Mirror Master: Manusia Di Dalam Cermin

0
425
views

“Mirror, mirror, on the wall, who in this land is fairest at all?”

Ayat di atas diucapkan oleh Permaisuri Jahat di dalam filem Snow White and The Seven Dwarfs. Cermin seringkali disimbolikkan sebagai pantulan diri sendiri. Setiap pergerakan kita berlawanan di dalam cermin. Contohnya, kiri akan berlawanan dengan kanan dan begitu juga sebaliknya.

Mirror Master merupakan salah satu musuh The Flash yang berjaya menguasai prinsip asas cermin. Dia juga merupakan ahli The Rogues yang diketuai oleh Captain Cold. Alter ego Mirror Master ialah Evan McCulloch. Evan McCulloch ialah Mirror Master yang kedua. Sebelum ini, alter ego Mirror Master digunakan oleh Sam Schudder. Sam Schudder telah mati ketika Crisis on Infinite Earths.

Waqaf Saham

Modus operandi Mirror Master biasanya menggunakan ilusi sebagai taktiknya untuk merompak. Kebiasaannya Mirror Master tidak akan berada di tempat kejadian. Ilusinya dicipta dengan menggunakan hologram sebagai umpan untuk memerangkap The Flash. Apabila dia hampir ditangkap, dia akan melarikan diri dengan masuk ke dalam cermin. The Flash terpaksa mengejar Mirror Master ke seluruh Central City oleh kerana lokasi Mirror Master berubah-ubah di dalam cermin.

Pembiasan cahaya, pantulan, hologram dan juga alterasi saiz adalah kebolehan Mirror Master. Disebabkan itulah dia digelar sebagai Mirror Master. Senjatanya Mirror Gun juga mampu menembak permukaan cermin sehingga mewujudkan ‘wormhole’ yang boleh membuatkan dirinya keluar masuk ke dalam cermin sesuka hati. Dengan Mirror Gun nya juga, dia boleh memerangkap seseorang ke dalam cermin. Jika cermin yang memerangkap seseorang itu pecah, maka orang yang diperangkap itu juga akan mati.

Secara asasnya, manusia tidak boleh masuk ke dalam cermin. Ini kerana cermin merupakan objek yang diperbuat daripada kaca. Kaca pula bersifat lutsinar yang membenarkan cahaya menembusinya dengan sempurna. Kita, manusia yang boleh dikategorikan sebagai objek tidak boleh masuk ke dalam cermin. Mujurlah di dalam siri The Flash, Mirror Gun diwujudkan untuk mengatasi prinsip asas cermin ini. Meskipun ia hanya fiksyen semata-mata namun sekurang-kurangnya fiksyen di dalam komik dapat menjelaskan situasi ini.

Cermin biasanya digunakan untuk melihat imej kita sama ada wajah kita cantik, kacak atau pun tidak. Apa yang ada pada kita, itulah yang akan dipantulkan oleh cermin. Cermin bersifat ‘jujur’ kerana ia memantulkan imej kita. Namun, adakah sifat kita juga sama seperti cermin atau hanya berpura-pura di depan manusia yang lain? Tepuk dada, tanya diri sendiri di manakah sifat jujur anda.