7 Disember 1941 merupakan satu tarikh yang tidak akan dilupakan oleh Amerika Syarikat. Inilah tarikh berlakunya serangan udara mengejut tentera Jepun ke atas Pearl Harbor, satu peristiwa yang membawa kepada penyertaan Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua (WWII). Namun tatkala kita asyik melihat imej pesawat Zero mengebom pangkalan tentera laut Amerika ini, serangan pertama bukan dimulakan oleh tentera udara, sebaliknya ia dimulakan oleh satu skuadron kapal selam tentera laut mereka.

Pada tahun 1930-an, ketegangan hubungan Washington-Tokyo bukanlah satu perkara baru. Manakan tidak, tindakan Jepun menyerang China pada tahun 1931 sekaligus mencetuskan Perang China-Jepun Kedua sudah mengakibatkan kecaman masyarakat antarabangsa ke atas Tokyo. Ini ditambah dengan kempen ganas mereka terhadap penduduk awam China semakin menambah ketegangan sedia ada. Akibatnya, Jepun dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat termasuk sekatan bekalan petroleum, satu komoditi berharga bagi jentera perang Jepun.

Tanpa komoditi tersebut, ekonomi mereka lumpuh dan ini memaksa pihak tentera mencari alternatif bekalan minyak iaitu di Hindia Timur Belanda (Indonesia moden). Namun jika mereka meneruskan rancangan menyerang kawasan tersebut, ia sudah pasti memberi alasan kepada Washington untuk mengisytiharkan perang ke atas Tokyo. Atas sebab itu, pihak Jepun cuba berunding dengan Washington untuk menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas mereka. Apabila kedua-duanya berada di ambang persetujuan penarikan semula sekatan, Presiden Amerika Syarikat, Franklin Delano Roosevelt mengenakan syarat kepada Jepun untuk menarik keluar tenteranya dari China. Syarat tersebut ditolak dan ini memaksa pihak tentera meneruskan rancangan menyerang bahagian barat Pasifik termasuk rantau Asia Tenggara.

Rancangan ini dimulakan dengan serangan mengejut ke atas kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat oleh Laksamana Isoroku Yamamoto. Yamamoto mahu memberi tamparan hebat kepada angkatan tentera laut Amerika di pangkalan mereka di Pearl Harbor. Serangan ini akan memberi lebih banyak masa kepada Jepun untuk menyelesaikan penawanan sepenuhnya kawasan barat Pasifik. Selain melancarkan serangan udara dari sebuah kapal pengangkut pesawat, Yamamoto juga mahu memanfaatkan serangan dari dasar laut melalui penggunaan kapal selama kecil jenis A Ko-hyoteki atau Target A.

Semasa WWII, taktik serangan kapal selam kecil bukan saja digunakan oleh Jepun tetapi juga oleh sekutunya, Jerman dan Itali serta musuh ketat mereka, Britain. Kapal sebegini digunakan untuk menyusup masuk ke pelabuhan-pelabuhan yang dikawal ketat dan menyerang kapal-kapal yang tidak dilindungi. Dengan Target A, pengelasan sebegini diharap dapat menipu penganalisis pertahanan asing dengan menyangka kapal yang berukuruan 78 kaki panjang ialah kapal umpan untuk latihan ketenteraan tentera laut.

Hakikatnya, kapal selam ini mempunyai berat 46 tan, krew kapal seramai dua orang dan dilengkapi dua torpedo 450 milimeter Jenis 97 dengan kepala peledak seberat 800 paun. Semasa menyelam, kapal ini boleh mencecah kelajuan 26 batu sejam tetapi tidak boleh menyelam melebihi 100 meter serta bergantung kepada bateri. Jika Target A digunakan dalam situasi pertempuran sebenar, ia pasti akan kehilangan kuasa jauh lebih cepat. Ini memaksa kapal selam biasa membawa Target A lebih dekat dengan kawasan sasaran. Tetapi dengan kuasa bateri yang tidak mencukupi, sukar bagi kapal jenis ini dapat kembali dengan selamat. Justeru untuk mengelak ditangkap, setiap kapal selam Target A dilengkapi bom seberat 300 paun untuk memusnahkan kapal selam tersebut. Bagi menambah kesukaran, kapal sebegini sukar dikawal walaupun bergerak mengikut garisan lurus. Krew kapal pula perlu berulang-alik dari depan ke belakang untuk menstabilkan kapal.

Melihat semua isu ini, pihak tentera mengubahsuai lima kapal selam Target A dengan melengkapi ia dengan alat pemanduan pneumatik yang lebih baik, pemotong jaring dan pelindung untuk membantu kapal dari terperangkap dalam jaring. Pekerja-pekerja turut mengecat lampu operasi kapal untuk membantunya bersembunyi dari dikesan pihak musuh. Selepas itu, kapal-kapal ini dibawa ke pangkalan tentera laut Kamegakubi di mana ia diletakkan di belakang lima kapal selam besar jenis C-1. Ia turut diberi pengelasan I-16, I-18, I-20, I-22 dan I-24. Pada 25 November 1941, konvoi kapal mula berlayar menuju ke Pearl Harbor. Semasa dalam perlayaran, konvoi menerima mesej “Climb Mount Niitaka 1208”. Mesej tersebut sebenarnya kenyataan kerajaan bahawa semua usaha diplomatik tidak berhasil dan mereka mendapat keizinan untuk melancarkan serangan ke atas Pearl Harbor. Pada 6 Disember, konvoi C-1 berada pada jarak 12 batu nautika dari Pearl Harbor dan antara tengah malam hingga 3.30 pagi, lima kapal Target A dilancarkan.

Jika ada menyangka operasi tersebut kacang, mereka sebenarnya berhadapan cabaran besar untuk merealisasikan usaha tersebut. Pertama, kapal-kapal hanya boleh masuk ke pelabuhan selepas melalui sebuah terusan yang mempunyai kedalaman 65 kaki dan dikawal dengan jaring anti-kapal selam pada kedalaman 35 kaki. Bot-bot pada kedua-dua belah jaring akan menarik jaring tersebut bagi membenarkan bot-bot biasa melalui laluan tersebut. Selain itu, kapal-kapal pemusnah Amerika meronda dalam jarak lima batu dari pintu masuk pelabuhan. Sebarang pergerakan yang mencurigakan juga akan dapat dikesan melalui rondaan udara yang dilakukan oleh pesawat peronda maritim PBY Catalina.

Di atas kertas, pihak Jepun akan menggunakan kesempatan mengikut kapal-kapal Amerika yang berlayar melalui jaring anti-kapal selam itu. Dari situ, mereka akan menunggu masa sesuai sehinggalah tentera udara melancarkan serangan ke atas Pearl Harbor. Dan di sebalik situasi kelam-kabut inilah, kapal-kapal selam menyerang mana-mana kapal perang Amerika yang terselamat dari serangan bom pesawat Zero. Selepas itu, mereka akan melarikan diri ke Pulau Lanai, Hawaii. Tapi masalahnya, rancangan di atas kertas tak semestinya menjadi di dunia sebenar. Pada jam 4.00 pagi, kapal pembersih periuk api USS Condor mengesan salah satu periskop kapal selam Target A dan segera menghubungi kapal pemusnah USS Ward to memeriksa kawasan tersebut. Satu jam setengah kemudian, krew kapal Ward mengesan periskop di belakang arus kapal kargo Antares semasa ia melepasi jaring anti-kapal selam. Ini menyebabkan sebuah pesawat PBY Catalina menggugurkan penanda asap berhampiran kapal selam tersebut dan membawa kepada Ward melanggar kapal selam tersebut. Dua das tembakan meriam dari meriam utama empat inci dari jarak kurang dari 100 meter dan empat bom anti-kapal selam dilepaskan. Keputusannya, kapal selam Target A itu tenggelam ke dasar laut.

Air laut yang masuk ke dalam kapal selam terkena pada bateri, mengakibatkan ia menghasilkan gas klorin yang merbahaya. Satu lagi bom anti-kapal selam terkena bahagian periskop dan menjejaskan baki torpedo kapal selam yang tidak dilancarkan. Dua krew kapal bernama Sakamaki dan Inagaki berusaha membawa kapal tersebut keluar dari pelabuhan dan kembali ke semula ke kapal selam utama mereka. Namun kedua-duanya pengsan selepas terhidu gas yang memenuhi bahagian dalam kapal. Kedua-duanya kembali sedar menjelang petang dan mahu mendaratka kapal mereka berhampiran bandar Waimanalo tetapi gagal selepas kapal selam itu melanggar satu lagi terumbu karang. Kemudian, sebuah pesawat pengebom PBY menggugurkan bom anti-kapal selam ke atas mereka. Sakamaki memutuskan untuk meninggalkan kapal dan cuba meletupkan kapal selam tersebut tetapi gagal.

Dia kemudian berjaya berenang ke daratan dan tidak sedarkan diri sementara Inagaki pula mati lemas. Keesokan paginya, Sakamaki ditahan seorang tentera bernama David Akui dan menjadi tawanan perang pertama Amerika Syarikat dalam WWII. Semasa dalam tahanan, dia enggan bekerjasama dengan penawan-penawannya dan mahu dihukum bunuh atau dibenarkan membunuh diri. Bagi tentera Jepun pula, mereka menafikan Sakamaki sebahagian daripada konvoi kapal selam dan mengisytiharkan semua krew terbunuh dalam operasi. Satu memorial Unit Tindakan Khas bagi mengingati anggota yang terbunuh turut membuang nama Sakamaki.

Bagi krew kapal selam lain, nasib mereka berbeza-beza. Krew kapal selam Ha-18 meninggalkan kapal mereka selepas kapal selam tersebut terkena bom anti-kapal selam. 19 tahun kemudian, bangkai kapal tersebut berjaya dibawa keluar oleh tentera laut Amerika Syarikat dari Keehi Lagoon, Hawaii dan dijadikan bahan pameran Akademi Tentera Laut Jepun di Etajima. Bagi krew kapal Ha-16 pula, pihak Jepun ada menerima mesej kejayaan kapal selam tersebut menyerang kapal tentera laut Amerika. Ini membawa kepada teori kapal tersebut berjaya membedil kapal musuh sebelum melarikan diri dan meletupkan kapal selam tersebut di Pulau West Loch. Kemudian bangkai kapal tersebut dibuang bersama-sama enam bangkai kapal pendaratan semasa tragedi West Loch pada tahun 1944 ke tengah laut. Dua kapal yang dikatakan menjadi sasaran Ha-16 ialah USS Oklahoma dan USS West Virginia. Hakikatnya, serangan Ha-16 tidak mengenai sasaran berikutan laporan serangan torpedo yang dibuat oleh krew kapal USS St. Louis.

Walau apapun, serangan udara Pearl Harbor berjaya mencapai objektif yang gagal dicapai konvoi kapal selam mereka. Serangan udara Jepun menenggelamkan tiga kapal perang, melumpuhkan lima kapal perang, memusnahkan 188 pesawat udara Amerika dan membunuh 2,403 tentera. Ia memberi tamparan hebat kepada Washington tetapi bukanlah satu pukula maut. Ini kerana serangan tersebut gagal memusnahkan kemudahan pembaikan dan depot minyak, sekaligus membantu tentera laut kembali aktif dalam masa yang cepat. Dan paling penting, serangan udara tersebut gagal memusnahkan kumpulan kapal pengangkut pesawat Amerika kerana ketika itu, kapal-kapal tersebut bukan berada di Pearl Harbor. Dan kumpulan kapal pengangkut ini menunjukkan dominasi mereka ke atas kapal-kapal perang untuk Perang Pasifik.

Bagi kapal selam Target A pula, walaupun ramai merasa tidak puas hati dengan prestasi kapal selam tersebut, ianya terus dihantar ke medan pertempuran. Seperti Pearl Harbor, kapal-kapal ini dihantar ke pelabuhan dari Alaska ke Australia dan Madagascar. Tetapi keputusannya bercampur-campur di mana sesetengah masa, ia berjaya dan ada ketikanya, ia merupakan satu kegagalan.

SUMBER

Roblin, Sebastien. (2018). National Interest. Japan’s Midget Submarine Attack on Pearl Harbor Was A Suicide Mission. http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/japans-midget-submarine-attack-pearl-harbor-was-suicide-23544?page=show


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.