Misteri Piramid-Piramid Miniatur Sudan

744

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Selama ratusan tahun, masyarakat Mesir membangunkan piramid sebagai makam. Ia merupakan satu budaya yang kita masih tidak dapat ketahui lagi berasal daripada mana. Malahan, kita juga tidak tahu mengapa bentuk piramid itu sangat penting bagi para Firaun. Lebih daripada itu, kita sedia maklum bahawa di dalam Piramid Agung Khufu, satu makam Khufu pun tidak pernah ditemukan. Piramid ini langsung tidak mempunyai sebarang ukiran hieroglif melainkan sebilangan kecil di suatu bahagian terpencil di dalam piramid, melibatkan figura Khufu yang dilukis secara kasar sekaligus membuatkan kefungsian piramid sebagai makam sebagai satu argumen yang terdedah kepada persoalan.

Kefungsian piramid sebagai makam mula hilang pada penghujung kurun ke-6SM dan hal ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan kita, “Mengapa hal itu terjadi?” Hal ini kerana sebelum itu, kefungsian piramid sebagai makam dianggap sangat penting. Pada masa sekitar jugalah masyarakat Nubia (kini Nubia membentuk sebahagian daripada Sudan) menyerang dan menguasai Mesir. Mereka memerintah Mesir selama hampir 100 tahun sebelum diusir. Walau bagaimanapun, pengaruh Mesir terhadap masyarakat Nubia terus melekat.

Piramid-piramid yang ditemui di Meroe, Sudah merupakan piramid-piramid yang bersaiz sederhana. Jumlahnya mencecah 80 buah. Bentuknya mirip tetapi tidaklah identikal dengan piramid-piramid Mesir. Piramid-piramid di Meroe ini digunakan sebagai makam bagi golongan kerabat diraja dan bangsawan kaya Nubia. Sehingga kini, lebih 220 buah piramid diraja ditemui di Sudan.

Masyarakat Nubia membina piramid mereka sama seperti piramid Mesir (cuma bersaiz lebih kecil) dengan terdapat batu puncak di bahagian atas. Ia juga digunakan secara eksklusif oleh golongan diraja dan bukan untuk orang awam. Batu puncak tersebut dipercayai berfungsi sebagai simbol matahari. Secara keseluruhan, piramid-piramid yang ditemui di Sudan jumlahnya jauh lebih banyak berbanding di Mesir, sekaligus mencetuskan persoalan, “Adakah masyarakat Nubia ‘mencuri’ tradisi piramid daripada masyarakat Mesir?”

Apa yang menarik tentang piramid-piramid masyarakat Nubia adalah binaan yang ditemukan di sebuah tanah perkuburan yang terletak di Sedeigna, Sudan, berjarak 450 batu dari Meroe. Kerja-kerja ekskavasi terkini menemui sebuah lapangan piramid mini yang tersusun rapat dan padat, berjarak 30 inci sehingga 32 kaki di mana piramid-piramid yang lebih kecil dipercayai dibina di atas kubur kanak-kanak. Inskripsi-inskripsi yang ditemukan di sana mendedahkan bahawa perkuburan tersebut pernah menempatkan ribuan bilik pengebumian di ruang bawah piramid-piramid kecil itu.

Lazimnya dalam kawasan perkuburan seperti ini, kita boleh melihat kewujudan sekitar 20-30 buah piramid atau makam bagi golongan elit. Namun keadaan di Sedeigna ini berbeza, seperti yang dikatakan oleh Vincent Francigny, seorang penyelidik dari Muzium Sejarah Alam Amerika.

Menurut beliau, walaupun mereka mengetahui bahawa piramid-piramid di Sedeigna ini dibina semasa zaman di mana kefungsian piramid hanya terkhusus kepada golongan kerabat sudah pun mula memudar, hal ini masih lagi belum dapat mencerahkan tentang faktor di sebalik banyaknya jumlah piramid di situ serta kefungsiannya. Mungkin keadaan ini menandakan bahawa piramid-piramid yang berbentuk pelbagai sudah terbuka untuk kegunaan orang awam sekaligus mengisyaratkan wujudnya kesamarataan dalam kalangan masyarakat ketika itu.

Sebahagian piramid yang ditemui mempunyai batu berbentuk bulat yang aneh. Kefungsian batu tersebut masih tidak dapat dijelaskan lantaran ia sama sekali tidak memberi sokongan terhadap struktur piramid. Francigny meyakini bahawa struktur bulat itu berkemungkinan adalah tradisi pengebumian masyarakat Nubia yang usianya jauh lebih tua dan kemudian, tradisi tersebut digabungkan dengan pengaruh daripada masyarakat Mesir.

Sedeigna merupakan sebuah bandar yang menghubungkan Kerajaan Meroe (Nubia) dan Mesir. Ia merupakan tempat pertama yang akan dikunjungi oleh para pedagang yang bermusafir dari Mesir ke Nubia sekaligus keadaan ini boleh menjelaskan tentang kekayaan yang dimiliki oleh Sedeigna sehingga mampu membina begitu banyak piramid di sana.

Seandainya kita lebih cenderung kepada idea yang mengatakan bahawa masyarakat Nubia ‘mencuri’ tradisi piramid daripada masyarakat Mesir, keadaan ini agak menarik terutama dari sudut bagaimana sebuah tamadun yang berbeza boleh menyalin suatu tradisi dari tamadun lain apabila mereka menganggap tradisi itu sebagai suatu hal yang penting. Malahan, apabila golongan diraja sendiri yang menggunakannya, sudah tentu tradisi itu sememangnya memiliki nilai yang tersendiri pada pandangan mereka. Lebih daripada itu, masyarakat Mesir pula sendiri kemudiannya meninggalkan tradisi membangunkan piramid seakan-akan mereka sudah tidak menganggap penting binaan piramid.

Sememangnya kita sedia maklum bahawa terdapat banyak teori tentang siapa yang sebenarnya membina piramid, dan teori masyhur berpendapat bahawa binaan sebegitu sudah pun wujud sekitar tahun 10 000SM dan ia bukanlah dibina oleh masyarakat Mesir. Namun menurut teori itu, binaan piramid ditemui oleh masyarakat Mesir lalu mereka mengadaptasi dan menggunakannya sebagai sebuah makam. Kemudian, tujuan atau fungsi sebenar piramid hilang seiring peredaran zaman dan secara bertahap, tradisi itu ditinggalkan. Corak sebegini dapat kita lihat dalam ketamadunan manusia di mana ia sentiasa berulang dan berulang.

Pun begitu, saya tetap akan persoalkan sekali lagi tentang idea ‘menyalin tradisi piramid’ yang dikemukakan oleh ahli-ahli arkeologi. Hal ini kerana jika ianya benar-benar berlaku, maka masyarakat Nubia sepatutnya tidak lagi menyalin (atau meniru) tradisi pembinaan piramid sejurus selepas masyarakat Mesir sendiri meninggalkan tradisi tersebut.

Apapun, raja-raja Nubia sememangnya dianggap sebagai separa-dewa (setidak-tidaknya, raja-raja awal mereka). Mereka juga meyakini Amun sebagai dewa utama mereka. Disebutkan bahawa para paderi mereka akan berbicara dengan Amun di dalam kuil. Tidakkah hal ini kedengaran seperti lazim didengari oleh kita? (Merujuk kepada tradisi keagamaan masyarakat Mesir)

TERJEMAHAN:

John Black. (16 Jun 2013). The Mystery of the Miniature Pyramids of Sudan. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa-news-history-archaeology/mystery-miniature-pyramids-sudan-00557

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.