Tahukah anda, daripada mana datangnya asal usul perkataan millionaire? Istilah itu sebenarnya tercetus hasil dari sebuah peristiwa yang berlaku di Perancis pada kurun ke-18. Peristiwa ini sebenarnya adalah sebuah kisah yang sangat menarik untuk diceritakan.

 Ia bukan sahaja kisah tentang asal usul istilah millionaire, tapi ianya  tentang seorang ahli ekonomi yang bermula dari seorang pembunuh, kemudian dilantik sebagai orang paling berkuasa di Perancis, tetapi akhirnya menjadi pelarian dan mati dalam kemiskinan. Kisah John Law dan Mississippi Bubble mempunyai banyak pengajaran yang boleh kita pelajari. Selain dari itu ianya juga satu gambaran yang jelas tentang keadaan ekonomi dunia moden hari ini dan kemungkinan juga nasibnya di masa akan datang.

Segalanya bermula sebaik sahaja kemangkatan Louis XIV pada tahun 1715. Louis XIV yang juga digelar sebagai Louis The Great merupakan Raja Perancis yang memerintah sejak 1643. Di bawah pemerintahannya, Perancis merupakan kuasa dominan di Eropah.

Negara itu terlibat dalam banyak kempen ketenteraan dari Perang Perancis-Belanda, Perang Perwarisan Sepanyol, sehinggalah ke Perang Perikatan Besar. Istana Versailles yang besar dan tersergam indah itu juga dibina dibawah pemerintahan beliau. Disebabkan itulah beliau mendapat gelaran tersohor seperti Louis The Great dan juga The Sun King

Namun disebalik kemegahan beliau, beliau meninggalkan Perancis dalam keadaan gawat. Disebabkan oleh kempen peperangan yang berterusan, dan juga pembinaan istana Versailles, Perancis menanggung beban hutang yang menggunung. 3 billion livres adalah jumlah beban yang perlu ditanggung oleh Perancis dan juga pewaris Louis XIV berbanding hanya 145 juta hasil pungutan cukai yang diperolehi.

Perancis yang ketika itu diperintah oleh Bupati Phillipe II, Duke of Orleans (oleh kerana pewaris Louis XIV masih lagi kecil) kini didalam krisis. Phillipe II buntu mencari penyelesaian kepada krisis tersebut yang semakin lama semakin mencengkam Perancis. Tanpa penyelesaian yang jitu, Perancis mungkin akan terjerumus ke dalam kancah krisis ekonomi.

Dalam tidak sedar, penyelesaian kepada masalah Perancis itu datang dari sumber yang tidak disangka. Ianya muncul dari seorang orang kebanyakan dan bukannya kerabat diraja mahupun golongan bangsawan. Ianya datang dari seorang kaki judi yang juga merupakan seorang pembunuh.

Orang yang dimaksudkan itu, adalah John Law.

John Law, Kaki Judi,Pembunuh dan juga Ahli Ekonomi

SKaki Judi,Pembunuh dan juga Ahli Ekonomi. Siapa sangka tiga perkataan ini boleh berada dalam satu ayat yang ditulis bagi menggambarkan seseorang. Tapi saya rasa perkataan-perkataan ini adalah sesuatu yang amat sesuai sekali bagi menggambarkan John Law dan juga kisah hidupnya.

Law dibesarkan di bawah bumbung seorang tukang emas di Edinburgh. Pada ketika itu, tukang emas merupakan bentuk terawal bank di mana ia mampu mengeluarkan pinjaman melalui cagaran emas. Disebabkan itulah Law mahir tentang selok-belok perbankan melalui pemerhatiannya pada perusahaan ayahnya sendiri.

Law juga seorang yang cekap dalam pengiraan dan matematik. Malangnya kebolehan yang beliau ada itu tidak digunakan untuk tujuan yang baik, sebaliknya digunakan untuk berjudi. Ini menjadikan hidupnya serba tidak kena.

Apabila ayahnya meninggal dunia beliau dihalau dari rumah kerana tabiatnya yang gemar berjudi itu menyebabkan beliau menghabiskan sisa peninggalan harta ayahnya. Kemudian ketika beliau berumur 23 tahun, beliau telah membunuh seorang pesaing kerana merebutkan seorang wanita. Berpelacaranlah beliau di serata Eropah sebagai seorang kaki judi dan juga seorang pelarian undang-undang.

Namun begitu, berkat pengalaman yang ada, dan kecekapan yang dikurniakan, ia sedikit sebanyak membantu Law dalam memahami institusi perbankan dan juga kewangan. Untuk pengetahuan anda, John Law ini adalah antara pejuang awal wang kertas. Pada tahun 1705 beliau menerbitkan sebuah buku bertajuk, Money and Trade Considered: With a Proposal for Supplying the Nation with Money.

Di dalam buku tersebut John Law menyatakan kritikan beliau terhadap wang emas dan perak. Baginya wang kertas adalah sesuatu yang lebih sesuai untuk digunakan sebagai suatu medium untuk transaksi kerana lebih senang dibawa. Law juga menganggap yang kekayaan sesuatu negara itu lebih bergantung kepada hasil pengeluaran sesuatu negara dan bukannya nilai emas serta perak yang dimiliki.

Konsep yang dibawakan Law itu terkedepan daripada zamannya. 70 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang menjadikan idea itu sebagai kontemporari melalui bukunya Wealth of Nations. Law mencadangkan agar sesebuah negara menggantikan wang emas dan perak yang ada kepada wang kertas yang disandarkan melalui kredit dan bon kerajaan.

Cadangan Law itu pada mulanya dipersembahkan pada Parlimen Scotland,kerana krisis yang dialami oleh negara itu disebabkan kegagalan perusahaan mereka di Panama.Namun cadangan Law ditolak mentah-mentah kerana ahli parlimen Scotland kurang yakin dengan Law.

Tapi berbeza pula dengan Perancis. Cadangan Law nampak memberikan harapan. Begitulah terdesaknya Perancis dalam hendak menyelesaikan masalah hutang yang mereka  dihadapi.

Malapetaka Bermula…

Gambar 3: Wang kertas yang dikeluarkan John Law

Bupati Perancis, Phillipe II menerima cadangan dari Law, untuk mengeluarkan wang kertas sebagai alternatif kepada wang emas dan perak. Atas kebenaran kerajaan Perancis, Law menubuhkan Banque General. Banque General beroperasi menggunakan ¼ modal dari pelabur (emas dan perak) dan selebihnya menggunakan bon hutang kerajaan yang ingin dimansuhkan.

Dalam masa tidak sampai setahun, usaha Law membuahkan hasil. Wang kertas yang dikeluarkan oleh Banque Generale digunakan dengan sangat meluas. Melihatkan populariti wang kertas Law, kerajaan Perancis membenarkan agar cukai kerajaan dibayar menggunakan wang kertas.

Tetapi, apabila semakin ramai orang menggunakan wang kertas Law, semakin berisiko perusahaannya. Law sedar yang beliau tidak mempunyai modal dan aset yang cukup untuk meneruskan perusahaannya. Dianggarkan pada ketika itu, yang kesemua wang kertas yang dikeluarkan Law hanyalah disandarkan pada 10% sahaja jumlah emas dan perak yang dimiliki oleh Banque Generale.

Jika pada suatu ketika, kesemua orang yang menggunakan wang kertas Law ingin menukar wang kertas itu kepada emas, Banque General pastinya akan jatuh bangkrap. Melihatkan pada masalah tersebut, Law menubuhkan sebuah syarikat perdagangan yang dinamakan sebagai Company of the West.

Sepertimana East India British Company pada zamannya, Company of The West ditubuhkan untuk “membangunkan” wilayah Mississipi yang ketika itu dimiliki oleh kerajaan Perancis. Law menawarkan saham kepada sesiapa yang berminat untuk melabur dalam perusahaan “membangunkan” wilayah paya bakau tersebut.

Di sinilah kita boleh nampak kebijaksaan pada perancangan Law. Bagi mendapatkan aset dan kapital bagi meneruskan operasi banknya, beliau menggunakan modal yang diambil dari pembelian saham Company of The West. Dengan modal tersebut, beliau boleh mengeluarkan lebih banyak wang kertas.

Dan lebih banyak wang kertas bermakna, lebih banyak orang boleh membeli saham Company of The West. Kesemua ini, ditambah dengan permintaan saham yang tinggi, membuatkan saham syarikat itu melonjak naik. Dari 500 livre ia melonjak naik sehingga 3000% kepada 15,000 livre.

Kejayaan Law dalam kedua-dua perusahaannya (Banque General dan juga Company of The West) menjadikan beliau antara orang yang paling berkuasa di Perancis. Kepercayaan Bupati Phillipe II juga membolehkan beliau dilantik sebagai Controller of General Finances (lebih kurang macam Menteri Kewangan Perancis-lah). Law kini sudahpun menguasai ekonomi Perancis.

Kenapa kesemua ini boleh berlaku? Sebenarnya ini merupakan antara perancangan licik Law. Beliau menggembar-gemburkan cerita tentang kekayaan hasil bumi yang terdapat di Mississipi.

Katanya di situ ada emas, perak, dan hasil bumi yang tidak terkira banyaknya yang memberi pulangan keuntungan yang lumayan buat pelabur. Tetapi di sebalik kisah gebang Law, Mississipi sebenarnya adalah kawasan berpaya yang gersang dari sebarang kekayaan. Di Mississipi mana ada emas dan perak, yang ada hanyalah ular dan buaya.

Saya pasti pembaca semua sudah nampak apa yang sebenarnya sedang berlaku. Company of The West sudah tentu tidak mampu membawa balik sebarang keuntungan pun dari perusahaan mereka di Mississippi. Ia bagaikan satu skim Ponzi.

Namun begitu, pada ketika inilah istilah “millionaire” wujud buat pertama kalinya dalam sejarah. Mereka yang sempat menjual saham Company of The West ketika ianya sedang mencanak naik sempat menjadi jutawan. Tetapi, bagi mereka yang lain, malang yang sangat besar menimpa.

Khabar angin mula tersebar. Yang sebenarnya Company of The West tidak mempunyai sebarang perusahaan yang menguntungkan pun. Dan apabila orang ramai mula berspekulasi, harga saham Company of The West jatuh merundum.

Hasilnya? Satu Malapetaka. Harga saham Company of The West jatuh ke paras 500 livre. Mereka yang terlibat dan memiliki saham syarikat tersebut mula panik dan bertebaran ke bank bagi menukar kembali wang kertas mereka kepada emas.

Tetapi nasi sudahpun menjadi bubur. Banque General tidak mempunyai emas dan perak yang cukup dan akhirnya terpaksa menghentikan pengeluaran wang kertas sepenuhnya. Ramai orang jatuh miskin kerana wang kertas yang mereka miliki sudah tidak mempunyai nilai lagi.

Pengajarannya….

Law kini menjadi orang yang paling dibenci di Perancis. Daripada hero yang kononnya telah menyelamatkan Perancis dari kancah krisis ekonomi, beliau jatuh menjadi penjahat yang menjerumuskan Perancis dan seluruh rakyatnya dalam kemiskinan. Harga barang meningkat naik sehingga 60 kali ganda.

Rakyat menjadi berang dan mula mencari Law untuk melepaskan geram. Menyedari perkara itu, Law melarikan diri seminggu selepas jatuhnya Company of The West dalam kegelapan malam.

Banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari kisah Law dan Mississipi Bubble. Dari buruknya sifat tamak, pembohongan, kepentingan ilmu untuk menilai pembohongan dan juga tentang sistem mata wang kita sendiri.

Walaupun eksperimen Law untuk menukarkan semua mata wang emas kepada mata wang kertas gagal, ianya menjadi satu batu asas kepada sistem mata wang kertas yang kita gunakan sekarang. Segala kelemahan dan kesilapan Law diambil sebagai pengajaran bagi menambah baik sistem mata wang yang kita gunakan pada masa kini.

Rujukan dan Bacaan Lanjut:

Sizemore, L.Charles (Januari,2011), “John Law: Rake, Murderer, and Father of Central Banking” Charlessizemore.com

Hanke, Steven (Mac, 2018), “A Cautionary Tale Of Public-Private Partnerships: John Law And The Mississippi Company” Forbes

Macleod,Alasdair (Ogos, 2018), “John Law and the Mississippi Bubble – 300 Years Later” Mises Institute

Norman,Jesse (September, 2018), “John Law: the Scottish gambler who rescued France from bankruptcy” The Spectator

Harari, Yuval N. author. (2015). Sapiens : a brief history of humankind. New York :Harper, (m.s 354-356)

Extra Credit (Oktober 2016), “The History of Paper Money – Lay Down the Law – Extra History – #4” YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=lzH1p3t2oRE


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.