Moving Forward As One

Misi Lepaskan Anak Sotong Dan Tardigrade Di Angkasa

513

PayLater by Grab

NASA akan melancarkan roket yang berisi 5,000 ekor Tardigrade atau beruang air bersaiz mikro bersama 128 ekor anak sotong yang mempunyai bioluminescence (tubuh bersinar dalam gelap) di angkasa. Haiwan-haiwan ini akan tiba di International Space Station (ISS) pada minggu depan sebagai sebahagian dari misi kargo SpaceX yang ke-22.

Misi NASA kali ini agak aneh. Apa NASA lakukan terhadap haiwan-haiwan yang berhabitat di Bumi, dibawa ke angkasa? Adakah NASA melakukan kajian tertentu terhadap haiwan-haiwan ini memandangkan haiwan kecil adalah subjek yang biasa saintis lakukan untuk melaksanakan eksperimen?

Bagi menjawab misi NASA ini, kita kenal dahulu haiwan bernama Tardigrade ini. Tardigrade adalah haiwan bersaiz hanya 1 milimeter panjang, bertubuh gempal dan mempunyai rupa seperti beruang yang hanya dapat dilihat melalui mikroskop. Uniknya haiwan ini adalah tubuhnya mampu menahan radiasi, tekanan 6 kali ganda dari tekanan di dasar laut paling dalam, dan mampu hidup persekitaran tanpa udara (vakum).

Pada 2019, prob pendarat Bulan milik Israel bernama Beresheet pernah membawa beribu-ribu ekor Tardigrade sebelum ia terhempas di Bulan akibat kegagalan pendaratan pada 11 April. Pada bulan Ogos, saintis melaporkan bahawa kapsul yang menyimpan Tardigrade yang berhibernasi telah selamat dari hempasan prob. Tardigrade yang terbiar di Bulan bebas tanpa sebarang masalah dan mampu hidup hanya dalam tempoh masa tertentu saja.

Maka, kita dapat lihat bahawa Tardigrade telah lama menjadi subjek kajian dalam dunia sains angkasa. Misi NASA kali ini adalah membawa Tardigrade ke ISS, kemudian mengkaji keupayaannya melalui kajian genetik terhadap kemampuan hidup di kawasan ekstrim. Misi ini memberikan nafas baru akan penemuan keupayaan manusia dalam penjelajahan angkasa dalam tempoh yang panjang.

Menurut Thomas Bootby, ketua penyelidikan misi ini dan pembantu professor dalam biologi molekul di University of Wyoming, para ahli astronaut dalam ISS akan menyelidik biologi molekul dalam tubuh Tardigrade bagi mencari sebarang tanda yang memberikan haiwan ini beradaptasi di angkasa. Kajian ini adalah kajian yang begitu berani dengan keadaan zero graviti dan pendedahan radiasi di angkasa.

Kita fokus pula misi NASA lagi satu iaitu membawa anak sotong spesis Euprymna scolopes ke ISS. Anak sotong bersaiz 3 milimeter panjang mempunyai organ memproses cahaya dalam tubuhnya di mana bakteria bioluminescence yang menyebabkan tubuh anak sotong bercahaya.

Tujuan misi ini adalah menyelidik hubungan simbiotik antara bakteria dengan sotong bagi melihat bagaimana hubungan ini terjalin jika bakteria ini hidup dalam tisu haiwan di angkasa.

Menurut Jamie Foster, ahli mikrobiologi dari University of Florida dan ketua penyelidikan Understanding of Microgravity on Animal-Microbe Interaction (UMAMI), haiwan termasuk manusia bergantung dengan bakteria bagi mengekalkan fungsi sistem pencernaan dan imunisasi yang baik. Dan kajian ini diperlukan bagi melihat bagaimana hubungan terjadi apabila kedua-dua subjek (bakteria dan perumah) dalam keadaan tanpa udara.
Maka, anak sotong ini adalah subjek terbaik begi melaksanakan kajian ini. Pengkaji akan menanam bakteria dalam tubuh anak sotong sebelum dibawa ke ISS. Dengan cara ini pengkaji mampu memerhati hubungan simbiosis sotong dan bakteria. Pengkaji akan dapat mengesan gen mana satu yang mampu memberikan sotong beradaptasi.

Jika berjaya, saintis membuka peluang baru akan penemuan cara bagi mengekalkan ketahanan sistem pencernaan dan imunisasi manusia dalam penjelajahan angkasa. Nampaknya manusia telah lama bersedia menjadi koloni angkasa serta menduduki Bumi 2.0 seperti Marikh namun kita hanya mencari jalan bagaimana kita mampu beradaptasi di persekitaran di luar Bumi.

RUJUKAN:

Turner, B. (28 May 2021). NASA Is Launching Glowing Baby Squid And 5,000 Tardigrades Into Space. Live Science.

Ruangan komen telah ditutup.