ini ialah pembunuhan Grigori Rasputin dan cubaan bunuh ke atas presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser. Walaupun ia dianggap tidak wujud secara rasmi, Smith menambah, “Ia memberikan mereka hak untuk melakukan perkara yang dianggap jenayah di United Kingdom seperti pembunuhan atau bigami, selagi mana misi berkenaan diluluskan oleh Setiausaha Luar.”

Bagaimanapun, lesen ini tidaklah seeksklusif seperti yang disangka kerana ia turut digunakan oleh agensi-agensi perisikan lain. Agensi perisikan Soviet, Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB) menggelar pembunuhan yang dilakukan ejennya sebagai kerja basah (wet job). Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dua pegawai perisikan MI6 yang ditemubual oleh akhbar Daily Telegraph, mereka lebih suka bekerja secara senyap-senyap dan enggan menarik perhatian sesiapa.

4. Menerusi buku sama, Smith turut mendedahkan pengenalan angka 00 yang amat sinonim dengan dunia Bond. Hakikatnya di dunia sebenar, sistem itu sudah wujud dengan ketua stesen MI6 akan diklasifikasikan dengan lima angka, dua digit yang menunjukkan negara di mana stesen berkenaan wujud sebelum disusuli dengan angka 000. Misalnya, bagi ketua stesen di Jerman, pengenalannya ialah 12000 dengan ejen pertama dikenali dengan angka 12001 dan seterusnya.

Figure 3: Keadaan Jill Masterson (Shirley Eaton) yang mati kelemasan akibat dicat emas oleh Goldfinger. Kredit http://jamesbond.wikia.com/wiki/File:Goldfinger_Golden-girl.jpg

5. Tiada siapa boleh lupa adegan gadis Bond, Jill Masterson mati selepas dilitupi cat emas dari hujung rambut hingga hujung kaki. Tetapi bagi seorang pakar dermatologi, David E. Bank, adegan berkenaan adalah fiksyen semata-mata dan tidak berlaku di dunia sebenar. Melainkan sekiranya seseorang itu dicelup dengan emas yang dicairkan yang hanya mengakibatkan seseorang itu terbakar, ia sesuatu yang bersifat mustahil. Dan jika cat yang digunakan itu mengandungi toksik sekalipun, kesannya tidak akan dirasai dalam sekelip mata kerana ia perlu menembusi saluran darah seseorang itu. Mythbusters pernah menguji kisah ini semasa musim pertama siri berkenaan. Walaupun kematian tidak berlaku akibat cat emas, ia masih boleh mengakibatkan perubahan suhu badan dan tekanan darah peserta eksperimen, dalam kes ini hos rancangan itu iaitu Adam Savage.

Figure 4: Jaws (Richard Kiel). Kredit https://consequenceofsound.net/2014/09/r-i-p-richard-kiel-jaws-from-james-bond-dead-at-74/

6. Jaws merupakan antara musuh ikonik yang pernah dihadapi Bond dalam The Spy Who Loved Me dan Moonraker. Tetapi untuk pengetahuan anda, kekuatan gigi besi yang ditampilkan Jaws dalam dua filem berkenaan adalah fiksyen semata-mata menurut seorang doktor gigi bernama Matthew Messina. Messina menambah antara sebab ia tidak boleh dicapai kerana masih terikat dengan otot dan tulang. Selain itu, ia juga amat terdedah kepada magnet dan berpotensi merosakkan gigi dan keracunan dalam badan berikutan pendedahan terhadap bahan murah seperti nikel jika ia termasuk dalam saluran darah.

Figure 5: Blofeld versi Waltz mendapat pujian ramai selepas tayangan fielm Spectre.
  1. Seperti Bond, watak musuhnya iaitu Ernst Stavro Blofeld turut mengalami perubahan dengan lima pelakon diberi penghormatan mengisi peranan berkenaan. Lima pelakon berkenaan ialah Donald Pleasance (You Only Live Twice), Telly Savalas (On Her Majesty’s Secret Service), Max von Sydow (Never Say Never Again), Charles Gray (Diamonds Are Forever) dan Christoph Waltz (Spectre). Penampilan mereka juga tidak banyak beza di mana pakaian Blofeld ialah jaket Nehru atau sut Mao Zedong, yang berbeza ialah rupa Blofeld itu sendiri.Alasan di sebalik perubahan ini bagi menyukarkan usaha musuh-musuh Blofeld mengesannya tetapi ia berkait dengan pemilihan pelakon dan isu produksi sesebuah filem.

    Selain itu, nama Blofeld tidak pernah dinyatakan secara terbuka dan hanya dinyatakan secara tersirat. Ini disebabkan berlakunya pertelagahan antara Eon Productions dengan penerbit, Kevin McClory pada tahun 1980-an hingga mendorong penerbit itu menerbitkan filem Never Say Never Again. Isu ini akhirnya selesai menerusi satu penyelesaian antara estet McClory dengan Metro-Goldwyn-Mayer (MGM) pada 2013 dan ia digunakan secara rasmi untuk filem Spectre.

  2. Dalam dunia Bond, ketua SIS dikenali dengan gelaran M saja. Di dunia sebenar, gelaran bagi ketua SIS ialah C sempena nama ketua mereka yang pertama, Sir George Mansfield Smith-Cumming. Bagi Younger, gelaran C itu akan menjadi sejarah kerana beliau sudah memilih siapa penggantinya. Jika benar pengganti Younger itu seorang wanita, maka ia akan meniru tindakan produksi Bond yang memilih Dame Judi Dench sebagai M untuk siri filem Bond semasa era Pierce Brosnan dan Daniel Craig. Dench terlibat dalam filem Goldeneye, Tomorrow Never Dies, The World Is Not Enough, Die Another Day, Casino Royale, Quantum of Solace, Skyfall dan Spectre (kemunculan pasca-kematian M selepas Skyfall).
  3. Semua tahu peranan Bond pernah dipegang oleh Sean Connery, George Lazenby, Sir Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Danial Craig. Tetapi tidak ramai tahu kekecohan yang dibawa oleh Lazenby sebelum tayangan filem On Her Majesty’s Secret Service. Beliau yang dipilih menggantikan Sean Connery memutuskan untuk tidak lagi mengambil peranan ikonik itu alasan produksi enggan mengambil kira idea yang diutarakannya. Dan ini menimbulkan kemarahan ramai seperti Dame Diana Rigg yang menjadi heroin filem berkenaan dan penerbit, Albert R. Broccoli yang mengambilnya sebagai pengganti Connery.
    Mereka menganggap sikap model kelahiran Australia itu sebagai sombong dan tidak mahu berusaha belajar daripada orang-orang industri yang berpengalaman. Walaupun persembahannya dalam filem itu dikritik, ia dianggap sebagai antara filem terbaik siri Bond dan menjadi inspirasi kepada pembikin filem generasi baru seperti Christopher Nolan. Nolan yang menyifatkan On Her Majesty’s Secret Service sebagai antara filem kegemarannya menjadikan ia sebagai salah satu inspirasi kepada filem Inception (2010). Selepas Lazenby tidak lagi memegang peranan James Bond, peranan itu digalas semula oleh Connery buat kali terakhir untuk Diamonds Are Forever (1971) sebelum digantikan Moore untuk Live and Let Die (1973).

SUMBER

  1. BBC. (2017). Real-life ‘James Bond Q’ is a woman, MI6 reveals. https://www.bbc.co.uk/news/uk-38755032
  2. Crisp, Will. (2018). The Telegraph. Next MI6 chief could be first woman to hold the role. https://www.telegraph.co.uk/news/2018/04/29/next-mi6-chief-could-first-woman-hold-role/
  3. Dawn, Randee. (2015). NBC News. James Bond lied to us: Death by gold paint unlikely. https://www.nbcnews.com/pop-culture/pop-culture-news/james-bond-lied-us-death-gold-paint-unlikely-flna1C6971262
  4. Dearden, Lizzie. (2014). The Independent. New head of MI6 named: Alex Younger ‘delighted’ to become real-life ‘M’ of Secret Service. https://www.independent.co.uk/news/uk/home-news/new-head-of-mi6-named-alex-younger-delighted-to-become-real-life-m-of-secret-service-9773331.html
  5. Gardner, Frank. (2015). The Telegraph. Real-life James Bonds: spooks reveal the truth about MI6. https://www.telegraph.co.uk/film/james-bond-spectre/what-is-mi6-really-like-spooks/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.