Mista’arvim/Musta’rabin – Unit Risikan & Komando Elit Israel

0
2068
views

Musta’rabin (Arab) atau mista’arvim (Ibrani) secara asasnya bermaksud ‘mereka yang hidup seperti orang Arab’. Namun dalam konteks keselamatan atau pertahanan, ia merujuk kepada unit khas dalam pasukan-pasukan keselamatan Israel yang menyamar sebagai orang Arab Palestin. Pemilihan memasuki unit Mista’arvim juga amat ketat. Selain ketahanan fizikal dan mental, mereka juga perlu mempunyai ciri-ciri fizikal yang kelihatan seperti orang Arab.

Musta’rabin merangkumi empat (4) ranting utama dari pelbagai cabang keselamatan. Unit Duvdevan, atau Unit 217 dalam Israel Defense Forces (IDF) – dikatakan paling otai antara semua- ditugaskan di Tebing Barat. Ranting kedua skuad Muata’rabin digelar Shamshon, ditugaskan di Gaza. Unit Ketiga bertugas di pos kawalan sempadan manakala unit keempat ditugaskan di Jerusalem. Unit Mista’arvim dijadikan fokus utama siri Fauda, dalam Netflix.

Unit Musta’rabin terkenal sebagai unit komando yang paling berjaya menyusup masuk dalam komuniti Palestin dengan menyamar sebagai orang Palestin. Mereka berlatih menggunakan bahasa Arab loghat Palestin, memahami trend semasa orang Palestin, serta cara orang Palestin bersosial. Penyamaran mereka dilakukan dengan tujuan mendapatkam maklumat, melakukan sabotaj, ‘save rescue’ dan ‘assassination’.

Penubuhan pasukan ini yang seusia dengan penubuhan Israel sendiri menunjukkan betapa unit ini merupakan sebahagian daripada mekanisme atau institusi penting dalam Israel. Kewujudan unit ini dianggap sebagai rahsia besar kerajaan Israel. Pada tahun 1988, pas kewartawanan bagi 3 orang wartawan dari Financial Times dan Reuters telah ditarik balik oleh Tel Aviv kerana melaporkan kewujudan Mista’arvim. Akhirnya, cuma pada tahun 1991 baharulah Israel mengakui kewujudan tentera khas tersebut.

Walaupun ianya menjadi satu kesalahan untuk para tentera yang sedang bertugas menggunakan penyamaran sebagai orang awam dalam pertempuran mengikut lunas antarabangsa, Israel tetap dengan keputusan mereka atas alasan ‘national safety’. Maka kerana itu, banyak ‘targeted killings’ dilakukan ke atas pimpinan utama Palestin yang dirasakan ‘bermasalah’, oleh para komando Mista’arvim yang menyamar sebagai orang Palestin.

Gambar: Pelakon Israel, Lior Raz yang memainkan watak komando IDF dalam siri Fauda.