Misteri Kehilangan Pesawat Pejuang Jepun F-35A

4,707

Pada 9 April 2019, 4 buah pesawat generasi ke-5 kepunyaan tentera udara Jepun yang dibina daripada salah sebuah pengeluar pesawat pejuang dan teknologi ketenteraan terbesar di dunia, Lockheed Martin memulakan satu penerbangan latihan. Cuaca pada hari tersebut adalah cerah dan sesuai untuk menerbangkan pesawat pejuang model F-35A ini.

https___cdn.cnn.com_cnnnext_dam_assets_161205164154-japan-first-f-35
Pasukan juruterbang pesawat F-35A Tentera Udara Jepun (JASDF) – CNN

Seorang juruterbang berpengalaman, Major Akinori Hosomi mengetuai sesi latihan tersebut. Major Akinori bukanlah seorang yang tidak berpengalaman dalam menerbangkan pesawat pejuang, sebaliknya, dia mempunyai catatan sebanyak 3,200 jam dalam jumlah keseluruhan penerbangannya, dan 60 jam dalam pengalaman menerbangkan pesawat terbaru ini dalam 3rd Airwings, 302 Tactical Fighter Squadron.

Mereka berlepas daripada Kem Tentera Udara Misawa dalam membuat latihan di ruang udara lautan Pasifik. Segala perancangan latihan penerbangan ini pada awalnya berjalan lancar, sehinggalah pada minit ke-28 latihan, secara tiba-tiba, Major Akinori menghubungi skuadnya dalam 3 buah pesawat F-35A untuk membatalkan latihan penerbangan tersebut.

“Mission aborted, mission aborted. Abort exercise now!”

Itulah mesej terakhir yang diterima oleh ketiga-tiga juruterbang dalam pesawat yang berasingan, tanpa menyatakan apa-apa sebab mengapakah latihan penerbangan tersebut dibatalkan secara tiba-tiba. Beberapa ketika kemudian, Major Akinori dan pesawat F-35A yang dipandunya hilang tanpa dapat dikesan.

Kehilangannya itu pada dicatat pada jam 7.27 PM menyebabkan usaha pencarian pesawat ini, yang disyaki telah terhempas di lautan Pasifik, kira-kira 135 kilometer daripada Kem Tentera Udara Misawa dipergiatkan. 2 jam kemudian, pada jam 9.30 malam waktu Jepun, 2 keping struktur pesawat, iaitu bahagian rudder kiri dan kanannya ditemui terapung di lautan Pasifik.

Rumusan Peristiwa Pesawat F35A Yang Terhempas – Dailymail

Usaha pencarian diteruskan secara besar-besaran, dan kerajaan Jepun bekerjasama dengan sekutunya, termasuk Amerika Syarikat dalam usaha untuk mencari bangkai pesawat ini. Terdapat beberapa masalah yang timbul, di mana masalah yang paling besar adalah kedalaman lautan di tempat terhempasnya pesawat tersebut mempunyai kedalaman sehingga 1.5 kilometer.

Penerangan ringkas kapal The Van Gogh – Ultra Deep Solution

Tidak banyak pengangkutan atau kemudahan yang mampu mencapai kedalaman tersebut, namun, kerajaan Jepun menghantar kapal yang bernama Kaimei, iaitu sebuah Deep Sea Scientific Survey Ship untuk mencari bangkai pesawat tersebut. Mereka juga menyewa sebuah lagi kapal yang mempunyai pengkhususan untuk membuat kajian saintifik yang boleh mencapai kedalaman sehingga 9 kilometer, iaitu kapal yang bernama The Van Gogh yang dilengkapi dengan remote operating vehicle (ROV).

Usaha pencarian ini dilakukan dengan pantas kerana yang pertama, mereka ingin menyiasat punca kejadian itu memandangkan kemalangan ini menyebabkan kesemua 12 pesawat pejuang F-35A tidak dibenarkan untuk terbang (grounded) dan yang kedua adalah mereka risau akan 2 buah negara yang bersaing hebat dengan Amerika Syarikat, iaitu Russia dan China mulai campur tangan dan ingin mencuri bangkai pesawat tersebut.

Hal ini membimbangkan AS kerana mereka takut akan sekiranya bangkai pesawat tersebut dicuri, mereka akan melakukan ‘reverse-engineering’ terhadap pesawat tersebut untuk menciplak idea dan teknologi yang berkemungkinan akan digunakan untuk membina dan mereka pesawat pejuang mereka yang tersendiri.


Berita Kemalangan Pesawat F-35A yang menyebabkan kem4tian Major Akinori Hosomi – Fighter Jets World

Sebulan kemudian, kotak hitam pesawat ini dijumpai bersama dua komponen penting dalam kotak hitam ini, iaitu Cockpit Voice Recorder (CVR) dan Flight Data Recorder (FDR), Akan tetapi, mengikut kepada beberapa petikan berita, sebahagian besar daripada maklumat ini tidak dapat diselamatkan kerana keadaan kotak hitam tersebut yang rosak akibat impak semasa pesawat ini terhempas, yang dikatakan pada kelajuan 1,000 kilometer sejam atau 621 batu sejam.

Kemudian, setelah usaha mencari ini kelihatan seperti jalan m4ti, maka pihak tentera Amerika Syarikat menghentikan usaha pencarian ini pada bulan Mei 2019. Sebulan kemudian, pihak pasukan mencari dan menyelamat Jepun juga menghentikan operasi ini, iaitu pada bulan Jun 2019.

Data yang berjaya diselamatkan dalam kotak hitam menunjukkan beberapa maklumat dan salah satu maklumat yang paling penting adalah perubahan altitud pesawat ini pada minit-minit terakhir sebelum pesawat terhempas, iaitu pada ketinggian 9,000 meter kepada 305 meter dengan mendadak.

Mengikut kepada sumber berita CNN, mereka melaporkan bahawa serpihan m4yat Major Akinori telahpun dijumpai pada 7 Jun 2019. Beberapa informasi mengenai pesawat tersebut untuk saya kongsikan kepada anda adalah pesawat model F-35A ini merupakan keluaran pertama pesawat yang dipasang di kilang Mitsubishi Heavy Industry yang terletak di Nagoya. Pesawat ini berumur kurang daripada 1 tahun dan hanya mempunyai masa penerbangan selama 280 jam sahaja sebelum terhempas.

Beberapa perkara yang misteri dan masih lagi tidak didedahkan kepada orang awam adalah tindakan Major Akinori itu sendiri. Antaranya adalah tindakannya yang tidak menunjukkan bahawa dia adalah seorang juruterbang tentera yang berpengalaman, seperti dia tidak memberitahu isyarat bahawa dia dalam bahaya, isyarat kecemasan (emergency beacon) juga yang tidak berfungsi kerana sama ada ianya rosak ataupun dipadam oleh Major Akinori. Juga, tidak diketahui mengapa dia tidak menarik pendikit untuk eject keluar di saat-saat akhir di mana dia perasan bahawa dia tidak lagi mampu mengawal pesawat ini.

Seperti biasa, teori konspirasi yang menyatakan bahawa pesawat ini dit3mbak oleh Unmanned Aerial Vehicle milik China, iaitu menggunakan persenjataan Electromagnetic Pulse ataupun pesawat ini diserang oleh makhluk asing mulai muncul. Apa pun, saya hanya akan berkongsi laporan rasmi yang dikeluarkan oleh menteri pertahanan negara Jepun sahaja.

Artikel mengenai Spatial Disorientation oleh Safety Advisor.

Satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan negara Jepun, Taro Kono pada 8 Jun 2019. Mereka membuat kesimpulan bahawa Major Akinori mengalami satu gejala yang dipanggil sebagai spatial disorientation dan kemalangan ini diklasifikasikan sebagai pilot error. Baik, mari kita baca sedikit mengenai aspek perubatan mengenai spatial disorientation ini.

Mengikut kepada definisi perubatan, spatial disorientation atau Spatial-D adalah satu gejala yang biasa dialami oleh juruterbang ataupun penyelam. Untuk juruterbang pesawat pejuang, kondisi ini terjadi apabila seseorang juruterbang itu tidak tahu dan pasti akan kedudukan mereka, ketinggian, keadaan pesawat dan kelajuan pesawat itu sendiri.

Sebenarnya, kita mempunyai 4 sistem badan yang digunakan untuk memberitahu kedudukan kita pada sesuatu masa, terutama sekali di kawasan yang luas seperti di udara mahupun di dalam laut. Yang pertama adalah penglihatan, sistem vestibular (yang berada di dalam telinga untuk membolehkan seseorang itu tahu adakah dia sedang berada di dalam keadaan terbalik atau tidak), proprioceptive dan juga sistem auditori.

Keadaan ini amat berbahaya di mana keempat-empat sistem ini mulai bercelaru, dan menjadikan mereka berada dalam keadaan disorientation kerana informasi yang tidak betul daripada sistem ini menyebabkan otak kita tidak dapat mentafsirkan apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Untuk konteks yang mudah, kita boleh kaitkan dengan imej optical illusion yang membuatkan otak kita bercanggah dengan interpretasi keadaan yang sebenar dan dalam kondisi spatial-D ini hal ini lebih teruk dan lebih ekstrim kerana melibatkan 4 pancaindera yang lain. Justeru, dalam kes ini, Major Akinori dikatakan mengalami spatial d sehinggakan dia tidak tahu lokasi dan kedudukan pesawatnya, dan akhirnya terhempas di laut.

Penerangan mengenai Spatial Disorientation – Aviation Sake

Hal sebegini sedikit sebanyak masuk akal kerana sewaktu dia sedang mengalami gejala tersebut, sudah tentu dia tidak mengisukan apa-apa amaran atau kecemasan kepada skuadron dan menara kawalan. Apabila dia tersedar, pesawat ini sudahpun berada pada paras yang terlalu rendah sehingga melepasi point of no return.

Hal ini dapat menerangkan kepada kita mengapakah pesawatnya itu terhempas dalam kelajuan yang amat tinggi kerana kelihatan seperti Major Akinori tidak berbuat apa-apa maneuver untuk mengelakkan pesawatnya daripada terhempas seperti meletakkan pesawatnya dalam keadaan nose-up mahupun mengubah kelajuannya.

Ibarat dalam kes kemalangan yang dihadapi oleh pemandu yang sedang tidur. Dalam keadaan yang tidak sedar, kereta yang dipandu pada kelajuan tinggi melanggari satu penghadang jalan raya. Brek tidak ditekan, stering tidak dipulas dan kelajuan kereta tidak berubah memandangkan keadaan pemandu yang sedang tidur dan tidak sedarkan diri, dan dalam kes ini, seorang juruterbang yang sedang berada dalam keadaan disorientation.

Satu persoalan timbul, iaitu Major Akinori ini sangat berpengalaman dalam menerbangkan pesawat-pesawat pejuang sebelum ini. Tapi, mengapakah dia masih lagi mengalami spatial-D, yang mana kondisi ini selalunya berlaku pada seseorang yang tidak mempunyai pengalaman dalam menerbangkan pesawat ini.

Dalam satu kajian yang diterbitkan di Journal of Military Medicine pada tahun 2009, iaitu kajian yang dilaksanakan oleh Japan’s Air Self-Defense Force mengenai spatial-d, mereka mendapati bahawa keadaan ini seringkali berlaku pada semua peringkat  juruterbang pesawat pejuang, sama ada yang berpengalaman mahupun yang tidak berpengalaman.

Antara faktor yang meningkatkan lagi kejadian ini adalah penerbangan waktu malam, keadaan juruterbang yang tidak cukup rehat dan juga pada tempoh awal pertukaran model pesawat yang dipandu. Pada awaktu malam, disebabkan tiada bantuan cahaya dan walaupun helmet juruterbang pesawat F-35 dilengkapi dengan pengimejan termal dan FLIR, spatial-D kan berlaku kerana juruterbang tidak dapat membezakan di antara langit dengan laut.


Tangkap Layar Laman Web Aviation Sake yang menceritakan kejadian ini dengan terperinci (pautan di bawah)

12 peratus daripada kemalangan tentera udara Jepun adalah disebabkan oleh spatial D. Tambahan, Major Aknori hanya mempunyai masa penerbangan sebanyak 60 jam sahaja untuk pesawat F-35A ini. Tetapi, adakah kejadian ini merupakan kejadian yang pertama berlaku untuk pesawat F-35 milik tentera udara Jepun?

Tidak. Satu laporan yang dikeluarkan oleh akhbar Jepun, iaitu Mainichi Shimbun mengatakan bahawa terdapat banyak kemalangan yang membuatkan juruterbang terpaksa mendaratkan pesawat mereka secara kecemasan, iaitu 7 kes dalam masa beberapa bulan. 7 kes tersebut melibatkan 5 buah pesawat F-35A milik mereka, dan kesemuanya yang dipasang oleh Mitsubishi Heavy Industry, Ltd.

Pesawat ini sebenarnya mempunyai banyak masalah daripada segi teknikal dan strukturnya tersendiri. Tetapi, mengapa hal ini terjadi? Bukankah pesawat pejuang F-35 merupakan pesawat atau aset ketenteraan yang paling mahal di dunia dan paling berteknologi tinggi setakat ini. Harga sebuah pesawat ini berada dalam lingkungan 90 juta USD ke 160 juta USD (United States Dollar), mengikut kepada jenis dan harga semasa. Untuk meletakkan perbandingan daripada segi perspektif harga pesawat pejuang model F-16 berharga 17 juta USD. 

Untuk membaca penerangan terperinci mengenai kejadian ini sila ke satu laman web yang menceritakan kejadian ini dengan begitu sempurna di pautan ini: http://aviationsake.com/spatial-disorientation-of-the-pilot-the-possible-explanation-for-the-crash-of-a-japanese-f-35-jet-plane-final-april/

POLITICAL ENGINEERING DI SEBALIK PESAWAT F-35

Mari kita kembali ke beberapa tahun ke belakang untuk memahami, apakah sebenarnya yang terjadi kepada peawat ini daripada segi sejarah, dan penglibatan wang yang sangat tinggi.

Semuanya bermula pada tahun 1993 di mana satu program bernama Joint Strike Fighter (JSF) dilancarkan. Objektif utama program ini adalah bertujuan untuk membangunkan kekuatan tentera Amerika Syarikat, United Kingdom, Autralia, Itali dan lain-lain negara bersekutu dengannya khususnya dalam bidang pertahanan yang membabitkan pesawat pejuang. Program ini membolehkan penciptaan sebuah pesawat pejuang yang akan boleh disesuaikan dengan mana-mana angkatan tentera, sama ada tentera udara, tentera darat dan juga tentera laut.

Pada awal selepas pelancaran program ini, beberapa syarikat mula bersaing antara satu sama lain. Masing-masing ingin mendapat kontrak pembangunan dan penyelidikan daripada kerajaan di Amerika Syarikat. 4 buah syarikat terbesar mula memberikan idea untuk mendapatkan kontrak JSF ini, antaranya adalah McDonnell Douglas, Northrop Grumman, Lockheed Martin dan Boeing pada awalnya.


JSF X-32 (Boeing) VS X-35 (Lockheed Martin) – JSF

Akhirnya, hanya dua syarikat ini bertanding untuk cuba menjual pesawat rekaan mereka ini kepada Pentagon, iaitu Boeing dan Lockheed Martin. Kontrak ini akan berkekalan sehingga ke tahun 2008. Lokheed Martin meletakkan sebuah prototaip pesawat yang bernama X-35 manakala Boeing pula meletakkan model Boeing X32.


Pesawat X-32 Oleh Boeing Yang dikatakan Hodoh? – Boeing

Pada tahun 2001, kemenangan berpihak kepada Lockheed Martin dengan pesawatnya iaitu X-35, yang kini dipanggil sebagai F-35. Keputusan ini dibuat selepas demonstrasi pesawat X-35B ini yang berkebolehan untuk terbang secara Vertical Take-Off and Landing (VTOL) dan hanya memerlukan landasan kurang dariapda 150 meter (STOVL). Lockheed Martin akan bekerjasama dengan Northrop Grumman dan BAE System untuk memulakan pengeluarannya. Hal ini berjaya meyakinkan Pentagon untuk membuat pelaburan kepada syarikat ini.

Selain daripada pesawat X-35 ini dikatakan lebih superior berbanding X-32 milik Boeing, terdapat beberapa permainan politik di sebaliknya. Apa yang berlaku sebenarnya bolehlah saya permudahkan dengan mengatakan bahawa syarikat Lockheed Martin ini mempunyai satu perancangan yang hampir sempurna, sesuatu yang kita kenali sebagai Political Engineering.


Dokumentari Vox Menceritakan Mengenai Perkaitan F-35 dan Politik – Vox

Secara mudahnya, political engineering ini adalah satu kaedah untuk meyakinkan kongres Amerika Syarikat untuk mengundi syarikat mereka sebagai penerima pelaburan kerajaan, yang terdiri daripada cukai (duit rakyat). Hal ini dengan dijalankan dengan cara mewujudkan puluhan kilang di serata Amerika Syarikat sendiri untuk membekalkan barangan pembuatan pesawat pejuang ini, iaitu sesuatu yang dipanggil sebagai subcontractor.

Setakat yang diketahui, untuk projek pelaksanaan pesawat pejuang ini, terdapat lebih daripada 1000 subcontractor yang terletak di 45 negeri di Amerika Syarikat. Jadi, apakah kesan signifikan yang terjadi apabila terdapat subcontractor sebanyak ini? Dan apakah hubungannya dengan satu cara untuk menarik minat kongres negara mereka?

Formula yang mereka lakukan amat mudah. Lebih banyak subcontractor, maka, lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Amerika Syarikat. Hal ini sudah tentu menarik minat kongres kerana tindakan ini memberikan rakyat yang duduk di dalam setiap negeri satu peluang pekerjaan. Sudah tentu ini merupakan langkah yang diambil untuk menayangkan kepada rakyat bahawa orang yang berada di dalam kongres ini berbuat sesuatu untuk rakyat dengan memilih kontraktor (Lockheed Martin) yang menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.


Tangkap layar daripada video Vox bertajuk ‘This Jet Fighter is a Disaster, but Congress keeps buying it’ – Youtube Channel Vox

Dalam satu artikel daripada Vox News, mereka mendapati bahawa Boeing, syarikat pesaing tertinggi dengan Lockheed Martin hanya mempunyai 5 sahaja kilang di seluruh Amerika Syarikat, yang mana memberikan peluang pekerjaan kepada lebih kurang sebanyak 32,700 orang, manakala Lockheed Martin pula dikatakan dapat memberikan peluang pekerjaan untuk 146,000 orang. Anda jangan terkejut ya, ini baru kita katakan tentang peluang pekerjaan di Amerika Syarikat, belum lagi di seluruh dunia (bakal saya terangkan di bawah).


Tangkap layar daripada video Vox bertajuk ‘This Jet Fighter is a Disaster, but Congress keeps buying it’ – Youtube Channel Vox

Ini bukan andaian, sebaliknya, inilah apa yang sebenarnya berlaku. Dan menjadi semakin terang lagi bersuluh apabila pada bulan Ogos 2015, Lockheed Martin membeli syarikat bernama Sikorsky kerana pada awalnya, Lockheed Martin tidak mempunyai kuasa ataupun pengaruh politik yang kuat di Connecticut, memandangkan di situlah terletaknya syarikat-syarikat pesaing, iaitu General Dynamics, Raytheon dan United Technologies.


Sikorsky kini menjadi syarikat di bawah Lockheed Martin

Jadi, dengan membeli syarikat ini yang mempunyai 8,000 pekerja, maka, mereka dapat memenangi hati pihak kongres kerana syarikat ini akan dikatakan baik dan cakna kepada rakyat Amerika Syarikat yang tinggal di Connecticut. Secara tidak langsung, hal ini akan mendapatkan sokongan politik daripada pihak kongres di sana.

Memang pada awalnya, syarikat Lockheed Martin ini berbuat perkara tersebut untuk mendapatkan undian dan pilihan sebagai kontraktor untuk membina pesawat F-35, tetapi, mereka masih terus-menerus memerlukan sokongan kongres untuk mendapatkan wang (duit rakyat) yang perlu dipersetujui oleh pihak kongres untuk disalurkan kepada mereka.


Tangkap layar artikel mengenai syarikat Lockheed Martin yang dikatakan sebagai ‘Too big to fail’ – Politico news, Ogos 2015

Satu artikel berita yang dikeluarkan oleh Politico menyatakan bahawa syarikat Lockheed Martin ini ‘too big to fail’. Tapi, mengapa mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian? Apakah yang dimaksudkan dengan too big to fail ini? Baik, sebelum itu, kita ke luar daripada Amerika Syarikat terlebih dahulu untuk memudahkan anda untuk memahami strategi mereka ini. 

Baik, kita kembali ke belakang sedikit mengenai F-35 procurement yang bermaksud, mana-mana negara yang ingin mendapatkan pesawat F-35 untuk tentera mereka perlu untuk menyertai program ini, yang dipanggil sebagai Joint Strike Fighter, JSF. Terdapat 3 level rakan kongsi ini secara keseluruhannya, yang mempunyai perbezaan daripada segi harga dan teknologi yang akan dikongsikan.

Baik, saya ringkaskan terus dan saya rasa saya tidak perlu memperincikan mengenai level-level partner yang ada ini. Akan tetapi, secara mudahnya, dengan menjadi rakan kongsi, syarikat Lockheed Martin ini akan menerima banyak wang daripada kesemua negara yang menyertai untuk menjadi rakan kongsi ini. Duit yang dibayar oleh rakan kongsi ini akan mengesahkan bahawa mereka telahpun bersetuju untuk membeli pesawat F-35 ini.


Taburan F-35 Subcontractor – Business Insider

Sebagai pertukaran, negara yang menjadi rakan kongsi ini akan mendapat pesawat ini, teknologi yang ada di dalam pesawat ini dan kilang yang akan dibina untuk menyelenggara serta memasang pesawat ini. Hal ini juga akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat di seluruh dunia. Setakat ini, terdapat 8 buah negara yang diupah menjadi subcontrators untuk menjalankan produksi bahagian dan komponen penting dalam pesawat ini.

Negara Turki adalah satu-satunya negara yang menarik diri (*atau ditendang keluar?) setelah bersetuju untuk menjadi rakan kongsi kerana mereka merasakan pesawat ini menjadi satu masalah yang besar dan sering menghadapi masalah untuk menyiapkan betul-betul pesawat ini tanpa mempunyai apa-apa masalah. Hal ini menyebabkan mereka kehilangan 500,000 juta USD yang dilaburkan negara ini, hanya kerana Turki membeli sistem radar Russia S-400.


Artikel mengenai negara Turki yang ditendang keluar daripada program F-35 – Defensenews

Sekarang, cuba kita analogikan apa yang dimaksudkan dengan level partner. Perkara ini ibarat satu projek Kickstarter yang wujud sekarang di internet. Katakan saya ingin mencipta satu jenis telefon pintar yang mempunyai fungsi yang belum wujud lagi di dunia ini, maka, sudah tentu saya akan memerlukan wang untuk memulakan projek tersebut. Daripada situ, saya mengiklankan kepada orang ramai, siapa yang ingin memberikan duit secara advance untuk saya mulakan projek ini.

Mereka yang ingin memberikan duit secara advance ini kita panggil sebagai backers. Backers ini pula saya kategorikan kepada 3, bergantung kepada jumlah wang yang diperlukan dan apa yang mereka akan dapat. Contohnya, saya wujudkan tier 1, iaitu dengan wang sebanyak RM300, anda akan dapat telefon ini setelah projek ini selesai. Tier 2 pula, saya letak harganya pada RM450, di mana mereka akan dapat telefon ini, beserta charger dan casing yang diperbuat daripada adamantium. Tier-3 pula beharga RM600, di mana mereka akan mendapat telefon ini yang disaluti emas 24-karat dan casing yang diperbuat daripada vibranium. 

Backers ini akan mendapat produk saya dengan lebih awal dan mereka merupakan orang pertama yang dapat menggunakan teknologi tersebut. Akan tetapi, backers ini tidak mempunyai apa-apa yang boleh dituntut atau refund sekiranya rekaan telefon tersebut mengalami pelbagai masalah dan tertangguh lagi sehingga bertahun-tahun. Setelah beberapa tahun tertangguh, akhirnya, saya berjaya menyiapkan rekaan dan telefon tersebut boleh diedarkan kepada backers saya.

Akan tetapi, setelah diedarkan kepada backers saya, iaitu sebelum pengeluaran telefon ini secara besar-besaran, saya dapati telefon saya ini tidak stabil dan berpotensi untuk meletup sekiranya saya membuka aplikasi TikTok. Justeru, saya akan terpaksa meminta kesemua backers saya menghantar semula telefon yang telah saya hantar kepada mereka kerana saya risau akan risikonya yang meletup dan boleh membunuh orang lain.

Saya juga tidak akan membenarkan refund sekiranya backers itu ingin menarik diri. Duit yang diberikan kepada saya tidak akan burn begitu sahaja, tetapi, backers saya hanya boleh menunggu sahaja bilakah telefon pintar saya ini akan diperbaiki semula, dan diuji untuk memastikan telefon tersebut tidak meletup. Jika backers saya menarik diri, maka dia tidak akan dapat kembali wang yang dilaburkan kepada saya.  

Jadi, inilah situasi yang berlaku pada pelabur-pelabur pesawat F-35 ini. Malangnya, pelaburan terhadap jet pejuang ini tidaklah seperti pelaburan Kickstarter untuk telefon bimbit.Terdapat banyak masalah pada pesawat ini, yang akan saya ulas lebih terperinci di bawah ini, iaitu daripada segi teknikalnya.

Berbalik semula kepada ‘Too Big to Fail’, secara mudahnya bermaksud, andai kata projek pesawat F-35 ini dibatalkan begitu sahaja, maka, ratusan ribu orang akan kehilangan kerja di negara Amerika Syarikat. Dalam laman web rasmi Lockheed Martin, mereka menyenaraikan impak yang akan terjadi sekiranya kongres tiba-tiba membuat keputusan untuk tidak lagi memberikan wang dan tidak mahu meneruskan projek F-35 lagi.


Tangkap layar daripada video Vox bertajuk ‘This Jet Fighter is a Disaster, but Congress keeps buying it’ – Youtube Channel Vox

Mengikut laman web rasmi mereka, dari segi kesan domestik, iaitu di Amerika Syarikat sendiri, 146,000 orang akan kehilangan pekerjaan. Data di bawah ini menunjukkan impak daripada segi kewangan dan peluang pekerjaan di Texas sahaja, iaitu 91 lokasi pembekal, 52,080 pekerjaan dan 9,721,00,000 USD. Data ini saya buka pada 19 November, 2019. Anda boleh mengunjungi laman web ini untuk mendapatkan kesan pembatalan projek F-35 di pautan ini: https://www.f35.com/about/economic-impact-map#texas


Impak Domestik Pembatalan Projek Pesawat F-35 – f35.com (19/11/2019)

Bukan itu sahaja, hubungan di antara Amerika Syarikat dengan rakan kongsi mereka yang lain juga akan menjadi tegang kerana rakyat mereka juga akan kehilangan pekerjaan, terutama pada 8 buah negara yang telah menjadi pembekal untuk beberapa struktur pesawat ini. Juga, beberapa negara luar juga telahpun meletakkan pembelian mereka, seperti Israel, Jepun, South Korea, Australia, Kanada, Denmark, Italy, Belanda, Norway, Turki dan United Kingdom.


Tangkap layar daripada video Vox bertajuk ‘This Jet Fighter is a Disaster, but Congress keeps buying it’ – Youtube Channel Vox

Hal ketegangan ini boleh membahayakan negara Amerika Syarikat dan juga boleh berpotensi untuk terjadinya pemutusan hubungan diplomatik, yang akan mengancam pelbagai aspek, yang paling utamanya adalah ekonomi dan yang paling buruk, peperangan. Jadi, pihak kongres memang amat memahami risiko sebegini. Mahu tak mahu, projek F-35 ini yang tergendala bertahun-tahun perlu disiapkan juga, tak kira apa yang terjadi, dan sudah tentu makin lama projek ini tertangguh, semakin banyaklah jumlah wang yang bakal digunakan.

Mengikut kepada rangkaian berita demi berita yang diterima, projek ini asalnya dirancang untuk memakan masa selama 16 tahun dengan belanjawan sebanyak 1 trillion USD, namun, pada tahun 2017 sahaja, projek ini telahpun ditangguhkan selama 7 tahun dan memakan belanjawan melebihi 70% daripada yang dirancang pada awalnya.

Sekarang, mari kita lihat model perniagaan yang diamalkan oleh Lockheed Martin ini, yang mana prosedur yang dipanggil dengan nama concurrency ini sedikit sebanyak merupakan salah satu faktor kelewatan dan penangguhan pesawat ini. Mengapa?

Begini, mengikut kepada prosedur concurrency, selepas mereka mendapat kontrak daripada Amerika Syarikat, mereka akan terus membuat pengeluaran tanpa melakukan ujian yang lengkap terhadap pesawat ini terlebih dahulu. Prosedur ini bertujuan untuk menjadikan pengeluaran dan penghantaran secepat mungkin di mana dengan ini, peluang pekerjaan yang dilobikan oleh Lockheed Martin dapat diwujudkan secepat mungkin sama ada di dalam Amerika Syarikat, dan juga di peringkat antarabangsa.

Akan tetapi, hal ini mengundang pelbagai masalah di mana akibat ujian terhadap model pesawat ini tidak lengkap, maka, mana-mana ujian yang dilakukan (selepas penghantaran pesawat di peringkat domestik dan antarabangsa) kepada pesawat ini yang didapati bermasalah akan menyebabkan kesemua pesawat yang dihantar di seluruh dunia perlu dipulangkan semula untuk kerja-kerja penambahbaikan atau pemasangan komponen yang merupakan penyelesaian terhadap masalah tersebut.

Bukan itu sahaja, jika kita lihat kembali kes pesawat F-35A milik tentera Jepun yang mengorbankan juruterbangnya itu akan mengakibatkan kesemua pesawat F-35 milik mereka tidak dibenarkan untuk terbang (grounded). Jadi, hal ini menyebabkan kesemua pesanan pesawat pejuang ini tergendala daripada tahun ke tahun yang berikutnya disamping mana-mana negara yang sudahpun mendapat pesawat ini tidak dibenarkan untuk terbang selagi penyiasatan belum selesai.

Model perniagaan seperti ini mungkin membawa kebaikan daripada satu aspek (peluang pekerjaan) tetapi membawa keburukan daripada segi masa dan belanjawan. Hal ini jika saya nak analogikan, seakan-akan sama dengan bateri telefon pintar model Samsung Galaxy Note 7 yang menjadi masalah selepas model tersebut dipasarkan yang didapati mudah meletup (after market). Hujungnya, para pengguna terpaksa memulangkan semula dan Samsung pada awalnya cuba membaiki dan memulangkan semula kepada pengguna.

Namun, setelah diperbaiki pun, keadaannya masih sama, hujungnya, mereka terpaksa memulangkan semula wang para pengguna. Ya, itu hanyalah satu jenis peralatan yang berharga ratusan US Dollar, tetapi, ini adalah pesawat F=35, yang berharga ratusan juta US Dollar.

RINGKASAN MENGENAI KOS YANG DILABURKAN PADA JOINT STRIKE FIGHTER PROGRAM

Infografik F-35 – F-35 Lightning II

Sekarang, mari kita lihat secara asas dan paling mudah mengenai jumlah pelaburan wang yang diletakkan pada program Joint Strike Fighter Project, yang mana kita sudah tahu bahawa JSF yang dikatakan itu adalah pesawat pejuang F-35 dan model yang berkaitan dengannya.

Bajet purata untuk program JSF ini, mengikut kepada satu dokumen bertajuk laporan kepada komiti kongres yang dibuat oleh United States Government Accountability Office pada bulan Jun 2012 (pautan di bawah), bajet asal projek ini adalah sebanyak 12.5 billion USD setahun dengan jumlah keseluruhannya mencapai 1.1 trillion USD yang telah dibentangkan awal lagi sebelum laporan rasmi ini dikeluarkan

Pada 1 Februari, 2010, Sekretari Pertahanan, Robert M Gales memecat Major General David R Heinz daripada mengetuai program JSF dan keuntungan yang dinamakan bonus kepada syarikat Lockheed Martin sebanyak 614 juta USD ditahan.

Pada bulan yang sama, kenyataan dikeluarkan kepada orang ramai bahawa projek ini tertangguh selama 1 tahun, dan akan memakan wang sebanyak 388 bilion USD yang akan meningkatkan harga pesawat pejuang ini sebanyak 50 peratus daripada harga asalnya. Masalah ini berkait rapat dengan sistem VTOL dalam model pesawat yang ingin diserahkan kepada US Marine Corp.

Kenaikan harga pesawat ini adalah pada asalnya, iaitu tahun 2002, harga sebuah pesawat ini adalah 50 juta USD, kemudian meningkat kepada 85 juta USD pada tahun 2004, dan meningkat lagi pada tahun 2007 iaitu sebanyak 160 juta USD. Hanya selepas itu, barulah harganya menurun kepada 110 juta USD pada 2009 dan kemudiannya kepada 92 juta USD pada tahun 2016. Penurunan harga ini dikatakan disebabkan oleh model pesawat ini yang mulai dikeluarkan dan dihantar di Amerika Syarikat.

Setakat tahun 2016, sasaran asal pengeluaran pesawat ini adalah sebanyak 1013 buah, akan tetapi, hanya 200 buah pesawat berjaya dikeluarkan pada bulan April 2016.

KRONOLOGI PENCIPTAAN PESAWAT F-35

Pada awal perancangan JSF ini, beberapa orang tertinggi dalam kementerian pertahanan menginginkan sebuah pesawat yang bersifat Multi-Role, iaitu boleh menggantikan pesawat-pesawat pejuang yang berada di dalam ketiga-tiga divisyen pertahanan Amerika Syarikat iaitu Marine Corps, US NAVY dan US Air Force.

Mereka berhasrat untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang yang merupakan pesawat legenda yang dikatakan amat hebat daripada segi keupayaan mereka mengalahkan musuh seperti pesawat F/A-18 Hornet, F-16, A-10 Warthog (Brrrrrrrtt), Av-8B milik Amerika Syarikat, dan Harrier GR7, GR9s dan Tornado GR4 milik British.

Konsepnya sebegini, hasilkan sebuah pesawat yang boleh diterapkan serta menggantikan pesawat-pesawat pejuang yang sedia ada. Dengan itu, harga kos spare parts dan penyelenggaraan menjadi semakin murah. Pasti anda nak tergelak apabila saya mengatakan bahawa projek asal pesawat F-35 adalah menumpukan kepada pesawat pada harga yang murah.

Sejarah dan kronologi pesawat F-35 – f35.com

Pada tahun 1997, Lockheed Martin dan Boeing telah dipilih sebagai syarikat yang mana konsep JSFnya disukai dan diberi lampu hijau untuk menunjukkan kehebatan pesawat masing-masing. Pada tahun 2000, pesawat prototaip milik Lockheed Martin yang bernama X-35A membuat penerbangan pertamanya di Palmdale, California. Pada hujung tahun yang sama, pesawat ini berjaya melepasi ujian program JSF dan dibawa balik ke California untuk ditukarkan kepada X-35B.

Hujung tahun yang sama, pesawat X-35C menyempurnakan ujian penerbangan di Lapangan Terbang Tentera Udara Edwards di California. Pada tahun 2001, ujian persenjataan untuk peswat X-35B dimulakan dan kehebatannya daripada segi VTOL ditayangkan di seluruh Amerika Syarikat, iaitu pesawat pejuang pertama yang mampu untuk berlepas menerusi VTOL menggunakan fan propulsion system dan selang beberapa bulan kemudian, iaitu pada bulan Oktober 2001, kontrak JSF Design and Development (SDD) diberikan kepada Lockheed Martin, yang berkolaborasi dengan Northrop Grumman dan BAE Systems.

Daripada sinilah, perkembangan dan rekaan pesawat ini dimulakan sepenuhnya iaitu struktur airframe pesawat yang kini dipanggil sebagai F-35 dimulakan. Pada bulan Februari, 2006, batch pertama pesawat ini, yang dinamakan sebagai F-35A dikeluarkan dan pada tahun yang sama, pesawat pejuang yang bersifat stealthy atas kerjasama Amerika Syarikat dan 8 buah negara lain kali pertama diterbangkan. Model ini dipanggil sebagai F-35 Lightning II yang dipandu oleh juruterbang Jon Beesley.

Untuk model F-35B pula, yang mempunyai keupayaan VTOL mula diterbangkan pada bulan Jun 2008. Keupayaan pesawat ini yang terbang pada kelajuan hypersonic ini ditunjukkan kali pertama kepada orang ramai pada bulan November, 2008. Lockheed Martin bekerjasama dengan syarikat CATBird untuk mendapatkan teknologi avionics nya.

Pada tahun 2011 dan 2012, pesawat ini dipaparkan kebolehannya dan mula diserahkan kepada ketiga-tiga divisyen tentera Amerika Syarikat. Saya akan mengulas lebih lanjut mengenai perbezaan model pesawat ini dalam seksyen teknikal dan teknologi dibawah.

Bermula pada tahun 2014 hingga 2016, pesawat F-35A mula dihantar di seluruh dunia, di mana Korea Selatan mendapat pesawat ini pada bulan September, dan diikuti dengan negara-negara lain seperti Australia, Norway, Israel, Itali, Belanda dan lain-lain.

Jika anda perasan, kronologi ini nampak cantik, lancar dan tiada masalah bukan? Mengapa? Jawapannya adalah kerana sumber rujukan untuk penulisan kronologi ini diambil daripada laman web Lockheed Martin sendiri, iaitu di pautan ini: https://www.f35.com/about/history

Tapi, bagaimana pula dengan kebenarannya dan kebusukan yang terselindung di balik perkara yang benar-benar berlaku? Mari kita ke seksyen seterusnya, iaitu aspek teknikal pesawat pejuang F-35 secara realitinya.

TEKNOLOGI PESAWAT F-35

Untuk pengetahuan anda, terdapat 3 variasi model pesawat pejuang F35 iaitu F-35A, F-35B dan F-35C. Mari kita lihat dulu satu per satu model yang asal ya.

F-35A

F-35A – US Air Force (USAF)

Model ini boleh diperkatakan sebagai model asas untuk pesawat F-35. Pesawat pejuang ini mempunyai keupayaan conventional takeoff and landing (CTOL) yang bermaksud ianya memerlukan landasan yang sama seperti pesawat pejuang yang lain.

Model ini merupakan satu-satunya model yang mempunyai internal cannon, iaitu senjata yang beroperasi seperti mesingan. Model internal cannon ini adalah GAU-22/A dan menggunakan peluru 25mm.

Pesawat ini merupakan model yang akan diserahkan kepada US Air Force dan beberapa negara lain di seluruh dunia.

F-35B

Model ini berupaya untuk berlepas dan mendarat dengan landasan yang pendek dan secara vertikal, atau nama lainnya adalah STOVL (Short takeoff/vertical landing) dan beetujuan untuk menggantikan pesawat A-10 Warthog dalam US Marine Corps.

F-35C

Pesawat F-35C – US DOD

Pesawat F-35C merupakan pesawat yang direka untuk berfungsi di atas aircraft carrier. Pesawat ini direka khas untuk US Navy dan menjadikannya satu-satunya model pesawat pejuang yang stealth. Pesawat ini mempunyai bahagian sayap yang besar dan pelancaran daripada kapal pengangkut iaitu catapult launcher mahupun ski-jump.

Model ini juga mempunyai landing hook untuk membolehkannya mendarat di atas aircraft career. Bahagian sayapnya boleh dilipat untuk meminimumkan ruang yang diambil sekiranya pesawat ini diletakkan di atas aircraft career dan akhir sekali, ianya mempunyai tangki simpanan minyak yang lebih besar berbanding dengan 2 buah variasi pesawat ini yang lain.

Helmet Juruterbang F-35

Topi keledar juruterbang pesawat F-35 – USMT

Seperti yang diulas oleh BBC News, helmet yang digunakan oleh juruterbang pesawat F-35 ini berharga 400,000 USD. Paparan pada visor helmet ini termasuklah informasi yang biasanya dilihat oleh juruterbang melalui heads-up display atau HUD yang menunjukkan altitud, kelajuan pesawat dan lain-lain.

Helmet ini menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) di mana ianya membolehkan seseorang juruterbang melihat sekeliling pesawat ini secara see-through sama ada di bawah pesawat, di atas, dibelakang dan secara mudahnya, kesemua pandangan 360 darjah dengan hanya menggerakkan kepala sahaja. Sudah tentu secara tradisionalnya, seseorang juruterbang perlu meletakkan pesawat mereka dalam keadaan nose-down untuk melihat apa yang berada di atas darat, yang terletak di bawah pesawat.

Pandangan visual seseorang juruterbang merupakan satu aspek yang sangat penting ketika menjalankan misi penerbangan di mana ianya digunakan pada kedua-dua situasi iaitu ketika menyerang mahupun ketika mempertahankan pesawat untuk memastikan flare dikeluarkan pada saat yang tepat sekiranya pesawat ini dikejar oleh mana-mana heat-seeking missile.

Paparan AR ini sebenarnya adalah berdasarkan beberapa buah kamera yang diletakkan di sekeliling pesawat, dan bukan itu sahaja, para juruterbang boleh menukar mode pandangan iaitu pandangan biasa mahupun pengimejan thermal inframerah.

KEBENARAN DI SEBALIK TEKNOLOGI PESAWAT F-35

Setelah membaca beberapa teknologi yang terdapat pada pesawat ini yang amat mengagumkan, saya agak hairan mengapakah pesawat ini dikecam hebat oleh beberapa media dan juga orang yang berada di dalam industri penerbangan ini.

Laman web Reuters mengeluarkan kenyataan dalam satu berita mengenai pesawt F-35 sebagai ONE OF THE WORST PLANES WE HAVE EVER DESIGN dan Pentagon membuat kenyataan menyerupai soalan, iaitu “F35: A 1.1 Trillion Project Mistake?” dan kemudiannya diikuti dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu tweetnya berbunyi begini:

Twit Presiden Donald Trump – Twitter

Based on the tremendous cost and cost overruns of the Lockheed Martin F-35, I have asked Boeing to price-out a comparable F-18 Super Hornet.

Baik, di awal rencana ini, saya telahpun menerangkan kepada anda tentang sebab mengapakah pesawat ini memakan duit yang sangat banyak daripada segi kosnya. Kini, mari kita lihat daripada segi teknologi dan rekaannya yang bermasalah.

Pertama sekali adalah kata-kata seorang lelaki yang merupakan seorang defense analyst, dan veteran dalam industri penerbangan serta merupakan salah seorang yang terlibat dalam mereka pesawat F-16 dan juga A-10 Warthog. Beberapa komennya adalah seperti berikut

“F-35 tidak setangkas F-16 dan daripada segi perbandingan di antara F-35 dengan F-16 dan A-10, pesawat F-35 ini terlebih berat dan amat berbahaya”

“Untuk F-35 menggantikan pesawat A-10 dalam memberikan close air support kepada tentera darat, F-35 terlalu laju dan apabila berada dalam keadaan perlahan, pesawat ini tidak mempunyai ketangkasan untuk dikemudikan oleh juruterbangnya”.

Selain itu, dia juga mengkritik projek F-35 ini daripada awal lagi kerana konsep “Jack of All Trades, Master of None” yang ingin diperkenalkan oleh keupayaan multi-role F-35 ini tidak akan berhasil. Katanya, lebih baik menggunakan pelbagai model pesawat yang sesuai dengan tugas yang ingin digunakan, iaitu sepert A-10 Warthog dalam US Marine Corps dan F/A-18 Hornet dalam US Navy.

Konsep satu pesawat untuk semua tidak akan berhasil.

Antara kritikan yang didedahkan termasuklah daripada aspek:

  1. Kawalan pesawat (Maneuverability)

Mengikut kepada satu artikel yang dikeluarkan pada 2015 oleh juruterbang pesawat F-35 (anonymous), maneuverabiliti pesawat F-35 jauh lebih rendah berbanding dengan pesawat F-16. Jika kedua-dua pesawat ini terlibat dalam dogfight, F-16 akan memenanginya dengan mudah.

Akan tetapi, jika kita fikirkan konsep pesawat stealth, sudah tentu kebolehan untuk kawalan daripada segi pitching, turning dan climbing jauh akan menjadi jauh lebih rendah kerana rekaan dan bentuk pesawat ini yang bertujuan untuk mempunyai Radar Cross Section yang rendah dan lain-lain. Dalam rekaan pesawat stealth, yang penting adalah pesawat ini tidak dapat dikesan dan dapat menumpaskan musuh daripada jarak jauh merupakan keutamaan, dan dogfight merupakan sesuatu yang tidak diperketengahkan dalam pesawat stealth.

Perbandingan F-22 Raptor dengan F-35 Lightning II – Military Machine

Namun, pesawat stealth sebelum F-35, iaitu F-22 Raptor mempunyai kebolehan yang lebih jauh berbanding pesawat ini. Mungkin itulah sebabnya mengapa Amerika Syarikat tidak mahu menjual pesawat F-22 di peringkat antarabangsa.

2. Getaran

Dalam satu laporan juruterbang pesawat F-35 daripada Norway, yang ditulis pada tahun 2016, dia mengatakan bahawa pesawat ini akan bergegar dengan begitu kuat pada beberapa maneuver yang meletakkan pesawat ini pada tekanan G yang tinggi.

Getaran ini menyebabkan seseorang juruterbang itu tidak mampun melihat data yang berada pada visor helmetnya itu. Hal ini merupakan sesuatu yang sangat berbahaya dan malangnya, setakat ini tiada penyelesaian yang dibuat dengan serius untuk menangani masalah ini.

3. Helmet dan Headrest

Satu lagi aduan yang dibuat oleh juruterbang pesawat ini adalah mengenai helmetnya. Walaupun berada pada harga 400,000 USD, helmet ini terlalu berat, menjadikan tekanan pada leher seseorang juruterbang itu terlalu tinggi. Headrest yang ada pula terlalu besar, dan kebanyakkan mereka mempunyai masalah untuk melihat pesawat yang berada di belakangnya ketika dogfight.

4. Kuasa enjin

Pesawat Eurofighter Typhoon – Military Machine

Daripada segi thrust to weight ratio, rekaan pesawat F-35 ini yang hanya mempunyai satu enjin sahaja jauh lebih rendah berbanding dengan pesawat yang sama generasi dengannya, seperti Sukhoi Su-35, F-22, Eurofighter Typhoon dan juga F-15. Manalah kita tahu mengapa pesawat yang baru lebih tidak berkuasa berbanding pesawat yang lama, mungkin kerana ingin menjaga alam sekitar gamaknya.

5. Persenjataan

Pesawat ini memerlukan kesemua senjata yang dibawanya untuk disimpan di dalam badannya untuk mengekalkan stealth, maka, terlalu sedikit senjata boleh dibawa untuk satu-satu misi. Juga, pesawat ini tidak mempunyai keupayaan untuk membawa external fuel tank, dan hal ini menyebabkan jarak operasi pesawat ini terhad.

Pesawat A-10 Warthog dikatakan lebih sesuai digunakan untuk close ground support – Defense News

Kemudian, daripada segi jumlah peluru pula, iaitu secara khususnya, peluru 25mm. Senjata internal cannon ini merupakan salah satu senjata yang amat penting sekiranya pesawat ini ingin menggantikan pesawat A-10 Warthog, iaitu daripada segi close ground support. Untuk pengetahuan anda, dalam setiap pesawat A-10, mereka mampu membawa 1,350 butir peluru cannon 30 mm.

Satu, teknik strafing merupakan satu perkara yang amat penting sekiranya sesebuah pesawat itu ingin membantu askar di bawah. Strafing run ini membolehkan tembakan yang tepat dibuat dan mengurangkan risiko collateral damage. Malangnya, untuk pesawat F-35 ini, mereka hanya mampu membawa sebanyak 182 butir peluru sahaja.

Konsep Strafing Run memerlukan tembakan tepat – Funker

Kedua, kaliber peluru 30 mm yang dibawa oleh A-10 Warthog mampu menembusi perisai yang terletak di atas sebuah kereta kebal manakala peluru 25 mm tidak mampu berbuat sedemikian.

Satu lagi masalah dengan sistem internal cannon ini adalah ianya tidak berupaya untuk menembak dengan tepat. Kebiasaannya, peluru ini akan tersasar ke sebelah kanan. Hal ini menjadikan penggunaan pesawat ini untuk ground support askar Amerika Syarikat di luar negara diharamkan buat sementara waktu sehinggalah kesemua isu ini dapat diselesaikan

Ini adalah pautan kepada ujian tembakan menggunakan internal Cannon pada pesawat F-35 yang telah diluluskan oleh ITF untuk tontonan umum.

https://youtu.be/CFoJ93Kb5z0

6. Lain-lain

Terdapat banyak lagi masalah daripada segi ALIS, ketahanan pesawat ini, sistem logistik, kawalan, sistem radar dan lain-lain. Hal ini kelihatan bahawa daripada segi combat readiness pesawat ini yang dijangkakan siap dan boleh menyertai operasi pada tahun 2021 nampak semakin kelam. Saya tidak ingin mengulas lebih lanjut mengenai setiap satu masalah yang ada kerana ianya akan menyebabkan artikel ini menjadi semakin berpanjangan.


Tangkap Layar Mengenai Masalah dan Kekurangan Pesawat F-35 yang diterbitkan pada Jun 2019 – Defense News

Jadi, apapun yang terjadi terhadap pesawat ini sama ada daripada segi teknikal dan politik busuk disebaliknya diharap dapat diperbaiki secepat mungkin. Ya, saya fahami pesawat pejuang ini tiada kena-mengena dengan Tentera Udara Diraja Malaysia, akan tetapi, pengeluaran pesawat-pesawat yang mempunyai masalah teknikal dan kebanyakkannya masih belum selesai sedikit sebanyak menganiaya juruterbang-juruterbang daripada tentera udara di seluruh dunia.

Pesawat F-22 Raptor

Juga, kita boleh nampak sendiri perihal mengenai pesawat F-22 Raptor yang dikatakan mempunyai teknologi yang tinggi disamping mempunyai keupayaan yang dikatakan mampu untuk mengalahkan pesawat F-35. Jadi, solusinya? Jangan jual pesawat ini ke negara lain, sebaliknya, berikan mereka pesawat yang baru dan mempunyai masalah demi masalah yang sehingga ke tahap boleh menyebabkan kem4tian.

Adegan filem Die Hard 4.0 – Looper

Yalah, jika kita fikirkan, pesawat F-35 ini gagal membunuh detektif John Mclane dalam Die Hard 4.0, inikan pula sekiranya mereka diletakkan secara face-to-face dengan pesawat pejuang daripada Russia mahupun China. Juga, konsep pesawat stealth ini lama-kelamaan menjadi sesuatu teknologi yang lapuk, akan tetapi, persenjataan daripada segi electonic warfare dan unmanned aerial vehicle telah mulai diperketengahkan dalam peperangan moden. 

Apapun, kita tunggu sahajalah setelah segalanya telah dibaiki dengan sempurna, dan masa itulah baru kita boleh buat perbandingan pesawat ini dengan pesawat generasi kelima daripada negara lain.

*AMARAN

Sekiranya anda mempunyai apa-apa pembetulan maklumat, saya mohon untuk diletakkan di ruangan komen mahupun DM kami secara peribadi. Mana-mana komen yang berunsurkan carutan, biadab, boleh menimbulkan pergaduhan serta tiada nilai sensitiviti dan menghormati satu sama lain akan dipadam serta-merta, terima kasih.

RUJUKAN

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.