Misteri Tembok Besar Jordan

4,812

Arkeologi Udara dalam Projek Jordan (The Aerial Archaeology in Jordan Project) telah memetakan sebuah tembok misteri di Jordan yang berukuran kira-kira 150 kilometer (93 batu) panjang, sekaligus membuatkan ahli-ahli arkeologi tertanya-tanya tentang bagaimana dan mengapa tembok purba ini dibina.

Live Science melaporkan bahawa kewujudan tembok tersebut dilaporkan buat pertama kali pada tahun 1948 oleh Sir Alex Kirkbride, seorang ahli diplomat British di Jordan. Beliau menyedari kewujudan struktur tersebut semasa berada dalam sebuah kapal terbang. Namun, hanya kini barulah tembok ini berjaya dipetakan secara terperinci menerusi fotografi udara oleh APAAME, sebuah projek penyelidikan jangka masa panjang yang dirangka untuk menemukan petempatan bersejarah di Timur Dekat.

MEMETAKAN SEBUAH TEMBOK PURBA

Walaupun penduduk tempatan telah lama mengetahui kewujudan tembok tersebut, tiada sebarang cubaan yang dilakukan sehingga ke hari ini untuk menjalankan penyelidikan dan pemetaan secara terperinci ke atas struktur purba itu. Ahli-ahli arkeologi bersama pasukan Aerial Archaeology in Jordan project justeru melaksanakan usaha pengambilan fotografi dan menghasilkan sebuah peta yang terperinci berkenaan tembok berkenaan, sekaligus mendedahkan bahawa terdapat bahagian-bahagian di mana dua buah tembok dibina secara bersebelahan serta bahagian-bahagian lain di mana tembok ini bercabang ke arah lain.

“Jika kita menambahkan ukuran tembok yang selari, keseluruhan (panjang tembok) mungkin mencecah sekitar 150km (93 batu),” tulis David Kennedy, seorang profesor di Universiti Australia Barat, dan Rebecca Banks, seorang pembantu penyelidik di Universiti Oxford, dalam sebuah kertas kajian yang diterbitkan baru-baru ini (2016) dalam jurnal Zeitschrift fur Orient-Archaologie.

Di sebahagian kawasan, tembok ini bercabang ke arah lain


KHATT SHEBIB – TEMBOK MISTERI JORDAN

Pemerhatian Sir Alec Kirkbride terhadap tembok purba ini ada direkodkan dalam jurnal Antiquity:

“Mengembara di udara tepat di atas daerah Ma’an, saya menyedari kewujudan sebuah tembok batu yang terbentang panjang, tanpa tujuan yang jelas, di seluruh negara berkenaan, bermula dari satu titik kira-kira 12 kilometer arah barat dari bandar Ma’an dan berpenghujung di kawasan berhampiran hujung tubir.”

Kirkbride melaporkan bahawa penduduk tempatan memanggil tembok tersebut sebagai “Khatt Shebib” (Tembok Shebib), lantaran kononnya tembok itu dibina oleh seorang putera dari dinasti Himyar yang bernama Amir Shebib el Tubba’i el-Himyari yang memerintah Transjordan sebelum kemunculan Islam.

Namun, ada pula yang berpendapat bahawa tembok tersebut bukan dibina oleh Shebib, sebaliknya ia hanya digunakan olehnya pada kurun ke-10M sebagai penanda sempadan bagi memisahkan negara Arab yang bertepian laut di barat dengan tanah yang dipenuhi bukit-bukau dan gurun gersang di timur.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Tembok ini dipercayai pada asalnya berukuran satu meter atau semeter setengah (3.28-4.92 kaki) tinggi dan tidak mempunyai sebarang tapak asas. Binaannya hanya terdiri daripada batu-batu tongkol yang ditimbunkan. Apapun, saiz tembok yang besar ini menandakan bahawa pembinaannya bukanlah suatu kerja yang mudah.

“Disebabkan ia dibina daripada batu-batu tongkol (yang diletakkan) secara rawak, maka tiada jalan untuk mengetahui secara tepat siapakah yang pertama sekali membina tembok ini,” lapor Nabataea.net. “Namun sehingga kini, tembok ini berdiri sebagai saksi kebijaksanaan penduduk wilayah tersebut. Ia juga meraih kedudukan sebagai salah sebuah struktur yang kurang masyhur namun mengagumkan di Timur Tengah.”

Di sebahagian kawasan, tembok ini bercabang ke arah lain

LANSKAP BINAAN PURBA DI JORDAN

Di sepanjang tembok Khatt Shebib, ahli-ahli arkeologi turut menemukan lebih 100 buah ‘menara’ yang berukuran diameter 2-4 meter (6.56-13.12 kaki). Menara-menara ini dipercayai didirikan sebagai tempat perlindungan ataupun pos peninjau kecil yang dikawal oleh seorang dua tentera.

Runtuhan salah sebuah menara yang terletak di sepanjang tembok Khatt Shebib

Namun, tembok dan menara ini terletak di sebuah lanskap binaan purba yang lebih luas – lanskap purba yang dianggap sebagai misteri oleh ahli-ahli arkeologi sejak berdekad lamanya. Selain itu, di padang pasir Jordan juga terdapat geoglif-geoglif gergasi dan bentukan-bentukan tanah yang berupa cincin, layang-layang dan roda.

Bentukan yang digelari ‘Hasil-Hasil Manusia Purba’ ini meliputi sejumlah ‘roda’ gergasi yang usianya mencecah hampir 8500 tahun – menjadikannya 6000 tahun lebih tua berbanding Garisan Nazca yang masyhur di Peru.

Ahli-ahli arkeologi masih belum mengetahui secara pasti siapakah yang membina bentukan-bentukan tanah gergasi dan struktur yang ada di Jordan ini, dan apa sebenarnya tujuan binaan-binaan ini dibangunkan. Diharapkan agar penyelidikan yang lebih lanjut dapat merungkai misteri ini, walaupun sedikit.

Dua buah ‘roda’ di Gurun Hitam yang dibina/terbina 8500 tahun lalu

TERJEMAHAN:

April Holloway. (19 Februari 2016). Mysterious Ancient Wall Extending Over 150km Investigated in Jordan. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/mysterious-ancient-wall-extending-over-150km-investigated-jordan-005380

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.