Misbaha: Bapa Persuratan Terengganu

167

Siapakah gerangan Misbaha ini? Dan, bagaimanakah pemilik gelaran Misbaha ini telah mengubah senario bidang penulisan serta persuratan di Terengganu? Artikel ini akan membawa kita semua menelusuri kehidupan seorang Misbaha, sumbangannya kepada bidang penulisan, penerokaannya terhadap sejarah Terengganu serta baktinya demi kebajikan anak-anak Terengganu.

Sejarah Awal

Nama sebenar Misbaha ialah Allahyarham Dato’ Setia Jasa Haji Mohd Salleh bin Haji Awang bin Haji Mohamad bin Osman bin Bilal Salleh bin Haji Abdul Rahim, dan telah dilahirkan pada hari Rabu, 13 Jun 1917, bersamaan dengan 23 Syaaban, 1335 Hijrah.

Tempat kelahiran beliau ialah di Kampung Masjid, atau kini dikenali sebagai Kampung Baharu, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Nama Misbaha yang digunakan oleh beliau merupakan gabungan daripada nama beliau sendiri, iaitu Mohd Salleh bersama dengan nama ayahanda beliau, iaitu Haji Awang, yang dieja dalam tulisan Jawi.

Sebenarnya, penggunaan gelaran Misbaha ini ada kaitannya serta mempunyai pengaruh daripada beberapa nama tokoh kesusateraan dan ulama terdahulu, iaitu Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Zaaba serta Haji Abdul Malik Karim Amrullah, atau Hamka.  

Misbaha merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradik, di mana kakaknya yang bernama Hajah Ngah binti Haji Awang telah dilahirkan pada tahun 1904. Misbaha lahir dalam sebuah keluarga sederhana yang mana bapa beliau, Haji Awang merupakan seorang bilal yang bertugas di Masjid Zainal Abidin dan turut dikenali ramai sebagai seorang guru agama di sekitar Kuala Terengganu. Ibu Misbaha pula adalah seorang yang berketurunan Cina Yunnan dan merupakan seorang suri rumah.

Keperibadian Misbaha banyak terbentuk hasil didikan ibu bapanya yang menitikberatkan kedua-dua ilmu keduniaan serta akhirat. Ibu bapanya sentiasa memastikan bahawa anak lelaki tunggal mereka bukan sahaja boleh membaca dan menulis dengan baik, malah turut memperoleh ilmu keagamaan yang mencukupi. Misbaha telah mendapat pendidikan awalnya secara formal pada usia enam tahun, iaitu pada tahun 1923, di Sekolah Melayu Paya Bunga. Sekolah ini yang dibuka pada tahun 1922, dibina berdekatan dengan kawasan rumahnya, dan Misbaha telah memperoleh pendidikan di sini bermula dari Darjah Satu sehingga tamat Darjah Enam pada tahun 1929.

Misbaha telah menduduki peperiksaan Darjah Khas pada tahun 1930, dan setelah lulus, beliau telah menyambung pelajaran peringkat menengahnya di Madrasah Al-Arabiah, yang pada waktu itu menumpang di Sekolah Melayu Paya Bunga sebelum dipindahkan ke Sekolah Melayu Bukit Jambul.

Madrasah Al-Arabiah ini kemudiannya telah dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAZA) yang merupakan antara sekolah agama berprestij di Terengganu. Pada 30 Ogos 1934, SMAZA ini secara rasminya telah dipindahkan dan dibuka di Kampung Ladang, Kuala Terengganu dan dinamakan sebagai Madrasah Zainal Abidin Al-Arabiah. Ia merupakan sebuah madrasah beraliran Arab dan antara sekolah tertua di Terengganu.

Pendidikan Misbaha di madrasah ini bermula pada tahun 1930 hingga 1936, dan antara rakan-rakan baik beliau di madrasah berkenaan yang juga merupakan antara tokoh di Terengganu ialah Haji Ibrahim Hilmi Haji Abdullah, Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad, Wan Ibrahim Ali dan Haji Ali Abu Bakar. Setelah melalui proses pembelajaran selama enam tahun, Misbaha akhirnya telah berjaya memperoleh kelulusan cemerlang dalam peperiksaan dan dianugerahkan Sijil Alqismu Al-Mumtaz (Bahagian Cemerlang) pada 1 Ogos 1936.

Misbaha telah berjaya mendapat tempat keempat bersama-sama dengan 10 orang lagi pelajar cemerlang yang lain. Salah seorang sahabat baik beliau, iaitu Ibrahim Fikri, yang juga menjadi pelajar cemerlang bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, namun Misbaha yang merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga tidak bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana tempat di luar negara.

Selepas mendapat keputusan sijil cemerlang, pembelajaran Misbaha tidak terhenti setakat itu sahaja meskipun beliau tidak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sebaliknya, Misbaha telah mengikuti kelas Bahasa Inggeris di Crown Grammar School, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu, yang diadakan pada sebelah malam. Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah Inggeris swasta yang wujud di Terengganu pada waktu itu. Pada tahun 1936 ini jugalah Misbaha berjaya memperoleh kelulusan Inggeris pada tahap Standard Six. Tindakan Misbaha yang tekun dalam mempelajari pelbagai bidang bahasa dan cabang ilmu ini telah menjadikan beliau seorang yang berpengetahuan luas dan fasih dalam ketiga-tiga bahasa.

Kerjaya Awal

Ketekunan Misbaha ini dapat dilihat sejak usia remaja beliau lagi, di mana sewaktu belajar di Sekolah Zainal Abidin (madrasah), beliau telah mengikuti kelas khas dan turut bekerja sambilan sebagai seorang kerani dalam latihan, iaitu selama tiga hari dalam seminggu. Latihan sebagai kerani inilah yang telah membentuk Misbaha dan memperkenalkan beliau kepada bidang penulisan serta melengkapkan diri beliau dengan etika sebagai seorang pengarang. Ini merupakan suatu peluang yang amat bermakna bagi beliau, apatah lagi pada waktu itu adalah sukar bagi seseorang untuk memperoleh mesin taip bagi tujuan penulisan kerana harganya yang mahal.

Sekitar tahun 1936 hingga 1937, Misbaha telah berulang alik antara Terengganu dengan Singapura kerana beliau mendapat peluang untuk bekerja di Syarikat Percetakan akhbar Warta Malaya. Setahun kemudian,  iaitu pada sekitar Ogos 1937, Misbaha pulang ke Terengganu dan bertugas sebagai seorang guru agama di Sekolah Melayu Paya Bunga. Setelah lebih tiga tahun berkhidmat, Misbaha telah dinaikkan pangkat menjadi Guru Pelawat (Nazir) bagi sekolah-sekolah agama di Terengganu pada tahun 1941.

Dalam kesibukannya sebagai seorang guru agama, Misbaha masih lagi tekun mendalami pelbagai cabang ilmu agama terutamanya yang berkaitan dengan kitab-kitab thurath (klasik). Kelas yang diikutinya adalah kelas pengajian secara sambilan di beberapa tempat di Kuala Terengganu, seperti kelas pengajian kitab di Masjid Abidin, Surau Kampung Daik serta pembelajaran yang disampaikan di rumah Mufti Terengganu pada waktu itu, iaitu Syeikh Hassan Said Al-Yamani.

Kegiatan Penulisan

Misbaha adalah seorang tokoh yang ternama dalam bidang penulisan di Terengganu dan sering dijadikan rujukan oleh para penulis generasi baru. Perjalanan beliau dalam kegiatan penulisan boleh dipecahkan kepada tiga fasa utama, di mana pada peringkat pertama, iaitu permulaan, Misbaha banyak menghasilkan penulisan kreatif seperti cerpen, puisi dan novel. Seterusnya, beliau beralih pula kepada penulisan bahan-bahan sejarah dan keagamaan. Manakala, pada fasa yang ketiga, beliau terlibat secara aktif dalam penulisan ilmiah, iaitu melalui penghasilan buku, monograf serta jurnal yang mengkhusus kepada sejarah Terengganu.

Misbaha mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan kreatif melalui karya terjemahan kisah Arab yang bertajuk ‘Perawan Israil’ pada tahun 1930 melalui majalah Pengasuh diikuti dengan karya ‘Siapa Lagi Kekasih Perempuan’ dan ‘Tengah Menarik Tali’.  Kelebihannya yang mampu menguasai Bahasa Arab dengan baik telah memberi peluang untuk beliau membaca dan membaca karya-karya berbahasa Arab. Minat beliau yang sangat mendalam dalam bidang penulisan menyebabkan Misbaha tidak pernah jemu menulis meskipun karyanya tidak diterbitkan.

Keghairahan Misbaha dalam bidang penulisan  memuncak apabila pada tahun 1932, beliau telah berjaya menghasilkan lima buah cerpen, antaranya yang bertajuk ‘Anwar Syah dengan Puteri Syarifah al-Qamar’, ‘Kasih Yang Sebenar’ dan ‘Suluhan Hidup’, namun kesemua cerpen ini tidak diterbitkan oleh mana-mana rumah penerbitan. Ini mungkin disebabkan oleh tema cerpen yang dihasilkan oleh Misbaha pada waktu itu adalah berkisar mengenai cerita kanak-kanak, sedangkan pada masa itu, tema penulisan yang sering dihasilkan ialah mengenai kelas dalam masyarakat dan perjuangan politik.

Pada tahun 1935, Misbaha telah menghasilkan bahan terjemahan bersiri melalui akhbar Majlis menerusi kisah ‘Rahsia Rumah Biru’, iaitu sebanyak 15 siri, dan kemudiannya menyambung sehingga 64 siri. Seterusnya, pada 14 Mei 1936, Al-Hikmah telah menyiarkan cerita karya Misbaha yang bertajuk ‘Belas Kasihan’. Selain daripada cerpen, Misbaha juga aktif dalam menghasilkan puisi. Pada 3 Januari 1937, puisi ciptaan beliau yang bertajuk ‘Askar Melayu’ telah diterbitkan oleh Warta Malaya. Sebulan selepas itu, sekali lagi puisi beliau diterbitkan oleh Warta Malaya, yang bertajuk ‘Mengapa Umat Islam Terkebelakang’ dan beliau memakai nama samaran Penulis Khas Kita di Terengganu.  

Antara tahun 1936 hingga 1937, beberapa buah cerpen hasil karya Misbaha telah diterbitkan oleh pelbagai penerbitan antaranya ialah ‘Anak Yang Bahagia’ melalui Warta Malaya (Julai 1936), ‘Perasaan Baik’ melalui Warta Ahad (Julai 1936), ‘Nasib Seorang Gadis’ melalui Warta Jenaka (Mac 1937) dan ‘Pengaruh Tamak’ melalui Warta Ahad (Julai 1937).

Di samping penulisan cerpen, novel dan cerpen, Misbaha juga banyak menghasilkan risalah yang berkaitan dengan bidang keagamaan. Tahun 1935 menyaksikan sebanyak 17 buah karya penulisan beliau telah dimuatkan dalam akhbar Majlis, Al-Hikmah serta Warta Malaya, dan nama samaran yang beliau gunakan pada waktu itu ialah Penulis Khas Kita di Terengganu dan Misbaha Darul Iman. Penulisan-penulisan ini adalah berkait rapat dengan aktiviti dakwah Islamiah, lawatan pembesar negara ke Terengganu serta peristiwa-peristiwa luar negara yang berlaku. Antara risalah/artikel agama terawal yang dihasilkan oleh Misbaha ialah siri ‘17 Ramadan’ yang telah diterbitkan melalui akhbar Majlis pada Februari 1935 hingga September 1935 sebanyak 50 siri.

Siri rencana dan ulasan berita yang dihasilkan oleh Misbaha pada sekitar tahun 1935 hingga 1938 melalui pelbagai penerbitan akhbar seperti Majlis, Al-Hikmah, Warta Malaya, Warta Jenaka dan Warta Ahad adalah sebanyak 17 buah pada 1935, 24 buah pada tahun 1936, 37 buah pada tahun 1937 dan 17 buah pada tahun 1938. Nama-nama samaran yang beliau gunakan sepanjang terbabit dalam bidang penulisan ini selain daripada Misbaha dan Penulis Khas Kita di Terengganu ialah Putera, Asmara, Hantu Golak, Pena Lapok, Indera, Abu Suhaimi dan Lutfi.

Pegawai Propaganda Jepun

Sewaktu pendudukan Jepun di Terengganu, Misbaha telah diberi penghormatan dilantik sebagai pegawai kerajaan Jepun bagi mengendalikan akhbar propaganda Jepun iaitu Cahaya Timur. Perlantikan ini adalah disebabkan oleh kebolehan dan pengalaman Misbaha dalam bidang penulisan sebelum itu. Misbaha menerima jawatan ini, hanyalah semata-mata kerana taat setia dan kepatuhan beliau terhadap arahan Sultan Terengganu yang memerintah pada waktu itu. Beliau telah menjadi Ketua Pengarang bagi akhbar ini bersama rakan-rakan yang lain seperti Abdul Kadir Adabi, Ibrahim Fikri, Abdullah Omar dan Wan Sulaiman yang dilantik sebagai sidang pengarang.

Akhbar Cahaya Timur yang diterbitkan dalam tulisan jawi, merupakan bahan propaganda Jepun kepada rakyat, yang secara halusnya bertujuan menyampaikan maklumat kerajaan Jepun untuk rakyat iaitu tindakan yang bakal dikenakan sekiranya mereka ingkar kepada kerajaan. Meskipun Misbaha bersama rakan-rakan yang lain menulis mengenai propaganda Jepun, namun tidak semua yang ditulisnya adalah benar, malah apa yang dilakukan oleh beliau bersama rakan-rakannya ini hanyalah semata-mata bersandarkan kepada prinsip kepatuhan dan taat setia kepada Tuanku Sultan yang dicintainya.

Penglibatan Misbaha di dalam pentadbiran Jepun dan menyampaikan propaganda Jepun ini telah menyebabkan orang ramai menganggap beliau sebagai seorang yang pro-Jepun dan mementingkan diri sendiri. Namun Misbaha berpegang teguh kepada prinsipnya, iaitu demi Sultan, dan demi maruah orang Melayu pada waktu itu.

Kedudukan Misbaha sebagai seorang Ketua Pegawai Maklumat kerajaan Jepun pada waktu itu telah menyelamatkan ramai orang Melayu daripada tindakan zalim pihak Jepun. Malah, penulisan Misbaha sebenarnya tidak pernah memburukkan orang Melayu, tetapi lebih fokus kepada propaganda memburukkan pemerintahan British di Tanah Melayu. Misbaha juga berjaya menguasai bahasa Jepun dengan baik sepanjang berkhidmat dengan kerajaan Jepun.

Terdapat pelbagai kisah menarik sepanjang perkhidmatan Misbaha bersama rakan-rakan yang lain di dalam pentadbiran Jepun di Terengganu. Misbaha sebenarnya merupakan seorang nasionalis yang berperanan besar di belakang tabir melalui penulisan dan penanya.

Beliau bersama rakan-rakannya yang lain, iaitu Ibrahim Fikri (Menteri Besar Terengganu dari tahun 1961 hingga 1970) dan Wan Daud Ahmad telah mengambil langkah cermat dan berjaga-jaga sepanjang berdamping dengan pihak tentera Jepun. Kumpulan yang dibentuk oleh beliau bersama rakan-rakan ini telah berjaya menghalang pihak Jepun daripada melakukan kerosakan terhadap tanah tumpah darah mereka.

Mereka telah berjaya mempengaruhi pihak penjajah Jepun untuk membina Sekolah Khairiah di Jalan Hiliran untuk kepentingan anak-anak Terengganu. Malah, Misbaha bersama rakan-rakannya juga berjaya menyelamatkan Balai Besar dalam kawasan Istana Maziah daripada dijadikan kelab hiburan oleh pihak Jepun dan memindahkannya menjadi bangunan tambahan Madrasah Sultan Zainal Abidin Ladang.

Selain itu, kumpulan Misbaha ini juga berjaya menyelamatkan beberapa orang Melayu daripada kekejaman pihak Jepun serta mengelakkan berlakunya angkara jahat Jepun terhadap wanita-wanita Melayu. Kesemua ini menunjukkan kepintaran dan kemahiran diplomasi Misbaha bersama rakan-rakannya dalam menghadapi pihak tentera Jepun demi menyelamatkan maruah bangsa Melayu daripada ditindas.

Penahanan oleh Pihak Pentadbiran Tentera British

Selepas kekalahan pihak Jepun, Tanah Melayu telah diletakkan semula di bawah pentadbiran tentera British. Pada ketika itu jugalah pasukan Bintang Tiga bermaharajalela dan menangkap sesiapa sahaja yang disyaki bersubahat dengan tentera Jepun. Malah, Misbaha bersama rakan-rakannya yang lain turut menerima ancaman pihak Bintang Tiga ini yang menyebabkan beliau sentiasa berwaspada demi keselamatan diri, keluarga dan penduduk yang lain.

Pihak tentera British kemudiannya turut mengeluarkan arahan untuk menangkap mana-mana individu yang pernah bekerjasama dengan tentera Jepun untuk dibicarakan. Memandangkan Misbaha pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan Jepun, maka beliau turut menjadi sasaran. Misbaha dan rakan-rakan akhirnya telah ditangkap oleh pihak British pada September 1945 dan dibicarakan.

Setelah perbicaraan, mereka didapati bersalah kerana menjalinkan kerjasama dengan tentera Jepun serta memiliki pistol tanpa lesen yang sah. Misbaha telah dikenakan hukuman penjara di Kota Bharu bersama rakan-rakannya, iaitu Ibrahim Fikri, Wan Daud Ahmad, Muda Osman dan 60 orang tahanan yang lain. Tiga bulan selepas itu, mereka telah dipindahkan ke Kuala Terengganu. Dan selepas tiga bulan setengah dipenjarakan di Kuala Terengganu, Misbaha telah melalui sesi perbicaraan bersama Majistret Khas daripada pihak British.

Dalam perbicaraan ini, Misbaha telah disoal siasat mengenai tugasnya bersama pihak Jepun. Apa yang menariknya, kesemua soalan dan tuduhan telah dijawab oleh Misbaha dengan tegas dan berani. Malah, Misbaha turut menyatakan pendirian tegasnya bahawa apa yang dilakukannya sepanjang berkhidmata dengan pihak Jepun adalah semata-mata kerana taat setianya kepada Tuanku Sultan dan kerajaan Terengganu.

Akhirnya, setelah beberapa sesi perbicaraan, Misbaha bersama rakan-rakan yang lain telah dibebaskan tanpa syarat setelah dipenjarakan selama lima bulan 26 hari. Kebijaksanaan dan keberanian beliau dalam menjawab segala pertuduhan daripada pihak British telah berjaya membuktikan kejujuran beliau dan sekaligus menunjukkan kesetiaan beliau terhadap Sultan dan kerajaan Terengganu.   

Penglibatan dalam Kebajikan

Persatuan Kebajikan Islam Terengganu atau Perkasa merupakan sebuah pertubuhan Islam yang banyak membantu para penduduk dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka khususnya dalam bidang pendidikan. Melalui Perkasa, sebuah asrama anak-anak yatim yang dinamakan sebagai Asrama Darul Falah telah diwujudkan. Misbaha merupakan antara individu penting yang telah mengasaskan Perkasa ini bersama rakan-rakannya yang lain.

Perkasa ini ditubuhkan berteraskan syariat Islam dan banyak menganjurkan pelbagai program keagamaan serta menjaga kebajikan para pelajar yang kurang berkemampuan. Antaranya ialah menganjurkan sambutan Maulid Nabi SAW di Terengganu, mengadakan Musabaqah Tilawah Al-Quran bagi kanak-kanak Terengganu pada tahun 1949 dan 1956 serta memberikan khidmat nasihat agar pentadbiran masjid dan surau menjadi lebih teratur.

Asrama Darul Falah yang dibuka secara rasmi pada tahun 1965 telah mendapat liputan meluas dengan sokongan yang diberikan oleh Sultan Terengganu sendiri. Melalui asrama ini, nasib anak-anak yatim di Terengganu dapat dibela dan pengajian mereka juga adalah terjamin. Sebagai mengenang jasa dan sumbangan Misbaha dalam penubuhan Asrama Darul Falah ini, sebuah dewan yang dinamakan sebagai Dewan Misbaha telah didirikan di asrama ini.

Pemergian Misbaha

Permata kesayangan Terengganu ini telah kembali ke rahmatullah pada 31 Ogos 1992, di kediamannya di Kampung Serada, Kuala Terengganu pada usia 78 tahun akibat sakit jantung. Jenazah beliau telah disemadikan di tanah perkuburan Tok Pulau Manis.

Kesimpulan

Misbaha sehingga kini akan tetap dikenang oleh seluruh rakyat Terengganu sebagai seorang tokoh serba boleh yang menyumbang kepada perubahan dalam bidang penulisan, pensejarahan dan kebajikan di negeri ini. Meskipun hanya berpendidikan peringkat menengah, namun, kegigihan dan ketekunan beliau dalam mendalami cabang ilmu serta giat menulis demi mencelikkan minda anak bangsa amatlah dipandang tinggi.

Misbaha adalah lambang seorang ilmuwan yang tidak pernah jemu untuk membaca, mendalami dan mengembangkan ideanya sehingga masyarakat menerima dan mengambil manfaat daripada usahanya itu. Semoga kita semua dapat meminjam semangat keilmuan yang ditunjukkan oleh Misbaha ini dalam memandaikan anak bangsa.

Rujukan

Hamdan, A., & Mohd Komarul Aripin, I. (2017). Misbaha Putera Jalan Tok Lam: Tokoh Persuratan, Keagamaan, Kebajikan dan Pensejarahan Terengganu (1st Edition). Kuala Nerus, Terengganu: Penerbit UMT.

Sharif Putera, (2018). Misbaha (Dato’ Haji Mohd Salleh Awang): Tokoh Beberapa Zaman dan Berbagai Kebolehan. In Muhammad Abu Bakar (Ed.), Orang Terengganu: Asal Usul, Arus Hidup dan Arah Tuju (1st Edition, p. 440). Kuala Terengganu: Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.